INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas
Showing posts with label Legenda. Show all posts
Showing posts with label Legenda. Show all posts

Pokok boleh bercakap

Sunday, April 21, 2013

0 comments  

Pokok boleh bercakap di dalam filem fantasi Lord of the Rings

oleh KASANABILAH KAMARUL ZAMAN

Filem fantasi seperti The Lord of the Rings dan Magika menggunakan elemen pokok sebagai antara penarik utama kedua-dua filem tersebut.

Namun, adegan pokok boleh berinteraksi dengan manusia ini hanya wujud dalam filem fantasi atau memang tidak pernah berlaku.

Begitu juga yang terjadi dalam filem Avatar. Pokok besar atau pohon jiwa digambarkan sebagai elemen penting sumber nyawa kaum Na'vi.

Mereka menyembah pokok itu bagi memastikan mereka terus hidup.

Tetapi, kisah yang hampir menguatkan mitos itu dipercayai berlaku di bumi bertuah, Palestin.

Negara yang dijajah secara haram oleh rejim Israel itu pernah gempar dengan peristiwa pokok bercakap dengan manusia pada tahun 2002.

Menurut laporan akhbar Mesir, Afaq Arabiah pada 15 Mei 2002, kejadian itu berlaku terhadap tiga pemuda Palestin yang dalam perjalanan ke hospital di Ramallah, Tebing Barat.

Laporan itu menjelaskan, ketika dalam perjalanan mereka terserempak seorang Yahudi yang menjadi tentera simpanan Israel sedang berdiri di atas sebuah tembok.

Setelah berbincang, mereka berpakat untuk membunuh tentera Yahudi itu dengan menghampirinya secara sembunyi. Tetapi, sebaik sahaja mereka sampai, tentera Yahudi yang menyedari niat mereka itu berjaya melarikan diri.

Setelah pencarian mereka tidak berjaya, ketiga-tiga pemuda tersebut mengambil keputusan meneruskan kembali perjalanan ke hospital.

Secara tidak diduga, mereka terdengar suara yang memanggil-manggil. Mereka terkejut kerana suara misteri itu didapati datang daripada sebatang pokok yang menyeru membunuh lelaki Yahudi tadi yang sedang berselindung di sebalik pokok itu.

Mengulas kejadian misteri ini, seorang penceramah bebas, Muhammad Abdullah memberitahu, dia tidak pernah mendengar cerita tersebut walaupun sering melawat Masjid al-Aqsa.

"Namun, ada hadis Rasulullah SAW menyebut bahawa pada akhir zaman nanti, semua pokok dan batu boleh bercakap untuk menolong umat Islam menewaskan musuh.

"Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah ini berbunyi:

"Tidak akan berlaku hari Kiamat sehinggalah orang-orang Islam memerangi orang-orang Yahudi. Lantas orang-orang Islam membunuh mereka hinggalah orang Yahudi bersembunyi di sebalik batu-batu dan pohon-pohon kayu. Maka berkatalah batu-batu dan pokok-pokok berkenaan: "Wahai hamba Allah! Ini dia Yahudi di belakangku. Datanglah ke mari dan bunuhlah dia. Kecuali pohon gharqad (kerana sesungguhnya pohon tersebut adalah pohon Yahudi)."

Wali Allah

Sementara itu, pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah berpendapat kejadian pokok atau tumbuhan bercakap merupakan perkara-perkara yang pelik dan jarang berlaku.

"Hanya insan terpilih seperti Wali Allah sahaja yang akan mengalaminya.

"Sebagai contohnya, pada zaman Rasulullah SAW ada peristiwa pokok berjalan sebagai bukti kepada kaum Quraisy yang menafikan kerasulannya," jelas Md. Daud.

Tambahnya, pada zaman Baginda juga ada peristiwa batu yang bercakap.

"Peristiwa ini berlaku ketika Baginda ingin ke Kaabah.

"Sebelum sempat sampai ke Kaabah, sebutir batu menyapa Baginda dengan menghalang tujuan tersebut kerana kaum Quraisy cuba untuk mengancam Baginda," cerita Md. Daud.

Jelasnya, kewujudan unsur alam yang boleh bercakap seperti manusia ini tidak boleh disangkal namun kesahihan yang berlaku di Palestin itu masih menjadi tanda tanya.

