INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas
Showing posts with label Fenomena Alam. Show all posts
Showing posts with label Fenomena Alam. Show all posts

Lubang neraka dunia

Tuesday, February 5, 2013

0 comments  

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

BAGI umat Islam, neraka merupakan tempat orang berdosa mendapat seksaan pada hari akhirat kelak.

'Lubang neraka' yang terdapat di Derweze, Turkmenistan

Begitupun, penduduk bandar kecil Derweze di Turkmenistan gempar dengan kemunculan sebuah ‘lubang neraka’ berhampiran kediaman mereka sejak tahun 1971 hingga sekarang.

Lokasi itu merujuk kepada sebuah lubang api yang luas ternganga sehingga ia digelar Pintu Neraka.

Menurut penduduk, lubang itu seluas dua padang bola sepak. Kedalamannya mencapai 30 meter manakala apinya masih bernyala sehingga hari ini.

Lubang itu ditemui oleh sekumpulan ahli geologi semasa era Soviet Union ketika mereka melakukan aktiviti penggalian bawah tanah menggunakan jentera berat.

Semasa kerja-kerja giat dijalankan, tidak semena-mena permukaan tanah di tapak penggalian itu runtuh menyebabkan kesemua peralatan menggerudi jatuh ke dalam sebuah lubang yang besar.

Pada masa yang sama, lubang itu mengeluarkan api yang bahangnya boleh dirasai hingga beberapa ratus meter jauhnya.

Api itu tidak pernah padam walaupun semasa hujan lebat. Malah, ukuran diameternya semakin membesar setiap tahun.

Sebuah akhbar Finland, Ammennusatia pernah menyiarkan sebuah artikel yang menyebut ia bukan sekadar sebuah lubang biasa.

Menurut akhbar itu, kumpulan ahli geologi itu mendakwa mendengar suara seperti jeritan ribuan manusia yang sedang diseksa meminta tolong manakala sebahagian yang lain kedengaran seperti orang Islam sedang bertahlil.

Rakaman

Bunyi rakaman yang didakwa daripada Pintu Neraka itu masih boleh didengar di Youtube dengan pengendali klip video itu mendakwa ia sebenarnya suara roh orang mati di alam barzakh.

“Ia cukup menakutkan kami tentang kehidupan yang terdapat di lubang itu,” jelas ketua projek di Derweze, Dr. Dmitri Azzacov.

Azzacov menggunakan sejenis mikrofon sensitif yang berperanan mendengar bunyi atau pergerakan di dalam bumi.

“Apa yang kami dengar ibarat satu perkara logik yang tidak masuk akal. Saya seorang pengikut setia fahaman komunis yang tidak mempercayai agama dan hari pembalasan.

“Tetapi setelah mendengar jeritan itu saya mula mempercayai adanya Tuhan serta soal dosa dan pahala,” kata Azzacov.

'Lubang neraka' yang dilihat dari dekat

Dia juga melihat pada waktu malam gas terang berbentuk seperti jin yang mempunyai dua sayap pada bahagian kiri dan kanan badannya terbang.

“Kejadian itu menakutkan sehingga ramai penduduk bertempiaran lari,” kata seorang saksi, Bjarne Nummedal yang mengatakan lembaga itu hilang beberapa minit kemudian.

Namun, misteri itu disangkal oleh sebuah laman berita www.truthorfiction.com yang mengatakan kisah tersebut rekaan semata-mata dan disensasikan oleh media pada awal 1990-an.

Menurut wartawan laman web itu, Rich Buhler, lubang itu sememangnya wujud tetapi ia terhasil disebabkan simpanan gas asli yang besar di Derweze.

“Mereka menyalakan api untuk memastikan gas asli yang tercemar itu tidak merebak dan membahayakan masyarakat sekeliling. Soal jeritan seperti penghuni neraka itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Ujarnya, cerita itu sengaja direka oleh kumpulan pelampau agama untuk menakut-nakutkan manusia.

“Artikel itu memang ada disiarkan oleh akhbar Ammennusatia tetapi ia berdasarkan surat pembaca yang menulis pengalamannya.

“Setelah disiasat, penulis artikel berkenaan juga tidak dapat dikesan manakala cerita itu ditokok tambah,” kata Buhler.

Malangnya, Buhler tidak cuba mencari Azzacov serta menguji kebenaran foto dan rakaman suara aneh itu.

Kosmo!

29 Julai 2012

Tarantula melompat cetus panik

Thursday, January 17, 2013

0 comments  


Ia kedengaran seperti satu adegan filem seram tetapi kegembiraan perayaan keagamaan, Bihu, di sebuah kampung di Sadiya, negeri Assam, India bertukar gempar apabila sekumpulan besar labah-labah menceroboh kampung dan menggigit penduduk.

Menurut Times of India, serangga berkaki lapan itu tiba-tiba muncul di Kampung Chaulkhowa Nagaon pada 8 Mei lalu tanpa diketahui dari mana datangnya. Akhbar itu turut menggelar insiden itu sebagai 'serangan labah-labah'.

Salah seorang mangsa labah-labah pembunuh itu, Jintu, terselamat selepas dimasukkan ke Hospital Awam Sadiya pada hari yang sama. Dia mengadu sakit teruk dan loya. Malangnya, seorang jirannya mati selepas digigit makhluk berbulu itu.

Bagaimanapun, itu hanyalah permulaan. Berdozen lagi orang datang ke hospital pada beberapa hari berikutnya dengan kesan gigitan labah-labah di tubuh masing-masing.

Salah seorang daripada mereka ialah budak sekolah yang dipercayai mati akibat serangan yang tidak disangka-sangka itu.

Bomoh

Pihak berkuasa daerah Tinsukia serta-merta meminta orang ramai supaya tidak keluar rumah pada waktu malam. Mereka bahkan melakukan semburan asap bagi membunuh haiwan araknid itu.

Sepasukan saintis daripada Universiti Dibrugarh dan Universiti Gauhati tiba di Sadiya beberapa hari kemudian bagi mengumpul spesimen terbabit.

Ketua Jabatan Sains Kehidupan, Universiti Dibrugarh, Dr. L R Saikia berkata pihaknya gagal mengenal pasti spesies labah-labah itu.

Tarantula Violet India, spesies yang dikatakan menyerang sebuah perkampungan di India

Beliau berkata, rupa labah-labah itu sama seperti tarantula namun ada kemungkinan ia spesies baharu. Ini kerana spesies itu lebih agresif dan boleh melompat ke atas tubuh manusia atau benda yang menghampirinya.

Bagaimanapun, kematian dua mangsa itu tidak dapat disahkan puncanya kerana mayat mereka dibakar sebelum bedah siasat dilakukan.

Seorang doktor di Hospital Sadiya berkata, kesemua mangsa telah mendapatkan khidmat bomoh terlebih dahulu sebelum dibawa ke hospital.

"Bomoh terbabit menoreh kesan gigitan dengan pisau cukur, membuang darah kotor dan membakar kesan luka itu. Tindakan itu juga boleh menyebabkan mangsa bertambah sakit malah mengundang kematian," kata doktor itu seperti dipetik akhbar tempatan.

Ketika saintis India masih mengkaji tahap bisa labah-labah di Sadiya, tarantula terus memiliki reputasi sebagai labah-labah paling digeruni kerana pernah membunuh manusia.

Bagaimanapun, ia bukan alasan untuk para penggemarnya tidak memelihara haiwan itu.

Bagi Presiden Persatuan Tarantula Malaysia, Dannis Teh, tarantula merupakan khazanah yang sangat bernilai. "Bilangan ahli persatuan ini yang sebanyak 3,000 orang sudah cukup untuk menggambarkan populariti tarantula di negara ini," beritahu beliau.

Minat Dannis, 29, terhadap tarantula bermula pada tahun 1998 apabila beliau mengkaji hobi individu di luar negara yang gemar menjadikan spesies eksotik itu sebagai haiwan peliharaan.

"Koleksi tarantula pertama saya adalah daripada spesies Costa Rican Zebra yang dibeli pada harga RM38 pada tahun 2005. Saya membelinya daripada seorang peminat tarantula tempatan.

"Ketika itu, tarantula berkenaan hanya sebesar duit syiling 5 sen, sekarang saiznya ialah 11 sentimeter," cerita beliau yang memiliki lebih 40 ekor tarantula di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Dannis, beliau juga seorang peminat anjing tetapi perbelanjaan untuk mengumpul tarantula adalah lebih murah.

Saiz

"Secara peribadi saya berpendapat tarantula merupakan spesies yang mengagumkan dan banyak lagi sifat dan sensitivitinya yang kita belum ketahui sepenuhnya," ujarnya sambil memberitahu, tiada labah-labah yang lebih besar daripada tarantula.

Dannis berkata, beliau gemar membeli labah-labah yang masih kecil kerana ingin melihat tumbesarannya.

"Walaupun digembar-gemburkan sebagai berbisa, saya tidak pernah disengat tarantula," cerita Dannis yang mengikuti kisah serangan tarantula di India baru-baru ini.

Dannis menyifatkan tarantula sebagai makhluk pemalu, suka bersembunyi dalam kegelapan dan hanya bertindak menyerang apabila berasa dirinya terancam.

"Jika mahu mengelak daripada disengat tarantula, jangan berlagak seperti hero semasa bermain dengannya," kata beliau yang telah berjaya melakukan pembiakbakaan tarantula yang menghasilkan corak berwarna-warni pada badannya.

Dari segi pemakanan, labah-labah itu diberikan makanan sekali atau dua kali dalam seminggu di samping air yang secukupnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Zoo Negara, Dr. Muhammad Danial Felix menjelaskan, terdapat lebih 900 spesies tarantula di dunia manakala sebanyak 23 spesies tarantula direkodkan ditemui di Malaysia pada tahun lalu.

Beliau berkata, terdapat perbezaan antara labah-labah biasa dengan tarantula walaupun kedua-dua spesies berasal daripada keluarga yang sama.

"Labah-labah bersaiz kecil dan hanya membina sawang di atas dan memerangkap mangsa dengan sawang, manakala tarantula membina sawang di atas tanah seperti katil untuk berehat sahaja," ujarnya.

