INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas
Showing posts with label Pukau. Show all posts
Showing posts with label Pukau. Show all posts

Ilmu halimunan karut

Tuesday, May 13, 2014

David Copperfield

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Filem Hollywood, Hollow Man yang disiarkan pada tahun 2000 berkisar mengenai individu yang boleh menghilangkan diri.

Walaupun sudah lebih satu dekad tetapi jalan cerita itu filem itu masih segar dalam ingatan terutama bagi peminat karya bercorak sains fiksyen.

Hollow Man yang mendapat sentuhan pengarah Paul Verhoeven dilakonkan oleh Kevin Bacon, Elisabeth Shue dan Josh Brolin.

Filem itu berkisar seorang saintis, Sebastian Caine (Kevin Bacon) yang berjaya menghasilkan serum yang membolehkan manusia atau haiwan bertukar menjadi halimunan.

Namun, apa kesudahan filem ini anda perlu menontonnya kembali.

Dalam kalangan pengamal ilmu hitam, ilmu ghaib didakwa hanya boleh diperoleh setelah melalui proses membaca mantera dan bertapa namun ahli silap mata David Copperfield mendakwa manusia ghaib hanyalah satu ilusi.

Dalam dunia Melayu, terdapat beberapa ilmu persilatan yang mendakwa mereka boleh 'ghaib' daripada pandangan manusia terutama musuh dengan membaca ayat tertentu.

Namun, tiada rekod berbentuk foto atau rakaman video mengesahkannya.

Penceramah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah tidak menolak segelintir pengamal ilmu persilatan dahulu menggunakan bantuan jin untuk hilang daripada pandangan manusia.

"Secara realitinya, tidak mungkin manusia boleh berbuat sedemikian kerana kelebihan yang terdapat kepada manusia terbatas.

"Sedangkan Rasulullah SAW cedera semasa berperang inikan pula manusia lain," katanya.

Mohd. Daud memberitahu, ahli silap mata turut mendapat bantuan jin untuk membuat persembahan menghilangkan objek, benda atau mereka sendiri.

"Penggunaan teknologi secara optimum juga penyebab utama sesuatu perkara pelik yang dilakukan seperti menghilangkan diri seakan-akan benar walaupun ia sekadar helah semata-mata.

"Cuma pesan saya, ilmu persilatan atau silap mata yang dipelajari perlu mengikut lunas yang betul sehingga tidak syirik kepada Allah SWT," tegas Mohd. Daud.

David mula mencipta nama sebagai ahli silap mata apabila berjaya menghilangkan Patung Liberty di Amerika Syarikat pada 1983.

David juga menghilangkan pesawat Orient, terbang di Grand Canyon serta berjalan menembusi Tembok Besar China.

Tetapi, kesemua itu dilakukan menggunakan teknologi moden serta efek yang canggih.


Kisah ghaib

Realitinya, terdapat beberapa kes membabitkan individu ghaib secara tiba-tiba yang direkodkan pengkaji paranormal, Donna Higbee.

Seorang lelaki bernama Peter yang menetap di Gloucestershire, Britain turut mencuri tumpuan masyarakat dunia setelah dia dilaporkan hilang pada 1978.

Semasa dia menghadiri satu pesta bersama rakan-rakan dan teman wanitanya, Peter pergi ke tandas untuk membuang air kecil.

Dia sampai terlebih dulu berbanding seorang wanita.

Setelah hajatnya selesai lelaki itu keluar dari tandas sebelum menemui kembali rakan dan teman wanitanya.

Malangnya, mereka semua mengabaikannya kerana tidak perasan akan kehadiran Peter.

Akhirnya Peter kembali ke tandas dan wanita yang bersamanya tadi terkejut kerana menyangka lelaki ini masih berada di dalam tandas.

Situasi sama dialami oleh rakan serta teman wanitanya yang tidak menyedari kehadirannya.

Mengulas perkara itu, Donna mengatakan, kejadian itu misteri dan berlaku secara kebetulan.


Kayu perabun

"Kebanyakan mereka yang mengalami peristiwa sebegini tidak menyedari keadaan tersebut. Mungkin ia sekadar halusinasi atau helah yang sekadar dibuat-buat.

"Faktor kedua, mereka mungkin terlupa apa yang terjadi atau aktiviti yang mereka lakukan sebelum ini," ujar Donna.

Berdasarkan catatan sejarah, dukun atau bomoh sejak ratusan tahun dahulu sudah mula mengamalkan ilmu 'Hilang Tubuh'.

Selain itu, terdapat juga aliran Rosicrusianism yang yakin manusia boleh menghilangkan diri dengan bantuan awan.

Sekali lagi, tiada bukti jelas berhubung peristiwa ini dan dianggap strategi pengamal ajaran sesat untuk menarik ahlinya.

Menurut seorang pengkaji paranormal pula, Abdul Rahim Hanipah, ilmu menghilangkan diri hanya berkesan dengan bantuan jin dan makhluk halus.

"Ilmu yang dipelajari seperti ilmu pagar hakikat yang membolehkan seseorang ghaib, dengan syarat pengamalnya perlu bertapa di hutan selama tujuh hari.

"Mereka juga perlu membaca mantera tertentu. Malangnya, amalan ini tidak berkesan," katanya.

Tambahnya, penggunaan 'tangkal' seperti kayu perabun diselangi bacaan mantera tertentu juga didakwa berkesan oleh sesetengah pihak.

"Saya sendiri tidak pernah mencubanya kerana untuk mendapatkan kayu itu juga sukar.

"Pada pendapat saya, lebih baik kita mempelajari ilmu moden sedia ada yang lebih bermanfaat berbanding ilmu pelik yang belum pasti keberkesanannya," terang Abdul Rahim.


Kosmo!

28 April 2013.

Pesona iklan minyak pengasih

Monday, March 25, 2013

0 comments  


IKLAN-IKLAN yang menjual minyak pengasih iaitu sejenis sihir yang digunakan untuk memikat hati lelaki atau wanita yang diingini, semakin mudah ditemui di laman-laman web dan beberapa akhbar tempatan sekarang.

‘Minyak Pengasih Seru Angin Malam: Ilmu pengasih yang sangat mujarab untuk mengirim getaran asmara kepada seseorang yang dituju’ atau ‘Minyak Puteri Bunian: Setiap yang terkena minyak ini pasti jatuh cinta dengan anda’ adalah antara kata-kata yang digunakan dalam iklan berkenaan.

Sememangnya sesuatu yang mengejutkan apabila iklan sebegini mudah diakses oleh orang ramai dan promosinya berleluasa tanpa sebarang sekatan sedangkan kaedah rawatan itu terang-terangan menyimpang daripada ajaran Islam.

Pengamal perubatan tradisional terbabit turut menyenaraikan harga minyak pengasih dan minyak cenuai berkenaan iaitu antara serendah RM200 hingga mencecah RM1,000 sebotol kecil.

Harganya berbeza kerana ia dibahagikan mengikut gred minyak. Contohnya, minyak pengasih yang diperoleh daripada dagu mayat wanita yang mati ketika mengandung adalah minyak yang mempunyai gred yang paling tinggi.

Ini diikuti dengan minyak dagu orang yang mati dibunuh secara kejam, minyak abu mayat yang diperoleh daripada tujuh jenis tanah perkuburan dan minyak kongkang (sejenis monyet). Minyak daripada bangkai anjing hitam pula adalah gred yang paling rendah.

Jika seseorang itu berhajat untuk membuatkan orang yang disukainya tergila-gilakan dirinya, dia hanya perlu mencalit minyak pengasih itu ke badan individu tersebut.

Hasilnya, dia akan berjaya mendapatkan hanya jasad orang yang disukainya, tetapi tidak jiwanya.

Tahyul

Situasi sebegini bukanlah sesuatu yang mustahil berlaku pada zaman moden ini. Iklan-iklan menjual minyak pengasih ini menjadi bukti masyarakat masih percaya kepada perkara tahyul.

Justeru itu, bagi mendapatkan gambaran mengenai cara mendapatkan minyak pengasih, penulis telah menemui seorang pengamal perubatan yang mengiklankan ubat guna-guna berkenaan dalam laman webnya.

Dengan berselindung di sebalik pusat rawatan Islam, yang beroperasi di Subang Jaya, Selangor, menawarkan khidmat menjual minyak pengasih dan minyak cenuai.

Dari luar, suasana suram dan gelap menyelubungi ruang pejabat yang terletak di tingkat tiga itu.

Setelah membuat panggilan berdasarkan nombor telefon yang diiklankan, bomoh yang menggelarkan dirinya sebagai ‘ustaz’ itu meminta kami menunggunya di premis tersebut kerana dia sememangnya sedang dalam perjalanan ke situ.

Setelah hampir setengah jam menunggu, ustaz yang berumur dalam lingkungan 50-an itu pun tiba lalu mengajak kami masuk ke dalam pejabatnya untuk sesi berubat.

Daripada pemerhatian penulis, wajah lelaki itu kelihatan bengis dan agak menakutkan. Matanya yang kemerah-merahan sentiasa merenung tajam ketika bercakap.