Cuma jelas dalam al-Quran, Nabi Sulaiman yang dapat berinteraksi dengan haiwan serta serangga.


Kosmo!

14 April 2013

Cerita sakti Taming Sari benar

Sunday, March 24, 2013

0 comments  

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

KERIS Taming Sari tersimpan rapi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak.

KISAH pertarungan hebat pendekar Melayu, Hang Tuah dengan seorang pahlawan Majapahit bernama Taming Sari dianggap sebagai detik permulaan legenda keris Taming Sari.

Dalam pertarungan itu, pendekar berdarah Jawa itu tidak lut ditikam keris Hang Tuah kononnya keris yang dipegang Taming Sari menjadikan dirinya kebal daripada tujahan senjata tajam.

Bagaimanapun, selepas Hang Tuah berjaya merampas keris itu daripada tangan Taming Sari, barulah lelaki itu berjaya dikalahkan. Keris Taming Sari itu kemudian dianugerahkan kepada Hang Tuah.

Namun, terdapat sesetengah pihak menolak kewujudan Hang Tuah walaupun keris Taming Sari itu tersimpan rapi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak sekarang.

Bekas Pengarah Muzium Perak, Nor Jannati Ibrahim memberitahu, keris itu asli dan bukan replika seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Keris Taming Sari yang pernah dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar adalah warisan Kesultanan Perak selain menjadi alat kebesaran diraja negeri ini.

Misteri

“Lagipun keris berkenaan sudah menjadi hak Kesultanan Perak yang sah sejak tahun 1528 selepas diwariskan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah I kepada Sultan Perak pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah,” katanya.

Walaupun ketulenan keris berkenaan terus dikaji pelbagai pihak, Muzium Perak mempertahankan ia keris Taming Sari yang asli.

“Kebanyakan tohmahan timbul disebabkan generasi hari ini terdedah kepada pelbagai maklumat yang kurang tepat.

“Mereka hanya mendengar maklumat daripada sebelah pihak tanpa mengkaji sejarah keris Taming Sari,” tegas Jannati.

Taming Sari kini disimpan bersama 26 alat kebesaran Perak lain di dalam sebuah peti besi khas di Istana Iskandariah.

Senjata itu dikatakan mempunyai ‘kuasa’ hinggakan penjaga alat kebesaran diraja itu perlu mematuhi pantang larang sepanjang menjaga atau membawanya.

Antaranya, keris keramat itu tidak boleh dipamerkan di dalam kotak kaca di ruang legar galeri secara bersendirian sebaliknya disertakan dengan keris Seri Gading sebagai ‘peneman’.

Keris Seri Gading juga perlu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai ‘penawar’ dan ‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang berniat buruk terhadapnya.

Pelbagai versi mengenai Taming Sari diperturunkan secara lisan dan yang paling terkenal ialah keris sakti berkenaan pernah dicampakkan Hang Tuah ke dalam Sungai Duyung di Melaka.

Versi lain yang tidak kurang popularnya ialah keris Taming Sari telah diserahkan oleh Hang Tuah kepada Sultan Mahmud Shah berikutan kegagalan beliau meminang Puteri Gunung Ledang untuk baginda.

Setelah empayar Melaka runtuh ditawan Portugis pada tahun 1511, keris keramat itu dibawa bersama rombongan Sultan Mahmud yang berundur ke Kampar, Sumatera.

“Kemudian atas permintaan pembesar Perak diketuai Tun Saban, baginda mengirimkan anakandanya, Raja Mudzaffar Shah untuk berangkat ke Perak bagi mengasaskan kesultanan Melayu di negeri itu.

“Baginda turut mengurniakan beberapa peralatan termasuk keris Taming Sari untuk dijadikan alat kebesaran negeri yang baru ditubuhkan itu,” cerita Jannati.

IMEJ mural di Muzium Negara yang didakwa mirip wajah dan sosok tubuh Hang Tuah.

Kursani

Kajian Muzium Perak mendapati keris Taming Sari menepati ciri-ciri termasuk gambar rajah yang terdapat pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno yang dipercayai ditulis pada abad ke-15.

“Manuskrip terbabit mengandungi zikir dan amalan perang yang diamalkan Tariqat al-Shazilliah yang berkembang sekitar abad berkenaan,” ujarnya.

