INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas
Showing posts with label Kebesaran Allah. Show all posts
Showing posts with label Kebesaran Allah. Show all posts

Silat batin lindungi diri

Monday, June 9, 2014

Nazari menunjukkan salah satu jurus dalam silat kebatinan yang digunakan untuk tujuan perubatan.


Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

Dalam suasana kelam pada malam itu yang hanya diterangi cahaya bulan mengambang, sekumpulan pengamal seni silat kebatinan Gerak Halilintar giat menjalani latihan.

Dengusan kasar yang kedengaran dalam kalangan pengamal silat yang berpakaian hitam semasa melakukan latihan itu bukanlah perkara asing buat mereka.

Para pengamal silat itu mengamalkan zikir yang dipercayai boleh mengeluarkan tenaga dalaman untuk dijadikan 'pagar' bagi melindungi tubuh daripada sebarang ancaman musuh.

"Silat Gerak Halilintar itu merupakan gabungan 18 ilmu tauliah dari 18 perguruan berbeza yang dipelajari sebelum ini," ujar pengasas silat kebatinan tersebut, Mohmad Nazari Mat Saad.

Lelaki tersebut banyak mendapat tunjuk ajar daripada seorang guru dari Terengganu yang dikenali sebagai Guru Murad.

Beliau turut mengupas tentang perbezaan silat fizikal dengan silat kebatinan.

"Silat fizikal menggunakan tenaga luaran untuk menepis, mempertahankan serta melindungi diri daripada ancaman musuh.

"Sebaliknya bagi silat kebatinan, tenaga yang digunakan ialah tenaga dalaman yang dikeluarkan dengan sekali hembusan nafas sahaja.

"Namun, ia sudah mencukupi untuk menghumban si penyerang jauh dari mangsa yang diserang.

"Ia juga dapat melindungi si pengamal daripada mendapat kecelakaan yang tidak disangka-sangka.

"Misalnya, jika berlaku kemalangan ngeri yang pada kebiasaannya si mangsa akan luka parah atau meninggal dunia.

"Bagaimanapun, menerusi amalan kebatinan itu, si mangsa mungkin tidak akan mengalami kecederaan langsung.

"Dengan erti kata mudah, dengan izin Allah, si pengamal mungkin dapat mengelak daripada sebarang musibah, terutamanya dalam keadaan kecemasan," dakwa Mohmad Nazari.

Ketika diajukan soalan mengenai amalan tertentu yang boleh melindungi pengamal, lelaki tersebut memberitahu surah al-Fatihah perlu dibaca sebanyak tiga kali selain berdoa bagi meminta keselamatan diri dan harta benda daripada Allah.

"Niatkanlah perkara yang kita mahukan seperti keselamatan diri, perjalanan ke tempat kerja, keselamatan rumah, harta benda dan lain-lain lagi.

"Apa yang penting ialah yakin kepada Allah dan jangan sesekali tinggalkan amalan zikrullah," kata Mohmad Nazari.


Pantang

Bagaimanapun, cara terbaik untuk menguasai silat kebatinan, katanya, adalah dengan mempelajari dahulu silat fizikal.

"Silat fizikal menuntut pengamalnya supaya rajin berlatih untuk memastikan buah pukulan dan pergerakan mereka lebih padu serta mantap.

"Bagi pengamal silat kebatinan pula, mereka perlu beramal dan tidak boleh melanggar syariat Islam.

"Ilmu batin ialah ilmu hati yang membawa pengamalnya mendekati Allah.

"Ia juga menuntut pengamalnya untuk membersihkan diri, menyucikan roh dan akhlak, menguasai nafsu, menjauhi maksiat serta memerangi perkara yang boleh merosakkan hati.

"Tiada pantang larang dalam mendalami ilmu itu. Apa yang dilarang oleh agama itulah yang tidak boleh dilakukan oleh pengamal silat kebatinan," kata Mohmad Nazari ketika ditemui di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

"Ramai orang yang memperkatakan adalah salah untuk mempelajari silat kebatinan atau ilmu tenaga dalaman lebih-lebih lagi jika seseorang itu boleh menguasai pelbagai teknik silat dalam masa yang singkat.

"Saya tidak menafikan ada pengamal silat kebatinan yang menyalahgunakan amalan itu sehingga dia boleh mengancam dan menggugat keselamatan orang lain.


Roh perisik

"Namun, tidak semua ilmu silat kebatinan itu salah atau sesat.

"Bukan semuanya menggunakan khidmat khadam atau jin.

"Sebaliknya, kebanyakan perguruan silat mewajibkan pelajarnya untuk bersolat dan sentiasa berzikir untuk mengabdikan diri kepada Allah selain menjalankan tanggungjawab kepada keluarga, bangsa serta negara.

"Sebagai orang Islam, jika tidak mempelajari silat pun, kita masih wajib menunaikan solat dan sentiasa meminta pertolongan daripada Allah.

"Namun, ada juga segelintir pelajar yang belajar separuh jalan dengan mencari cara mudah untuk menguasai ilmu persilatan kebatinan. Merekalah yang memburukkan persilatan itu.

"Sebagai ahli bela diri kebatinan, mereka perlu menjaga tingkah laku dan menghindari perkara yang dilarang syariat," tambahnya.

Menurutnya, menghindari perkara yang dilarang syariat Islam amat penting kerana melakukan dosa kecil dan dosa besar sama ada sengaja ataupun kebetulan boleh merosakkan imej perguruan yang telah diikuti mereka.

Mohmad Nazari berkata, silat kebatinan juga boleh digunakan untuk merisik.

Dengan menggunakan roh sebagai ejen risikan, para pengamal boleh mengetahui dan mendapatkan maklumat, rahsia ataupun strategi terutamanya daripada musuh-musuh Islam.

"Bunyinya mungkin pelik apabila saya katakan roh boleh menjadi perisik, namun itulah hakikat rahsia ketuhanan yang ada pada umat Islam tetapi tidak digunakan sepenuhnya," katanya.

"Bagi yang dikurniakan Allah dengan kelebihan itu, mereka boleh berada di mana-mana tempat dalam sekelip mata.

"Sebelum tidur, niatkan dalam hati untuk pergi ke mana dan mohonlah kepada Allah supaya menghantar roh mereka ke mana tempat sahaja tanpa menggunakan sebarang kenderaan.

"Kelajuan dan kepantasan roh kita cukup hebat malah ia merupakan senjata teknologi yang Allah perturunkan kepada umat Islam," ceritanya.


Kosmo!

23 Jun 2013

Misteri Orang Kenit

Monday, October 7, 2013

0 comments  

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

SESETENGAH pengkaji mistik percaya orang kenit berasal daripada keluarga jin yang berkahwin dengan manusia.
ORANG KENIT dikatakan makhluk yang bentuknya mirip manusia tetapi tubuhnya hanya sebesar tikus atau tupai.

Menurut cerita orang dulu-dulu, orang kenit sentiasa menyembunyikan diri kerana takut dicederakan manusia.

Pada tahun 2002, saintis Chile kebingungan berikutan penemuan makhluk setinggi 7.2 sentimeter di Hutan Simpan Valdivian di negara itu.

Ia dijumpai oleh seorang remaja, Julio Carreno, 15. Carreno berkata, orang kenit itu memiliki fizikal haiwan yang seakan-akan manusia. Ia mempunyai sepasang kaki dan tangan serta berkepala besar.

Carreno membawanya berjumpa doktor kerana menyangka makhluk itu sakit.

“Doktor yang memeriksanya terkejut kerana dia tidak pernah melihat spesies haiwan seperti itu,” tutur Carreno.

Malangnya, makhluk itu mati lapan hari kemudian.

Cerita itu tidak berakhir begitu sahaja. Selepas mati, bangkai makhluk kenit itu mengering seperti mumia.

“Pada mulanya badannya berwarna merah jambu sebelum bertukar menjadi lebih gelap dan hitam,” kata remaja itu.

Meskipun begitu, penyelidik Chile berpendapat ia mungkin janin hidupan liar seperti kucing hutan atau tupai kecil.

Pengkaji dari Universiti Sonto Tomas, Filipina pula mengatakan ia sejenis hidupan seakan-akan tupai iaitu monito de monte.

Tupai

Tupai itu merupakan spesies mamalia kecil yang tinggal di hutan Valdivian, Chile. Ia kerap menyembunyikan diri pada waktu siang untuk mengelak daripada dikesan musuh.

Bagaimanapun, cerita orang kenit di negara jiran, Indonesia lebih menggemparkan.

Lebih 100 tahun lalu, beberapa penyelidik yang membuat kajian di Taman Negara Kerinci, Sumatera, menemui makhluk berkaki pendek dan berlari seperti manusia di hadapan mereka.

MAKHLUK pelik yang ditemui oleh seorang remaja, Julio Carreno di Hutan Simpan Valdivian, Chile pada tahun 2002.


Kulit makhluk itu setinggi 70 sentimeter itu coklat kemerah-merahan manakala tubuhnya berbulu gelap panjang. Lengannya pula lebih panjang daripada kaki.

Haiwan kriptid itu dilihat pertama kali pada tahun 1910. Ia digelar dengan pelbagai nama seperti orang pendek atau orang kenit.

Pada 21 Ogos 1915, seorang saintis haiwan, Edward Jacobson menemui jejak misteri di hutan simpan itu.

Penemuan tapak kaki sebesar tapak tangan kanak-kanak sepanjang tujuh sentimeter memperkukuhkan dakwaan kewujudan spesies orang kenit yang mendiami kawasan hutan itu.

Namun, Edward gagal menemui kelibat makhluk berkenaan mahupun kediamannya.

Dua tahun selepas itu, pada tahun 1917, seorang pengurus ladang Belanda bernama Oostingh mendakwa terserempak dengan orang kenit di sebuah hutan berdekatan Bukit Kaba, selatan Jambi.

Beberapa tahun kemudian, Muzium Nasional Bogor menerima bangkai dipercayai milik orang kenit.

Sebelum itu, pihak muzium itu ada menawarkan hadiah bagi setiap penemuan bangkai makhluk kriptid tersebut.

Makhluk asing

Cerita tentang bangkai haiwan yang disangka orang kenit itu menjadi tajuk utama akhbar di Indonesia selama beberapa hari sebelum bangkai itu disahkan milik seekor kera.

Setelah lama menyepi, pada tahun 1989, pencarian orang kenit kembali hangat selepas seorang penulis Britain, Deborah Martyr mendakwa berjaya menemui jejaknya di barat daya Sumatera.

Jejak tersebut sepadan dengan tapak kaki anak Deborah yang berusia tujuh tahun.

Selepas mengkaji selama lima tahun, Deborah akhirnya berpeluang melihat sendiri orang kenit di Gunung Kerinci pada 30 September 1994.

Makhluk itu dilihat sedang berjalan dengan kedua-dua belah kakinya.

Setelah berjalan sejauh beberapa meter, makhluk itu berhenti sejenak, menoleh ke arah Deborah dan terus menghilang ke dalam hutan.