Setelah memperkenalkan diri dan memberitahu kononnya penulis mahu memiliki seorang lelaki yang disukainya, ustaz itu memulakan sesi ‘kaunseling’ bagi mendapatkan perhatian penulis.

“Jika awak inginkan lelaki itu, datang semula ke sini dengan membawa gambar dan barang miliknya sama ada baju, pen, buku atau apa sahaja.

“Kemudian, saya akan buatkan dia tergila-gilakan awak, tidak kisahlah hatinya cintakan awak atau tidak kerana yang penting dia akan menjadi milik awak,” ujarnya kepada penulis.

“Namun, ada syarat yang perlu awak patuhi kalau tidak mahu ia memakan diri,” tambahnya yang membuatkan penulis berasa gementar.

“Awak dilarang sama sekali melakukan hubungan seks dengan lelaki itu meskipun setelah berkahwin nanti,” jelasnya.

Setelah mengangguk tanda faham, rakan penulis cuba untuk ‘memancing’ bomoh tersebut dengan meminta kebenaran untuk membeli minyak pengasih seperti yang diiklankan dalam laman webnya.

Namun, bomoh itu enggan menjualnya kerana menurutnya dia tidak menjual minyak itu kepada sembarangan orang dan menjual kepada orang yang telah berumur sahaja.

“Kamu berdua masih muda, belum tiba masanya untuk kamu memiliki minyak itu. Saya takut ia akan memakan diri kamu nanti,” katanya.

Menurutnya, pelanggan yang datang menemuinya pula bukan sahaja terdiri daripada golongan muda, isteri, suami orang, janda dan duda, malahan juga golongan artis serta orang ternama negara ini yang mempunyai agenda tersendiri.

“Jika awak memiliki minyak ini, awak tidak akan menjadi diri sendiri lagi kerana semua orang yang awak suka akan dengan rela hati datang menyerah diri kepada awak sehingga awak tidak dapat tidur dengan lena,” katanya pada akhir pertemuan.

Kosmo!

11 November 2012

Topeng bomoh bergelar ustaz

Tuesday, March 5, 2013

0 comments  

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAM

Seorang bomoh palsu, Muhammad Sombhah Abdullah, 48, diberkas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ketika merawat seorang wanita berusia 23 tahun.

Dia yang tinggal di Kuala Lumpur datang ke rumah wanita berkenaan sebelum dipercayai mengamalkan nikah batin bagi menghalalkan zina dengan si pesakit.

Dia berbuat begitu kononnya itulah cara untuk mengubati masalah mendapatkan anak yang dihadapi wanita itu. Ketika ditahan, lelaki itu hanya memakai seluar dalam manakala mangsa berpakaian lengkap.

Bertopengkan ayat-ayat suci al-Quran untuk memperdaya mangsa, lelaki itu dikatakan memulakan muslihat upacara nikah batin dengan bayaran mas kahwin sebanyak RM200.

Di Johor Bahru pula, seorang bomoh yang mendakwa dirinya mampu menggandakan wang, mengelak wang daripada disedut makhluk halus dan boleh membersihkan barang kemas daripada saka, dijatuhi hukuman penjara 45 tahun dan 15 sebatan Jumaat lalu selepas didapati bersalah menipu tiga individu di negeri itu yang melibatkan kerugian RM173,478.

Berteman

Pada tahun 2008, taktik kotor pengamal perubatan tradisional tempatan untuk mengaut keuntungan itu pernah dipaparkan di stesen televisyen Korea.

Bomoh yang menggunakan status ustaz dalam rancangan itu mendakwa boleh menyerap racun dalam badan pesakit menggunakan telur, sedangkan telur yang digunakannya sudah menjalani beberapa kaedah saintifik yang dapat mengubah isi kandungannya.

Tindakan bomoh-bomoh palsu tersebut ternyata jauh menyimpang daripada kaedah perubatan saintifik yang diamalkan secara meluas di negara ini.

Namun begitu, rakyat Malaysia masih ramai yang suka menyelesaikan masalah dengan mencari bomoh. Bermula daripada mencari barang hilang, membuka pintu rezeki, menaikkan seri wajah, pendinding dan pelaris hinggalah terkena penyakit misteri, semuanya mahu dibawa berjumpa bomoh.

Menurut pengamal perubatan Islam daripada Persatuan Pengubatan Islam Darul Ansar, Saiful Nizam Hasim, individu yang ingin mendapatkan khidmat pengubatan tradisional perlu peka dengan kaedah rawatan yang diamalkan bagi mengelak daripada terpedaya.

“Seorang pengamal perubatan Islam sepatutnya merawat pesakit berlandaskan syariat Islam. Mereka harus menjaga batas aurat dan tidak sekali-kali merawat wanita secara bersendirian.

“Malah, pengamal mesti meminta izin terlebih dahulu daripada mahramnya.

“Selain itu, anda juga boleh melihat barang-barang yang digunakan untuk mengubat. Jika ada kemenyan ataupun keris, berwaspadalah. Barang-barang itu tidak salah, tetapi kaedah pemujaan yang dilakukan bertentangan dengan syariat Islam.

“Sekiranya anda bertemu dengan dukun yang mengamalkan jampi atau mantera, walaupun ada diselitkan dengan ayat-ayat al-Quran, pastikan anda mendengar dengan jelas, ditakuti ada tersembunyi sesuatu di sebalik mantera yang dibacakan,” jelasnya.

Dalam kalangan pengamal perubatan, ada juga yang percaya bahawa mereka boleh merawat dengan bantuan daripada roh tokoh terbilang Islam seperti Sunan Kalijogo atau Sheikh Abdul Kadir Jailani.

Akta

“Itu hanya tipu daya jin kerana mengikut konsep tauhid Ahli Sunah Waljamaah, roh tidak boleh bertemu dengan manusia,” katanya.

Sementara itu, menurut Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (Gapera), Mohd. Adzhar Abd. Latif, sesiapa yang ingin mendapatkan khidmat bomoh dinasihatkan supaya melihat keperibadian pengamal perubatan itu terlebih dahulu.

“Tidak salah jika kita meletak rasa curiga terhadap perlakuan dan permintaan aneh daripada bomoh berkenaan.

“Pesakit berhak memilih kaedah rawatan yang dirasakan sesuai. Apa yang penting, pastikan pengamal yang anda jumpa benar-benar layak untuk merawat apatah lagi sekarang semua pengamal perubatan tradisional sudah diwajibkan mendaftar,” katanya.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional dan Komplementari 2012 yang bertujuan memastikan kualiti dan keselamatan pesakit yang menggunakan rawatan alternatif terjamin.

Pewartaan rang undang-undang itu mewajibkan semua pengamal perubatan tradisional dan komplementari berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan jika ingin memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Melalui rang undang-undang ini, pengamal berdaftar akan melaksanakan perkhidmatan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Jika wujud salah laku, pesakit boleh mengadu kepada Kementerian Kesihatan ataupun pihak penguasa tempatan untuk diambil tindakan,” kata Mohd. Adzhar.

Kosmo!

30 September 2012

Pukau dalam lima saat

Thursday, February 28, 2013


ILMU pukau sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah yang bertujuan meletakkan mangsa berada di bawah sedar sehingga memudahkan penjenayah mengambil kesempatan seperti melarikan wang dan barang kemas mangsa.

Sebagai contoh, akhbar baru-baru ini melaporkan seorang wanita berusia 37 tahun yang tinggal bersendirian di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur dipukau hingga separuh bogel sebelum disamun.

Menceritakan kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Sarifah berkata, ketika kejadian dia berseorangan di rumah manakala adik sepupunya keluar untuk membeli barang.

Selepas mendengar orang memberi salam di pintu hadapan dia tanpa teragak-agak membuka pintu.

"Sebaik sahaja pintu dibuka, saya melihat seorang lelaki dan wanita berdiri di muka pintu. Lelaki itu berbaju Melayu hitam manakala pasangannya berpurdah. Saya yang seperti terkaku membenarkan mereka masuk ke dalam rumah.

"Sebaik sahaja masuk, pasangan itu bertanyakan tempat saya menyimpan barang berharga dan saya lantas menunjukkan tempat simpanan itu kepada mereka.

Bomoh

"Tidak cukup dengan itu, saya diarahkan membuka pakaian dan tanpa rasa malu, saya hanya menuruti arahannya itu dalam keadaan separuh sedar.

"Selepas mengambil barangan bernilai lebih RM10,000, mereka mengarahkan saya berbaring di dalam bilik sebelum mereka bergegas keluar.

"Saya tidak dapat menggerakkan badan sehingga adik sepupu saya pulang ke rumah dan mengejutkan saya," ujarnya.

Apabila mendapati dirinya berada dalam keadaan separuh bogel dan rumahnya bersepah, barulah Sarifah tersedar ia angkara pasangan berlagak alim yang masuk ke rumahnya itu.