Pengkaji paranormal, Mohammad Idrus Abu Hanifah berpendapat, keris Taming Sari hanya ada satu iaitu keris yang disimpan oleh Sultan Perak sekarang.

Keris Taming Sari ada kesaktian. Salah satu cara untuk mengenal pasti keris itu ialah melalui bahan yang digunakan untuk membuatnya.

“Keris Taming Sari asli dibuat daripada serbuk kursani, tetapi yang palsu dibuat menggunakan besi biasa atau pasir hitam,” katanya.

Prof. Emiratus Tan Sri Khoo Kay Kim pula berkata, tiada fakta sejarah yang dapat membuktikan lokasi sebenar keris Taming Sari.

Namun begitu, berdasarkan kajiannya, ada dua versi mengenai sejarah keris tersebut.

“Keris Taming Sari tersebut telah hilang buat selama-lamanya bersama Laksamana Hang Tuah sewaktu keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511.

“Selain itu, keris tersebut telah dibawa ke Perak oleh Sultan Mudzaffar Shah yang merupakan anak kepada Sultan Mahmud Shah, iaitu sultan terakhir Melaka, untuk dijadikan peralatan kebesaran dalam majlis pertabalan Sultan Perak yang pertama,” katanya.

Kosmo!

4 November 2012

Di sebalik tujuh syarat

Monday, March 18, 2013

0 comments  

Oleh MAHFUZ MOHAMAD

Puteri Gunung Ledang menurut gambaran pelukis, imej oleh byako0x di byako0x.deviantart.com

KISAH legenda Puteri Gunung Ledang pasti mengingatkan kita terhadap Sultan Mahmud Shah yang meminang puteri itu yang turut dikenali sebagai Gusti Putri Retno Dumillah.

Pelbagai versi bercerita mengenai asal usul dan siapa sebenarnya Puteri Gunung Ledang.

Versi cerita yang paling popular dan selalu diperkatakan mengenai asal-usul puteri itu adalah daripada Majapahit yang lari ke Gunung Ledang kerana dipaksa berkahwin dengan Putera Demak.

Menurut buku lama Sulalatus Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu, Sultan Ahmad mengutuskan Hang Tuah, Tun Mamat dan beberapa pegawai istana untuk meminang Puteri Gunung Ledang.

Pinangan itu bagaimanapun ditolak oleh Gusti Putri dengan menetapkan beberapa syarat yang mustahil. Antara permintaan Gusti Ratu ialah jambatan emas dan jambatan perak, tujuh dulang hati nyamuk, hati hama, satu tempayan air mata anak dara, satu tempayan air pinang muda dan semangkuk darah Sultan Ahmad.

Di sebalik penolakan itu dan tujuh syarat yang ditetapkan, terdapat pelbagai spekulasi yang dibuat mengenai sebab pinangan ditolak dan syarat yang dikenakan.

Seperti yang diceritakan dalam filem yang pernah diterbitkan pada 2004, penolakan tersebut adalah kerana cinta Puteri Gunung Ledang terhadap Laksamana Melaka, Hang Tuah. Versi lain yang disampaikan dari nenek moyang pula menyatakan Puteri Gunung Ledang telah bersuami.

Namun, persoalannya bukanlah sebab mengapa Puteri Gunung Ledang menolak pinangan tersebut tetapi syarat yang diberi kepada Sultan Mahmud.

Terdapat beberapa teori yang timbul dalam kisah ini antaranya syarat yang ditetapkan bukanlah dari Puteri Gunung Ledang sendiri tetapi ia adalah rekaan Tun Mamat dan Hang Tuah.

Antara tujuan syarat-syarat tersebut direka bertujuan untuk membersihkan kota Melaka yang sedang pesat membangun sebagai bandar pelabuhan terkenal di seluruh dunia daripada serangga yang membawa penyakit melalui syarat tujuh dulang hati nyamuk dan hati hama.

Selain itu, syarat semangkuk darah putera mahkota pula bertujuan untuk menyedarkan Sultan Ahmad tentang tanggungjawab utama baginda sebagai pemerintah Melaka.

Sesetengah pendapat menyatakan legenda ini adalah rekaan semata-mata yang dicipta untuk menyindir sifat kaki perempuan Sultan Mahmud dan kezaliman baginda.