Malangnya, tiada bukti foto atau video yang dapat mengesahkan cerita itu.

Setahun selepas itu, semasa gempa bumi melanda Liwa di Lampung, Indonesia, beberapa penduduk tempatan sempat menyaksikan orang kenit lari bertempiaran dari hutan berdekatan kerana takutkan gempa.

SAIZ tapak kaki orang kenit yang berjaya dirakam sekumpulan penyelidik di Hutan Simpan Kerinci, Sumatera.


Pencarian orang kenit masih diteruskan sehingga hari ini. Terbaharu, sekumpulan pengkaji Pusat Zoologi Fortean di Universiti Cambridge, Britain melaksanakan misi menjejak orang kenit tahun lepas diketuai Adam Davies.

Beberapa foto telah hantar ke Universiti Cambridge dan ada khabar angin yang mengatakan gambar itu sahih.

Menurut seorang pengkaji paranormal, Rahim Hanipah, 53, beliau pernah mendengar kewujudan makhluk itu di negara ini berdasarkan cerita rakan-rakannya.

“Mereka menemuinya di beberapa kawasan di Johor. Ia setinggi 4 atau 5 sentimeter dan mirip manusia.

“Pakaiannya juga seperti manusia tetapi cepat melarikan diri apabila terserempak dengan orang.

“Sekali lagi, tiada foto atau video yang mengesahkan perkara ini,” ujarnya.

Rahim berpendapat orang kenit mungkin berasal daripada keluarga jin dan berkahwin dengan manusia.

“Mereka mempunyai tamadun tetapi tidak secanggih manusia. Mereka menetap di hutan, paya atau kawasan gunung-ganang yang sukar dijejaki manusia.

“Makhluk ini hidup berpasangan, perlu makan dan minum selain membiak seperti manusia,” katanya.

Seorang pakar objek terbang tidak dikenali (UFO), Ahmad Jamaludin, 56, berpendapat, peristiwa kemunculan UFO mempunyai hubung kait dengan orang kenit.

Katanya, bukti yang beliau kumpul sejak tahun 1979 mengesahkan kehadiran entiti orang kenit di negara ini.

“Saiznya kecil iaitu sekitar 3 hingga 6 sentimeter tetapi mereka sukar diperhatikan kerana hidup di alam ghaib lain sama seperti orang bunian.

“Mereka mempunyai senjata laser untuk menyerang musuh.

“Selain itu, mereka mengkaji corak kehidupan manusia sebelum pulang ke angkasa lepas,” katanya.

Ciri orang kenit
  • Berjalan dengan dua kaki
  • Berukuran antara 5 hingga 70 sentimeter
  • Mempunyai tapak kaki yang agak lebar
  • Tubuh ditutupi bulu berwarna kelabu
  • Didakwa mempunyai tenaga yang kuat kerana boleh mengangkat kayu balak
  • Boleh bergayut di dahan pokok dalam keadaan terbalik
  • Seorang saintis Britain, Richard Freeman berjaya menemui sampel rambut orang kenit di Taman Negara Kerinci, Sumatera, Indonesia.  Sebaik sahaja diteliti di makmal, dia mendapati rambut itu berasal daripada spesies haiwan yang tidak dikenali tetapi mempunyai 50 peratus persamaan dengan manusia.
  • Terdapat penyelidik mengatakan orang kenit ialah sejenis kera kriptozoologi yang memiliki tubuh seperti kera tetapi berjalan seperti manusia.

Kosmo!

16 Disember 2012

Bantuan Allah untuk Palestin

Thursday, September 26, 2013

0 comments  


Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

Laman blog Filisthin Al-Aan pernah menulis pada Januari 2009 bagaimana seorang mujahidin Briged Ezzedine al-Qassam dibelasah dengan teruk oleh tentera Israel selepas didakwa berbohong.

"Tentera Israel bertanya kepada anak lelaki kepada seorang pejuang Palestin yang ditahan, apakah warna pakaian tentera al-Qassam? Anak itu menjawab, seragam berwarna hitam.

"Selepas tiga hari anak itu memberi jawapan yang sama, tentera itu berang kerana menyangka kanak-kanak itu berbohong lalu dia dipukul hingga pengsan.

"Jangan berbohong, al-Qassam berseragam putih, bukannya hitam," sergah tentera berkenaan.

Dalam satu kejadian lain, sekumpulan tentera Israel telah menahan sebuah ambulans. Apabila pemandunya ditanya adakah dia daripada kelompok Hamas atau Fatah, pemandu tersebut menjawab, "saya bukan Hamas atau Fatah, saya hanya pemandu ambulans."

Tentera tersebut bertanya lagi, "pasukan yang berseragam putih di belakang kamu tadi dari kelompok mana?"

Pemandu itu kelihatan bingung sebelum menjawab, "saya tidak tahu. Tiada siapa di belakang saya sepanjang perjalanan ke mari."

Cerita tentang tentera berseragam putih seakan-akan menghantui tentera Israel. Mereka tidak tahu dari mana kumpulan ini datang, malah jejaknya juga sukar dikesan.

Malah, seorang bekas tentera Zionis yang pernah ditemu ramah stesen televisyen tempatan Israel kini buta kedua-dua matanya selepas berhadapan dengan tentera berseragam putih.

"Saya merupakan seorang daripada tentera penggempur yang ditugaskan ke Gaza beberapa tahun lalu.

"Semasa bertugas di sana, pada suatu hari saya didatangi oleh seorang tentera berpakaian putih yang menaburkan pasir ke dalam mata saya. Akibat kejadian itu, sehingga saat ini saya menjadi buta," katanya.

Sebelum itu, kumpulannya juga pernah terserempak dengan sekumpulan tentera berseragam putih dan berjanggut panjang. Namun apabila ditembak, tentera berbaju putih itu tidak mati sebaliknya tidak diketahui ke mana menghilangnya.

Dalam situasi lain pula, seorang khatib di Masjid al-Qassam yang terletak di wilayah Nashirat, Gaza bercerita dalam khutbahnya tentang 'bantuan Allah' kepada pejuang Palestin.

"Pejuang tersebut telah menanam satu jerangkap samar untuk menyambut kedatangan tentera Zionis di satu kawasan lapang.

"Tidak lama kemudian, dia melihat sebuah helikopter menurunkan tentera Zionis disertai beberapa kereta kebal. Mereka melalui kawasan tempat dia memasang jerangkap samar tersebut.

"Pejuang tersebut memutuskan untuk kembali ke markas kerana mengandaikan jerangkap yang dipasangnya tidak boleh menghapuskan tentera yang ramai itu.

"Akan tetapi sebelum dia berganjak, terdengar bisikan di telinganya yang bermaksud, "tetaplah di tempatmu maka Allah akan menguatkanmu".

"Dia mencari dari mana datangnya suara itu namun tidak ternampak kelibat manusia lain. Akhirnya, dia menunggu di situ.

"Tidak lama kemudian, tanpa disangka-sangka ketika sebuah kereta kebal melalui kawasan jerangkap samar, keajaiban berlaku.

"Jerangkap samar itu meledak dengan dahsyat sehingga menghancurkan kereta kebal tersebut dan membunuh ramai tentera Israel.

"Malah, sebahagian tentera yang terselamat terpaksa diangkut semula ke helikopter sedangkan pejuang itu masih berdiri dalam keadaan selamat," cerita khatib tersebut.

Sementara itu, pakar perubatan yang menjalankan misi kemanusiaan di Hospital As-Syifa, Gaza, Dr. Hisam Az-Zaghah memberitahu, pernah berlaku kejadian aneh ketika dia sedang merawat mangsa perang.

"Mangsa mengalami luka di kaki dan badan akibat terkena serpihan bom dan sisa runtuhan. Namun apa yang menakjubkan ketika mencuci luka tersebut, saya menjumpai sebutir peluru di poket lelaki berkenaan.

"Ajaibnya, kelongsong peluru yang masih panas itu tidak menembusi jantung mangsa kerana terhalang oleh sebuah buku doa dan mushaf al-Quran yang ada di dalam poket mangsa.

"Hanya buku doa itu yang berlubang dan muka depan mushaf rosak. Isi al-Quran langsung tidak terjejas sedangkan peluru itu sendiri bentuknya sudah hampir hancur," cerita Hisam.

Selain itu, Pengarah Jabatan Hubungan Sosial, Kementerian Kesihatan Gaza, Hamam Nisman memberitahu, angka kelahiran bayi di Gaza turut meningkat walaupun kematian yang dicatatkan di wilayah itu leboh tinggi berbanding wilayah lain di Palestin.

Menurut Nisman, sepanjang 22 hari Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada 27 Disember 2008 hingga 17 Januari 2009, seramai 1,412 rakyat Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terkorban.

"Namun di sebalik kematian lebih 1,000 rakyatnya, seramai 5,000 bayi dilahirkan. Ini merupakan peningkatan luar biasa kerana secara puratanya dalam sebulan Gaza hanya mencatatkan kelahiran antara 3,000 hingga 4,000 bayi.

"Pendek kata, dalam tempoh kemuncak konflik Israel-Palestin, kami hilang seribu rakyat tetapi Allah telah gantikan mereka dengan 4,000 pejuang baharu," ujar Nisman.

Kosmo!

9 Disember 2012

Sihir jejas akidah

0 comments  


Oleh Juani Munir Abu Bakar

Penyakit dalaman sering dikaitkan dengan amalan sihir dan santau. Dua perkataan itu yang berkaitan antara satu sama lain merupakan tindak tanduk perbuatan syaitan untuk menyesatkan dan berhasrat merosakkan kehidupan manusia.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, pada mulanya sihir diwujudkan untuk mengejar kebaikan tetapi akhirnya ia bertukar menjadi kejahatan apabila manusia mengejar ketamakan dunia dan mempunyai sifat hasad dengki.

Tambah beliau, sihir yang disamakan dengan kegelapan dan mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud, ilmu guna-guna atau mantera yang ditujukan untuk menyakiti atau mempersonakan seseorang.

"Ia dihantar dalam bentuk dalaman dengan menyakiti anggota badan atau mempengaruhi hati dan fikiran manusia melalui perantaraan iblis dan syaitan. Sebagai contoh, santau yang dihantar kepada seseorang bagi membinasakan mangsa secara perlahan atau cepat.

"Peralatan digunakan berbentuk senjata tajam iaitu keris dan pisau, tanduk, tulang binatang dan sebagainya. Bagaimanapun, kedua-dua amalan sihir dan santau berkait dengan pemujaan terhadap syaitan dan bertentangan dengan syariat Islam," katanya.