Menurut beliau, dari segi fizikal tarantula bersaiz lebih besar berbanding labah-labah serta berbulu. Saiznya boleh mencecah lebih 30 sentimeter.

Katanya, seekor tarantula betina mempunyai jangka hayat sehingga 35 tahun berbanding tujuh tahun bagi tarantula jantan.

Habitat makhluk ini boleh didapati di Asia, Afrika, Amerika Tengah dan Selatan serta Australia.

Kata Muhammad Danial, 46, makanan utama tarantula adalah labah-labah yang lebih kecil, serangga, belalang dan lipas.

Selain itu, katanya, tikus, cicak, katak, ular dan anak burung turut menjadi makanannya.

Kosmo!

10 Jun 2012

Hujan darah, hujan lembu

Monday, January 14, 2013

0 comments  

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

DEBU pasir Gurun Sahara didakwa penyebab berlakunya hujan berwarna di seluruh dunia

HUJAN emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri. Begitu indahnya peribahasa Melayu itu yang bermaksud sesuatu itu sememangnya lebih baik di kampung halaman sendiri.

Bagaimanapun, fenomena hujan berwarna merah seakan-akan darah yang melanda Kerala, India selama dua bulan bermula 25 Julai 2001 masih menjadi misteri hingga sekarang.

Bukan sahaja lebih 500,000 meter padu air hujan turun pada masa itu malah penduduk mendakwa air hujan itu turut berwarna kuning, hijau dan hitam pada 10 hari pertama.

Lebih pelik selepas kejadian itu pakaian yang dijemur di ampaian di luar rumah bertukar merah seperti terkena darah.

Pada mulanya kumpulan saintis India berhujah peristiwa itu disebabkan oleh debu pasir dari Gurun Sahara di benua Afrika.

Namun, selepas penyelidikan lanjut dilakukan, elemen merah daripada air hujan itu didapati sel hidup yang tidak diketahui daripada mana asalya.

Komponennya ialah ialah 50 peratus karbon, 45 peratus oksigen manakala bakinya besi dan sodium.

Pasir gurun

Seorang pakar fizik dari Universiti Mahatma Gandhi, India, Godfrey Louis menolak teori hujan darah itu berpunca daripada debu pasir Gurun Sahara.

“Partikel air hujan itu jika dilihat menerusi mikroskop bukannya pasir atau debu sebaliknya bakteria yang terhasil akibat letupan komet yang memasuki Bumi.

“Lagipun tempoh dua bulan fenomena itu terlalu lama untuk dikaitkan dengan pasir gurun itu,” katanya.

Menurut Louis, hasil temu bual dengan beberapa orang saksi mendapati mereka terdengar bunyi letupan yang kuat hingga mengegarkan rumah mereka sejurus sebelum hujan turun.

Hujah itu dipersetujui pakar fizik Milton Wainright daripada Universiti Sheffiled di Britain.

“Terdapat kemungkinan kumpulan kelawar yang sedang berterbangan di udara mati akibat meteor yang meletup.

“Malah, ada hubungan yang kuat antara laporan hujan berwarna dengan aktiviti meteor,” katanya.

Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal dan dipersenda ramai pihak kerana tiada sayap dan anggota badan kelawar mati yang dijumpai di Kerala.

Mungkin pendapat saintis Patrick McCafferty dari Universiti Queen, Ireland lebih munasabah.

Beliau mengatakan terdapat 80 kes hujan berwarna di seluruh dunia.

“Terdapat 20 laporan air hujan bertukar menjadi darah serta 68 contoh fenomena yang sama seperti hujan berwarna hitam dan putih.

Merah

“Begitupun, sebahagian kecil daripada sampel berkenaan sahaja mempunyai kaitan dengan komet yang meletup sambil membawa sel hidup dari angkasa lepas,” ujarnya.

Tuturnya, laporan itu menyebut ada kaitan antara hujan berwarna dengan aktiviti meteor seperti kes di Kerala.

Misteri hujan darah di selatan India itu masih belum terungkai.

Bagi pakar fizik Fred Hoyle dan Dr. Chandra Wickramasinghe, teori usang yang disebut Panspermia mengatakan bahawa kehidupan di bumi berasal dari angkasa lepas mungkin menjadi jawapannya.

Mereka berpendapat terdapat gas yang merupakan antara kandungan bintang dan mengandungi bakteria, turun ke Bumi bersama hujan.

“Ketika gas itu membentuk sistem bintang, bakteria yang ada di dalamnya tetap bertahan sebelum memasuki komet.

“Komet itu kemudian mengenai sinaran matahar. Panas matahari mencairkan permukaan komet sebelum memasuki planet lain termasuk Bumi dan membawa bersama bakteria itu,” katanya.

Pengkaji makhluk asing tempatan, Ahmad Jamaludin berpendapat, hujan darah itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan objek terbang tidak dikenali (UFO) ataupun entiti asing yang mendiami angkasa lepas.

“Kejadian ini pernah berlaku iaitu hujan lembu di Kentucky, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1876 serta hujan ikan dan katak di Jepun pada Jun 2009.

“Mungkin entiti hidup sebenarnya berasal dari alam lain yang hidup di bumi tetapi tidak dapat dilihat oleh manusia,” katanya kepada Jurnal.

Kosmo!

27 Mei 2012

Glasier menangis

Wednesday, April 25, 2012

0 comments  


Gambar di atas menunjukkan imej glasier di Austfonna, Norway seakan-akan wajah manusia sedang menangis. Gambar tersebut diambil oleh seorang jurugambar marin bernama Michael Nolan.

Sekali imbas ianya hanyalah gambar glasier biasa yang cair namun apabila ia diamati betul-betul ia seolah-olah memperlihatkan wajah sayu bumi kita yang menangis mungkin kerana pencemaran dan kemusnahan yang dilakukan oleh manusia di muka bumi.

Gambar ini yang diambil di Austfonna, Nordaustlanded yang terletak di kepulauan Svalbard, Norway sering digunakan oleh aktivis-aktivis alam sekitar dalam setiap demonstrasi yang mereka lakukan untuk membantah tentang perubahan iklim dunia.

Ramalan kiamat kaum Maya

Sunday, January 22, 2012

0 comments  


Teori kaum Maya yang mendakwa planet Nibiru atau planet X akan melanggar bumi pada tahun 2012 hanyalah mitos.

Inskripsi lama itu menggambarkan bahawa sesuatu akan berlaku pada 2012 melibatkan Tuhan kaum Maya, Bolon Yokte yang berkaitan dengan perang dan penciptaan.

Namun, hakisan dan retakan pada batu tulisan itu menyebabkan bahagian akhirnya yang kononnya tertulis angka 2012 sukar dibaca.

Seorang ahli arkeologi Universiti Nasional Mexico, Gullermo Bernal mendakwa dia menemui beberapa tulisan lain di lokasi bekas tamadun Maya yang menunjukkan tarikhnya bukan 2012 tapi 4772.

Seorang ahli arkeologi kaum Maya di Yucatan, Mexico, Jose Huchim yang menemui beberapa komuniti yang bertutur bahasa Maya pernah bertanyakan kepada mereka apa yang akan berlaku pada tahun 2012.

"Mereka menjawab mereka tidak tahu mengenainya. Mereka sekadar berminat untuk terus hidup," katanya.

Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat turut menafikan ramalan kaum Maya itu.

"Minat manusia yang semakin berkembang terhadap angkasa lepas telah membawa kepada satu terma iaitu kosmofobia.

"Semakin manusia mengenali angkasa lepas, semakin mereka takut kepada ancaman cakerawala seperti ribut matahari, lubang hitam dan Milky Way," ujar saintis NASA, Dr. David Morrison.

Ramalan Kiamat

Ramalan kiamat menurut kaum Maya

Filem 2012 lakonan John Cusack mengisahkan ramalan berlaku kiamat kaum Maya menjadi kenyataan pada 21 Disember 2012. Kaum Maya wujud di benua Amerika kira-kira 200 tahun Sebelum Masihi. Mereka mendakwa pada tarikh tersebut, bumi akan berada sebaris dengan pusat Galaksi Bima Sakti buat kali pertama sejak 25,800 tahun, menyebabkan kedudukan magnet bumi berganjak sehingga mencetuskan gempa bumi, banjir dan letupan gunung berapi.

Ramalan kiamat menurut Nostradamus

Seorang peramal masa depan dari Perancis, Nostradamus mendakwa pada 2012 planet-planet di angkasa lepas akan hancur.

Planet Nibiru

Dijangkakan pada 23 Disember 2012, sebuah planet bernama Nibiru atau Planet X akan memutarkan kedudukan kutub-kutub sekarang kepada terbalik apabila ia lalu di antara bumi dan matahari.

Ramalan kiamat menurut astrologi China

Para astrologi China dari Dinasti Chang pada tahun 1766 Sebelum Masihi meramalkan berlaku bencana besar pada 3778 tahun berikutnya iaitu bertepatan tahun 2012.

Kiamat menurut agama Islam

Soal kiamat merupakan hal ghaib yang harus dipercayai oleh setiap Muslim namun tarikh sebenar hanya diketahui oleh Allah SWT.

Kosmo!

8 Januari 2012

Ribut matahari bukan kiamat

0 comments  

BANYAK ramalan menyebut 2012 merupakan tahun berlakunya kiamat. Teori kemusnahan alam semesta kaum Maya telah dipopularkan menerusi filem 2012 hinggakan filem tahun 2009 itu meraih kutipan global sebanyak AS$769 juta (RM2.3 bilion).

Nostradamus, si peramal tersohor Perancis turut menamakan 2012 sebagai tahun kemusnahan planet-planet, manakala para ahli astrologi China dari Dinasti Chang mengatakan akan berlaku bencana besar tahun ini.

Oleh kerana itu, apabila saintis menjangkakan fenomena ribut matahari terjadi pada pertengahan 2012 hingga 2013, mitos kiamat yang dicanangkan sebelum ini terasa bagaikan semakin hampir.