Bagi Mona, 38, ibu kepada seorang anak dan sudah mendirikan rumah tangga selama 15 tahun, dia mempunyai masalah sering berasa dingin setiap kali ingin bersama suaminya.

"Saya memberanikan diri menceritakan masalah yang dihadapi itu kepada seorang rakan yang seterusnya memperkenalkan saya kepada seorang bomoh di Selangor bagi memulihkan keadaan saya itu.

"Kami pergi menemui bomoh tersebut dan dia berjanji mahu membantu saya dengan mengenakan kos rawatan sebanyak RM3,000 serta kos tambahan bagi tujuh rawatan yang lain.

"Saya bersetuju tanpa berbincang terlebih dahulu dengan suami," ujarnya.

Untuk sesi rawatan pertama, Mona diajar cara perhubungan seksual yang dapat membantu meningkatkan kemesraan antara suami isteri oleh bomoh berkenaan dan isterinya.

Bomoh itu meminta Mona membawa wang kononnya untuk membeli beberapa peralatan yang akan digunakan.

Sepanjang proses rawatan itu, bomoh itu meminta kebenaran untuk merokok. Sebaik saja bomoh itu menghembuskan asap rokok, Mona pening dan seakan-akan mengikut kata-kata bomoh berkenaan.

"Bomoh itu memberitahu dia perlu memasukkan minyak yang sudah dijampi ke dalam bahagian sulit saya kerana katanya, ada saka dan ia perlu ditarik keluar. Tanpa sebarang bantahan, saya sekali lagi akur," jelasnya yang kerugian hampir RM6,000 akibat dipukau oleh bomoh berkenaan.

Warga Afrika

Menurut Penasihat Pusat Rawatan Islam Sinar Zamdurrani, Sharhan Shafie, pukau adalah satu cabang ilmu sihir yang menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan dan kewarasan.

"Pukau yang berlaku di negara ini banyak dipengaruhi oleh kebanjiran warga asing Afrika.

"Mereka dilihat cuba membawa masuk ilmu voodoo bagi menundukkan wanita-wanita di negara kita. Oleh sebab itu, sekarang anak-anak muda kita seolah-olah berasa bangga sekiranya mereka berpacaran dengan warga Afrika ini.

"Pernah terjadi satu kes di mana seorang remaja perempuan yang baharu pulang dari Mesir selepas menamatkan pengajian di sana menaiki bas dan duduk bersebelahan dengan seorang Awang Hitam.

"Warga Afrika itu cuba berbual-bual dengan remaja terbabit tetapi tidak dilayan. Kemudian, dia berpura-pura terpegang pergelangan tangan mangsa tetapi sebenarnya dia mencalitkan minyak dagu kepada remaja itu," jelasnya sambil memberitahu selepas kejadian itu, remaja terbabit sering termimpikan Awang Hitam berkenaan.

Tambahnya, remaja tersebut cuba mencari Awang Hitam itu di lokasi perhentian bas yang dijumpainya dan selepas itu, dia dilaporkan hilang selama dua bulan dan dipercayai mengikut warga Afrika terbabit. Lebih mengejutkan, apabila remaja berkenaan pulang ke kampung dua bulan selepas itu, dia berpakaian seksi sedangkan dahulunya dia bertudung labuh.

"Banyak juga kes pukau terjadi menggunakan medium laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

"Mereka (warga Afrika) ini akan cuba mencari ruang dan peluang untuk berjumpa mangsa. Oleh itu, saya nasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan pujuk rayu Awang Hitam ini," jelas Sharhan ketika ditemui baru-baru ini.

Cara pukau

Pukau boleh berlaku melalui kaedah seperti hembusan asap rokok, renungan mata, senyuman, minuman, telefon (percakapan dan SMS), bersalaman, menepuk belakang, serta membuang najis atau pakaian buruk di hadapan rumah mangsa.

"Pukau boleh berlaku dalam tempoh sekitar 5 hingga 10 saat. Bagi wanita, anak gadis atau remaja, lazimnya mereka terjebak dengan pukau yang membabitkan perasaan cinta.

"Sebab itulah kita sering dengar, ada orang yang sanggup mengikut lari lelaki yang baru dikenali termasuklah warga asing kerana apabila terkena pukau, individu itu akan berasa terlalu sayang kepada orang yang mengenakan sihir ke atasnya.

"Tanda-tanda mereka yang terkena pukau ialah nampak sesuatu yang sebaliknya misalnya, hodoh bertukar cantik.

"Selain itu, jantung berdebar-debar, terima panggilan senyap, sakit di belakang badan dan sakit kepala khususnya menjelang waktu Maghrib juga merupakan tanda seseorang terkena ilmu pukau.

"Mereka yang terkena ilmu pukau ini biasanya tidak akan sedar melainkan selepas ditegur oleh orang sekeliling seperti ahli keluarga terdekat yang nampak perubahan diri mereka," beritahu beliau.

Tambahnya, orang ramai juga harus berhati-hati sekiranya menemui benda pelik seperti telur busuk, selipar sebelah dan najis manusia di hadapan rumah kerana itu adalah salah satu cara untuk menghantar ilmu pukau ke rumah bagi tujuan jenayah.

Sharhan memberitahu, terdapat kes yang dikendalikannya membabitkan seorang lelaki yang terkena ilmu pukau ketika dia mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

"Selepas terkena ilmu tersebut, lelaki itu mengalami kemurungan selama tiga tahun. Selepas menjalani rawatan menggunakan air zamzam, bacaan al-Quran dan mandi menggunakan air terapi, dia kembali sihat seperti sediakala," ujarnya.

Bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa pukau, Sharhan menasihatkan supaya menjauhkan diri daripada orang tidak dikenali yang secara tiba-tiba ingin rapat, di samping jangan mudah percaya kepada seseorang.

Untuk 'pendinding diri', amalkan membaca beberapa ayat suci al-Quran seperti surah Hud (ayat 57) setiap kali selepas solat fardu, surah Yassin (ayat 9), surah as-Soffat (ayat 6) dan surah Yunus (ayat 81 dan 83).

"Setiap kali keluar rumah jangan lupa baca doa yang sewajarnya dan sentiasa menjaga solat sebagai perisai mukmin. Kalau boleh, sentiasa dalam keadaan berwuduk kerana iblis tidak boleh menembusi tubuh orang yang seperti itu," katanya.

Hipnosis

Sementara itu, Pengetua London College of Clinical Hypnosis, (LCCH) Sheila Menon, berkata pukau adalah sesuatu yang bukan berlaku secara semula jadi atau berkait rapat dengan amalan sihir yang digunakan untuk memberi kemudaratan dengan kaedah yang luar biasa.

"Dalam pukau, seseorang itu bukan berada dalam kawalan tetapi berbeza pula dengan hipnosis kerana pesakit dapat dikawal sepanjang masa. Hipnosis boleh diibaratkan seperti kaunseling dalam keadaan santai.

"Dalam hipnosis klinikal, ahli hipnosis akan menggunakan pengalaman secara semula jadi dengan cara yang terapeutik. Pertama, dia akan menjemput pesakit duduk dengan selesa.

"Kemudian menutup mata pesakit bagi membantu mereka memberi tumpuan kepada apa yang ahli hipnosis mahukan.

"Ia juga melibatkan kedua-dua bahagian otak iaitu logik dan emosi (otak kiri dan otak kanan).

"Sudah tentu apabila menggunakan otak, kita lebih mudah mempelajari perkara baharu, meningkatkan motivasi dan mencari cara untuk menyelesaikan masalah," jelasnya.

Tambah Sheila, hipnosis boleh digunakan untuk banyak perkara. Kajian oleh Universiti Harvard di Amerika Syarikat menjelaskan, melalui 'hipnosis diri' iaitu salah satu kaedah yang diajar kepada pesakit dan pelajar, ia bukan saja menyaksikan kesihatan keseluruhan bertambah baik, malah mampu memadam penanda genetik yang menjadi punca penyakit berbahaya seperti kanser dan kencing manis.

"Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk pengurusan berat badan, berhenti merokok, kebimbangan, fobia, masalah pembelajaran, membina keyakinan, belajar perkara baharu dan menangani semua masalah emosi," beritahu beliau.

Kosmo!

9 September 2012

Bomoh Aji tiduri isteri orang

Wednesday, January 30, 2013

0 comments  

PAKU yang dibalut kain kuning, air kolah masjid dan akar sintok merupakan bahan-bahan pengubatan yang digunakan Aji. - Gambar hiasan

 DI SEBALIK raut wajahnya yang tenang bagaikan seorang lelaki yang tinggi ilmu agama, siapa sangka dia sebenarnya bijak memperdayakan wanita demi memenuhi kepuasan seksualnya sendiri.

Dengan bermodalkan nama pengamal perubatan Islam yang mampu mengubati pelbagai penyakit, Halim, 60, meniduri pesakit-pesakit wanitanya dengan menggunakan sihir pengasih.

Menurut salah seorang mangsa, Maria, 44, Halim yang lebih dikenali dengan panggilan Aji dalam kalangan pesakitnya itu dipercayai membacakan jampi sihir ke atas pesakit wanita ketika dia mengurut ataupun memandikan mereka.