Utusan Malaysia

2 November 2012

Mimpi baik dan mimpi buruk

Monday, July 15, 2013

0 comments  


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Mimpi yang baik berasal daripada Allah. Mimpi yang buruk berasal daripada syaitan. Maka, jika salah seorang daripada kamu melihat mimpi yang ia sukai, maka janganlah diceritakan melainkan kepada orang yang mencintainya. Dan jika ia melihat perkara yang dibenci dalam mimpinya, maka meludahlah tiga kali ke sebelah kiri, dan berlindunglah kepada Allah daripada kejahatan syaitan. Dan jangan ceritakan mimpi itu kepada sesiapa. Sesungguhnya ia tidak akan memberi mudarat kepadanya." - Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

"Mimpi (terbahagi) tiga. Mimpi yang merupakan gangguan daripada syaitan untuk membuat sedih anak Adam. (Mimpi yang asalnya) sesuatu yang difikirkan oleh manusia pada saat terjaga, lalu terbawa hingga ke tidur. Dan (mimpi) yang merupakan satu daripada 46 bahagian kenabian." - Hadis Riwayat Ibn Hibban.


Selain menjelaskan hakikat mimpi, Baginda Nabi SAW mengajarkan kita sikap yang sepatutnya kita lakukan apabila mendapatkan mimpi yang baik ataupun yang buruk.

Tanda sebuah mimpi berasal daripada Allah ia menyebabkan kelapangan hati. Siapa yang mendapat mimpi ini akan merasakan kegembiraan dan kebahagiaan sepanjang hari.

Bagi orang seperti ini, Rasulullah SAW menganjurkan agar tidak menceritakan mimpi itu kepada sembarang orang. Ia hanya boleh diceritakan kepada sahabat dan kenalan rapatnya sahaja. Sebab orang yang membencinya dikhuatiri akan merosak tafsiran mimpi untuk merubah kegembiraan itu menjadi kesedihan.

Dan tanda sebuah mimpi berasal daripada syaitan, ia melahirkan kesedihan dan kerunsingan fikiran.

Baginda menyuruh kita segera meminta perlindungan kepada Allah dari gangguan syaitan.

Yang lebih penting, Nabi SAW menyuruh kita melupakan mimpi tersebut.

Menceritakan mimpi itu kepada orang lain, apa lagi mencari-cari pentafsirannya, merupakan perkara sia-sia yang hanya akan mengeruhkan hati dan minda.


Utusan Malaysia

30 Oktober 2012

Perbezaan rawatan Islam dengan perbomohan

Sunday, July 14, 2013

0 comments  


Bacaan - Dalam perubatan Islam, perawat membaca dan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran manakala bomoh pula membaca jampi serapah atau mantera yang bertentangan syariat.

Bahan digunakan - Perawat membaca dan menggunakan ayat-ayat al-Quran sementara bomoh dengan jelas bertentangan dengan syariat Islam dengan penggunaan senjata seperti pisau dan keris, tulang dan najis.

Etika - Apabila merawat pesakit, mereka mesti ditemani mahram dan berada dalam keadaan sopan dan menutup aurat. Berbeza dengan amalan bomoh yang merawat sehingga mengambil kesempatan untuk melakukan gangguan seksual terhadap pesakit.

Pada November 2011 Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (GAPPIMA) telah mengeluarkan garis panduan berhubung amalan perubatan Islam dengan kerjasama Jakim dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Caj bayaran - Dalam etika perubatan Islam adalah ikhlas dan tidak perlu mengenakan sebarang bayaran berbanding dengan perbomohan yang memang menganiayai pesakit serta keluarga mereka.

Utusan Malaysia

2 November 2012

Objek dalam tubuh manusia

Thursday, June 13, 2013

0 comments  


Seorang kanak-kanak perempuan, Safira Ibrahim (gambar) pernah membingungkan pakar bedah di Hospital Umum Andi Makkasau, Parepare, Sulawesi Selatan, Indonesia pada tahun 2011.

Terdapat 26 batang paku termasuk sebatang jarum dan dua objek besi berwarna putih tertanam dalam kedua-dua betis kanak-kanak tersebut.

Doktor yang membedah Safira perlu berhati-hati kerana kedudukan paku yang berwarna kehitaman itu tertanam berdekatan dengan jaringan saraf dan saluran darah.

Kesemua objek logam itu berjaya dikeluarkan daripada betis Safira selepas dua jam dia berada di dewan bedah. Sebanyak tujuh batang paku tertanam di betis kiri manakala 19 lagi di betis kanannya.

Namun, doktor yang mengesan sebatang paku di punggung Safira tidak melakukan pembedahan kerana bimbang ia membahayakan kanak-kanak itu. Ia hanya akan dikeluarkan setelah luka di betisnya sembuh.

Lebih mengejutkan, sebaik sahaja semua paku dikeluarkan, muncul sebatang paku baharu di betisnya.

Hairan

"Dalam pembedahan pertama ia tidak kelihatan mungkin kerana terlindung oleh paku besar lain.

"Kami akan lakukan pembedahan lagi bagi mengeluarkan paku yang baru dikesan ini.

"Tetapi jika selepas pembedahan kali kedua nanti ia tetap muncul semula, sahlah ia merupakan kekuasaan Tuhan," kata Dr. Kamaruddin Sahid.

Menurutnya lagi, memang terdapat kesan luka pada betis Safira sebelum pembedahan itu.

Namun, apa yang membuat Kamaruddin hairan adalah bagaimana paku yang begitu banyak boleh dimasukkan sekali gus.

Paku yang ditemui dalam tubuh Safira Ibrahim

Ibu Safira yang hanya mahu dikenali sebagai Sarifa mendakwa parut di betis anaknya itu merupakan kesan cacar.

"Paku itu begitu banyak. Mustahil ia dimasukkan satu persatu kerana pasti menyakitkan.

"Melihat jumlahnya tentu ada orang yang memasukannya?" ujarnya lagi.

Safira bagaimanapun tidak berasa sakit biarpun imbasan sinaran X menunjukkan paku tersebut kelihatan bercerucuk dan mengerikan.

Sarifa yang merupakan ibu tunggal tinggal bersama Safira di Ajatappareng, Parepare, Sulawesi Selatan. Dia memberitahu, dia tidak menyedari bila paku-paku itu berada dalam betis anak tunggalnya itu.

Dia jarang meninggalkan Safira bersendirian bahkan mengaku bahawa anaknya itu tidak pernah memakan benda-benda asing seperti paku.

"Saya pernah keluarkan empat batang paku daripada betisnya ketika dia berusia dua tahun lima bulan tetapi tidak tahu macam mana ia boleh berada di situ. Safira pula tidak menunjukkan tanda kesakitan.

"Saya juga hairan bagaimana objek ini boleh tertanam di badannya sedangkan saya sentiasa mengawasinya.

"Jika sengaja dimasukkan pastinya dia akan berasa sakit dan betisnya membengkak," ujar Sarifa.

Kejadian pelik itu menimbulkan banyak spekulasi. Ramai penduduk menganggap Safira merupakan mangsa amalan ilmu hitam.

Namun, seorang tokoh agama di Kota Makassar, Abd. Halim sependapat dengan pakar perubatan bahawa objek itu telah dimasukkan secara fizikal.

"Ilmu hitam melibatkan perkara ghaib. Tiada pengamal ilmu hitam yang dapat menghantar sesuatu ke dalam tubuh seseorang dari tempat jauh.

"Apatah lagi untuk memasukkan paku itu ke betisnya melalui tiupan mahupun bacaan mentera dari tempat yang jauh," kata Halim.

Isidro Mejia

Pada bulan April 2004, seorang pekerja binaan di California, Amerika Syarikat, Isidro Mejia, tidak mati biarpun sebanyak enam batang paku telah tertusuk ke dalam otaknya.

Mesin penembak paku secara tidak sengaja tertembak ke arahnya. Kesemua paku tersebut bagaimanapun berjaya dikeluarkan dan dia selamat.

Di Korea Selatan, sebatang paku telah tertanam di dalam kepala seorang lelaki selama empat tahun.

Dia yang tidak menyedari perkara itu pada mulanya berjumpa doktor kerana sering berasa sakit kepala.

Namun, apa yang memeranjatkan adalah imbasan sinaran X telah mengesan sebatang paku yang tertanam di dahinya. Persoalan mengapa otaknya tidak terganggu masih menjadi misteri.

Pada tahun 2001, seorang wanita di Sydney, Australia yang telah menjalani pembedahan abdomen terkejut apabila mendapati sebilah gunting tertinggal dalam perutnya.

Pat Skinner sebelum itu berasa tidak selesa pada perutnya selepas pembedahan itu, tetapi tidak menyangka bahawa gunting tersebut tertinggal di dalam perutnya.

Kosmo!

13 November 2011

Tanda-tanda kemunculan Imam Mahdi

Tuesday, May 14, 2013

0 comments  


Tanda-tanda kemunculan Al-Mahdi dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said, Ummu Salamah, Aisyah bin Malik dan Huzaifah al-Yamani.

1. Sungai terbesar di Iraq, Sungai Furat pecah dan airnya memasuki Laut Parsi.

2. Gerhana bulan pada awal malam daripada bulan Ramadan dan gerhana matahari daripada awal bulan Ramadan.

3. Gerhana bulan dua kali dalam bulan Ramadan.

4. Muncul tanduk di langit umpama beberapa gigi.

5. Muncul bintang berekor yang cerah di sebelah timur.

6. Terbit api yang besar dari timur selama tiga malam atau tujuh malam.

7. Tenggelam Kampung Khrastan di negeri Syam (Syria).

8. Diserukan daripada langit akan nama Imam Mahdi dengan seruan yang sangat kuat hingga didengar oleh ahli bumi daripada timur ke barat.  Maka orang yang tidur menjadi jaga, orang yang berdiri menjadi duduk dan orang yang duduk spontan berdiri kerana terlalu terkejut.

9. Peperangan besar dalam bulan Zulhijjah sehingga mengalir darah di atas Jamratul Aqabah di Mina (tempat melontar).

10. Banyak terjadi gempa bumi.


    Akhlak Imam Mahdi menyerupai Rasulullah

    Mengulas tentang kemunculan banyak Imam Mahdi palsu, mantan Dekan Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor dalam laman blognya, www.drhayei.com
    menjelaskan, dalam tradisi pengajian akidah Islam, Imam Mahdi dibicarakan dalam bab Tanda-tanda Kiamat.

    "Ia diletakkan sebaris dengan kemunculan Dajjal dan turunnya Nabi Isa A.S. yang bekerjasama dengan Imam Mahdi untuk membunuh Dajjal.

    "Imam Mahdi tidak dibicarakan dalam Rukun Iman yang wajib dipercayai setiap orang mukmin kerana persoalan tentang Imam Mahdi bukan persoalan asas dan utama.

    "Sungguhpun begitu, saya berpendapat tidak benar jika ada orang mengatakan Imam Mahdi sebagai kisah dongeng atau rekaan yang tidak berasas, kerana asasnya ada dalam hadis. Sebahagian ulama termasuk Ibn Taimiyyah menyifatkan hadis-hadis itu sebagai sahih." jelasnya.

    Tambah beliau, dalam kitab-kitab hadis kecuali Sahih al-Bukhari, didapati sejumlah besar hadis membicarakan Imam Mahdi yang diriwayat melalui pelbagai sumber dan jalan riwayat.