Dalam ilmu astrologi, matahari merupakan bintang yang terletak paling dekat dengan bumi iaitu sejauh 149 juta kilometer. Ia mempunyai suhu teras 15 juta darjah Celcius dan telah terbentuk lebih 5,000 juta tahun yang lalu.

"Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari.

ANDAIAN bumi akan musnah pada 2012 mitos semata-mata.


"Bagaimanapun, sebahagian gas itu berlegar di ruang angkasa dan memasuki atmofera bumi. Fenomena itulah yang digelar ribut matahari," kata seorang pakar astronomi tempatan, Shahrin Ahmad.

Namun, beliau berpendapat ribut matahari tidak akan memusnahkan bumi. Malah, kejadian ribut matahari sampai ke bumi jarang berlaku kerana ia dihalang oleh lapisan atmosfera dan medan magnet bumi.

Kesan

"Ribut itu akan termusnah sendiri sebelum sampai ke daratan. Tetapi jika ia menembusi lapisan atmosfera dan medan magnet bumi dengan saiz dua atau tiga kali ganda melebihi saiz bumi, kerosakan besar boleh berlaku.

"Apa pun, ia terhad kepada kerosakan peralatan elektrik dan sistem telekomunikasi seperti satelit, sistem penerbangan dan Internet," kata Shahrin.

RIBUT matahari berlaku disebabkan bintang itu menjadi lebih panas berbanding suhu biasa iaitu 15 juta darjah Celcius.


Beliau memberitahu, kesan ribut matahari pernah dirasai di bumi pada tahun 1859. Akibatnya, sistem telegraf di Amerika Syarikat dan negara Eropah lumpuh sama sekali.

"Peristiwa itu dinamakan Carrington Event. Begitupun, kejadian itu kini boleh dielakkan dengan dua satelit peninjau matahari bernama Stereo yang dilancarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat.

"Kedua-dua satelit itu berperanan mengumpul data untuk memahami dan meramalkan ribut matahari sebagai persediaan awal jika ia berlaku," ujarnya.

Shahrin menambah, memang wujud kebimbangan bahawa ribut matahari kemungkinan menjejaskan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) manusia namun beliau berpendapat perubahan DNA itu lebih disebabkan oleh kesan rumah hijau dan pelepasan gas beracun radioaktif.

"Makanan, radioaktif dan bahan kimia yang meresapi tubuh boleh mengganggu sistem tubuh tetapi ia tiada kaitan secara langsung dengan fenomena ribut matahari," tegasnya.

NASA sebelum ini meramalkan ribut matahari akan kerap berlaku sepanjang tahun 2012 dan 2013.

Ini mengakibatkan saintis Amerika Syarikat (AS) mengandaikan impak kerosakan akibat ribut matahari pada tahun 2012 lebih dahsyat berbanding Taufan Katrina yang melanda AS pada tahun 2005 dan mengorbankan 1,800 orang.

"Puncak kerisauan sebenar ialah gangguan ke atas kehidupan sosial yang bergantung pada teknologi seperti GPS dan komunikasi satelit," kata ahli fizik NASA, Lika Guhathakurta.

Seorang lagi pegawai NASA, Michael Kaiser menambah, matahari mencetuskan ribut solar sejak berbilion tahun dahulu tetapi hanya pada akhir-akhir ini ramai yang mengambil berat isu tersebut.

TANAH tandus adalah akibat fenomena pemanasan global dan bukan kerana ribut matahari.


"Ribut elektromagnet matahari boleh menjejaskan sistem tenaga elektrik selain membahayakan angkasawan.

"Pertambahan tenaga magnetik dalam atmosfera dijangka mengeluarkan radiasi yang mampu menyebabkan kuasa janakuasa elektrik meningkat mendadak," katanya.

Ujarnya lagi, kali terakhir pancaran matahari meletus adalah pada tahun 1859 hingga menyebabkan dua pertiga daripada ruang angkasa bumi bertukar menjadi warna merah.

Dijangkakan, peristiwa itu dapat dilihat sekali lagi dengan beberapa bandar utama seperti London, Paris dan New York mengalami ribut awan pada 2012 atau 2013.

Pakar astronomi dari Indonesia, Hakim L Malasan pula berpendapat, fenomena ribut matahari tidak berhubung kait dengan kiamat. Seorang lagi pakar, Thomas Djamaluddin, mengatakan kiamat mungkin berlaku lima juta tahun lagi.

"Matahari akan menjadi bintang raksasa merah dan menelan planet terdekat, Utarid, Zuhrah dan mungkin bumi," jelasnya.

Hidrogen

Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman berpendapat, bidang astrofizik tidak dapat menentukan hari kiamat selagi tiada perubahan pada matahari.

"Ahli fizik memang percaya bahawa alam semesta akan berakhir tetapi sama ada pada 2012 atau 10 juta tahun dari sekarang mahupun 10 bilion tahun lagi, ia terpulang kepada teori yang kita ada.

"Dari segi fizik, jika matahari sudah kehabisan hidrogen, ia akan berkembang menjadi bintang lain. Ketika itu kehidupan di bumi akan mengalami perubahan dan kejadian tersebut boleh dikatakan sebagai tanda kiamat.

RIBUT matahari tidak akan memusnahkan bumi sebaliknya merosakkan sistem radar dan satelit.


"Ini kerana apabila matahari tiada lagi tenaga, manusia tidak boleh hidup dan akan berlaku banyak kejadian alam yang boleh mencetuskan pengakhiran dunia," katanya.

Menurut Pegawai Sains, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd. Zamri Shah Mastor, bumi juga boleh hancur menerusi hentaman objek yang terapung di angkasa lepas seperti komet atau asteroid.

"Tetapi kita bernasib baik disebabkan bumi memiliki lapisan atmosfera. Lapisan itu menyebabkan komet dan asteroid yang cuba menerjah atmosfera bumi akan termusnah terlebih dahulu.

"Sebenarnya terdapat 1,077 asteroid yang dikenal pasti berpotensi menghentam bumi," katanya.

Kosmo!

8 Januari 2012

Kami waris buaya putih

Thursday, December 22, 2011

0 comments  

Mohd. Zin mendakwa mereka adalah keturunan keenam buaya putih yang terkenal di Lubok China, Negeri Sembilan.

BUAYA putih memang wujud namun sangat jarang dijumpai. Spesies buaya albino ini tidak mempunyai pigmen melanin yang boleh menghitamkan kulit.


TATKALA bercerita mengenai buaya putih, ramai yang akan mengaitkan sejarah lisan turun-temurun berkenaan dengan alam mistik.

Buaya putih didakwa mempunyai kuasa sakti yang boleh memberi petunjuk mengenai sesuatu perkara yang akan berlaku malah ia juga dikatakan boleh berhubung dengan manusia.

Walaupun belum dapat dibuktikan dengan nyata kewujudan reptilia jenis ini di perairan negara, namun terdapat banyak cerita yang menyokong sisi hebat buaya putih.

Antaranya ialah kisah ulama terkenal, Tok Selehor di Tumpat, Kelantan, yang boleh berkomunikasi dengan buaya putih di sungai kampungnya.

Menurut cerita yang disampaikan, guru agama yang terkenal dalam bidang tasawuf itu dikurniakan kelebihan oleh Allah apabila dia boleh berinteraksi dengan buaya putih yang terdapat di Sungai Selehor sehingga masyarakat di sekitar kampung tersebut dapat menggunakan sungai tersebut tanpa sebarang gangguan mahupun rasa takut.

Dikhabarkan juga, buaya putih itu ditugaskan untuk menjaga keamanan di sungai tersebut yang mana sebelum itu sering berlaku ancaman dari buaya-buaya lain sehingga menyukarkan penduduk setempat keluar menjala, memancing dan mandi di sepanjang Sungai Selehor.

Buaya putih itu dikatakan masih ada di situ hingga ke hari ini.

Riwayat buaya putih tidak hanya disebut di Kelantan. Ia turut menjadi sebahagian daripada sejarah asal beberapa lokasi lain di negara ini seperti di Kuala Kubu Bharu di Selangor, Tasik Dayang Bunting di Pulau Langkawi dan Lubok China yang terletak di sempadan Negeri Sembilan-Melaka.

Baru-baru ini, penulis berpeluang bertemu dengan sebuah keluarga yang mendakwa mereka adalah waris kepada buaya putih di Lubok China, Negeri Sembilan.

Sarung buaya

Bukan sekadar mewarisi darah pemilik tubuh buaya putih, mereka juga boleh berkomunikasi dengan buaya putih yang menjelma dalam rupa nenek tua. Perantara utamanya hanya mahu dikenali Siti, 38.

"Alhamdulillah, ini anugerah Allah yang tidak ternilai. Saya dan kakak, biar saya namakannya sebagai D, dapat mendengar suara dari alam ghaib dan berinteraksi dengan mereka," kata Siti ketika ditemui di kediamannya di Lubok China.

Menurut bapanya, Mohd. Zin, 69, dia mula menyedari tentang salasilah buaya putih yang diwarisinya apabila arwah ibunya, pernah ditumpang tubuhnya oleh Nenek Putih pada tahun 1983.

"Nenek Putih asalnya manusia biasa. Kira-kira 500 tahun yang lalu, Putih jatuh ke dalam Sungai Linggi tetapi mayat wanita itu tidak ditemui.

"Sebelum itu, Putih sedang mengacau dodol sambil menyusukan anaknya di tebing sungai namun entah bagaimana dadanya terkena percikan dodol.

"Oleh kerana kepanasan, Putih meletakkan anaknya di tanah dan terus terjun ke sungai.

"Selepas menyedari kehilangan isterinya, suami Putih puas mencari namun jasad ibu muda itu tidak juga ditemui.

"Setelah berhari-hari hilang di sungai, pada satu malam, Putih muncul dalam mimpi suaminya.

"Dia meminta agar jangan mencarinya lagi kerana dia sudah bertukar menjadi buaya putih dan kini tinggal di alam ghaib," ujar Mohd. Zin.