“Kejadian ini bermula apabila saya pergi berubat dengan Aji kerana saya menghidap sakit dada setelah dicadangkan oleh suami yang sememangnya mengenali bomoh tersebut.

“Bagaimanapun, pada keesokan harinya, saya secara tiba-tiba sering teringatkan wajah dan terbayangkan diri Aji,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Gila bayang

Menurutnya lagi, dia tidak ubah seperti orang yang gila bayang dan angau kerana sentiasa terfikirkan tentang bomoh yang telah tujuh tahun menduda itu.

“Hati saya berasa tidak tenteram dan secara tiba-tiba timbul satu perasaan cinta yang kuat serta berahi yang membuak-buak untuk bersama dengan Aji.

“Semenjak itu, kami sering berbalas khidmat pesanan ringkas dan Aji dilihat semakin berani mengajak saya melakukan hubungan seks dengannya,” ujar Maria ketika mengimbau peristiwa itu.

Jelasnya, hari demi hari hubungan mereka semakin intim sehinggalah Maria dengan rela hati menyerahkan tubuhnya kepada Aji.

Bagaimanapun, rahsia Maria terbongkar apabila adik iparnya yang juga rakan kepada Aji memberitahu suaminya tentang perbuatan terkutuk yang dilakukan Maria.

“Aji sendiri menceritakan tentang perkara ini kepada adik ipar saya memandangkan hubungan mereka agak baik.

“Mujurlah, suami dan anak-anak mengesyaki bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri saya dan mereka bertindak pantas dengan membawa saya berubat dengan seorang pengamal perubatan Islam terkemuka,” ujarnya.

Tambah Maria, dia bersyukur kerana keadaannya semakin pulih selepas mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan Islam di Gombak, Selangor.

“Secara beransur-ansur, perasaan sayang saya kepada Aji mulai berkurangan hingga saya dapat melupakannya,” katanya yang tinggal berhampiran dengan rumah Aji.

Menurut Maria lagi, ketika hubungan terlarang itu berlaku dia sebenarnya berada dalam keadaan tidak sedar dipercayai akibat disihir oleh bomoh tersebut yang semata-mata mahu memuaskan nafsunya.

“Sejujurnya, saya langsung tiada niat untuk bermain kayu tiga dengan suami kerana segala yang berlaku antara saya dan Aji bukan atas kerelaan saya.

“Saya takut untuk membuat laporan polis kerana kekurangan bukti selain tidak mahu maruah keluarga tercalar,” ujarnya.

Sementara itu, adik ipar Maria, Rosli, 39, mendedahkan, bomoh tersebut pernah memberitahunya bahawa dia mampu membuatkan sesiapa sahaja jatuh cinta kepadanya sebelum meniduri wanita itu.

“Saya pernah bertanyakan rahsia yang digunakan olehnya untuk memikat wanita, namun dia tidak mahu berkongsi dengan saya,” jelas Rosli yang juga merupakan rakan kepada bomoh tersebut.

Difahamkan, sebelum ini Aji berpisah dengan bekas isterinya setelah lelaki itu ditangkap berkelakuan tidak senonoh dengan seorang pesakit wanita di rumah mereka.

“Tidak kiralah sama ada yang datang berubat itu anak dara, sudah berumah tangga mahupun janda, mereka pasti akan menjadi mangsa Aji,” dakwa Rosli.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Kosmo! Ahad berkata, perbuatan bomoh yang memukau mangsa sehingga melakukan hubungan seks dengan mangsa boleh didakwa di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan kerana merogol.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta boleh disebat.

“Dalam hal ini, mangsa dinasihatkan tampil membuat laporan polis dengan segera bagi memudahkan pihak polis mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Bagi mendapatkan gambaran tepat mengenai kaedah rawatan yang digunakan oleh Aji, wartawan Kosmo! Ahad bertindak melakukan penyamaran dan berjumpa dengan bomoh tersebut baru-baru ini.

Hanya dengan satu panggilan telefon, penulis menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Aji di rumahnya pada sebelah malam kononnya untuk mengadu tentang masalah rumah tangga penulis yang diganggu pihak ketiga.

“Boleh sahaja datang ke rumah saya pada malam ini,” suara Aji bersahaja dan tenang di hujung talian telefon.

Berseri-seri

Benarlah kata Maria, wajah Aji kelihatan berseri-seri seperti tidak dimamah usia. Wajahnya berbeza sekali daripada wajahnya yang penulis lihat dalam sekeping gambar yang tunjukkan Maria kepada penulis.

Bau minyak gamat menusuk rongga hidung sebaik sahaja penulis melangkah masuk ke dalam rumah pangsapuri yang sederhana besar itu.

“Saya baru lepas mengurut seorang pesakit yang datang dari Pahang tadi,” beritahu Aji yang bagaikan dapat membaca fikiran penulis.

Aji tinggal sendirian di rumah itu. Sekali pandang, tiada apa yang pelik di situ. Aji pula mengenakan baju Melayu berserta kain pelikat dan kopiah putih di atas kepala. Dia kelihatan seperti seorang pengamal perubatan Islam yang tulen.

Setelah memperkenalkan diri, penulis yang datang bersama seorang rakan mula berlakon dan memberitahu masalah yang dihadapi.

“Kamu perlu datang semula dengan membawa tiga biji buah limau, sebotol air kolah masjid dan akar sintok untuk upacara memandikan kamu bagi membuang sihir yang telah dikenakan ke atas kamu,” ujar Aji pantas selepas mendengar penjelasan penulis.

Ketika ditanya mengenai bacaan yang boleh diamalkan bagi mengelakkan suami daripada mendampingi wanita lain, Aji membacakan sepotong ayat yang tidak terdapat dalam al-Quran serta diragui maksudnya.

Dia turut mengarahkan penulis supaya sentiasa membawa paku yang diletakkan di dalam lipatan kain kuning ke mana-mana sahaja bagi menggagalkan sihir yang dikenakan ke atas penulis.

“Amalkan segala petua yang saya beritahu. Jangan lupa datang semula seorang diri untuk upacara mandi supaya rawatannya berkesan,” pesan Aji. Lelaki ini seperti sangat berharap penulis akan datang bertemunya lagi secara bersendirian.

Ketika disoal mengenai rawatan untuk penyakit lain, Aji memberitahu yang dia boleh mengubati apa sahaja penyakit sama ada secara zahir mahupun batin.

“Saya hanya mampu berusaha, namun dengan izin Allah sahaja semua penyakit tersebut akan sembuh,” ujar Aji yang bibirnya tidak terlepas daripada menyebut kalimah suci Allah.

Setelah hampir sejam berbual, penulis meminta diri untuk pulang sambil dihantar oleh bomoh itu sehingga ke muka pintu.

Riak wajahnya seperti menaruh harapan agar satu lagi mangsa baharu bakal masuk perangkap.

Kosmo!

4 November 2012

Ilmu Pelangkah

Tuesday, May 1, 2012

0 comments  

Ilmu pelangkah ialah sejenis ilmu yang biasanya digunakan untuk menilik nasib ketika keluar rumah atau melakukan sesuatu.

Pengamal akan menggunakan sekeping kad kecil yang berbentuk seperti jadual iaitu terdiri daripada kotak-kotak kecil mengandungi hari (Isnin hingga Ahad) dan waktu (24 jam) seperti imej yang dipaparkan.

Ia juga dikenali sebagai kalendar Jawa.

Kotak-kotak kecil itu dilukis dengan lima tanda berbentuk anak panah, bulat besar, lima bulatan kecil dan pangkah.

Anak panah - malam yang paling sesuai untuk melakukan aktiviti samun.

Bulat besar - rumah disamun kosong atau tidak berpenghuni.

Lima bulatan kecil - rumah berpenghuni.

Pangkah - tidak sesuai melakukan samun (nasib malang).

Sebelum memasuki rumah mangsa, pengamalnya akan ghaib (halimunan).

Pengamal akan masuk ke dalam rumah yang disasarkan dalam satu barisan.

Pengamal akan memakai sejenis minyak di kening dan muka supaya kelibat mereka tidak dilihat dan anjing tidak menyalak.

sumber: Kosmo!

Wanita kaki pukau dihadap ke mahkamah

Monday, March 8, 2010

0 comments  


KANGAR - Taktik seorang wanita yang berpakaian ranggi dan moden sebelum melakukan pukau terhadap tujuh mangsa berakhir dengan dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam selepas dia ditahan ketika sedang bersembunyi di bawah katil rumahnya di Arau baru-baru ini.

Tertuduh, Siti Rohani Ahmad, 28, didakwa melakukan tujuh penipuan melibatkan kerugian RM9,700 sejak Ogos sehingga Oktober lalu di beberapa tempat di negeri ini membabitkan barang kemas milik suri rumah dan gadis.

Siti Rohani yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai di hadapan Majistret Noorhisham Mohd. Jaafar.

Mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Kosmo!