    Hadis-hadis itu menjelaskan sifat-sifat Mahdi, perwatakan, keperibadian dan kepimpinannya. Justeru banyak sumber dan jalan riwayat, maka hadis itu pastinya mempunyai nilai kesahihannya, walaupun ia tidak dianggap setanding dengan hadis-hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

    "Bagaimanapun, jika seseorang Muslim mempertikaikan kemuculan Imam Mahdi, maka kedudukannya sebagai seorang Muslim tidak terjejas dan tidak boleh dikafirkan, kerana ketiadaan dalil qat'i yang menyatakan Imam Mahdi akan muncul.

    "Sifat-sifat, perwatakan, keperibadian dan kepimpinan Imam Mahdi sebagaimana dinyatakan dalam hadis-hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi, Nasa'i dan Ibn Majah, boleh dirumuskan sebagai bernama Muhammad atau Ahmad bin Abdullah, berasal daripada keturunan Fatimah, puteri Rasulullah SAW.

    "Akhlaknya menyerupai akhlak Nabi Muhammad tetapi bentuk badannya tidak serupa. Dahinya sulah dan hidungnya mancung.

    "Kegaiatannya setelah muncul ke dunia ialah menegakkan Islam dan keadilan serta menghapuskan kezaliman berpandukan al-Quran dan Sunnah," jelasnya.

    Keadilan yang tertegak pada zamannya menjadikan kehidupan manusia cukup bahagia dan mewah.

    "Beliau diberi kesempatan memerintah selama tujuh tahun, kemudian diikuti dengan kemunculan Dajjal yang banyak membuat kacau-bilau, fitnah dan huru-hara.

    "Akhirnya turun pula Nabi Isa yang bekerjasama dengan Mahdi, lalu membunuh Dajjal. Imam Mahdi meninggal dunia tidak lama selepas itu. Jenazahnya disembahyangkan oleh seluruh umat Islam.

    "Demikianlah Imam Mahdi yang dinyatakan dalam hadis, tetapi siapa dan bila tarikh kemunculannya, bahkan di negeri mana akan muncul, setakat ini, tiada siapa yang berani memberi jawapan dengan tepat dan cukup bukti.

    "Walaupun sejarah telah menyaksikan ramai orang yang mendakwa dirinya Mahdi, tetapi semuanya dipertikaikan," terang Abdul Hayei panjang lebar.

    Kosmo!

    15 Julai 2012

    Pokok boleh bercakap

    Sunday, April 21, 2013

    0 comments  

    Pokok boleh bercakap di dalam filem fantasi Lord of the Rings

    oleh KASANABILAH KAMARUL ZAMAN

    Filem fantasi seperti The Lord of the Rings dan Magika menggunakan elemen pokok sebagai antara penarik utama kedua-dua filem tersebut.

    Namun, adegan pokok boleh berinteraksi dengan manusia ini hanya wujud dalam filem fantasi atau memang tidak pernah berlaku.

    Begitu juga yang terjadi dalam filem Avatar. Pokok besar atau pohon jiwa digambarkan sebagai elemen penting sumber nyawa kaum Na'vi.

    Mereka menyembah pokok itu bagi memastikan mereka terus hidup.

    Tetapi, kisah yang hampir menguatkan mitos itu dipercayai berlaku di bumi bertuah, Palestin.

    Negara yang dijajah secara haram oleh rejim Israel itu pernah gempar dengan peristiwa pokok bercakap dengan manusia pada tahun 2002.

    Menurut laporan akhbar Mesir, Afaq Arabiah pada 15 Mei 2002, kejadian itu berlaku terhadap tiga pemuda Palestin yang dalam perjalanan ke hospital di Ramallah, Tebing Barat.

    Laporan itu menjelaskan, ketika dalam perjalanan mereka terserempak seorang Yahudi yang menjadi tentera simpanan Israel sedang berdiri di atas sebuah tembok.

    Setelah berbincang, mereka berpakat untuk membunuh tentera Yahudi itu dengan menghampirinya secara sembunyi. Tetapi, sebaik sahaja mereka sampai, tentera Yahudi yang menyedari niat mereka itu berjaya melarikan diri.

    Setelah pencarian mereka tidak berjaya, ketiga-tiga pemuda tersebut mengambil keputusan meneruskan kembali perjalanan ke hospital.

    Secara tidak diduga, mereka terdengar suara yang memanggil-manggil. Mereka terkejut kerana suara misteri itu didapati datang daripada sebatang pokok yang menyeru membunuh lelaki Yahudi tadi yang sedang berselindung di sebalik pokok itu.

    Mengulas kejadian misteri ini, seorang penceramah bebas, Muhammad Abdullah memberitahu, dia tidak pernah mendengar cerita tersebut walaupun sering melawat Masjid al-Aqsa.

    "Namun, ada hadis Rasulullah SAW menyebut bahawa pada akhir zaman nanti, semua pokok dan batu boleh bercakap untuk menolong umat Islam menewaskan musuh.

    "Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah ini berbunyi:

    "Tidak akan berlaku hari Kiamat sehinggalah orang-orang Islam memerangi orang-orang Yahudi. Lantas orang-orang Islam membunuh mereka hinggalah orang Yahudi bersembunyi di sebalik batu-batu dan pohon-pohon kayu. Maka berkatalah batu-batu dan pokok-pokok berkenaan: "Wahai hamba Allah! Ini dia Yahudi di belakangku. Datanglah ke mari dan bunuhlah dia. Kecuali pohon gharqad (kerana sesungguhnya pohon tersebut adalah pohon Yahudi)."

    Wali Allah

    Sementara itu, pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah berpendapat kejadian pokok atau tumbuhan bercakap merupakan perkara-perkara yang pelik dan jarang berlaku.

    "Hanya insan terpilih seperti Wali Allah sahaja yang akan mengalaminya.

    "Sebagai contohnya, pada zaman Rasulullah SAW ada peristiwa pokok berjalan sebagai bukti kepada kaum Quraisy yang menafikan kerasulannya," jelas Md. Daud.

    Tambahnya, pada zaman Baginda juga ada peristiwa batu yang bercakap.

    "Peristiwa ini berlaku ketika Baginda ingin ke Kaabah.

    "Sebelum sempat sampai ke Kaabah, sebutir batu menyapa Baginda dengan menghalang tujuan tersebut kerana kaum Quraisy cuba untuk mengancam Baginda," cerita Md. Daud.

    Jelasnya, kewujudan unsur alam yang boleh bercakap seperti manusia ini tidak boleh disangkal namun kesahihan yang berlaku di Palestin itu masih menjadi tanda tanya.

    Cuma jelas dalam al-Quran, Nabi Sulaiman yang dapat berinteraksi dengan haiwan serta serangga.


    Kosmo!

    14 April 2013

    Azan hindari gangguan jin

    Tuesday, April 16, 2013

    0 comments  


    Anak baru lahir

    Bagi anak yang baru lahir disunatkan pada bapa untuk azan pada sebelah telinga kanannya manakala di telinga kiri pula dilakukan iqamat.

    Rasulullah SAW ada bersabda maksudnya:

    "Sesiapa yang melahirkan anaknya, maka azanlah pada telinga kanan anak itu dan iqamah di telinga kirinya. Anak itu tidak mendapat mudarat oleh jin (tidak terkena penyakit)."

    Hikmahnya, agar kalimah pertama didengar anak itu di dunia ini ialah kalimah tauhid. Begitu juga pada akhir usia seseorang, diingatkan atau diajarkan juga dengan kalimah tauhid.

    Nabi SAW bersabda maksudnya:

    "Ajarlah orang yang hampir mati dengan kalimah 'la ilaha illallah' (tiada tuhan melainkan Allah)." (Riwayat Muslim)


    Syarat azan dan iqamat

    Orang yang menyeru azan dan iqamat itu mumayiz (dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk).

    Hendaklah dilakukan selepas masuk waktu kecuali azan Subuh boleh dimulai lebih awal. Daripada Jabir bin Samurah, menceritakan bahawa:

    "Bilal azan apabila matahari tergelincir, tidak dikuranginya lafaz azan itu. Kemudian dia belum iqamat sehingga Nabi SAW keluar. Apabila Baginda keluar, barulah Bilal iqamat iaitu selepas melihat Baginda." (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Nasai)

    Daripada Ibnu Mas'ud, sesungguhnya Nabi SAW bersabda (maksudnya):

    "Janganlah terhalang seorang kamu daripada makan sahur kerana azan Bilal. Sesungguhnya Bilal itu azan agar orang yang sedang beramal kembali beristirahat dan orang yang tidur bangun bersiap untuk solat." (Riwayat Jamaah, kecuali at-Tirmidzi)

    Orang yang azan dan iqamat hendaklah orang Islam.

    Kalimah keduanya berturut-turut, tidak diselang dengan perkataan lain atau dengan berhenti.

    Tertib.


    Sunat azan dan iqamat

    Orang yang menyeru azan dan iqamat menghadap kiblat.

    Berdiri ketika menyeru azan dan iqamat. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:

    "Wahai Bilal! Berdirilah, lalu azanlah untuk solat." (Riwayat Muslim)

    Hendaklah dilakukan azan itu di tempat tinggi agar dapat didengar lebih jauh.

    Muazzin hendaklah orang yang kuat dan baik suaranya supaya menarik orang ke masjid.

    Muazzin hendaklah suci daripada najis dan hadas.

    Mereka yang mendengar azan dan iqamat hendaklah turut menyebut perlahan-lahan seperti kalimah diucapkan muazzin melainkan pada kalimah hayya alassolah dan hayya alalfalah digantikan dengan menyebut la haula wala quwwata illa billah.

    Demikian juga pada kalimah qadqamatissolah (ketika iqamat) digantikan dengan menyebut aqamahallah wa adaamaha.

    Membaca selawat ke atas Nabi SAW apabila selesai menyeru azan dan berdoa:

    "Ya Allah, Tuhan yang mempunyai seruan yang sempurna ini dan solat yang didirikan, berilah Nabi Muhammad SAW darjat yang tinggi dan kedudukan mulia. Berilah Baginda kedudukan terpuji yang telah Engkau janjikan kepadanya."

    Disunatkan juga membaca doa lain di antara azan dan iqamat.

    Harian Metro

    2 April 2013

    Manusia atasi ketumpatan air

    Tuesday, April 9, 2013

    Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

    Maciek Kozierski

    Kisah kehebatan individu seperti ulama, guru persilatan atau ahli silap mata mampu berjalan atas air sering kita dengar.

    Malah, kemampuan itu cukup mengagumkan lantaran ia sering mencabar batas kemampuan manusia.

    Kini, terapung atas air dengan bantuan peralatan moden bukanlah sesuatu yang pelik terutama dalam era sains dan teknologi.

    Di sebalik keupayaan teknologi itu, masih terdapat beberapa blog dan laman web yang berkongsi ilmu berdiri di atas air.