Ibu kepada Mohd. Zin ialah cicit kepada Nenek Putih dan 28 tahun lalu, Nenek Putih pernah memasuki tubuh ibunya.

SEPANJANG didampingi Nenek Dayang, Siti juga diberi kelebihan untuk mengubati penyakit berunsur gangguan.


"Ketika itu, ibu saya merangkak-rangkak seperti buaya.

"Ibu saudara saya yang ketika itu tahu serba sedikit cerita bertindak menjadi orang tengah dan berdialog dengan Nenek Putih.

"Saya masih ingat lagi perbualan itu. Selepas memberi salam, ibu saudara saya mula bertanya, kenapa nenek datang?

"Jawabnya, nenek datang ni nak tengok anak cucu dalam kesusahan.

"Nenek datang dengan siapa?

"Nenek datang seorang.

"Datang naik apa nek? Nenek dari mana?

"Datang naik perahu. Nenek datang dari Sungai Linggi.

"Kenapa pula nenek menggigil-gigil ni?

"Nenek sojuk.

"Macam mana nenek nak balik ni?

"Cuba ekau tengok dalam kopai den (beg yang dianyam daripada rotan) yang tergantung kek tiang tu. Ado bondo dalam tu.

"Bila saya tengok dalam kopai, ada sebotol minyak merah dan apabila minyak itu dilalukan di hidung emak saya, emak saya beransur pulih," cerita Mohd. Zin yang menceritakan detik awal keluarganya mengetahui tentang kewujudan Nenek Putih dalam susur galur keluarga mereka.

Jelasnya lagi, itulah sejarah sebenar buaya putih Sungai Linggi.

"Sejarah ini diceritakan sendiri oleh Nenek Putih melalui sarungnya, iaitu tubuh Siti," kata Mohd. Zin.

Menjadi sarung bermakna badan wanita ini dipinjam oleh roh berkenaan dan digunakan sebagai perantara untuk berkomunikasi dengan alam nyata.

"Pada hari pertama Nenek Putih memasuki tubuh saya, kepala dan badan saya tidak berhenti bergoyang seperti buaya.

"Suara saya turut berubah dan badan saya membongkok seperti wanita yang sangat tua.

"Bukan setakat keluarga, saya juga takut dengan keadaan saya ketika itu.

"Apa tidaknya, bila nak bercakap, suara orang lain yang keluar, bila saya membaca al-Quran pun, suara Nenek Putih yang membacanya, bukan saya.

"Dalam keadaan bergoyang-goyang itulah Nenek Putih mengarahkan saya ke Sungai Linggi dan membaca surah Yasin di sana. Nenek Putih berjanji untuk menunjukkan dirinya selepas itu," kata Siti.

Mengaji

Enggan menunggu lama, dia dan beberapa ahli keluarganya bergegas ke Sungai Linggi.

"Di awal pembacaan, air sungai seakan bergelombang.

"Adik lelaki saya yang membaca Yasin suaranya tiba-tiba berubah menjadi sangat merdu. Lagu taranum yang dibawakan tidak pernah kami dengar sebelum ini. Suaranya sangat merdu," cerita D, yang sering bertindak menjadi penterjemah apabila penghuni alam ghaib memasuki tubuh adiknya.

"Menurut Nenek Putih, itu ialah suara pasangannya, seekor buaya jantan di alam ghaib," jelas D.

Bagai dikata, sebaik sahaja mereka selesai membaca surah Yasin, timbul buaya putih di tebing di seberang sungai.

"Warnanya putih keemasan, saiznya juga besar daripada buaya yang lain," tambahnya.

Selain Nenek Putih, Siti memberitahu, pendamping setia yang sentiasa berada bersamanya ialah Nenek Dayang.

Nenek Dayang merupakan ketua dayang istana ketika Zaman Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511.

Dalam pertemuan pada petang itu juga, penulis dan jurufoto sempat berbual-bual dengan penghuni alam ghaib yang menjadi teman Siti selama ini.

"Siapa sebenarnya nenek ini?

"Nama nenek Siti Fatimah. Nenek dulu kerja di istana sebagai ketua dayang semasa Zaman Kesultanan Melayu Melaka.

"Nenek meninggal dunia tidak lama selepas itu dan roh nenek diangkat ke alam ghaib.

"Nenek Putih yang ghaib menjadi buaya itu adalah anak saudara nenek," ujar Nenek Dayang yang muncul dalam tubuh Siti selepas diberi salam dan selawat sebanyak tiga kali.

Ketika Nenek Dayang memasuki tubuh sarungnya, memang boleh dilihat perbezaan antara dua karakter tersebut.

MOHD. ZIN turut mendakwa keluarganya tidak pernah diganggu ancaman buaya. - Gambar hiasan


Tutur kata dan intonasi Nenek Dayang lebih lembut. Riak wajahnya tidak sebujur wajah asal Siti dan pandangan matanya pula lebih redup.

"Kenapa nenek pilih Siti sebagai sarung nenek?

"Di alam ghaib, nenek boleh tengok semuanya. Kita tahu mana waris kita yang lurus jalan hidupnya.

"Nenek memang sudah lama tunggu Siti. Nenek juga sudah tahu, bapa sarung nenek ini akan berkahwin dengan ibunya dan melahirkan Siti," jelasnya.

Ditanya tentang kehidupan di alam ghaib, Nenek Dayang menjawab, hidup di alam sana sangat indah.

"Setiap masa diisi dengan zikir memuji Allah. Kalau manusia biasa boleh melihat keindahan dunia ghaib, mereka akan merasakan kemanisan ibadah.

"Mereka akan rasa lebih dekat kepada Allah dan tidak akan berhenti menyediakan bekalan untuk menuju akhirat yang kekal abadi," katanya penuh hemah.

Siti dan D pernah berjumpa dengan beberapa orang guru agama untuk bertanyakan perkara aneh ini namun sehingga hari ini mereka masih belum dapat jawapannya.

Kosmo!

4 Disember 2011

Bayangan manusia di langit

Tuesday, December 20, 2011

0 comments  

AWAN berbentuk wajah manusia tersenyum dirakam di Grand Falls, Kanada.


KOPERAL Suhairi Mahsan, 39, sedang bertugas di menara kawalan Kem 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan apabila dia terpandang kepulan awan berbentuk aneh di langit.

Menurut Suhairi, dia melihat satu objek sedang turun perlahan-lahan. Setelah diamati, dia terkejut kerana awan tersebut berbentuk seperti jenazah yang sudah dikafankan.

"Cantuman kain kafan jelas di bahagian kepala dan kaki serta ia turun perlahan-lahan secara berdiri dan berhenti bersetentang dengan satu lagi gumpalan awan yang berbentuk orang yang memakai serban dan berdiri seolah-olah sedang menyembahyangkan jenazah tersebut.

"Ketika itulah kalimah syahadah jelas terlihat dari kepala hingga ke kaki gumpalan awan berbentuk jenazah itu," kenang Suhairi.

Peristiwa selepas subuh pada 27 Jun 2010 itu turut disaksikan oleh beberapa rakan Suhairi.

Kemunculan kepulan awan dalam pelbagai bentuk sudah lama dianggap fenomena yang menakjubkan bahkan menakutkan.

Wajah

Pada 4 Ogos lalu, seorang jurukamera amatur, Denis Farmer sempat merakam bentuk awan hitam dari belakang rumahnya di pekan Grand Falls, Kanada.

Awan berbentuk wajah manusia gergasi itu terjadi semasa angin kencang yang membawa hujan melanda kawasan itu.

Imej itu lengkap dengan hidung, mata dan muncul dengan mulut tersenyum. Kejadian itu berlangsung selama beberapa saat sebelum kepulan awan itu kembali kepada bentuk asal.

Sesetengah masyarakat menganggap bentuk aneh awan bayangan kuasa ghaib dan kejahatan manakala yang lain melihatnya sebagai mesej daripada Tuhan.

AWAN berbentuk pau kerap berlaku selepas ribut petir.


Penduduk Moscow, Rusia, yang menyaksikan satu fenomena unik apabila imej seperti cincin yang bersinar terbentuk di langit bandar raya itu pada 12 Oktober 2009 percaya ia berlaku akibat kuasa ghaib.

Imej itu dirakamkan oleh seorang penduduk dan boleh dilihat menerusi laman web YouTube.

Bagaimanapun, seorang pegawai meteorologi menafikan hujah kuasa ghaib itu.

Menurut seorang jurucakap agensi meteorologi di Moscow, kejadian itu disebabkan oleh kesan maya pada pandangan mata.

"Ia merupakan satu kesan maya walaupun kelihatan seperti mengagumkan.

"Jika anda melihat dengan lebih dekat, anda akan mendapati terdapat sinaran matahari yang datang melalui awan itu," katanya.

Sebenarnya, terdapat pelbagai bentuk awan. Di tempat paling tinggi yang udaranya dingin, terbentuk gumpalan awan kecil-kecil. Awan besar yang menyerupai kapas terjadi sewaktu udara panas naik dari permukaan bumi dan menjadi dingin.

Lapisan awan berwarna terbentuk dari udara yang hangat dan lembap dekat permukaan bumi. Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), awan diberi nama menurut tinggi dan bentuknya.

Kuasa ghaib

Awan sirus, sirokumulus dan sirostratus merupakan awan paras tinggi iaitu berada pada ketinggian lebih enam kilometer.

Ia selalunya nipis dan putih tetapi boleh menampilkan warna yang menakjubkan apabila matahari berada dekat dengan horizon. Awan sirus terjadi semasa cuaca baik dan bergerak mengikut tiupan angin.

Altokumulus, altostratus dan nimbostratus ialah awan paras sederhana iaitu di antara dua kilometer hingga lima kilometer. Ia mengandungi air hujan manakala kristal ais di tempat bersuhu sejuk.

Kululus, stratokumulus, stratus dan kumulonimbus adalah awan rendah yang mengandungi air hujan. Ia berada beberapa meter dari permukaan bumi hingga dua kilometer ke angkasa.

BENTUK bergulung terjadi selepas awan altitud rendah terperangkap dalam tiupan angin.


Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhamad Razak Idris berpendapat kejadian awan membentuk imej manusia berlaku secara kebetulan.