Tujuh dulang hati kuman dan hati nyamuk menggambarkan sikap Sultan Mahmud yang sanggup menggadaikan hati-hati rakyat jelata semata-mata demi mencapai matlamat yang dihajatkan.

Tujuh tempayan air mata dara pula sebagai perlambangan anak-anak gadis yang dipaksa menjadi gundik sultan dan berpisah dengan keluarga.

Walau apa pun versi dan spekulasi yang wujud daripada kisah Puteri Gunung Ledang ini, ia haruslah dijadikan sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua supaya sentiasa beringat dalam melakukan sesuatu perkara.

Kosmo!

14 Oktober 2012

Misteri kota dalam gua

Sunday, March 3, 2013

0 comments  

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

PINTU masuk ke Gua Kota Gelanggi, gua yang menyimpan pelbagai kisah misteri.

GUA Kota Gelanggi yang terletak di daerah Jerantut, Pahang menyimpan pelbagai cerita ganjil dan misteri.

Di dalam gua ini, terdapat tujuh buah gua yang dipanggil kota iaitu Kota Tongkat, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Rehut, Kota Jin dan Kota Kepayang. Gua-gua ini dipanggil kota yang membawa maksud negeri-negeri yang berada di bawah Kota Gelanggi pada zaman dahulu.

Ada yang mengatakan gua itu wujud berikutan pergaduhan antara Raja Muda Mambang dan putera Raja Rembau bernama Rusul kerana berebutkan puteri Datuk Indera Raja Laut.

Raja Muda Mambang mencabar Rusul untuk bertarung dengannya. Rusul menyahut cabaran itu lalu menyuruh Raja Muda Mambang menikamnya, tetapi tidak berjaya.

Apabila tiba giliran Rusul, dia melepaskan keris terbangnya, lalu keris berkenaan menikam dada Raja Muda Mambang yang serta-merta membunuhnya.

Darahnya dikatakan sentiasa mengalir sehingga ke hari ini melalui aliran cecair yang kelihatan di dinding Gua Kota Gelanggi berhampiran struktur batu yang menyerupai manusia terbaring.

Kebetulan pula pada masa itu, Sang Kelembai sampai di Kota Gelanggi lalu menegur pergaduhan itu. Teguran itu menyebabkan semua benda dan makhluk di situ menjadi batu. Maka terjadinya gua-gua batu dengan pelbagai bentuk struktur yang menyerupai kota, bilik, manusia, binatang, peralatan perang, peralatan kenduri serta peralatan dan perhiasan perkahwinan.

Terdapat pula versi yang menyatakan pada masa dahulu, mukim Pulau Tawar di daerah Jerantut adalah sebuah pulau yang besar. Rajanya, Raja Gelanggi mempunyai seorang puteri yang cantik dan ditunangkan dengan seorang anak raja di Rembau bernama Raja Usul.

Puteri

Kecantikan dan kebaikan puteri itu turut diketahui oleh Raja Mambang di kayangan. Raja Mambang ingin memperisterikan puteri Raja Gelanggi, lalu meminangnya. Oleh kerana takut, Raja Gelanggi terpaksa menerima pinangan itu.

Apabila tiba hari perkahwinan, Raja Usul sampai di Kota Gelanggi dengan tujuan untuk menghantar hadiah kepada tunangnya.

Kapalnya ditinggalkan di suatu tempat yang sekarang ini digelar Lanchang, dekat Kampung Masjid, Pulau Tawar. Dia naik ke darat dengan perahu lalu ke kota.

Alangkah terkejutnya bila majlis pernikahan sedang dijalankan lantas berlaku peperangan antara angkatan Raja Usul dan Raja Mambang.

Ketika inilah, Sang Kelembai muncul dan menegur tentang perangai mereka yang sanggup berperang kerana seorang perempuan. Akhirnya semua yang ada di situ menjadi batu, kapal menjadi tanah, laut menjadi padang dan sungai menjadi lembah.

Mengikut versi seorang penyelidik bernama Cameron pula, seorang raja bernama Raja Gelanggi mempunyai seorang anak perempuan cantik dan menjadi idaman putera Raja Mambang di Lipis.

Putera itu meminta ayahandanya menyunting puteri itu tetapi puteri berkenaan menolaknya.