    Antara bahan yang diperlukan ialah air serta kemenyan. Tetapi, ia masih belum terbukti selain lebih menjurus kepada ilmu hitam.

    Namun, terdapat beberapa individu boleh berjalan atas air antaranya, seorang lelaki berasal dari Poland iaitu Maciek Kozierski.

    Dalam paparan laman web, pemain ski air profesional ini dirakam berdiri di atas air untuk tempoh lebih lima minit.

    Kehebatannya mengundang misteri kerana mengikut teori fizik manusia lebih berat berbanding air sekali gus menyebabkan makhluk keturunan Adam tenggelam sebaik berada di kawasan air.

    Tetapi, kemampuan Kozierski ini hanya helah semata-mata kerana lelaki itu terapung dengan dibantu ikatan payung terjun di bahagian belakang badannya yang membuatkannya seakan-akan terapung atas air.

    Steven Frayne berjalan di atas air

    Begitu juga halnya dengan seorang ahli silap mata Britain, Steven Frayne pada Julai tahun lepas yang menunjukkan kemampuan berjalan kaki di atas air selama beberapa minit sebelum menumpang bot polis.

    Perbuatannya itu disaksikan beratus-ratus orang dari Jambatan Westminster. London. Lebih unik, dia tidak menggunakan sebarang bantuan.

    Ironi, sebelum lelaki ini membuat persembahan, beberapa hari sebelum itu pelapik plastik terapung dipasang di sungai membuatkan aksi berjalan itu seakan-akan benar.

    Misteri

    Namun, seorang pengkaji paranormal, Rahim Hanipah berpendapat, terdapat ilmu tertentu membolehkan individu mampu melakukan perbuatan unik tersebut.

    "Saya sendiri pernah memancing bersama seorang rakan di Temerloh, Pahang pada tahun lalu. Mulanya saya dan rakan memancing di tebing yang sama.

    "Secara kebetulan saya kemudian melihat dia berada di kawasan tebing sungai bersebelahan tanpa disedari," ujarnya.

    Berbicara mengenai ilmu mistik, Rahim memberitahu, geliga labah-labah jika dipakai serta dibaca mantera tertentu membolehkan pemakainya berjalan di atas air.

    "Tetapi memperolehinya agak sukar kerana terdapat dalam perut labah-labah air yang bersaiz kecil. Setakat ini, saya sendiri tidak pernah menjumpai individu yang mempunyai batu geliga terbabit," terang Rahim.

    Lelaki ini sendiri mengakui pernah belajar ilmu terapung atas air. Namun, dia tidak pernah mempraktikkannya kerana terpaksa membuat amalan yang tidak masuk akal.

    "Saya perlu bertapa di hutan tebal selama tujuh hari serta perlu berendam melawan arus dalam jumlah hari yang sama dengan bacaan tertentu.

    "Tetapi saya tidak pernah melakukannya kerana perlu berada di hutan untuk satu tempoh masa yang lama," ujarnya.

    Tambahnya, dia juga tidak menolak ada individu bekerjasama dengan hantu air untuk berjalan atas air.

    "Semua ini perkara yang tidak berlandaskan Islam. Sekarang zaman moden terdapat banyak jambatan serta kenderaan untuk menyeberangi air.

    "Mungkin, dahulu, ada manusia mempelajarinya untuk mudah menuju tempat dikehendaki tetapi kini ilmu ini tidak lagi relevan," tegas Rahim.

    Teori sains

    Seorang pelajar Sekolah Tinggi Arthur, Trenton, Michigan, AS berjalan di atas air yang ditabur tepung jagung

    Sebenarnya, terdapat teori saintifik menyebabkan manusia boleh berjalan atas air.

    Cecair non-Newtonian atau tepung jagung yang ditabur dalam skala yang besar di sebuah kolam bersaiz sederhana boleh menyebabkan benda atau makhluk yang berada di atasnya tidak tenggelam.

    Eksperimen ini telah dilakukan para pelajar Sekolah Tinggi Arthurs, Trenton, Michigan, Amerika Syarikat pada tahun lalu.

    Caranya, mereka mencampurkan 500 kilogram tepung di sebuah kolam bersaiz kecil sebelum 10 orang pelajar berlari, menari dan melompat di kolam tersebut tanpa terjatuh kerana tepung itu cukup mampat berbanding air.

    Hakikatnya, terdapat lebih 1,200 haiwan atau serangga seperti labah-labah air, burung dan ikan lumba-lumba boleh berjalan di atas air.

    Kosmo!

    7 April 2013

    Keajaiban tubuh manusia

    Sunday, April 7, 2013


    Tubuh dapat meramal

    Sebuah penyelidikan baharu mencadangkan tubuh badan manusia boleh mengetahui sesuatu perkara yang besar bakal berlaku sejurus sebelum ia benar-benar terjadi.

    Jika benar, penemuan yang diterbitkan pada 17 Oktober 2012 dalam jurnal Frontiers of Perception itu bakal menjadi titik mula atau asas undang-undang semula jadi yang masih belum ditemui.

    "Bagaimanapun kami masih lagi mencari penerangan yang lebih saintifik agar ia boleh diterima dari segi sains," kata saintis neuro Universiti Northwestern, Julia Mossbridge yang juga penulis bersama kajian tersebut.

    Bagaimanapun, terdapat beberapa saintis yang berasa skeptikal dengan interpretasi tersebut dengan mencadangkan kajian itu sebagai berat sebelah.

    Banyak kajian yang telah dijalankan menunjukkan tindak balas fizikal termasuk kadar degupan jantung, pengembangan pupil dan perubahan aktiviti otak antara satu hingga 10 saat sebelum orang melihat imej menakutkan seperti ular.

    Bagi memastikan kesan tersebut benar, Julia dan pasukannya menganalisis lebih 24 buah kajian.

    Sebagai sebahagian kaedah analisis, mereka telah menolak apa-apa jenis eksperimen yang dilihat sebagai berat sebelah atau mengalami kecacatan.


    Otak tahu mencongak tempoh masa

    Berdasarkan jam atau kedudukan matahari di langit, manusia dengan mudah boleh mengetahui berapa detik waktu yang telah berlalu.

    Sebuah kajian terbaharu mendedahkan bagaimana perkara itu boleh berlaku.

    Kajian menunjukkan bahawa otak tidak mempunyai jam induk, sebaliknya setiap litar otak individu boleh belajar untuk mengetahui masa.

    "Orang beranggapan apabila anda perlu menetapkan sesuatu masa, terdapat beberapa litar jam dalam otak yang melakukannya," kata penulis bersama kajian tersebut, Geoffrey Ghose, yang merupakan saintis saraf di Universiti Minessota, Amerika Syarikat.

    "Selalunya, anda menggunakan isyarat luaran dan peristiwa untuk mengetahui pukul berapa ketika itu, seperti memasak di luar dan melihat kedudukan matahari atau melihat terus kepada jam. Tetapi, sebenarnya anda mempunyai deria masa yang berlaku tanpa kita sedari," katanya.

    Penemuan tersebut telah disiarkan pada 30 Oktober 2012 dalam jurnal PLos One.

    Kosmo!

    7 November 2012

    Wanita paling hodoh di dunia dikebumikan

    Thursday, April 4, 2013

    0 comments  

    Julia Pastrana

    BANDAR RAYA MEXICO - Seorang wanita paling hodoh di dunia dikebumikan di kampung halamannya di utara Mexico.

    Rangka tulangnya dikebumikan selepas lebih 150 tahun kematiannya selepas dia dijadikan bahan pameran di kebanyakan negara.

    Dilahirkan di Mexico pada tahun 1834, wanita itu, Julia Pastrana menghidap penyakit hypertrichosis dan hyperplasia.

    Penyakit itu menyebabkan dia mempunyai banyak bulu dan mempunyai rahang yang tebal.

    Wajahnya itu menyebabkan dia digelar sebagai wanita monyet dan beruang.

    Dia yang setinggi 1.34 meter berkahwin dengan seorang penganjur persembahan, Theodore Lent dari Amerika Syarikat (AS).

    Wanita itu menari dan menyanyi pada pertunjukan orang pelik di AS dan Eropah.

    Pada tahun 1860, dia mati di Moscow, Rusia semasa melahirkan seorang anak lelaki Lent yang mewarisi kondisinya.

    Anak lelakinya itu kemudian meninggal dunia beberapa hari selepas dilahirkan.

    Seorang promoter Norway berjaya memperoleh mumia Pastrana pada tahun 1921 dan dipamerkan pada pertunjukan orang pelik.

    Mayatnya itu kemudian diserahkan kepada Universiti Oslo pada tahun 1996.

    Pihak berkuasa Sinaloa de Lyva iaitu negeri kelahiran Pastrana di barat laut Mexico kemudian menuntut mayatnya itu untuk dikembalikan bagi tujuan pengebumian. - Agensi

    Kosmo!

    14 Februari 2013



    Silap mata serigala jadian

    Monday, April 1, 2013

    0 comments  

    Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

    Chuy Aceves

    SEBAIK sahaja nama Chuy Aceves diumumkan untuk muncul, lampu pentas utama sarkas dimatikan. Cahaya lampu limpah menyorot tubuhnya yang berbaju kemeja putih dan bertali leher merah sambil berjalan mengambil tempatnya di tengah pentas.

    Tepukan gemuruh yang diterima meluapkan lagi semangatnya untuk menghiburkan ribuan penonton yang ternanti-nantikan persembahan sulungnya di Britain.

    “Tak sangka kelainan yang ada pada saya ini boleh diterima masyarakat. Lebih mengharukan, layanan yang saya terima cukup positif walaupun saya akui, ada segelintir yang menghina kami,” ujar pemilik nama sebenar Jesus Fajardo Aceves ini.

    Lahir dengan sindrom hipertrikrosis atau sindrom serigala jadian 31 tahun lalu, Chuy bukanlah satu-satunya manusia yang berbulu lebat di muka.

    Sindrom

    “Mendiang bapa saudara saya, Manuel Diaz Aceves, ialah orang pertama dalam keluarga kami yang lahir dengan sindrom ini. Dialah yang banyak memberi semangat dan memperkenalkan kami kepada dunia luar,” ujar Chuy yang lahir di Loreto, Zacatecas, Mexico.

    Sementara itu, dalam kalangan adik-beradiknya, Chuy adalah insan kedua, diikuti oleh oleh adik perempuannya Lili, serta dua sepupu mereka, Danny dan Larry.

    “Genetik sindrom ini diwarisi daripada bapa saudara saya. Ibu dan bapa saya adalah manusia normal,” katanya yang lebih dikenali ramai sebagai Budak Serigala atau Budak Monyet.

    Menurut Chuy yang mempunyai lebih 60,000 helai bulu di mukanya, selepas kelahirannya, semakin ramai ahli keluarganya yang terutamanya lelaki menghidap sindrom tersebut.