Razak turut menolak dakwaan kononnya peristiwa seperti itu merupakan petanda akan berlaku sesuatu yang buruk.

"Setiap kejadian Allah di muka bumi sudah diatur. Awan mempunyai peranannya sendiri. Bentuknya yang tidak tetap itu memang boleh menyerupai apa-apa lebih-lebih lagi apabila ada angin yang menolaknya.

"Tiada apa yang perlu dikhuatirkan kerana ia berlaku secara semula jadi," ujar beliau.

Razak turut menggesa umat Islam agar tidak mempercayai bahawa bentuk awan itu adalah jelmaan kuasa ghaib.

"Umat Islam tidak seharusnya terpengaruh dengan cerita di sebalik objek yang dilihat itu. Sebaliknya jadikanlah ia pedoman untuk kita menginsafi diri dan mengingati Tuhan.

"Kita memiliki al-Quran sebagai panduan. Kitab suci itu ada menyebut bahawa apa yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Semuanya hanya tunduk dan patuh hanya kepada-Nya," tegas Razak.

Mengulas mengenai awan berbentuk seakan jenazah yang dikafankan dan kalimah Allah, Razak berkata, umat Islam boleh menjadikannya sebagai peringatan supaya sentiasa mengingati Allah.

Kosmo!

21 Ogos 2011

Kiamat makin hampir

0 comments  

Oleh MEGAT RAMLI ABDUL RAOF

MANUSIA akhir zaman semakin kejam dan berbunuhan sudah dianggap satu perkara biasa terutama di negara bergolak, Iraq.


SEBUT sahaja mengenai dunia akhir zaman atau lebih dikenali hari kiamat, pasti semua orang di dunia ini akan berasa gerun mendengarnya.

Pelbagai gambaran dan persoalan akan bermain dalam kotak fikiran mereka.

Mungkinkah bumi ini bakal hancur seperti yang diimiginasikan dalam beberapa filem Barat bertajuk The Day After Tomorrow, Knowing, Amageddon, 2012 atau lebih teruk daripada semua itu.

Mahu atau tidak, tiada satu makhluk pun di muka bumi ini dapat melarikan diri atau melawan hari kiamat.

Imran N. Hosein


Hari penghabisan itu pasti akan menjelma namun masa dan tarikh kiamat secara tepat tiada siapa yang mengetahuinya kecuali Allah.

Menurut seorang penulis antarabangsa, Imran N. Hosein, ungkapan dunia akhir zaman juga boleh diistilahkan sebagai akhir usia atau kemuncak kepada akhir sejarah.

“Sebelum kedatangan hari kiamat, Nabi Isa akan kembali ke dunia ini sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dan ini adalah salah satu daripada 10 tanda besar kiamat,” katanya pada satu wacana bertajuk Kitab Suci al-Quran dan Tanda-Tanda Akhir Zaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam baru-baru ini.

Ujar beliau, al-Quran menguatkan lagi kisah kembalinya Isa ke bumi sebagai tanda segala tanda bagi hari terakhir.

“Tercetus kacau-bilau dan ketidakadilan sesama manusia selain kejadian gempa bumi semakin banyak dan dahsyat,” jelasnya.

Mengikut buku tulisan Imran bertajuk Signs Of The Last Day In The Modern Age, antara tanda besar kiamat yang lain pula adalah dajal dibebaskan, Yakjuj dan Makjuj dibebaskan, kehadiran asap dan kemunculan d’abbatul ard iaitu makhluk dari bumi di Tanah Suci.

Yahudi perintah dunia

Mengulas lanjut, Imran cuba mengaitkan petanda tersebut dengan beberapa rentetan peristiwa yang telah berlaku pada masa kini.

Dalam sebuah lagi buku karangan Imran bertajuk Jurusalem In The Quran, beliau memperincikan dajal termasuk impian terbesar kaum Yahudi selama lebih 2,000 tahun yang mahu kembali ke Tanah Suci dan memerintah semula negara Israel.

“Pada masa ini, impian orang Yahudi seolah-olah hampir tercapai kerana mereka sudah kembali ke Tanah Suci Baitulmuqadis dan bebas melakukan apa sahaja termasuk penindasan dan kekejaman terhadap penduduk Palestin.

“Negara Israel berjaya dibentuk pada tahun 1948 dan diiktiraf Amerika Syarikat (AS) sekali gus menjadi pelindung kepada negara terbabit ,” ujar beliau.

Sekarang impian agung golongan Zionis itu adalah untuk menjadi negara yang memerintah dunia dan melantik seorang raja yang memerintah dari Baitulmuqadis.

Mengikut sangkaan kaum Yahudi itu, impian tersebut tidak mungkin tercapai tanpa kehadiran Al-Masih.

Namun apabila dilihat dari sudut Islam, Al-Masih itu adalah dajal (Al-Masih palsu) yang berjaya menipu orang-orang Yahudi bahawa bantuan dari tuhan telah membolehkan mereka hampir kepada impian ini.

Selain dajal, pergerakan bumi di timur dilihat berlaku apabila bencana tsunami melanda bahagian Asia Tenggara sehingga mengakibatkan kematian ratusan ribu nyawa manusia pada 2004.

“Kehadiran asap pula bukan sahaja dilihat kepada kejadian kabus atau jerebu sebaliknya turut melibatkan pencemaran alam sekitar sehingga berlakunya kepanasan global.

“Keadaan ini semakin dirasai pada hari ini dan impaknya kita telah lihat seperti banyaknya kejadian bencana seperti gempa bumi, banjir dan taufan,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa tanda-tanda kecil menjelangnya kiamat sudah dapat dilihat jelas pada hari ini.

TRAGEDI alam sekitar besar-besaran semakin kerap berlaku dan yang terakhir belaku di wilayah Miyagi, Jepun pada 11 Mac lalu.


Antara tanda kecil kiamat seperti zina bermaharaja lela sehingga menyebabkan ramai anak luar nikah dilahirkan.

“Sebagai contoh, keruntuhan moral di negara Israel sendiri sangat dahsyat sehingga kegiatan perhambaan seks kini subur di sana.

“Hal ini adalah bertentangan dengan nilai-nilai perbuatan mulia dan nyata sekali bahawa sebuah masyarakat jahiliyah kini menghuni Baitulmuqadis,” katanya.

Dari segi ekonomi pula, amalan riba yang dikenali sebagai kegiatan memberi pinjaman wang pada kadar faedah tertentu semakin berleluasa di seluruh dunia.

Malapetaka riba

Riba diharamkan Allah manakala Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam terhadap bahaya riba kerana ia merupakan senjata paling utama ke atas keruntuhan ummah.

“Kegiatan riba secara universal telah pun berlaku dan menjadi kenyataan pada hari ini namun malangnya mereka tetap mengisytiharkan sebagai negara yang mengamalkan ciri-ciri Islam dan syariah.

“Di serata dunia hari ini, negara-negara sekular menghalalkan penggunaan duit kertas yang sentiasa susut nilainya menyebabkan kekayaan sesebuah masyarakat lenyap dan lebih malang lagi terpaksa menjadi hamba,” jelasnya.

Katanya, sistem ekonomi dunia hari ini turut menyaksikan bahawa kekayaan tidak lagi akan dinikmati oleh semua golongan secara sama rata.

Di seluruh dunia hari ini, golongan yang kaya akan terus kaya dan yang miskin pula terbelenggu dalam kemiskinan selama-lamanya.

Apa yang nyata kini, berdasarkan ajaran Islam, hari kiamat adalah hari semua manusia dibangkitkan selepas kematian dan segala amalan ketika di dunia dihitung.

Bagi mereka yang berbuat baik dan beramal soleh diberikan ganjaran syurga dan bagi mereka yang ingkar dibalas neraka.

Kosmo!

12 Jun 2011

Ajal raksasa sungai Sarawak

Monday, December 19, 2011

0 comments  

Oleh ADLAN JAAFAR

KERATAN akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 Mei 1992 memaparkan bangkai Bujang Senang yang ditembak di Sungai Pelaban, Sri Aman, Sarawak.


CERITA mengenai buaya raksasa menghuni sungai-sungai di Sarawak bukanlah kisah dongeng bahkan nama Bujang Senang masih digeruni hingga kini.

Kemunculan semula Bujang Senang, buaya jantan yang dipercayai oleh masyarakat tempatan berukuran 20 kaki panjang (enam meter) dan empat kaki (1.2 meter) lebar, bermula pada tahun 1982 apabila reptilia itu membaham Penghulu Bangan dari Rumah Panjang Pali di Sri Aman, Sarawak.

Pada masa itu, Penghulu Bangan bersama abangnya Kebir sedang asyik menangguk udang di Sungai Sungga, cabang Batang Lupar sebelum dia terpijak sesuatu di dasar sungai.

Sepantas kilat, seekor buaya besar timbul dengan tubuh Penghulu Bangan di rahangnya. Kebir yang dari tadi memerhati dari tebing terus terjun dan memeluk ekor buaya itu demi menyelamatkan adiknya tetapi tidak berjaya.

Ketika itulah Kebir menyedari buaya itu mempunyai belang putih di belakangnya. Warna itu pula kelihatan berkilau-kilauan.

Patah

Operasi mencari mayat Penghulu Bangan berterusan selama lima hari tetapi cuma bahagian atas mayat lelaki itu ditemui.

Berikutan itu, polis Sarawak melancarkan ‘Operasi Buaya Ganas’ di semua sungai besar di negeri itu seperti Batang Sadong, Samarahan, Lupar, Layar dan Saribas.

Operasi itu gagal dan Bujang Senang terus mengganas. Di antara tahun 1982 hingga 1991, sebanyak 13 orang menjadi mangsa kebuasan Bujang Senang.

Pada Mei 1992, Bujang Senang menyambar mangsa ke-14, Dayang anak Bayang, 20, ketika gadis Iban itu menyeberang Sungai Pelaban, cabang Batang Lupar bersama ibunya.