9 Mac 2010

Ketagih air tok bomoh

0 comments  

Oleh Riadz Radzi

TERKENA...Hussin dan Aini menceritakan pengalaman mereka kepada wartawan.


SUNGAI PETANI: Seorang wanita hanya mahu mendapatkan pelaris daripada seorang bomoh untuk memajukan restorannya.

Dia diberikan sebotol air untuk diminum kononnya bagi mendapatkan penarik bagi membantu melariskan perniagaannya sebelum ketagih meminum air jampi berkenaan.

Suaminya yang juga seorang guru mendakwa, berikutan ketagih air jampi, isterinya seolah-olah dipukau sehingga merelakan dirinya dicabul bomoh berusia lewat 50-an terbabit.

Kemuncaknya, si isteri yang terkena ilmu hitam sanggup meminta cerai.

Guru berusia 40-an yang hanya mahu dikenali sebagai Hussin mendakwa bomoh terbabit juga mengambil kesempatan mengurut tubuh isterinya yang dalam keadaan tidak berbaju, kononnya untuk menjalani rawatan bagi menjarakkan kelahiran.

Malah, bomoh itu juga sanggup memperkenalkan isterinya sebagai teman wanitanya kepada orang lain.

Menurutnya, detik hitam itu bermula pada Julai tahun lalu apabila dia bersama isteri, Aini, 40, diperkenalkan kepada warga emas terbabit oleh sepupu mereka.

“Ketika itu restoran yang diusahakan isteri bermasalah dan sepupu saya menawarkan bantuan dengan memperkenalkan kami kepada bomoh terbabit untuk mendapatkan pelaris,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Katanya, tanpa rasa gusar, mereka bersetuju berjumpa bomoh terbabit dan beberapa hari selepas itu Aini yang ditemani sepupu sekali lagi pergi ke rumah bomoh terbabit kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

“Saya tak terfikir langsung dia ada niat jahat, apatah lagi perwatakannya seperti orang alim dan baik hati,” katanya.

Hussin yang juga bapa empat anak berkata, kerana tidak mengesyaki apa-apa, dia tidak menemani isterinya dan difahamkan ketika proses ‘rawatan’ Aini diberi sebotol air untuk diminum kononnya bagi mendapatkan daya penarik bagi membantu melariskan perniagaannya.

Katanya, pada waktu itu bomoh terbabit mencadangkan isterinya menjalani rawatan urutan bagi menjarakkan kelahiran.

Sementara itu, Aini mendakwa jika air jampi itu habis, dia dikehendaki kembali semula ke rumah bomoh terbabit untuk menambah air.

“Saya mengesyaki dia meminta saya berbuat demikian kerana mahu saya selalu ke rumahnya. Walaupun pelik dengan permintaannya itu, saya tetap kembali semula ke rumahnya kerana seperti rindukannya,” katanya.

Aini berkata, dia juga tidak menolak ketika bomoh itu mahu mengurutnya dan rela membuka baju untuk diurut.

Malah, ketika memberi rawatan, isteri dan anak bomoh itu turut berada di rumah berkenaan.

Katanya, ketika berurut, dia diminta masuk ke bilik bersama bomoh itu.

“Dia juga tidak memberi kain lain selepas meminta saya membuka baju, jadi saya terpaksa menutup bahagian tertentu dengan baju. Saya pelik kerana biasanya lelaki tidak dibenarkan mengurut wanita.

“Saya tahu bomoh itu tidak wajar berbuat begitu, tapi entah kenapa saya merelakannya. Malah, saya rasa tidak bersalah kerana beberapa pelanggan lain bomoh itu yang berada di situ meyakinkan apa yang saya lakukan itu betul,” katanya.

Aini berkata, selepas mendapatkan rawatan bomoh itu, dia mula mengabaikan tanggungjawabnya terhadap suami dan anak-anak sehingga kemuncaknya dia meminta cerai daripada Hussin selepas mereka bergaduh pada 12 September tahun lalu.

Menurut Hussin, dia yang terkejut dengan tindakan isterinya itu berjumpa bomoh terbabit bagi menceritakan masalah mereka.

“Saya terkejut kerana isteri tiba-tiba minta diceraikan walaupun pergaduhan kami hanya perkara kecil. Saya memanggil bomoh itu ke rumah bagi menceritakan masalah kami,” katanya.

Hussin berkata, dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila bomoh itu mendakwa isterinya sudah tidak menyayanginya lagi dan menasihatinya menceraikan Aini dengan talak satu.

Berikutan itu, dia bertanyakan isterinya sama ada mempunyai hubungan dengan lelaki lain sebelum terkejut apabila isterinya menunjukkan bomoh itu lelaki dimaksudkan.

“Saya sudah mengeluarkan parang dan ikutkan hati mahu membunuh bomoh terbabit, tetapi mujur saya masih waras. Saya menyuruh dia pulang dan mula mengesyaki isteri ‘dikenakan’ bomoh itu,” katanya.

Mereka kemudian menemui beberapa tokoh agama di Kulim, Sungai Lalang dan Bandar Perdana di sini dan mereka mengesahkan isterinya terkena sihir bomoh terbabit.

“Saya tak pernah percayakan bomoh, tapi apabila melihat sendiri kesannya saya terpaksa percaya. Saya hanya menganggap bomoh itu sebagai rakan dan abang kerana kami rapat, tak sangka pula dia mengambil kesempatan.

“Saya lega kerana selepas rawatan itu, isteri semakin pulih walaupun bomoh terbabit masih cuba ‘menganggu’ kami,” katanya.

Berikutan itu, Hussin dan Aini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda mendakwa dicabul bomoh terbabit.

Harian Metro

9 Mac 2010

Cinta orang tua

Tuesday, February 2, 2010

0 comments  

Oleh Mary Victoria Dass


JOHOR BAHRU: Meskipun usianya menjangkau 50-an, seorang lelaki kelihatan seperti hero Melayu pada pandangan gadis remaja hingga sanggup menjalin hubungan percintaan, gara-gara menggunakan sejenis ilmu hitam.

Perkara berkenaan dibongkar ibu bapa seorang gadis bawah umur didakwa menjadi mangsa lelaki berkenaan hingga melarikan diri bersamanya lebih sebulan selepas ahli keluarga tidak merestui hubungan percintaan pasangan terbabit.

Malah, kejadian itu didakwa bukan kali pertama berlaku kerana lelaki berkenaan juga didakwa pernah melarikan gadis sama pada pertengahan Ogos lalu sebelum mangsa berkenaan ditemui semula di Kuala Kangsar oleh saudara-maranya dalam tempoh seminggu.

Bapa gadis yang akan mencapai usia 16 tahun pada November ini, Tarmedi Jamaluddin, 42, berkata keluarganya khuatir nasib anaknya yang taksub dengan hubungan percintaan dengan pemandu jentera berat itu hingga mengambil keputusan berjauhan dengan keluarga sejak 18 Disember lalu.

Menurutnya, keluarganya pelik dengan cinta luar biasa Nurul kerana lelaki itu yang pernah tinggal berjiran beberapa tahun lalu tidak sesuai dengan anak gadisnya memandangkan jarak usia terlalu jauh iaitu kira-kira 30 tahun selain lelaki itu sudah berkeluarga dan bergelar datuk pada seorang cucu.

“Tambahan pula, sebelum ini semua anak saya biasa menggelarnya sebagai pak cik dan tidak dijangka lelaki berkenaan menaruh perasaan cinta terhadap Nurul.

“Hati saya remuk apabila Nurul yang menjadi anak perempuan tunggal dalam keluarga mengakui dia sudah jatuh hati terhadap lelaki yang tidak sepadan dengannya, selain memuji lelaki itu kacak, gagah dan penyayang sedangkan pada mata kami dia hanya sederhana tidak beza seperti lelaki 50-an lain.

“Malah, Nurul juga umpama anak patung kerana menuruti kehendak lelaki itu dan menghampakan kami kali kedua apabila menghilangkan diri bersama lelaki berhidung belang itu,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Taman Johor Jaya pada 4 Januari lalu.

Tarmedi berkata, keluarganya bertambah bimbang dengan keselamatan anaknya kerana difahamkan lelaki berkenaan pernah memerangkap gadis belasan tahun dengan menggunakan ilmu hitam.

Menurutnya, Nurul menunjukkan perubahan sikap hanya selepas mengenali lelaki berkenaan berbanding sebelumnya dia anak baik dan tidak pernah menghadapi masalah keluarga.

“Kami risau masa depan Nurul kerana dia menerima tawaran mengikuti kursus kemahiran di pusat latihan kejuruteraan di Kulaijaya dan seharusnya melapor diri pada 25 Februari depan.

“Kami puas mencarinya di pelbagai tempat dan ditambah pula isteri bertambah risau selepas menerima SMS pada 4 Januari lalu daripada nombor telefon bimbit yang tidak dikenali dan menyatakan lelaki berkenaan mengahwini Nurul dan meminta tidak mencari mereka.