    “Hari ini, seramai 24 ahli keluarga saya menghidap sindrom serigala jadian, termasuk anak perempuan saya, Carla, 10. Namun keadaan mereka ada yang teruk ada yang tidak.

    “Hipertrikosis bukanlah satu penyakit. Apabila ditanya kepada doktor, mereka menjelaskan ia keadaan kelainan genetik di mana bulu-bulu halus tumbuh berlebihan pada tubuh tanpa diketahui puncanya. Namun, ada juga yang percaya, keadaan ini diwarisi sejak turun-temurun kononnya manusia dikatakan lahir dengan bulu pada seluruh tubuh seperti mawas,” katanya.

    Menurut Pakar Kesihatan Keluarga, Dr. Philip Zaret dari Chicago, Amerika Syarikat (AS), hipertrikosis berlaku sekali dalam 10 juta kelahiran.

    “Seluruh tubuh penghidap sindrom ini akan ditumbuhi bulu, terutamanya pada muka, dada dan belakang badan.

    Mutasi

    “Akibat mutasi genetik dan sel ini, bulu dalam jumlah yang luar biasa akan tumbuh di kawasan yang jarang ditumbuhi bulu seperti kelopak mata dan dahi.

    “Dikenali juga sebagai sindrom serigala jadian, ia boleh hadir semasa bayi dilahirkan atau mula menampakkan simptom semasa kanak-kanak tersebut membesar,” katanya.

    Cerita Chuy lagi, sebelum dia dilahirkan, ibunya dapat merasakan salah seorang daripada anaknya akan lahir dengan sindrom tersebut.

    “Daripada lima beradik, hanya saya dan Lili lahir dengan hipertrikosis. Adik-adik perempuan saya yang lain mempunyai bulu-bulu halus kebanyakannya di dahi dan torso. Namun keadaan mereka tidak seteruk kami.

    “Walaupun lahir dalam keadaan begini, ibu amat menyayangi dan menyokong kami. Ada juga saudara-mara yang menasihatkan ibu supaya berhenti mengandung namun ibu menganggap hipertrikosis sebagai satu rahmat buat anak-anaknya,” ujar Chuy.

    Ditanya tentang pembabitannya dalam bidang persembahan pentas, dia memberitahu, bapa saudaranya Manuel mencadangkan mereka menyertai pertunjukan sarkas.

    “Ketika itu umur saya baru 12 tahun, Lili enam tahun manakala kedua-dua sepupu berumur lima dan tujuh tahun.

    “Roberto Kampa dari Sarkas Kebangsaan Mexico berminat untuk melatih dan menawarkan slot persembahan sarkas kepada kami. Namun, disebabkan bantahan daripada keluarga, hanya Larry dan Danny yang menyertai sarkas manakala Manuel, saya dan Lili merantau untuk menonjolkan keadaan diri sebagai satu keajaiban perubatan,” ceritanya.

    Mengimbas kembali kenangan ketika membuat persembahan pertama, Chuy menganggap ia adalah momen yang cukup menguja dan menggembirakannya.

    “Pada tahun 1999, Manuel, saya, Lili serta seorang sepupu, Veekay menjelajah ke seluruh AS untuk membuat persembahan bersama Sarkas Adik-Beradik Sterling & Reid.

    “Berpeluang mengelilingi AS dan berjumpa dengan rakan baharu adalah pengalaman yang sangat menyeronokkan.

    “Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Saya terkejut apabila berjumpa dengan ramai wanita yang sukakan lelaki berbulu seperti saya. Malah ada yang mengajak saya berkahwin,” katanya.

    Bertemu dengan orang yang kagum dengan kebolehannya membuat persembahan sarkas ternyata mampu membangkitkan semangatnya untuk tampil lebih yakin di khalayak umum.

    Syaitan

    Begitupun, Chuy dan ahli keluarganya tidak dapat lari daripada pandangan serong sebilangan orang terutamanya yang takut dengan rupa mereka.

    “Saya sudah biasa berdepan dengan reaksi negatif sesetengah orang yang melihat kami tidak ubah seperti melihat syaitan dalam rupa manusia.

    “Keadaan muka yang dipenuhi bulu lebat ini juga menyukarkan kami mendapat kerja biasa.

    “Selain itu, kami juga sering menjadi tumpuan orang ramai ketika berada di kawasan awam.

    “Tidak kisah sekiranya ada yang memandang kami dengan pandangan pelik, tetapi hati saya cukup terguris apabila ada yang menghina dan melemparkan kata-kata kesat kepada kami apatah lagi jika saya sedang keluar berjalan dengan Carla atau sepupu-sepupu yang masih muda.

    “Tindakan begitu cukup menyakitkan hati saya kerana ia boleh mengurangkan keyakinan mereka untuk berada dalam masyarakat,” luah Chuy yang pernah melakukan persembahan sarkas menjelajahi New Zealand, Australia, Nauru, Jepun, Taiwan, Amerika Syarikat dan negara-negara Amerika Selatan.

    Selain melakukan persembahan sarkas bersama ahli keluarganya, Chuy juga pernah dijemput menyertai program bersama Ripley’s Believe or Not selama enam bulan di Taiwan sehinggakan hatinya terpaut untuk menetap lebih lama di negara tersebut.

    Chuy juga muncul dalam rancangan The Most Extreme yang disiarkan di saluran Animal Planet selain satu temu bual eksklusif, Tiger Aspect, untuk siaran di Britain.

    “Apa yang saya cukup suka dengan program tersebut, saya diberi penghormatan dan layanan sama seperti manusia normal yang lain. Mereka tidak membezakan saya dan tidak terlalu menganggap saya sebagai satu kejadian pelik.

    “Saya turut berpeluang melakukan banyak perkara menarik terutamanya bermain boling,” katanya yang pernah muncul dalam video muzik kumpulan Turbonegro dari Norway.

    Kosmo!

    20 Januari 2013

    Tubuh sentiasa dibungkus

    Sunday, March 31, 2013

    0 comments  

    Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

    MALANG benar nasib gadis cilik, Isra Frank (gambar), 7, dari Stoke on Trent, sebuah bandar di Staffordshire, England yang akan berasa kesakitan luar biasa hanya kerana ciuman.

    Isla memiliki alergi serius sehingga satu ciuman sahaja terasa seperti membunuhnya. Pernah terjadi pada suatu hari, ketika saudara perempuannya mencium Isla setelah habis minum susu, Isla berasa kulitnya seperti terbakar.

    Keadaannya sangat parah sehingga dia dikejarkan ke hospital berdekatan. Bagi melindungi kulit Isla yang sangat sensitif, tubuh gadis mungil itu dibalut dengan kain kasa bermula di leher hingga ke kaki selama 24 jam sehari.

    Dalam kehidupan seharian, pengawasan ketat dijalankan kedua-dua ibu bapanya. Mereka harus menyimpan pakaian Isla ke dalam peti sejuk kerana kulit Isla akan bertindak balas terhadap kutu dan debu yang terdapat pada almari pakaian.

    Untuk makanan, dia juga memiliki almari khusus dan tindakan ini terpaksa dilakukan demi meminimumkan sentuhan dengan objek lain.

    Ibunya, Katy memberitahu, anaknya itu didiagnosis mempunyai alergi teruk terhadap telur, susu, rumput, gandum dan debu sejak usianya enam bulan. Mulai saat itu, tubuh Isla harus dibungkus kain kasa untuk melindungi kulitnya.

    "Kami tidak dapat melayannya seperti kanak-kanak lain. Bahkan perkara normal seperti pergi keluar makan malam bersama keluarga akan membahayakan dia," ujarnya kepada akhbar Dailymail.

    Bengkak

    Bertambah usia, alergi Isla semakin banyak. Semasa alerginya menyerang, kulitnya akan dipenuhi ruam-ruam besar, lehernya bengkak, dan Isla akan berasa marah sekali gus mengerang kesakitan.

    "Bulan lalu, dia diserang alergi setelah duduk di sebelah rakannya yang memiliki kucing," ujar Katy.

    Walaupun menjalani kehidupan sekolah seperti kanak-kanak lain, Isla kerap dihantar pulang kerana alerginya yang kerap menyerang. Dia juga tidak dibenarkan pergi ke pesta atau bermain di rumah rakannya apatah lagi untuk berada berdekatan dengan temannya.

    Jika mereka tidak sengaja menyentuh Isla, ia pasti berakhir dengan kesakitan. Isla juga tidak boleh terlibat dalam aktiviti olahraga.

    "Isla kadangkala marah kerana tidak bebas melakukan aktiviti seperti rakan-rakannya. Pernah dia bertanya kepada saya bagaimana rasanya aiskrim itu, dan pertanyaan itu amat menyedihkan," beritahu beliau.

    Jelas Katy, dia terpaksa tidur bersama anaknya itu pada setiap malam kerana takut Isla akan membuka balutan kain kasa itu ketika tidur.

    "Banyak perkara yang dilakukan kanak-kanak seusianya terpaksa ditinggalkan oleh Isla tetapi saya percaya dia seorang anak yang berani dan tidak akan membiarkan alerginya itu mengongkong pergerakan dirinya daripada menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak normal.

    "Ia kedengaran agak pelik apabila terpaksa membiarkan anak kita membesar di dalam balutan kain kasa itu tetapi saya terpaksa demi menyelamatkannya," ujarnya.

    Kosmo!

    13 Januari 2012

    Anak haiwan macam manusia

    Thursday, March 21, 2013

    0 comments  

    Oleh SYALMIZI HAMID

    PENDUDUK sebuah kampung di Thailand menganggap kelahiran pelik ini sebagai tuah.

    BAGI sesetengah orang, kelahiran anak haiwan yang memiliki sifat fizikal seperti manusia mungkin dianggap sebagai akibat kesilapan genetik. Namun, ramai antara mereka yang berfikiran tradisional menganggapnya sebagai satu keajaiban.

    Cerita mengenai kelahiran seekor anak kerbau yang menyerupai bayi manusia pernah dilaporkan berlaku di sebuah wilayah di Thailand apabila ia kelihatan seolah-olah seorang bayi yang mempunyai ekor.

    Penduduk kampung tersebut percaya bahawa kelahiran itu akan memberi tuah kepada seluruh penduduk biarpun ia terus mati sejurus dilahirkan.

    Secara fizikalnya anak kerbau berwarna hitam itu memiliki bentuk yang pelik. Ia boleh berbaring secara terlentang dan memiliki kepala yang persis manusia. Kuku kaki dan tangannya pula seperti seekor kerbau biasa.

    Bangkai anak kerbau yang diletakkan di dalam sebuah bangsal itu menjadi tempat penduduk melakukan pemujaan terhadapnya.

    Bagaimanapun maklumat sahih mengenai kejadian itu tidak dipastikan kerana tiada maklumat yang didedahkan selain daripada gambar yang disebarkan di internet. Kelahiran aneh tersebut didakwa berlaku pada tahun 2007.