Pada ketika yang lain, seorang putera raja kepada Raja Usul dari Bera telah keluar berburu bersama orang-orangnya berdekatan dengan Gelanggi. Putera itu telah terpandang kepada puteri Raja Gelanggi lalu menculiknya dan membawa puteri itu pulang ke Bera.

Puteri Gelanggi tidak membantah kerana bencikan tunangnya, lalu bersetuju mengahwini putera Raja Usul.

Culik

Hal penculikan itu diketahui oleh Raja Mambang. Walaupun pada mulanya Raja Gelanggi terlibat dalam peperangan dengan Raja Usul bagi mendapatkan kembali puterinya, baginda kemudian menyerahkan hal itu kepada Raja Mambang kerana puterinya hidup bahagia.

Raja Mambang turun ke Bera dan berperang dengan Raja Usul tetapi malangnya baginda sendiri yang terbunuh.

Menurut Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Datuk Aripin Said, berdasarkan kajian yang dilakukan, berlaku pergaduhan antara Raja Kota Gelanggi iaitu Raja Mambang dan Raja Tasik Bera yang mahu menakluk antara satu sama lain tetapi keadaan menjadi reda apabila Raja Mambang berkahwin dengan Puteri Tasik Bera.

“Semasa persandingan, Sang Kelembai telah datang dan menegur menyebabkan kesemuanya bertukar menjadi batu.

“Oleh sebab itu, ada batu yang seakan-akan menyerupai orang sedang bersanding, gajah dan singa terdapat dalam gua misteri ini.

“Dikhabarkan juga terdapat sebuah kota yang tidak ditemui tetapi hanya mereka yang bernasib baik akan terjumpa kota yang dipercayai tempat raja bersemayam.

“Keadaan di dalam tujuh kota ini juga gelap dan tidak semua pelancong yang datang akan menjelajah kesemua kota disebabkan faktor keselamatan,” jelasnya.

Tambahnya, kisah misteri gua tersebut juga ada diceritakan di dalam buku Cerita-Cerita Rakyat Pahang. Seorang profesor dari Jerman juga pernah merakamkan cerita di sebalik gua ini kira-kira dua tahun lalu.

“Mengikut kajian arkeologi juga mendapati sebuah negeri pernah wujud di gua ini berdasarkan kepada beberapa penemuan.

“Namun, mitos kononnya gua ini boleh dihubungkan terus ke negeri Kelantan juga tidak dapat dibuktikan lagi buat masa ini,” ujarnya.

Kosmo!

16 September 2012

Air tasik ubati kemandulan

Monday, February 4, 2013

0 comments  

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

CERITA legenda Puteri Dayang Sari dan asal-usul Pulau Dayang Bunting diabadikan pada plak yang terdapat di pulau tersebut.

PULAU Dayang Bunting yang merupakan pulau kedua terbesar di Langkawi, Kedah memiliki sisi mitos yang tidak kurang popularnya. Pulau itu dikatakan kelihatan seperti seekor gergasi hamil yang terlena. Ini kerana formasi gunung-ganang di pulau itu menyerupai sosok seorang wanita yang sedang terbaring dengan bentuk kepala, dada dan perut yang sedang bunting.

Pemandangan itu dapat dilihat di sepanjang perjalanan menaiki bot dari Pulau Langkawi ke Pulau Dayang Bunting yang mengambil masa kira-kira 15 minit.

Air daripada tasik pulau itu dipercayai dapat merawat kemandulan dengan cara minum atau mandi dengannya. Sehingga ke hari ini, masih ada kepercayaan wanita yang sukar mendapatkan anak, akan dikurniakan cahaya mata jika mandi di dalam tasik itu.

Terdapat banyak versi cerita rakyat berkenaan asal-usul pulau itu. Bagaimanapun, sehingga kini kebenaran cerita itu belum dibuktikan lagi.

Ada yang mengatakan tasik air tawar berbentuk kawah itu menjadi tempat kegemaran seorang puteri dari kayangan, Puteri Dayang Sari untuk mandi dan bermain.

Dikhabarkan pada suatu hari, seorang putera raja bernama Putera Teja telah terserempak dengan Puteri Dayang Sari yang sedang mandi di tasik tersebut. Putera Teja terpegun dengan kecantikan puteri kayangan itu hingga dia jatuh cinta.