“Diharap waris lelaki berkenaan termasuk anaknya difahamkan masih belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di Batu Pahat menghubungi kami,” katanya ketika datang ke pejabat Harian Metro, semalam.


Harian Metro

3 Februari 2010

Kenal pasti penyamun Pak Arab

Thursday, December 10, 2009

0 comments  

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan wajah-wajah suspek kes rompakan pukau emas bernilai RM1 juta di Kuala Terengganu kelmarin.

KUALA TERENGGANU - Polis kini memburu tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Arab yang memukau mangsanya sebelum melarikan barang kemas bernilai RM1 juta di sebuah kedai emas berhadapan Pasar Besar Kedai Payang di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II, Hamzah Mohd. Jamil berkata, ketiga-tiga wajah lelaki berusia di antara 25 dan 35 tahun itu telah dikenal pasti melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam kedai tersebut.

Katanya, polis juga sedang mengenal pasti identiti seorang wanita berusia 30-an yang turut terbabit dalam kejadian itu.

"Sebaik sahaja dimaklumkan, pihak polis telah melancarkan 'Operasi Tutup' dengan mengadakan sekatan di jalan-jalan keluar di Kuala Terengganu. Bagaimanapun, kenderaan yang digunakan suspek gagal dikesan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Hamzah, siasatan polis juga menunjukkan kereta Proton Persona yang digunakan suspek untuk melarikan diri dalam kejadian itu adalah nombor pendaftaran palsu.

Jelasnya, siasatan akan dilakukan daripada semua aspek kerana senario kes ini agak unik dan modus operandi kes ini juga seakan-akan sama dengan satu kes lain yang dilaporkan berlaku di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira- kira pukul 2 petang kelmarin, barangan kemas bernilai kira-kira RM900,000 dalam tiga buah beg yang ditinggalkan seorang pemborong dari Kuala Lumpur di kedai emas tersebut dilarikan suspek.

Kosmo!

11 Disember 2009

Emas RM1j dikebas Pak Arab - Tepuk tangan dan bahu pekerja, pelanggan sebelum larikan tiga beg barangan kemas

Wednesday, December 9, 2009

0 comments  

Oleh MANIRAH OTHMAN

ZAKARIA YUSOFF pemilik kedai emas di Kuala Terengganu menceritakan bagaimana tiga buah beg berisi barangan kemas dilarikan lima suspek dipercayai warga Arab semalam.

KUALA TERENGGANU - Hanya dengan menepuk tangan dan bahu, empat lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Arab dapat melarikan tiga buah beg sarat dengan barangan kemas bernilai RM1 juta.

Kejadian pada pukul 2 petang di sebuah kedai emas berhadapan dengan Pasar Besar Kedai Payang di Jalan Sultan Zainal Abidin itu berlaku di tengah-tengah kesibukan orang ramai.

Di sekitar pasar tersebut dianggarkan terdapat lebih 40 buah kedai emas yang beroperasi.

Pemilik kedai emas itu bersama tiga pekerja serta lima pelanggan yang ada di dalam kedai ketika itu mendakwa mereka hanya mampu melihat kelima-lima suspek itu menjinjing tiga buah beg iaitu dua berwarna hitam dan satu berwarna biru keluar dari premis itu menuju ke kereta.

Sebelum itu, kelima-lima suspek yang datang menaiki sebuah kereta Proton Persona masuk ke kedai emas tersebut dan berlagak sebagai pelanggan.

Mereka yang menggunakan isyarat tangan meminta pekerja di kedai emas itu menunjukkan beberapa barang kemas yang dipamerkan di situ.

Ketika memilih barang-barang kemas yang ditunjukkan, suspek-suspek itu kemudian dipercayai telah menepuk tangan dan bahu setiap pekerja dan pelanggan yang ada di dalam kedai itu.

Seperti tiada apa yang berlaku, suspek-suspek yang bercakap dalam bahasa Arab sesama mereka itu masih lagi meminta pekerja-pekerja kedai emas itu menunjukkan lebih banyak barang kemas.

Ketika itulah, dua daripada suspek itu dikatakan menolak salah satu meja pameran yang membolehkan suspek masuk ke dalam kedai emas.

Dua suspek itu terus masuk ke belakang kedai emas yang menempatkan sebuah peti besi tidak berkunci yang mengandungi tiga buah beg berisi barang kemas.

Info Jenayah Pak Arab
  • 23 Jun 2009: Sekumpulan lelaki Arab menyamun sebuah kedai emas di tingkat dua di sebuah pusat beli-belah di Kuantan melibatkan kerugian RM50,000
  • 16 Mac 2009: Sepasang warga Arab menyamun RM250 dari sebuah stesen minyak di Teluk Sisek, Raub, Pahang.
  • 19 Mac 2009: Seorang juruwang mendakwa dipukau seorang lelaki Arab yang berpura-pura menjadi pelanggan di sebuah kedai runcit di Hentian Rehat dan Rawat Gambang, Kuantan.
  • 10 Februari 2009: Seorang pekerja stesen minyak mendakwa dipukau seorang lelaki dan seorang wanita Arab sebelum mereka melarikan wang RM1,500 di Batu Melintang dekat Jeli, Kelantan.
  • 31 Januari 2009: Tiga wanita Arab yang aktif dalam kegiatan samun menyamun seorang peniaga di Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu, Kelantan menyebabkan mangsa kerugian RM300.
  • 7 Oktober 2008: Dua pemandu lori ais dan roti kerugian RM800 dan RM1,000 selepas mendakwa dipukau warga asing dipercayai berketurunan Arab di Terengganu.

Kosmo!

10 Disember 2009

Gara-gara renungan mata Datuk Azmi - Suami isteri lesap RM80,000

Thursday, November 5, 2009

0 comments  

Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN


TANAH di Pekan Kapar ini dijadikan umpan untuk menipu mangsa pukau.

SALAH satu lokasi yang menjadi pertemuan mangsa pukau dengan rakan Datuk Azmi sebelum menyerahkan wang RM80,000.

KUALA LUMPUR - Hanya dengan renungan mata seorang lelaki bergelar Datuk Azmi, sepasang suami isteri lesap RM80,000 akibat dipukau.

Pasangan suami isteri tersebut mendakwa mereka menjadi kelu ketika mengadakan perbincangan dengan Datuk tersebut bersama pekerjanya yang dikenali sebagai Shakri berusia 40-an.

Segalanya bermula sebaik sahaja mereka mengiklan rumah mereka di TTDI Jaya, Shah Alam untuk disewa sebanyak RM1,400 sebulan.

"Shakri datang berjumpa kami dan selepas berbincang, dia mengatakan mahu membeli rumah itu bagi pihak majikan, Datuk Azmi," kata mangsa yang dikenali sebagai Rashid, 50.

Menurut Rashid, dia bertemu dengan Shakri pertama kali pada 15 Oktober di Bangsar di sini dan pada perjumpaan 17 Oktober pula, persetujuan dicapai apabila majikannya bersetuju membeli dengan harga RM345,000.

Tambahnya, perjumpaan ketiga berlangsung pada 19 Oktober di sebuah hotel di Mid Valley dan Shakri memperkenalkan Datuk Azmi dan seorang lagi pekerjanya bernama Rahmat kepadanya.

"Pada perjumpaan tersebut, Datuk Azmi merenung mata kami dan ketika itu saya dan isteri seperti hilang ingatan dan hanya menurut sahaja arahan mereka.

"Datuk Azmi kemudiannya mengambil geran rumah dan membuat salinan sebelum dia beredar kononnya untuk mengambil wang tunai kerana urusan jual beli itu dilakukan secara tunai," ceritanya.

Kosmo!

6 November 2009


Suami tong sampah

Thursday, October 15, 2009

0 comments  

Oleh Hayati Ibrahim



SEPANG: Perbuatan pelik seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam selepas tengah malam dalam timbunan sampah yang busuk dan berulat di belakang rumah dipercayai bagi menguatkan ‘ilmu hitam’ dituntutnya menyebabkan isteri yang baru dinikahi 40 hari lalu, melarikan diri.

Bukan itu saja, perangai aneh lelaki yang bergelar ‘haji’ itu makin menjadi-jadi apabila dia didakwa ‘berselera’ menghidu bau bangkai itik peliharaannya, selain mencampak beberapa bangkai haiwan itu ke dalam kolam ikan untuk dijadikan makanan harian ikan ternakannya sebelum dia memakan ikan berkenaan.

Lebih menjijikkan, lelaki terbabit tidak membersihkan tandas rumahnya sejak berbulan lalu, selain selesa duduk dalam tandas busuk itu berjam-jam sebelum keluar dan tidur tanpa membersihkan dirinya yang kotor.

Sikap suami yang pelik itu menimbul rasa curiga isterinya, hanya mahu dikenali sebagai Nadia, 50-an, yang mendakwa tidak menyangka lelaki yang sudah menunaikan ibadah haji memiliki kegemaran pelik termasuk gemar bergelumang timbunan sampah di belakang rumah selepas jam 12 tengah malam.