    Pada 22 Januari lalu pula penduduk di sebuah bandar di Sokoto, Nigeria terkejut apabila seekor biri-biri melahirkan anak yang menyerupai manusia yang hodoh di sebuah hospital veterinar.

    Kebanyakan penduduk mendakwa kejadian itu mungkin terjadi akibat ilmu hitam. Sesetengahnya pula percaya bahawa seseorang telah melakukan persetubuhan dengan ibu biri-biri tersebut.

    “Kejadian itu sangat luar biasa. Melihat seekor biri-biri melahirkan anak yang separuh manusia dan separuh biri-biri adalah sesuatu yang misteri dan ia menunjukkan betapa teruknya sikap manusia.

    “Saya tidak dapat membayangkan bagaimana manusia boleh melakukan hubungan seks dengan haiwan,” kata seorang penduduk yang juga pelumba motosikal, Garbu Aminu.

    Bagaimanapun, seorang pakar di hospital veterinar di negara tersebut, Dr. Ismail Usman menjelaskan, kelahiran aneh itu berlaku akibat mutasi genetik.

    “Saya sangat terkejut dengan khabar angin ini sedangkan tiada apa yang aneh selain keadaan tidak normal dari sudut saintifik.

    “Ketika pemilik biri-biri itu membawanya ke sini untuk membantunya beranak, kami sudah mengagak kandungannya tidak normal,” katanya seperti dipetik daripada Daily Sun.

    Anak biri-biri tersebut lahir dua hari lebih lewat. Hal itu turut dikaitkan oleh pakar tentang mengapa keadaan fizikalnya menjadi tidak normal.

    Pakar haiwan di Klinik Veterinar Fakon Idi, Sokoto, Nigeria, Dahiru Sani yang menjalankan pembedahan kelahiran itu menjelaskan bahawa jangkitan, pengambilan dadah berlebihan dan radiasi boleh menjadi punca kepada keadaan sebegitu kepada haiwan.

    “Ramai yang mendakwa bahawa ia seekor biri-biri yang kelihatan seperti bayi, tetapi dalam sains ia cuma satu keadaan yang disebabkan oleh insiden,” katanya.

    Kelahiran sama pernah berlaku di sebuah kampung di Izmir, Turki pada tahun 2010 apabila seekor anak biri-biri yang menyerupai wajah manusia telah dilahirkan selain yang berlaku kepada seekor anak kambing yang lahir pada 2009 di Zimbabwe.

    Bagaimanapun hayat kedua-dua anak kambing dan biri-biri itu tidak lama apabila ia dibunuh oleh penduduk kampung yang marah.

    Kosmo!

    4 November 2012

    Wajah cair bagai lilin

    Monday, March 11, 2013

    0 comments  

    Oleh MAHFUZ MOHAMAD

    KEHIDUPAN Chandra Wisnu berubah apabila mula mendapat ketumbuhan pada muka dan badannya pada usia 19 tahun


    MEMPUNYAI wajah yang seakan-akan cair seperti lilin, Mohammad Latif Khatana yang berasal dari Kashmir, India, menempuh masa sukar dalam hidupnya kerana wajah yang pelik.

    Lelaki berusia 32 tahun yang hidup di wilayah sangat daif itu menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan menelan semua sindiran dan cercaan orang ramai hanya kerana ketumbuhan di wajahnya.

    Latif dilahirkan dengan ketumbuhan kecil pada mukanya tetapi ia mulai membesar saban tahun sehingga akhirnya menutup muka dan pancainderanya.

    Anak bongsu daripada enam adik beradik itu merupakan satu-satunya anggota keluarga yang menghidap penyakit yang dipanggil neurofibromatosis itu.

    Bagi Latif, adik-beradiknya merupakan inspirasi kehidupan tatkala dia kesunyian akibat dipinggirkan masyarakat sekeliling.

    “Ibu masih menangis setiap kali melihat saya. Dia rasa bersalah dan tidak faham mengapa anak bongsunya ditimpa nasib sebegini.

    “Tidak ada orang yang mahu bermain dengan saya. Setiap hari saya dipukul dan diejek oleh kanak-kanak lain. Saya kehilangan mata kiri ketika berusia lapan tahun. Mereka memanggil saya si mata satu,” katanya.

    Tidak sempurna

    Disebabkan wajahnya yang menakutkan, Latif tidak dapat mencari pekerjaan dan terpaksa mengemis untuk mencari sesuap nasi untuk kelangsungan hidup keluarganya. Hasil daripada simpati orang ramai, beliau mampu memperoleh 400 rupee (RM25) sehari.

    Kekurangan Latif juga menyebabkan dia sukar mencari jodoh. Ibu bapanya berusaha mencari isteri untuknya tetapi tidak ada wanita yang sudi berkahwin dengan Latif sehinggalah dia mendengar mengenai Salima.

    “Isteri saya hanya mempunyai sebelah kaki sahaja dan sudah lama dia berusaha untuk mendapatkan seorang suami.

    “Sebaik bertemu, kami sedar bahawa kami dicipta untuk satu sama lain. Kami berdua tidak sempurna anggota dan itu menjadikan kami pasangan yang sepadan,” katanya.

    Kini dia gembira apabila mendapat berita wanita yang dikahwinnya itu hamil tetapi dia begitu bimbang, anak yang bakal dilahirkan itu akan berwajah sepertinya.

    “Saya tidak sabar untuk menjadi bapa dan memiliki sedikit kebahagiaan dalam kehidupan saya. Tetapi saya bimbang dan berdoa setiap hari supaya anak saya tidak dilahirkan seperti saya.

    Kesengsaraan Latif itu turut dirasai oleh Chandra Wisnu, 57. Lelaki separuh abad dari Indonesia itu menghidap penyakit sama seperti Latif, bagaimanapun wajah Chandra ditumbuhi ketulan seperti gelembung tumbuh.

    Ketulan kecil itu mula tumbuh di mukanya ketika dia berumur 19 tahun tetapi ia hanya merebak ke bahagian belakang badannya pada usia 24 tahun. Dalam tempoh lapan tahun, seluruh tubuh Chandra ditumbuhi gelembung.

    Keadaan tersebut adalah kerana faktor genetik dan mungkin disebabkan oleh kelainan pada sistem saraf yang menyebabkan tumor pada kulit atau tulang. Walaupun diberikan bermacam-macam jenis krim, namun ketulan tersebut terus merebak.

    Sangat aneh

    “Penyakit ini memberi kesan besar terhadap kehidupan saya, ketulan itu sangat gatal dan sakit ketika cuaca panas. Bagi mengelakkan daripada gatal dan menghentikan jelingan orang ramai, saya akan pakai jaket tiga lapis dan menutup kepala jika hendak keluar.

    “Orang tidak pernah mengolok-olok atau memperkecilkan saya secara langsung, tetapi mereka merenung dan mengelakkan saya, kebanyakan orang bertindak sangat aneh di sekeliling saya.

    ”Ia membuatkan saya berasa amat tidak selamat dan marah apabila orang melayan saya dengan cara berbeza. Orang menjadi takut dengan muka saya yang mengerikan dan bimbang akan berjangkit kepada mereka.

    ”Saya jarang keluar kecuali untuk mengambil anak perempuan saya dari sekolah dengan menutup kepala dan muka kerana tidak mahu anak saya dibuli kawan sekolahnya kerana mempunyai ayah seperti saya,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

    Kebimbangan Chandra makin bertambah apabila dua orang anaknya iaitu Martin Ananda dan Lis Chandra mempunyai ketumbuhan yang sama pada tubuh mereka.

    “Mereka hanya mempunyai beberapa ketulan kecil pada masa ini tetapi mereka bimbang akan datang ia akan menjadi lebih buruk.

    “Saya amat berbesar hati sekiranya ada pihak yang sanggup memberikan rawatan secara percuma.

    “Tetapi sekarang satu-satunya penawar yang saya ada ialah keluarga yang terus memberikan sokongan moral,” ujarnya.

    Kosmo!

    14 Oktober 2012

    Manusia kebal bukan karut

    Thursday, February 21, 2013

    0 comments  

    Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

    TRICHAN mengambil ayam goreng daripada minyak bersuhu 480 darjah Celcius dengan tangan

    MANUSIA secara semula jadi akan cedera bahkan boleh terbunuh jika badannya ditusuk benda tajam seperti pisau atau ditembak dengan senjata api. Jarang sekali ada orang yang bertubuh kebal.

    Bagaimanapun, cerita manusia kebal popular di seluruh dunia. Pada tahun 2008, daerah Gorontalo di Indonesia gempar dengan kelibat seorang lelaki yang digelar Tarzan kerana tidak lut peluru.

    Kejadian itu bermula selepas Tarzan membunuh seorang anggota polis yang datang ke rumahnya bersama seorang orang kampung untuk menagih hutang wang yang dipinjamnya.

    Sebagai tindak balas, sepasukan anggota polis menyerbu rumah Tarzan dan melepaskan 107 tembakan yang mengenai tubuh lelaki pelik itu. Anehnya, peluru itu langsung tidak mencederakan Tarzan.

    Pihak polis yang terkejut dengan kejadian itu buntu. Kemudian, seorang jiran Tarzan memberitahu bahawa kekebalan lelaki itu terletak pada sebentuk cincin yang dipakai di jari kanannya.

    Berdasarkan maklumat itu, pihak polis menyasarkan tembakan ke arah cincin itu hingga ia terlucut dan akhirnya membolehkan peluru menembusi tubuh lelaki itu.

    Kadangkala manusia bukan sahaja tidak lut senjata tajam malah kebal daripada arus elektrik dan minyak panas.

    Di Indonesia juga, seorang lelaki yang digelar Manusia Elektrik, Suparlan, 59, ‘kebal’ daripada arus elektrik sejak kecil lagi.

    Dia yang mempunyai sembilan anak dan 12 cucu berkata, rasa terkena kejutan elektrik sama seperti digigit semut.

    “Sekiranya sakit badan atau lenguh, memegang kabel yang mengandungi arus elektrik boleh membuatkan tubuh saya menjadi segar,” katanya yang bekerja sebagai juruelektrik di sebuah syarikat tenaga di negara itu.

    Di Chiang Mai, Thailand, Kann Trichan, 50, selamba mencelupkan tangannya ke dalam minyak panas.

    Trichan ialah pemilik sebuah kedai makan yang menyediakan menu ayam goreng. Setiap kali menggoreng ayam, lelaki itu mencelupkan tangannya ke dalam kuali untuk mengambil ketulan ayam yang telah masak.

    Peliknya, tangan Trichan tidak pernah melecur. Kebolehan luar biasa itu menyebabkan ramai orang berkunjung ke kedainya.

    Otot

    Trichan menyedari kemampuan uniknya itu semasa berusia tujuh tahun ketika dia menjual makanan di bawah sebatang pohon mangga.

    Tanpa diduga, seekor tupai menjatuhkan sebiji mangga ke dalam kuali minyak panas hingga minyak itu terpercik mengenai sebahagian besar tubuh Trichan.