Air Sungai Pelaban hanya sedalam separas pinggang tetapi sebaik sahaja ibunya naik ke tebing, tiba-tiba satu deburan kuat menyebabkan Dayang hilang daripada pandangan.

Abang Dayang, Enie Bayang dengan bantuan rakan-rakannya segera membantu. Bersama mereka ialah si bomoh Mandau yang tidak henti-henti membaca mantera.

Setelah lebih dua jam, Enie menjumpai mayat adiknya yang masih sempurna di celah-celah puing di salah satu lubuk sungai itu.

TENGKORAK kepala Bujang Senang dipamerkan di Ladang Buaya Jong, Siburan.


Entah kenapa, buaya itu timbul semula di permukaan sungai. Mandau pantas melemparkan lembing ke kepala buaya itu malangnya lembing itu patah.

Beberapa das tembakan yang dilepaskan Enie pula gagal membunuhnya. Buaya itu melarikan diri ke arah Batang Lupar namun terhalang oleh sebatang kayu besar yang merentangi mulut Sungai Pelaban.

Kepala

Ketika itulah penduduk dari tiga buah kampung iaitu Pelaban, Suduku dan Lingga mengepungnya.

Sebanyak 40 das tembakan dilepaskan dengan 22 daripadanya tepat di kepala haiwan itu. Semua tembakan itu menggunakan peluru paku sepanjang 10 sentimeter.

Buaya itu menemui ajal dan bangkainya diangkut ke rumah panjang selama empat jam perjalanan.

Selepas itu barulah disedari di belakangnya ada garisan putih. Penduduk percaya itulah Bujang Senang yang diperkatakan orang selama ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Lingga, Awang Mahda Pengiran Mat mengesahkan buaya yang dibunuh itu seekor buaya jantan.

Katanya, orang yang membelah perut buaya itu menemui tulang dan rambut yang tidak dapat dipastikan kepunyaan manusia atau binatang, selain timah dan tali nilon.

Buaya itu berukuran 5.46 meter (18.5 kaki) panjang dengan lilitan perut 2.12 meter (6.9 kaki).

Berita kematian Bujang Senang itu mengejutkan rakyat Malaysia selepas ia disiarkan akhbar-akhbar arus perdana. Malangnya bangkai buaya itu dibuang ke sungai begitu sahaja.

SESETENGAH masyarakat di pedalaman Sarawak percaya Bujang Senang masih hidup malah bersaiz lebih besar sekarang.


Hanya beberapa hari kemudian kepalanya dikerat dan dibawa pulang oleh seorang lelaki, Johnson Jong untuk tatapan umum di ladang buayanya di Siburan, Sarawak.

Johnson, 65, percaya buaya itu adalah Bujang Senang seperti yang didakwa penduduk.

“Itulah kali pertama saya berjumpa dengan buaya yang mempunyai jalur putih di belakangnya,” imbau Johnson yang membuka Ladang Buaya Jong sejak tahun 1963 lagi.

Katanya kepada Jurnal, selepas kejadian 1992 itu, tiada lagi serangan oleh buaya berjalur putih berlaku di sekitar Batang Lupar.

Sementara itu, Kurator Sejarah Zoologi dan Semula Jadi Muzium Sarawak, Dr. Charles Leh berkata, sungai-sungai di Sarawak sememangnya terdapat banyak sarang buaya.

“Mengikut sejarah, buaya sudah wujud sejak lebih 160 juta tahun lalu. Jadi kewujudan banyak buaya besar di Sarawak adalah perkara biasa.

“Jalur putih di belakang buaya yang didakwa Bujang Senang itu berkemungkinan seekor buaya separa albino,” ujarnya.

Apa pun, ada orang yang mempertikaikan kesahihan Bujang Senang sudah mati.

Malah terdapat masyarakat Iban di sepanjang Batang Lupar percaya Bujang Senang masih hidup malah bersaiz lebih besar.

Oleh kerana itulah jika pukat mereka terjerat anak buaya, mereka akan melepaskannya sambil memohon maaf.

Ini semua bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku pada mereka dan keturunan mereka.

Kosmo!

17 April 2011

Teori serangan UFO

Sunday, December 18, 2011

0 comments  

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

PADA malam itu, beberapa detik sebelum menjelang tahun baru 2011, beribu-ribu ekor burung blackbird jatuh bak hujan hitam di pekan kecil Beebe yang terletak di negeri Arkansas, Amerika Syarikat (AS).

Dianggarkan lebih 5,000 burung hitam bersayap merah jatuh dari langit dan bertaburan di atas jalan, bumbung dan halaman rumah di kawasan seluas 731 meter persegi. Di sesetengah kawasan, tanah bertukar menjadi gelap.

Penduduk setempat yang keluar untuk menikmati pancaran bunga api dan meraikan kedatangan tahun 2011, panik dengan apa yang berlaku dan bergegas memasuki kediaman masing-masing apabila haiwan bertubuh kecil itu mula jatuh di sekeliling mereka.

Ada bangkai yang jatuh mengenai seorang wanita yang sedang berjalan bersama anjingnya manakala seorang lagi terpaksa menggunakan payung untuk melindungi diri.

Seorang penduduk tempatan, Shane Roberts berkata, ia berbunyi seperti hujan batu yang sangat dahsyat di atas bumbung rumahnya.

"Apabila saya keluar, alangkah terkejutnya apabila melihat ketulan-ketulan hitam bertaburan. Apabila saya pergi lebih dekat, ia adalah bangkai burung," katanya yang menyifatkan kematian tersebut sebagai sesuatu yang aneh.

Sementara itu, Penyelia Jabatan Jalan bandar berkenaan, Milton McCullar berkata, ia seperti adegan dalam filem Alfred Hitchcock di mana semua lampu di papan suis kecemasan menyala dan semua orang berada dalam situasi yang mencemaskan.

Kiamat

"Ada penduduk yang panik dan beranggapan dunia hampir kiamat," ujar Ketua Polis tempatan, Ellie Cullum seperti dipetik Mail Online.

Kehadiran ribuan bangkai burung di kawasan kejiranan tersebut diterima sebagai misteri alam.

MISTERI kematian hampir 5,000 burung hitam sayap merah belum dapat dirungkai.


Namun, yang menjengkelkan penduduk setempat ialah apabila pekerja pembersih alam sekitar datang memakai sut kalis api, topi keledar dan topeng gas hanya untuk membuang bangkai burung.

Belum pun reda kes burung jatuh dari langit diperkatakan, pakar pengkaji haiwan di Arkansas bertambah bingung apabila lebih 100,000 bangkai ikan drum ditemui di sepanjang 32 kilometer di tebing dan permukaan Sungai Arkansas, berhampiran Ozark yang terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar Beebe.

Anehnya, hanya spesies ikan drum yang didapati mati sedangkan ikan spesies lain masih hidup.

Adakah kejadian aneh ini mempunyai kaitan antara satu sama lain?

Terdapat beberapa teori yang diketengahkan oleh pihak tertentu mengaitkan punca kepada misteri kematian haiwan tersebut.

Antaranya, burung terlanggar objek terbang yang tidak dikenali (UFO), hujan batu, tekanan akibat bunyi kuat bunga api dan proses teras bumi menyahmagnet.

Malah, ada juga pendapat mengatakan kejadian tersebut adalah petanda akan berlakunya kiamat pada 2012 seperti yang diramalkan oleh tamadun kuno Maya di Mexico.

Walaupun ini bukan kali pertama AS berdepan dengan kematian spesies haiwan secara misteri, namun kali ini negara Uncle Sam itu gusar dengan apa yang terjadi.

Seorang pakar dari Jabatan Perikanan dan Akuakultur Universiti Arkansas, Dr. Andrew Goodwin berkata, perubahan drastik antara cuaca sejuk dan panas boleh membuatkan ikan terkejut dan membunuh mereka.

"Faktor yang memberi impak kepada ikan itu ialah perubahan suhu yang ketara," katanya.

DI Arkansas, ikan yang mati adalah daripada spesies drumfish sahaja. Peliknya ikan spesies lain yang ada di sungai sama tidak terjejas.


Dalam laman-laman blog, perdebatan mengenai punca kematian haiwan tersebut juga semakin kerap diperbincangkan.

Kali ini ramai yang mengaitkan kematian haiwan-haiwan Arkansas itu ada kaitan dengan konspirasi chemical trail atau jejak kimia yang sering terjadi di negeri itu.

Menurut seorang pengikut teori konspirasi, Jeff Rense, jejak kimia dapat dilihat seperti jejak asap di udara. Ia kemudian akan melebar dan tetap kelihatan untuk tempoh beberapa jam.

Menurut beberapa pihak yang berfikiran sama dengan Jeff, mereka berpendapat jejak itu adalah bahan kimia yang sengaja disembur oleh kerajaan AS sebagai 'kawalan populasi'.

Ada juga berpendapat bahawa jejak itu adalah eksperimen pengendalian cuaca.

Bagaimanapun, teori itu meragukan kerana belum ada penemuan menyatakan semburan bahan konduktif elektrik yang menjadi sebahagian daripada program senjata super elektromagnetik boleh mengendalikan cuaca terutama pemanasan global.

Dalam sebuah buku terbitan badan pengkaji sains dan angkasa AS, mereka menafikan adanya jejak kimia tersebut sebaliknya menyatakan ia adalah wap air dan kristal ais yang membentuk jejak-jejak asap di udara.

Tidak kurang juga yang mengaitkan bunyi kuat daripada dentuman bunga api menyebabkan burung tertekan serta hilang kawalan navigasi sehingga mengakibatkannya melanggar bangunan dan pokok.

Namun, ahli akademik dan pengasas yayasan untuk Institut Kajian Gelagat Burung, Dan Cristol, menolak dakwaan tersebut.

BANGKAI burung hitam yang menghujani kawasan kejiranan Louisiana mendatangkan panik kepada penduduk setempat.


"Pesta sambutan tahun baru dengan dentuman bunga api berlangsung setiap tahun dan mengapa kejadian sama tidak berlaku sebelum ini?

"Sukar untuk meletakkan punca ke atas bunga api melainkan seseorang telah meniup sesuatu ke dalam sarang burung sehingga menyebabkan haiwan tersebut terpelanting ke udara," jelas Dan.