Nadia berkata, dia percaya suaminya mengamalkan ilmu hitam dan membela ‘hantu raya’ berdasarkan gangguan bunyi pelik pada waktu malam selain amalan pelik diamalkannya.

“Saya pernah terserempak ‘suami’ yang merenung ke arah saya di ruang tamu walaupun ketika itu suami saya tidur dalam bilik,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Nadia berkata, suaminya juga sering duduk bersendirian dalam gelap dengan menutup semua lampu rumah pada waktu malam, selain mampu menghabiskan enam pinggan nasi, lapan jag air dan lapan telur masin serentak.

Tanpa berselindung, Nadia berkata, suaminya juga memiliki tenaga batin luar biasa sehingga menimbulkan curiga yang semakin mendalam.

“Apabila malam, suami jadi gagah dan berkelakuan seperti remaja sehingga melakukan aksi aneh yang mustahil mampu dilakukan lelaki seusianya.

“Suami boleh melakukan hubungan seperti orang muda walaupun berusia lebih 60 tahun sedangkan dia tidak pernah mengambil sebarang ubat kuat,” katanya yang menjanda 10 tahun sebelum berkahwin dengan lelaki terbabit.

Mengimbau kembali detik perkenalan dengan suaminya, Nadia berkata, pertemuan pertama di sebuah kedai makan, dia tiba-tiba simpati apabila melihat wajah lelaki terbabit sebelum bersetuju menerimanya sebagai pasangan hidup.

“Saya seolah-olah dipukau dan menjadi bodoh dengan mengikut perancangan suami tanpa membantah.

“Ahli keluarga juga keliru dan terkejut tindakan saya tetapi menerima dengan hati terbuka berikutan suami berstatus haji yang diharap mampu membimbing saya,” katanya.

Nadia berkata, dua hari selepas bertemu, mereka bertunang sebelum bernikah dua hari selepas itu dan perkahwinan berlaku begitu pantas sebelum semuanya terbongkar apabila berpindah ke rumah lelaki terbabit.

Dia mula tidur berasingan dengan suami apabila tidak tahan diganggu lembaga jelmaan suami yang mengaku memelihara hantu raya bagi menjaga keselamatan rumahnya.

“Saya sentiasa hidup ketakutan. Hidup saya seperti dalam neraka. Saya amat kesal dengan perkahwinan ini. Tiada apa yang saya mahukan selain berpisah kerana tidak sanggup lagi menjadi mangsa hantu belaan suami.

“Saya hanya mampu bertahan 40 hari sebelum nekad meninggalkan rumah kerana bimbang diburu suami yang akan menggunakan makhluk belaannya itu,” katanya.

Nadia berkata, dia berusaha memulihkan diri dengan mendapatkan khidmat ahli agama sebelum pulang ke kampung untuk mengemukakan permohonan fasakh di pejabat agama di kampungnya di negeri Pantai Timur.

“Saya bimbang jika tidak mempunyai pendinding diri, saya mungkin dipukau semula serta mengikutnya pulang ke rumah dan episod hitam dalam hidup saya akan berlarutan tanpa ada kesudahan,” katanya.

Harian Metro

16 Oktober 2009

Pakar pukau boleh besarkan payu dara

Tuesday, October 13, 2009

0 comments  

GAMBAR menunjukkan Knight memukau seorang wanita.

LONDON - Seorang pakar hipnosis atau pukau di Britain, David Knight mendakwa dia dapat membesarkan payu dara wanita dengan memukau mereka, lapor sebuah akhbar semalam.

Knight menyatakan, kaedah pukau yang dicipta olehnya berhasil terhadap 85 peratus wanita manakala hampir separuh daripada mereka memakai coli lebih besar selepas mengikuti rawatan tersebut.

Dia turut merakamkan kaedah tersebut dalam bentuk cakera padat yang dijual kepada orang ramai dengan jaminan wang akan dikembalikan sekiranya ia tidak berhasil.

Sebagai pengamal hipnosis, Knight telah mengadakan 4,000 persembahan pentas secara profesional di Britain dan luar negara selain memukau lebih 40,000 sukarelawan. - Agensi

Kosmo!

13 Oktober 2009


Dipukau tiga lelaki menyamar tukang tilik

Thursday, September 3, 2009

0 comments  

KUALA LUMPUR: Lagak tiga lelaki warga asing kononnya tukang tilik dan cuba memperdayakan seorang pegawai tentera berpangkat mejar tidak berjaya apabila mereka dicekup selepas mangsa tersedar dalam satu kejadian di Jalan Bangsar, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa dikatakan pergi ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang sebelum didatangi ketiga-tiga lelaki terbabit.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai tukang tilik dan cuba menilik nasib mangsa, namun tidak diendahkan.

“Mangsa yang enggan melayan permintaan suspek mendakwa dia seolah-olah dipukau apabila bahunya ditepuk dan terus membiarkan dirinya ditilik,” katanya, semalam.

Sejurus selepas itu, tanpa disedari mangsa mengeluarkan dompetnya dan menyerahkan kepada salah seorang lelaki itu.

“Suspek mengambil wang RM200 dari dompet mangsa dan meninggalkan kawasan itu. Isteri mangsa yang turut berada di lokasi kejadian menegurnya menyebabkan mangsa tersedar.

“Mangsa memaklumkan kejadian itu kepada dua anggota polis yang kebetulan bertugas di kawasan itu dan berjaya menahan ketiga-tiga suspek,” katanya.


Harian Metro

4 September 2009

Wanita rugi RM1,000 dakwa dipukau jurujual

Wednesday, September 2, 2009

0 comments  

KUALA LUMPUR: Percutian kali pertama seorang wanita ke negara China bertukar detik hitam apabila mendakwa seolah-olah dipukau pasangan jurujual yang memintanya membeli ‘teh herba sejuk’ dengan harga lebih RM1,000 sedangkan nilai sebenarnya hanya RM10 sekotak.

Mangsa, Agnes Joseph, 56, berkata kejadian bermula apabila dia bersama 45 pelancong lain menyertai pakej percutian di beberapa negara Asia yang ditawarkan sebuah syarikat agensi pelancongan di sekitar ibu kota, 12 Ogos lalu.

“Melalui pakej enam hari lima malam berharga RM2,500 itu, selain China, kami dibawa agensi berkenaan ke beberapa lokasi pelancongan di sekitar Hong Kong dan Macau.

“Bagaimanapun, ketika melawat sebuah syarikat barangan kesihatan di wilayah Zhuhai, China, saya tiba-tiba dihampiri seorang lelaki dan wanita warga negara itu sebelum dibawa ke sebuah bilik manakala pelancong lain berada di dalam dewan taklimat.

“Mereka menyuruh saya duduk di atas kerusi dan memegang bahu serta kaki seolah-olah mengurut sambil memujuk saya membeli daun teh herba didakwa bagus untuk kesihatan terutama individu baru menjalani pembedahan,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Menurut Agnes, ketika itu dia berasa seperti dipukau pasangan berkenaan dan terus bersetuju membeli sekotak daun teh terbabit dengan harga ditetapkan iaitu RM1,000.

“Tidak lama kemudian, saya beredar dari bilik berkenaan dan terkejut apabila beberapa pelancong lain memberitahu keadaan panik seketika berikutan mereka serta wakil agensi pelancongan sudah mencari saya sejak 25 minit lalu.

“Saya seterusnya menceritakan perkara berkenaan kepada ahli keluarga yang turut menyertai percutian itu dan baru menyedari diri diperdaya berikutan harga daun teh terbabit pada hakikatnya amat murah serendah RM10 di pasaran ,” katanya.

Menurutnya, dia kesal sikap agensi pelancongan dianggap cuai berikutan ketika kejadian, seorang kakitangan mereka melihat dia dibawa pasangan terbabit, namun tidak menahan dan hanya tersenyum.

Sementara itu, Chong menasihatkan orang ramai berwaspada dan meminta syarikat agensi pelancongan supaya bertanggungjawab dan memandang serius perkara seumpama itu.

Harian Metro

2 September 2009

Pukau kaki ekor

Thursday, August 6, 2009

0 comments  

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing didakwa berpura-pura meminta bantuan kononnya tersesat, namun setelah mangsa masuk perangkap, dia dipukau supaya menyerahkan barang berharga.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang suri rumah berputih mata apabila barang kemas bernilai RM5,000 lesap sekelip mata.

Radziyah Din, 44, berkata sewaktu kejadian dia menghantar anaknya yang berusia 9 tahun ke perhentian bas untuk ke sekolah kira-kira jam 11.30 pagi berhampiran rumahnya di Pangsapuri Kondo Rakyat, Pantai Dalam di sini.

“Saya disapa seorang lelaki warga asing bertanyakan rumah yang dipanggil ‘Haji’ dan ketika ingin membantu tiba-tiba datang seorang lelaki dan wanita tempatan menawarkan bantuan.

“Lelaki warga asing itu mengeluarkan sekeping kertas nombor ekor meminta pasangan terbabit membantunya menuntut hadiah wang tunai yang didakwa dimenanginya,” katanya.