Putera Teja cuba memikat Puteri Dayang Sari dengan puisi serta lagu-lagu yang indah lagi merdu tetapi tidak berjaya. Oleh kerana usahanya menemui jalan buntu, dia kemudian berjumpa dengan seorang lelaki tua bernama Tok Diang bagi mendapatkan nasihat bagaimana caranya untuk memenangi hati puteri tersebut. Tok Diang lalu menyuruh Putera Teja membasuh mukanya menggunakan air mata duyung.

Apabila dia berbuat demikian, Puteri Dayang Sari terus jatuh cinta dengan ketampanan Putera Teja dan mereka pun berkahwin. Selepas berkahwin, Puteri Dayang Sari hamil. Malangnya bayi itu meninggal dunia selepas tujuh hari dilahirkan akibat penyakit misteri.

Puteri Dayang Sari merasakan perkahwinannya dengan Putera Teja merupakan satu kesilapan. Selepas mengebumikan bayi tersebut, Puteri Dayang Sari yang mempunyai penawar kemandulan telah kembali ke kayangan dan tidak kembali lagi. Setelah peristiwa tersebut, tasik itu dinamakan Tasik Dayang Bunting sebagai tanda simpati orang ramai kepada pasangan malang itu.

PULAU Dayang Bunting terletak kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot dari Pulau Langkawi.

Gergasi

Satu versi lain pula mengatakan Dayang Bunting ialah manusia gergasi yang ditugaskan menjaga pulau itu. Singa peliharaan dan racun daripada akar tuba dijadikan senjata sekiranya ada yang mahu menceroboh. Oleh itu, kedua-dua pulau yang berada paling dekat dengan Pulau Dayang Bunting seakan-akan menyerupai gergasi hamil iaitu Pulau Singa Besar dan Pulau Tuba.

Ada juga yang mengatakan pulau itu berpenunggu kerana pada zaman Jepun menjajah Tanah Melayu, seorang askar Jepun yang mandi di tasik itu dalam keadaan berbogel dibaham seekor buaya putih penunggu tasik tersebut.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Wan Shamsudin Mohd. Yusof memberitahu, tiada bukti bertulis yang menyokong cerita sebenar kewujudan Pulau Dayang Bunting itu dan mitos pulau itu diceritakan secara lisan sahaja.

“Cerita ini timbul sebelum perang lagi dan ia diterjemahkan dalam pelbagai versi yang berlainan. Tiada kajian menyeluruh untuk membuktikan kebenaran cerita mengenai pulau ini. Kadangkala boleh percaya dan tidak mustahil ia satu cerita rekaan.

“Mengikut cerita yang saya peroleh, pada zaman dahulu terdapat seorang dayang istana yang bersekedudukan dengan seorang lelaki di istana sehingga hamil. Anaknya meninggal dunia selepas dilahirkan dan dibuang ke dalam tasik sehingga menjelma menjadi buaya putih. Hanya mereka yang bernasib baik berjumpa dengan kelibat buaya putih itu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya, cerita lisan yang diperoleh banyak yang tidak benar dan untuk membuktikannya, hasil temu bual bersama penduduk setempat boleh dibuat dalam bentuk bertulis.

“Cerita kononnya wanita yang sukar mendapatkan anak, hamil selepas minum dan mandi menggunakan air dari tasik itu suatu kebetulan sahaja dan bukan sebab air dari tasik yang didakwa sebagai penawar kemandulan itu,” ujarnya.

Kosmo!

22 Julai 2012

Kemunculan puntianak di Bulgaria

Thursday, January 24, 2013

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

JIKA anda menganggap puntianak hanya mitos atau kisah seram dalam filem, fikirkanlah semula. Ahli arkeologi Bulgaria baru-baru ini menemui dua rangka manusia daripada Zaman Pertengahan dengan sebatang besi menikam dadanya, dipercayai bagi menghalang si mati daripada hidup semula sebagai puntianak.

Dua rangka itu, dikatakan berusia 800 tahun, ditemui dalam satu ekskavasi berhampiran sebuah biara di bandar Laut Hitam Bulgaria, Sozopol.

Ketua Muzium Sejarah negara itu, Bozhidar Dimitrov berkata, dua rangka yang ditikam itu menyamai amalan penduduk kampung di Bulgaria sehingga dekad pertama abad ke-20.