Di sebalik pendirian sebahagian pakar yang mengaitkan cuaca tidak stabil sebagai punca, profesor Fizik dari New York, Michio Kaku berkata, kematian misteri tersebut kemungkinan besar terjadi akibat hentaman angin laju yang ganas yang menghentam kawanan burung berkenaan.

Walau apa pun teori yang dibahaskan, sehingga kini belum ada lagi pihak yang tampil dengan hasil ujian yang boleh membuktikan punca kematian dua spesies haiwan tersebut.

Kematian haiwan yang direkodkan di Arkansas bukan yang terburuk dalam fenomena misteri ini.

Malah, rentetan daripada apa yang berlaku di Arkansas, jumlah bangkai haiwan ditemui di beberapa kawasan di AS seperti Maryland, Texas, Kentucky, Louisiana serta Florida sangat mengejutkan.

Kosmo!

16 Januari 2011

Lubang hitam telan bintang

Tuesday, November 1, 2011

LAKARAN artis menunjukkan aliran plasma yang keluar dari lubang hitam yang terletak empat bilion tahun cahaya dari Bumi.


PARIS - Satu fenomena luar biasa lubang hitam menelan dan menghancurkan satu bintang berjaya dirakamkan buat pertama kali oleh ahli-ahli astronomi, lapor majalah Nature.

Kejadian luar biasa itu turut melibatkan aliran plasma yang mengalir keluar ke ruang raksasa pusat galaksi yang terletak hampir empat bilion tahun cahaya dari Bumi.

Kemusnahan bintang tersebut dikesan dengan menggunakan Teleskop Swift pada 25 Mac lalu selepas ia kelihatan berlegar-legar terlalu hampir dengan lubang hitam.

Kebanyakan galaksi mempunyai lubang hitam yang besar dan ia akan menyedut apa saja benda berhampirannya akibat tarikan graviti yang terlalu kuat. - Agensi

Kosmo!

26 Ogos 2011

Kanak-kanak serigala di Bangkok

Monday, October 31, 2011


BANGKOK - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Thailand, Supatra Sasuphan digelar 'perempuan serigala' kerana wajahnya yang dipenuhi dengan bulu.

Walaupun kerap diejek oleh rakan-rakan sebaya, Supatra yang tinggal di sini berkata, dia kini amat popular selepas Guinness Book of Records mengiktirafnya sebagai perempuan yang memiliki bulu badan paling lebat di dunia.

"Saya gembira nama saya berada dalam Guinness Book of Records. Ramai orang terpaksa berusaha keras untuk tersenarai tetapi saya cuma perlu menjawab beberapa soalan," katanya.

Kanak-kanak itu merupakan antara 50 penghidap penyakit ganjil dikenali sebagai Sindrom Ambras yang menyebabkan tubuhnya dipenuhi bulu.

Dia memiliki bulu lebat yang tumbuh di seluruh wajah, telinga, tangan kaki dan belakangnya.

Pelbagai kaedah rawatan termasuk rawatan laser setakat ini gagal menghentikan bulu-bulu tersebut daripada tumbuh semula. - Agensi

Kosmo!

1 Mac 2011

Imej bandar ganjil di kaki langit

Monday, June 27, 2011

SALAH satu imej ganjil yang menunjukkan beberapa bangunan tinggi di kaki langit bandar Huanshan, China pada awal bulan ini.


HUANSHAN - Beberapa imej bandar dilihat muncul di langit pada awal bulan ini di bandar ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Kemunculan 'bandar hantu' di langit itu berlaku selepas hujan lebat dan suasana lembap berlaku di sepanjang Sungai Xin'an di bandar ini.

Imej pelbagai bentuk bangunan dan pokok itu menyebabkan beberapa pakar kebingungan kerana imej bandar yang diperlihatkan itu bukan refleksi imej yang terdapat di bandar ini.

Adalah dipercayai bahawa imej itu mungkin satu ilusi penglihatan yang berlaku akibat cuaca lembap. - Agensi

Kosmo!

27 Jun 2011

Tasik ‘darah’ ditemui di Sumatera Selatan

Sunday, December 5, 2010

TASIK merah di hutan Raje Mandare, Sumatera Selatan, Indonesia.


Sumatera Selatan - Merah bak darah! Itulah warna permukaan sebuah tasik seluas enam hektar yang ditemui sekumpulan penduduk tempatan dan peminat paranormal di Pagar Alam di sini, lapor akhbar Kompas semalam.

"Kami bersama rombongan 21 orang melakukan ekspedisi di kawasan Rimbacandi dengan menyusuri tebing, hutan, dan bukit bukau selama dua hari untuk sampai ke lokasi tasik merah itu," kata Asmidi, seorang penduduk tempatan.

Tasik berkenaan terletak di kawasan hutan berbukit Raje Mandare di sempadan Kota Pagar Alam dan Daerah Kaur, wilayah Bengkulu yang terkenal dengan banyak peninggalan bersejarah, termasuk candi.

"Anehnya, walaupun permukaan tasik ini merah, airnya pula jernih ketika dicedok keluar dengan menggunakan tapak tangan," kata Asmidi.

Selain tasik merah, hutan Raje Mandare turut menampilkan keganjilan lain termasuk spesies haiwan raksasa seperti lipan sepanjang 50 sentimeter (sm) dan lebar 30 sm serta burung raksaksa selain kerbau-kerbau yang mempunyai sarang lebah pada telinganya. - Agensi

Kosmo!

5 Disember 2010

Fenomena ombak unik di Pulau Tahiti

Sunday, September 19, 2010

0 comments  

BEBERAPA peluncur melihat fenomena ombak berbahaya di Pulau Tahiti baru-baru ini.


PAPEETE, Tahiti - Para peluncur di Pulau Tahiti di selatan Lautan Pasifik melihat lautan disedut dalam satu fenomena yang dikenali sebagai terumbu saliran, lapor sebuah akhbar semalam.

Fenomena itu berlaku apabila air dari selatan Pasifik melalui terumbu karang Teahupo yang cetek sekali gus menyebabkan terbentuknya ombak paling berbahaya. - Agensi

Kosmo!

10 September 2010

Tikus gergasi ditemui di dalam rumah

Thursday, August 19, 2010

0 comments  


BRADFORD, England - Penduduk di kawasan kediaman Ravenscliffe di sini mengadu kepada pihak berkuasa Britain mengenai kemunculan spesies tikus bersaiz gergasi ditemui di dalam rumah mereka, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang penduduk, Brandon Goddard, 31, mendakwa, dia berjaya menembak mati seekor tikus itu yang sepanjang 76 sentimeter (sm).

Namun dia kemudian mendapati terdapat beberapa lagi ekor tikus yang masih bebas berkeliaran di kawasan kediaman mereka.

Jiran Goddard, Julie Briggs berkata, dia dan suaminya, Andrew Denton, 24, pernah mendengar bunyi tikus itu bergaduh di sebalik dinding rumah mereka sambil kejar-mengejar seperti perlumbaan kereta.

Masalah itu dilaporkan kepada seorang pakar di Persatuan Mamalia Britain, Laura Drake yang datang menyiasat ke kawasan kediaman tersebut.

Dia menganggap tikus itu mungkin coypu, sejenis rodensia dari Amerika Selatan dan sering dirujuk sebagai tikus gergasi.

Katanya, haiwan itu sudah pupus di Britain lebih 20 tahun lalu namun menegaskan adalah tidak mustahil keturunannya masih wujud manakala Presiden Kelab Tikus Yorkshire, Colin Arundel berkata, tikus tersebut mungkin gemuk kerana mendapat banyak sumber makanan. - Agensi

Kosmo!

20 Ogos 2010

Awan bawa ribut luar biasa

Monday, August 16, 2010

0 comments  

Awan hitam yang besar bergerak ke bandar Helsinki baru-baru ini.


HELSINKI, Finland - Beberapa gambar kejadian ribut luar biasa yang mencederakan berpuluh-puluh orang dan menyebabkan kumpulan rock terkenal, Motley Crue membatalkan konsert mereka di Finland disiarkan media tempatan, lapor sebuah akhbar semalam.

Rakaman tersebut dibuat semasa awam berwarna hitam, angin kencang, hujan lebat dan petir melanda bandar raya Helsinki dan beberapa kawasan lain di negara itu baru-baru ini.

Sejumlah 40 orang cedera dengan dua lagi mengalami kecederaan serius semasa menonton konsert Motley Crue di Festival Sonisphere, di bandar Pori.

Ribut itu turut menyebabkan sebuah pentas rosak teruk.

Festival Heavy Metal Sonisphere dihadiri kira-kira 30,000 peminat yang mahu menyaksikan persembahan kumpulan terkenal seperti Iron Maiden, Alice Cooper dan Motley Crue.

Sebuah pesawat yang disewa khas oleh band Iron Maiden turut rosak apabila ia berada dalam keadaan senget akibat ribut tersebut.

Fenomena awan hitam luar biasa yang membawa ribut itu boleh dilihat di laman YouTube. - Agensi

Kosmo!

12 Ogos 2010

Kuman kebal antibiotik di Britain

0 comments  

GAMBAR menunjukkan kuman New Delhi-Metallo-1 yang dilihat menerusi mikroskop.


LONDON - Kuman super yang kebal terhadap apa jua antibiotik dan dikatakan mempunyai potensi besar untuk merebak kini ditemui di kalangan pesakit di beberapa hospital di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Sehingga kini, sebanyak 37 kes sudah dilaporkan dengan kebanyakan pesakitnya didapati pernah mendapatkan rawatan atau menjalani pembedahan di luar Britain sebelum dijangkiti kuman berkenaan.

Di dalam jurnal Lancet Infectious Diseases, para saintis memberi amaran bahawa kuman super tersebut yang merupakan enzim dipanggil New Delhi-Metallo-1 boleh merebak ke seluruh dunia kerana masih belum ada penawar dicipta untuk menanganinya.

Pesakit muda dan tua terdedah kepada kuman super itu.