Menurut Radziyah, dia seperti dipukau apabila melihat kertas yang ditunjukkan lelaki terbabit dan terus mengikut mereka menaiki kereta.

“Saya seperti ‘orang bodoh’ terus mengikut mereka dengan membawa anak sekali kononnya ingin pergi menuntut wang kemenangan menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna merah gelap.

“Selepas menghantar anak saya ke sekolah di Brickfields, mereka menuju ke premis nombor ramalan berhampiran,” katanya yang turut menyaksikan pasangan terbabit menjerit kegembiraan memberitahu tiket nombor ekor lelaki warga asing itu memenangi hadiah utama.

Katanya, lelaki warga asing menceritakan dia mempunyai masalah kewangan kerana kakaknya sakit tenat dan mengharapkan kemenangan daripada duit nombor ramalan itu.

“Tiba-tiba wanita itu menyerahkan barang kemasnya dan tanpa disedari saya turut menyerahkan seutas gelang tangan dan rantai bernilai RM5,000 kepada wanita terbabit.

“Selepas itu, saya dihantar kembali ke rumah, namun kehilangan barang kemas itu hanya disedari kira-kira tiga jam kemudian,” katanya yang kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Brickfields.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Harian Metro

7 Ogos 2009

Lagi mangsa tipu tampil

Tuesday, August 4, 2009

0 comments  

KUALA LUMPUR: Beberapa lagi suri rumah tampil membuat pengakuan yang mereka juga pernah ditipu seorang wanita mualaf yang menawarkan pekerjaan sebagai pembantu kantin sebelum melarikan beg tangan milik mereka selepas pendedahan kegiatan wanita itu disiarkan Harian Metro, semalam.

Mangsa pertama yang hanya mahu dikenali sebagai Tina, 40-an menghubungi Harian Metro mendakwa dia kerugian hampir RM1,000 apabila diperdaya seorang wanita mualaf yang juga menawarkan pekerjaan sebagai pembantu kantin, beberapa bulan lalu.

Harian Metro semalam mendedahkan seorang suri rumah yang hanya ingin dikenali sebagai Fina dan rakannya kehilangan wang tunai, telefon bimbit dan barang kemas apabila diperdayakan wanita terbabit yang muncul di rumahnya kononnya sedang mencari pekerja.

“Sama seperti mangsa dilaporkan di akhbar ini kelmarin, wanita itu datang ke rumah ketika suami saya tiada di rumah.

“Ketika itu, saya dalam keadaan antara sedar dan tidak. Saya hanya bersetuju saja kerana wanita itu mendakwa boleh membawa anak ke tempat bekerja,” katanya.

Mangsa bersama adiknya yang membuat pemeriksaan di hospital diminta menanggalkan semua barang kemas dan dimasukkan dalam beg.

Katanya, sebaik selesai melakukan pemeriksaan, dia dan adiknya terkejut apabila mendapati wanita terbabit sudah tiada dan baru menyedari mereka ditipu.

Harian Metro

5 Ogos 2009

Tepuk bahu tukar kad ATM

Sunday, August 2, 2009

0 comments  

Oleh Sarah Zulkifli

KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan RM3, seorang lelaki mendapat untung RM1,500 apabila menggunakan taktik menukar kad pengeluaran wang tunai automatik (ATM) ketika mangsa sedang mengutip wang yang sengaja ditabur penjenayah terbabit di atas lantai kerana menyangka itu wangnya.

Kejadian itu menimpa seorang penjawat awam berusia 27 tahun di Taman Melawati di sini, ketika sedang mengeluarkan wang menggunakan kad ATM isterinya.

Sumber berkata, ketika selesai mengeluarkan wang berkenaan tetapi kad masih berada di mesin ATM, bahu lelaki itu tiba-tiba ditepuk lelaki di belakangnya yang bertanyakan mengenai tiga keping wang kertas RM1 yang berada di atas lantai berhampiran kakinya.

“Mangsa yang menyangka itu wangnya, terus membongkok untuk mengutip duit terbabit dan ketika itu penjenayah berkenaan menukar kad ATM isteri lelaki itu dengan kad lain,” katanya.

Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus mengambil kad dan pulang ke rumahnya di Hulu Klang.

Bagaimanapun, Khamis lalu, selepas beberapa hari kejadian berkenaan, isterinya yang mahu membuat pengeluaran wang terkejut apabila nama yang terpapar pada mesin itu milik orang lain dan tidak aktif.

“Pada mulanya isteri mangsa menyangka mesin terbabit mengalami kesilapan teknikal, namun selepas dua kali mencuba dan masih menunjukkan nama orang lain, dia mensyaki ada sesuatu yang tidak kena.

“Mangsa dan isterinya kemudian ke ibu pejabat bank berkenaan untuk mengetahui hal sebenar,” katanya.

Sumber itu berkata, pemeriksaan transaksi di bank mendapati baki wang pada bank isterinya ‘lesap’ dan ada individu membuat dua kali pengeluaran RM1,500.

“Mangsa teringat semula kejadian yang bahunya ditepuk individu sebelum dia mengutip wang dianggap miliknya jatuh di atas lantai,” katanya.

Pasangan terbabit yang berasa tertipu dengan kejadian itu kemudian membuat laporan polis.

Kejadian sama pernah dialami See Teck Huan, 32, apabila sekumpulan lelaki dan wanita warga Timur Tengah menunjukkan sejumlah wang kertas di atas lantai ketika mangsa ingin membuat pengeluaran wang di ATM Seri Gombak, Selasa lalu.

Mangsa yang tidak mensyaki sesuatu mengutip wang berkenaan dan menyerahkan kepada warga Timur Tengah berkenaan, tetapi mereka enggan menerimanya lalu meninggalkan mangsa.

See hanya menyedari terperdaya apabila mendapati kad ATM miliknya yang digunakan untuk mengeluarkan wang sebelum kejadian itu milik seorang wanita.

Apabila dibuat semakan semula didapati RM5,100 wang mangsa dikeluarkan dan mangsa mengesyaki ia perbuatan warga Timur Tengah terbabit.

Harian Metro

3 Ogos 2009

Mangsa pukau ‘tauke kantin’

0 comments  

Oleh Sarah Zulkifli

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mualaf dikesan bergiat aktif menawarkan pekerjaan sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah menengah kepada suri rumah sebelum melarikan barangan kemas milik mangsa.

Wanita dipercayai berusia 40-an itu mulanya datang ke rumah mangsa ketika suami masing-masing bekerja sebelum menawarkan pekerjaan berkenaan.

Mangsa turut ditaburkan janji manis mengenai gaji diberikan lumayan selain tidak perlu risau hal anak kerana mereka boleh membawa mereka ke kantin berkenaan.

Dalam kes terbaru Sabtu lalu, seorang suri rumah dikenali sebagai Fina berusia awal 30-an, berkata dia didatangi wanita itu ketika menjemur kain di rumahnya di Klang, Selangor.

Katanya, wanita berkenaan yang mempunyai empat anak berusia dua hingga enam tahun itu mengaku sebagai pengusaha katering dan sedang mencari pekerja kantin bagi sebuah sekolah menengah di kawasan berhampiran.

“Wanita itu bersungguh-sungguh menawarkan kerja berkenaan kononnya gaji yang diperoleh boleh membantu suami.

“Selain itu, wanita terbabit turut memaklumkan tiada apa perlu dirisaukan kerana saya boleh membawa anak ke sekolah berkenaan ketika bertugas,” katanya di sini, semalam.

Katanya, dia kemudian menghubungi suaminya untuk meminta kebenaran bekerja dengan wanita terbabit sebelum turut mengajak seorang lagi jirannya yang kebetulan mahu turut bekerja.

Mereka dibawa menaiki kereta milik wanita itu ke sebuah hospital di sini, kononnya untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata, dia dan rakannya berasakan seolah-olah terkena ilmu ‘pukau’ apabila hanya mengikuti arahan wanita berkenaan agar menanggalkan barangan kemas dipakai dan barangan berharga serta memasukkannya ke dalam satu beg tangan.

“Kami berdua tidak mengesyaki apa-apa ketika itu dan hanya menuruti arahan wanita berkenaan seolah-olah ‘dipukau’,” katanya.

Selepas tiba di hospital, Fina melakukan pemeriksaan kesihatan dulu sementara rakannya menunggu di luar bersama wanita itu.

Bagaimanapun, rakannya yang menunggu di luar pergi ke tandas dan meninggalkan beg tangan itu kepada wanita berkenaan tanpa menyedari niat jahatnya.

“Namun, sebaik selesai melakukan pemeriksaan, saya mendapati wanita terbabit sudah tiada dan rakan saya pula baru keluar dari tandas.

“Apabila bertanya kakitangan di hospital berkenaan, saya dimaklumkan wanita terbabit sudah keluar dari hospital dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya.

Fina berkata, beg yang dilarikan suspek tidak dijumpai hingga kini dan laporan polis sudah dibuat.

Harian Metro

3 Ogos 2009