    “Saya fikir akan cedera parah tetapi tiada apa yang berlaku,” kenangnya.

    Kemampuan Trichan mendapat pengiktirafan Guiness Book of Records sebagai lelaki yang paling pantas mengambil ayam goreng dalam minyak bersuhu 480 Celcius dengan tangan iaitu sebanyak 20 ketul dalam tempoh seminit.

    Berdasarkan ilmu fizik, kemampuan Trichan disebabkan kesan Leidenfrost iaitu fenomena pembentukan lapisan tipis pada cairan (atau kulit) untuk mencegah pertukaran suhu.

    Tindak balas kimia ini terjadi secara spontan ketika cairan panas bersentuhan dengan kulit manusia walaupun pada suhu yang ekstrem.

    Menurut Ketua Unit Jabatan Anatomi, Fakulti Kesihatan dan Perubatan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohamad Aris Mohd. Moklas, tiada istilah kebal dalam bidang sains.

    Ini kerana lapisan kulit manusia hanya mempunyai tisu yang lembut. Beliau menyangkal dakwaan bahawa tubuh manusia mengandungi besi tetapi bersetuju jika badan manusia mempunyai zat besi dalam bentuk terampai.

    “Kebal mungkin dikaitkan dengan keadaan tubuh seseorang. Jika badannya berotot pejal maka potensi untuk dia luka lebih kecil,” terang beliau.

    Lemak dalam badan turut menjadi faktor. Kata Aris, seseorang yang berotot, kurang lemak dalam tubuhnya.

    “Lemak yang wujud di bawah kulit membuatkan badan seseorang lebih lembut dan potensi untuk luka lebih tinggi.

    “Sama seperti beberapa individu yang berjalan di atas api, bukan disebabkan dia kebal tetapi kulit tapak kaki manusia sebenarnya lebih tebal berbanding kulit di bahagian lain,” ujarnya.

    Tutur Aris, kepantasan seseorang berjalan di atas kaca pula membantu mengelakkannya daripada mendapat luka yang parah.

    Namun, beliau menghormati pandangan yang mengatakan manusia boleh menjadi kebal kerana katanya, setiap kejadian pasti ada rahsia di sebaliknya.

    Kosmo!

    2 September 2012

    Haiwan khayalan Afrika

    Tuesday, February 12, 2013

    0 comments  

    Oleh SYALMIZI HAMID

    BIARPUN terdapat ciri-ciri badan seperti kuda belang dan keldai, okapi sebenarnya daripada keluarga zirafah.

    OKAPI pernah dianggap sebagai binatang mitos oleh penduduk di tengah Afrika. Apatah lagi sejak zaman dahulu lagi masyarakat tempatan sering dimomokkan dengan kisah dongeng berkaitan haiwan yang tidak pernah mereka temui itu.

    Ia turut menjadi cerita rakyat di Eropah apabila orang tempatan kerap bercerita mengenainya hinggakan orang luar turut mempercayai kewujudannya.

    Lebih menguatkan dakwaan yang ia sejenis haiwan khayalan ialah apabila tubuhnya digambarkan sebagai pelik. Ada juga yang menyangka okapi merupakan jelmaan hantu hutan.

    Jadi, tidak hairanlah jika okapi pernah dianggap mitos kerana badannya kelihatan seolah-olah seekor keldai manakala dua pasang kakinya persis seekor kuda belang. Ia mempunyai lidah sepanjang kira-kira 35 sentimeter dan wajah seperti seekor zirafah.

    PANJANG lidah okapi boleh mencapai kira-kira 35 sentimeter.

    Namun pada sekitar tahun 1900-an, persepsi dunia mengenai haiwan mitos itu berubah apabila haiwan yang digelarkan sebagai unikorn Afrika itu buat pertama kalinya ditemui dan dicatatkan.

    Seorang pengkaji Amerika Syarikat, Henry Morton Stanley menemui haiwan tersebut pada tahun 1887 dan mencatat penemuan itu dalam jurnal peribadinya, The Darkest Africa. Stanley menggelarkan haiwan itu sebagai Atti.

    “Saintis menemui haiwan misteri itu kurang sedekad sebelum Ekspedisi Congo dilancarkan pada tahun 1909.

    “Namun begitu, hingga sekarang sejarah hidup dan habitat asal haiwan itu belum difahami sepenuhnya,” ujar seorang penulis alam sekitar dan sains, Gordy Slack.

    Tambah Slack, okapi yang hanya terdapat di kawasan hutan hujan Ituri iaitu bahagian timur laut Republik Demokratik Kongo di bahagian tengah Afrika dikelaskan sebagai haiwan daripada keluarga zirafah.

    RANGKA zirafah purba yang pernah ditemui di Pikermi Greece menyamai rangka milik okapi.


    Zirafah

    Bekas Gabenor British di Uganda, Henry Johnston yang berminat dengan haiwan itu pernah melakukan kajian lebih terperinci tentang kewujudan okapi pada tahun 1901.

    Pada ketika itu, para saintis di London yang turut serta dalam kajian Johnston mendapati bahawa haiwan misteri itu dikelaskan sebagai kuda belang yang tidak diketahui spesiesnya.

    Bagaimanapun, selepas kajian lebih terperinci ke atas kulit dan tulang okapi pada tahun 1938, pengkaji mendapati ia menyamai genetik spesies zirafah purba yang ditemui di Greece.

    Ketika itulah, misteri haiwan yang dikatakan mitos itu dibuktikan benar-benar wujud. Namun, ia bukanlah seekor kuda mahupun kuda belang, sebaliknya dikelaskan sebagai keluarga zirafah.

    “Walaupun jelas pada kakinya ia adalah seperti seekor kuda belang, hakikatnya okapi dan zirafah adalah daripada keluarga yang sama.

    “Begitupun, belum ada bukti yang mengesahkan sama ada ia adalah hasil kacukan ataupun wujud sejak azali.

    “Okapi merupakan mamalia terakhir yang ditemui di dunia pada tahun 1900-an,” kata Pengarah Zoo Bronx di New York, Amerika Syarikat, Jim Breheny.

    Selain di Zoo Bronx, okapi kini popular di beberapa buah zoo di Amerika Utara dan Eropah. Haiwan itu dikatakan sebagai fosil hidup kerana pernah disahkan pupus tetapi kembali ditemui di kawasan tersebut.

    Kini selain boleh dilihat di beberapa buah zoo terbabit, habitat okapi masih dijumpai di Republik Demokratik Kongo.

    Menurut fakta, terdapat 154 ekor okapi di 42 buah zoo yang majoritinya di Amerika Utara dan Eropah, manakala masih ada kira-kira 20,000 ekor okapi yang hidup bebas.

    Kosmo!

    5 Ogos 2012

    Lubang neraka dunia

    Tuesday, February 5, 2013

    0 comments  

    Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

    BAGI umat Islam, neraka merupakan tempat orang berdosa mendapat seksaan pada hari akhirat kelak.

    'Lubang neraka' yang terdapat di Derweze, Turkmenistan

    Begitupun, penduduk bandar kecil Derweze di Turkmenistan gempar dengan kemunculan sebuah ‘lubang neraka’ berhampiran kediaman mereka sejak tahun 1971 hingga sekarang.

    Lokasi itu merujuk kepada sebuah lubang api yang luas ternganga sehingga ia digelar Pintu Neraka.

    Menurut penduduk, lubang itu seluas dua padang bola sepak. Kedalamannya mencapai 30 meter manakala apinya masih bernyala sehingga hari ini.

    Lubang itu ditemui oleh sekumpulan ahli geologi semasa era Soviet Union ketika mereka melakukan aktiviti penggalian bawah tanah menggunakan jentera berat.

    Semasa kerja-kerja giat dijalankan, tidak semena-mena permukaan tanah di tapak penggalian itu runtuh menyebabkan kesemua peralatan menggerudi jatuh ke dalam sebuah lubang yang besar.

    Pada masa yang sama, lubang itu mengeluarkan api yang bahangnya boleh dirasai hingga beberapa ratus meter jauhnya.

    Api itu tidak pernah padam walaupun semasa hujan lebat. Malah, ukuran diameternya semakin membesar setiap tahun.

    Sebuah akhbar Finland, Ammennusatia pernah menyiarkan sebuah artikel yang menyebut ia bukan sekadar sebuah lubang biasa.

    Menurut akhbar itu, kumpulan ahli geologi itu mendakwa mendengar suara seperti jeritan ribuan manusia yang sedang diseksa meminta tolong manakala sebahagian yang lain kedengaran seperti orang Islam sedang bertahlil.

    Rakaman

    Bunyi rakaman yang didakwa daripada Pintu Neraka itu masih boleh didengar di Youtube dengan pengendali klip video itu mendakwa ia sebenarnya suara roh orang mati di alam barzakh.

    “Ia cukup menakutkan kami tentang kehidupan yang terdapat di lubang itu,” jelas ketua projek di Derweze, Dr. Dmitri Azzacov.

    Azzacov menggunakan sejenis mikrofon sensitif yang berperanan mendengar bunyi atau pergerakan di dalam bumi.

    “Apa yang kami dengar ibarat satu perkara logik yang tidak masuk akal. Saya seorang pengikut setia fahaman komunis yang tidak mempercayai agama dan hari pembalasan.

    “Tetapi setelah mendengar jeritan itu saya mula mempercayai adanya Tuhan serta soal dosa dan pahala,” kata Azzacov.

    'Lubang neraka' yang dilihat dari dekat

    Dia juga melihat pada waktu malam gas terang berbentuk seperti jin yang mempunyai dua sayap pada bahagian kiri dan kanan badannya terbang.

    “Kejadian itu menakutkan sehingga ramai penduduk bertempiaran lari,” kata seorang saksi, Bjarne Nummedal yang mengatakan lembaga itu hilang beberapa minit kemudian.

    Namun, misteri itu disangkal oleh sebuah laman berita www.truthorfiction.com yang mengatakan kisah tersebut rekaan semata-mata dan disensasikan oleh media pada awal 1990-an.

    Menurut wartawan laman web itu, Rich Buhler, lubang itu sememangnya wujud tetapi ia terhasil disebabkan simpanan gas asli yang besar di Derweze.

    “Mereka menyalakan api untuk memastikan gas asli yang tercemar itu tidak merebak dan membahayakan masyarakat sekeliling. Soal jeritan seperti penghuni neraka itu tidak benar sama sekali,” katanya.

    Ujarnya, cerita itu sengaja direka oleh kumpulan pelampau agama untuk menakut-nakutkan manusia.

    “Artikel itu memang ada disiarkan oleh akhbar Ammennusatia tetapi ia berdasarkan surat pembaca yang menulis pengalamannya.

    “Setelah disiasat, penulis artikel berkenaan juga tidak dapat dikesan manakala cerita itu ditokok tambah,” kata Buhler.

    Malangnya, Buhler tidak cuba mencari Azzacov serta menguji kebenaran foto dan rakaman suara aneh itu.

    Kosmo!

    29 Julai 2012