Bomoh-bomoh di Eropah percaya orang yang berkelakuan jahat semasa hidup akan bertukar menjadi puntianak selepas mati melainkan dadanya ditusuk batang besi atau kayu sebelum dikebumikan.

Mereka yakin batang besi itu dapat menghalang si mati daripada merayau-rayau pada waktu tengah malam dan mengganggu penduduk. Menurut Dimitrov, lebih 100 rangka dengan tikaman besi ditemui di Bulgaria dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

PENEMUAN rangka puntianak di Bulgaria menimbulkan misteri sama ada makhluk itu benar-benar wujud.

“Saya tidak tahu kenapa penemuan rangka seperti itu menjadi begitu popular. Mungkin ia disebabkan misteri perkataan puntianak,” katanya.

Puntianak Eropah kebiasaannya adalah lelaki tetapi bulan lalu, penyelidik Itali menemui rangka puntianak wanita di Venice - ditanam dengan seketul bata disumbat ke dalam mulutnya bagi menghalangnya daripada memburu mangsa di bandar itu. Puntianak wanita itu dipercayai daripada abad ke-16.

Ahli antropologi Universiti Florence, Matteo Borrini berkata, penemuan di sebuah pulau kecil, Lazzaretto Nuovo di lagun Venice itu menyokong kepercayaan lama bahawa puntianak menjadi dalang di sebalik kejadian huru-hara seperti Black Death pada abad berkenaan.

“Untuk membunuh puntianak itu, anda terpaksa membuang kain yang menutup mulutnya. Kain itu umpama makanan sama seperti susu bayi. Sebagai ganti, letakkan benda yang tidak boleh dimakan,” jelas Borrini.

Kisah puntianak ternyata bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk kampung di Malaysia bahkan di negara-negara maju di Eropah.

Cerita itu juga popular di Indonesia hinggakan sebuah wilayah di Kalimantan Barat dinamakan Pontianak. Menurut cerita orang tua-tua, pengasas Pontianak iaitu seorang ulama bernama Syarif Abdurrahman Al-Qadri sering diganggu oleh hantu itu ketika menyusuri Sungai Kapuas yang merupakan pintu masuk ke bandar itu dari Laut China Selatan.

Ulama itu dikatakan menggunakan meriam karbaid untuk menghalau atau membunuh makhluk tersebut.

PAKU membunuh puntianak. - Gambar hiasan

Halia

Sehingga hari ini, meriam yang digunakan itu menjadi satu instrumen untuk menarik pelancong ke situ.

Menurut Datuk Bandar Pontianak, Paryadi, meriam karbaid digunakan untuk menghalau puntianak semasa pemerintahan sultan di Pontianak.

“Kini ia digunakan untuk memaklumkan penduduk di sini waktu solat Maghrib, berbuka puasa dan pengumuman Hari Raya Aidilfitri,” beritahu beliau.

Di Eropah, mitos puntianak memiliki banyak versi. Di Greece ia dikenali dengan nama vrykolakas manakala di Romania, symengol.

Kisah puntianak turut diangkat oleh penulis Britain, John Polidori yang menghasilkan novel bertajuk The Vampyre pada tahun 1819. Cerita hantu penghisap darah itu sangat digeruni hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang ramai pada masa itu.

Di Croatia pada tahun 1672, penduduk sebuah kampung diceritakan gempar apabila seorang penduduk yang mati pada tahun 1656 hidup semula dan menghisap darah penduduk selain merogol wanita janda.

Serangan puntianak turut menggemparkan Britain pada tahun 1970 apabila beberapa akhbar tempatan melaporkan berita kononnya hantu itu telah menyerang kawasan Perkuburan Highgate di London.

Ia menyebabkan ramai pemburu puntianak berkumpul di situ. Sesetengah daripada mereka sempat menulis buku mengenainya hingga memperoleh keuntungan.

Seorang penulis buku dan juga pemburu hantu, Sean Manchester mendakwa telah menghapuskan semua puntianak di kawasan itu. Tetapi tiada bukti jelas mengenai kewujudan hantu itu.