Ia ditemui baru-baru ini di kalangan pesakit yang mendapatkan rawatan seperti pembedahan plastik, kanser dan pemindahan organ di Asia.

Kuman yang terdiri daripada keluarga Enterobacteriaceae itu bercantum dengan bakteria E.coli, C.diff dan salmonella dan ia boleh menyerang saluran pernafasan.

Enzim terbabit dikatakan boleh berpindah dengan mudah di antara bakteria.

Para pakar bimbang ia akan mula bergabung dengan penyakit-penyakit berbahaya dan membuatkannya kebal terhadap antibiotik.

Seorang pakar, Profesor David Livermore dari Agensi Perlindungan Kesihatan yang merupakan penulis bersama satu penyelidikan dengan Profesor Timothy Walsh dari Universiti Cardiff memberitahu, masalah NDM-1 dijangka menjadi lebih buruk.

"Potensi ia merebak serta menjadi penyakit di seluruh dunia adalah jelas dan menakutkan," katanya lagi. Sepasukan pakar berjaya menemui enzim tersebut di Britain, India, Pakistan dan Bangladesh.

Lebih membimbangkan kini hanya ada dua jenis antibiotik yang boleh menentang NDM-1 tetapi ia juga mungkin tidak mampu bertahan lama. - Agensi

Kosmo!

12 Ogos 2010

Laut terbelah di Korea

Sunday, July 4, 2010

0 comments  

Oleh Hazirah Che Sab

Keajaiban di Pulau Jindo bentuk laluan sementara 2.8 kilometer selama sejam

APA saja yang disebut sebagai keajaiban memang tidak pernah gagal menarik perhatian orang ramai. Lebih-lebih lagi apabila kisah di sebaliknya sukar dijelaskan. Malah, banyak sebenarnya fenomena menakjubkan berlaku di dunia ini yang kurang diketahui ramai biarpun berlaku hampir saban tahun.

Salah satu fenomena yang tidak kurang menariknya adalah kejadian laut terbelah yang berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan barat daya Korea Selatan. Pulau ini adalah yang ketiga terbesar di negara itu dan terletak berhampiran pulau Jejudo dan Geojodo. Bayangkan dalam tempoh sejam, anda dapat menyaksikan kekuasaan Ilahi apabila lautan yang sebelum ini dipenuhi air dan secara tiba-tiba terbelah dan membentuk laluan sementara sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 40 hingga 60 meter.

Kejadian itu pasti mengingatkan kita terhadap kisah Nabi Musa yang ‘membelah laut’ bagi membawa pengikutnya yang taat kepada Allah SWT melarikan diri daripada kekejaman Firaun.

Namun, kejadian moden belahan laut di Jindo itu lain ceritanya yang berkait rapat dengan faktor semula jadi iaitu berlakunya pertembungan arus surut secara serentak yang menyebabkan paras air surut sebanyak enam hingga tujuh meter.

Ini menghasilkan laluan bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini ditenggelami air. Ia juga lazimnya berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan disambut menerusi pesta besar-besaran yang dikenali ‘Jindo Yeongdeung Festival’ atau Pesta Laut Terbelah Jindo.

Malah Pesta Laut Terbelah Jindo ini selalunya diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac atau Mei serta Julai. Bagaimanapun, sambutan luar biasa pelancong tempatan dan asing yang mencecah 400,000 orang membanjiri pesta itu menyebabkan pihak berkuasa memutuskan untuk turut meraikan pesta berkenaan pada April.

Acara itu juga membolehkan pelancong menikmati pelbagai pengalaman di laut dan menyaksikan pemandangan unik serta budaya Jindo. Pesta itu diserikan dengan lagu rakyat Jindo dan tarian khas Korea, Ganggangsullae, turut dipersembahkan. Tarikan lain sepanjang pesta itu termasuk pertunjukan bunga api, pertunjukan laser, persembahan muzik tradisional serta permainan dram.

Bagi mendapatkan pemandangan paling menarik laut terbelah dan membentuk laluan, orang ramai boleh menikmatinya sama ada dengan memanjat bukit atau berjalan-jalan sendiri di laluan itu.

Malah, siapa yang mahu melepaskan peluang melihat detik-detik keajaiban dan tidak hairanlah sebaik lautan itu terbelah, orang ramai berpusu-pusu melintasi laluan itu dan meraikan rakan dari arah bertentangan berikutan penyatuan daratan kepulauan Jindo dan Modo. Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan mencari tiram, rumpai dan hasil lautan lain.

“Inilah keajaiban yang tidak mungkin disaksikan di tempat lain. Dalam sekelip mata, laut terbelah dan mendedahkan dasarnya. Tiada perkataan dapat menggambarkan ketakjuban melihat hidupan laut seperti kerang, kepah dan hidupan marin yang sebelum ini hidup di dasarnya, tiba-tiba timbul,” kata pelancong tempatan, Cho Eun-Jun yang dipetik media tempatan, baru-baru ini.

Hakikatnya, tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu sehinggalah pada 1975, apabila seorang duta Perancis ketika itu, Pierre Randi, melawat Korea Selatan dan menulis mengenainya dalam sebuah akhbar negaranya.

Namun, seperti juga banyak kejadian aneh lain, ada kisah atau kepercayaan rakyat tempatan di sebalik fenomena itu. Ia dikaitkan dengan sebuah kampung di Jindo yang diserang harimau yang menyebabkan penduduk berlari ke pulau Modo untuk berlindung. Malangnya, seorang wanita tua, Pong, yang tidak berdaya tertinggal. Dalam keadaan serba tersedak dia memohon bantuan Dewa Laut, yang kemudian memisahkan laut dan membantu wanita malang itu lari daripada haiwan liar berkenaan.

Apabila laut itu terbelah, ramai penduduk yang berlari ke Modo, memainkan gong dalam usaha mereka mencari wanita berkenaan. Dia, bagaimanapun meninggal dunia tetapi sebelum mati, wanita berkenaan sempat membisikkan: “Doaku dimakbulkan. Laluan laut terbuka dan aku dapat melihat kamu semua. Kini, harapanku sudah terlaksana. Aku boleh meninggal dengan tenang.”

Nama asal daerah itu, Hodong, kemudian ditukar kepada Hoedong, bermakna ‘Kampung Orang yang Kembali’, bagi mengingati kisah Pong.

Selain di Korea, kejadian itu turut dipopularkan di Jepun, selepas penyanyi wanitanya, Dendo Yomishi, menghasilkan lagu fenomena Jindo itu pada 1996.

Kisah Nabi Musa belah samudera

Fenomena laut terbelah dua bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku pada zaman Nabi Musa yang ketika membawa pengikutnya yang taat kepada Allah melarikan diri daripada kekejaman Firaun, pemerintah Mesir.

Namun begitu, besar perbezaan dengan apa yang berlaku di Korea Selatan kerana perkataan terbelah dan membelah itu sendiri membawa makna berlainan. Kejadian laut terbelah di Korea Selatan berpunca daripada faktor saintifik sedangkan keupayaan Nabi Musa membelah Laut Merah pada tanggal 10 Muharam dengan tongkatnya adalah disebabkan mukjizat yang dikurniakan Allah kepada baginda.

Kekejaman Firaun yang mengaku dirinya Tuhan sudah sampai di kemuncak, menyebabkan Nabi Musa membawa pengikutnya lari untuk mengelak daripada diseksa.

Pelarian membawa mereka ke tepi Laut Merah. Sekali pandang, Nabi Musa dan pengikut baginda bakal menjadi habuan kebuasan Firaun kerana terperangkap - di depan laut dan di belakang pula tentera Firaun semakin mendekati.

Namun Allah SWT mempunyai perancangan tersendiri untuk menyelamatkan Rasul serta makhluk-Nya yang beriman. Allah mengarahkan Nabi Musa mengetuk tongkat baginda, yang sebelum itu berjaya membuatkan ahli sihir Firaun ketakutan selepas menjelma menjadi ular besar menelan semua ular yang dijelmakan ahli sihir berkenaan, ke laut.

Dengan izin-Nya, Laut Merah itu terbelah dua, menyediakan laluan untuk Nabi Musa dan pengikut baginda menyeberang dengan selamat.

Firaun dan bala tenteranya yang ghairah mahu membunuh Nabi Musa dan pengikut baginda akhirnya masuk ke dalam perangkap maut apabila laut kembali bersatu sebaik mereka berada di tengah-tengah dan selepas Nabi Musa dan pengikut baginda sudah selamat tiba di tebing.

Bukti kejadian itu diungkap oleh seorang pakar arkeologi, Ron Wyatt, yang mendakwa menemui beberapa roda kenderaan perang purba di dasar Laut Merah. Katanya, ia mungkin sebahagian sisa kenderaan perang tentera Firaun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa.

Katanya, selain roda kenderaan perang berkuda, Wyatt bersama pasukannya turut menemui tulang manusia dan tulang kuda di tempat yang sama. Penemuan itu mengukuhkan dakwaan ia adalah sisa tulang tentera Firaun apatah lagi hasil kajian yang dilakukan di Universiti Stockholm ke atas tulang berkenaan mengesahkan ia berusia sekitar 3,500 tahun, sama waktu kejadian Nabi Musa membelah Laut Merah berlaku.

Apapun, kedua-dua kejadian itu berlaku atas kehendak Allah SWT yang cuma mengarahkan laut terbelah mengikut jadual, dan itulah yang akan terjadi.

INFO: Laut terbelah Jindo

*Berlaku dua kali setahun iaitu sama ada Mac atau Mei serta Julai.

*Secara saintifik, kejadian itu disebabkan penurunan mendadak paras air laut akibat pertembungan air pasang dan surut secara serentak.

*Ia juga disebabkan tarikan graviti antara bulan dan matahari.

*Fenomena itu berlaku selama sejam dan mendedahkan sebahagian dasar lautannya yang membentuk laluan menghubungkan daratan Jindo dan pulau sekitarnya.

*Menjadi antara acara tarikan utama pelancong ke Korea Selatan, setiap tahun.


Berita Minggu

4 Julai 2010