Pada Januari 2005 pula, penduduk Birmingham terkejut dengan kemunculan seorang penyerang yang berkelakuan seperti puntianak iaitu menghisap darah mangsa sebelum membunuhnya. Bagaimanapun, polis yang menyiasat kes itu mengatakan andaian puntianak itu hanya khabar angin

Seorang pakar teologi Perancis, Dom Augustine Calmet pernah membuat kajian komprehensif berdasarkan kes serangan puntianak tetapi tidak menemui bukti tentang kewujudan makhluk itu.

Mitos

Pemerintah Austria pada kurun ke-17, Maria Theresa Walburga Amalia Christina pula meminta doktor peribadinya, Gerard Van Swieten menyiasat entiti puntianak tetapi ia juga berakhir dengan kegagalan.

Kata Swieten, kisah puntianak itu sekadar menggalakkan pengamal ilmu hitam menggali kubur untuk memantapkan ilmu serta mencuri organ manusia untuk dijual.

Pengkaji alam misteri dan sejarah purba Nusantara, Mohammad Idrus Abu Hanifah berpendapat, puntianak sebenarnya ialah jin dan hantu yang ingin mengganggu manusia.

Katanya, tidak mungkin jin serta hantu dapat meragut nyawa manusia.

“Pelbagai teori telah dikemukakan tetapi tidak ada sekeping gambar atau kajian saintifik yang mengesahkan perkara tersebut.

“Malah, cara menghapuskan puntianak mempunyai pelbagai versi seperti mencurahkan air panas pada muka atau abu mayat, melemaskan hantu itu, menusuk paku ke tengkuknya dan menyumbat halia ke dalam mulutnya,” katanya kepada Jurnal.

Merujuk kepada negara ini, puntianak dikatakan hantu wanita yang berwajah cantik selepas dipantak paku di tengkuknya tetapi akan kembali hodoh jika paku itu dicabut.

Mohammad Idrus mengaku pernah membuat kajian dengan pergi ke sebuah lokasi yang dikatakan ada puntianak di Hulu Selangor.

“Di situ, saya berjumpa dengan hantu puntianak yang hodoh. Sebaik sahaja saya mencucuk paku sepanjang 10 sentimeter di tengkuknya, tidak berlaku apa-apa perubahan sebaliknya hantu itu memarahi saya.

“Hantu itu memakai pakaian berwarna putih manakala matanya merah menyala. Ia mempunyai gigi yang tajam, memang tak cantik langsung,” dakwa Mohammad Idrus sambil ketawa.

Kosmo!

24 Jun 2012

Nenek kebayan makan daging mentah

Tuesday, January 15, 2013

0 comments  

Oleh SYALMIZI HAMID

WANITA itu digambarkan sebagai seorang yang sangat tua, bongkok dan mempunyai kulit wajah yang berkedut. Lenggok langkahnya yang dibantu sebatang tongkat kayu nampak tidak gagah.

Dikenali sebagai nenek kebayan, kisah wanita itu telah diperturunkan dari zaman dahulu hingga kini dalam masyarakat Melayu terutamanya dalam Hikayat Malim Deman dan Hikayat Hang Tuah.

Dalam kisah-kisah tersebut wanita itu menunjukkan watak baik. Dia menjadi perantara untuk manusia biasa berhubung dengan puteri kayangan dengan kuasa magis yang dimilikinya.

Dalam versi lain, nenek tua itu digambarkan sebagai seorang wanita yang memiliki rupa paras menakutkan dan gemar menculik kanak-kanak menerusi lirik lagu rakyat, Nenek Si Bongkok Tiga.

Dia juga terkenal sebagai penjaga Puteri Gunung Ledang yang mendiami gunung tersebut yang terletak di Ledang, Johor menerusi cerita-cerita legenda.

“Walaupun banyak versi cerita tentangnya, kewujudan nenek kebayan ini bukan dongeng semata-mata,” jelas seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie.

Ilmu hitam

Nenek kebayan merupakan manusia biasa yang gemar tinggal di kawasan yang jauh di pedalaman. Dia berbuat demikian kerana gemar menyendiri akibat mengamalkan ilmu hitam untuk memperoleh kuasa.

Dia suka membantu masyarakat kampung dan golongan berkedudukan terutamanya dalam bidang perbidanan dan perubatan. Nenek kebayan dijadikan sebagai penjaga keselamatan sebahagian keluarga raja dan pembesar zaman dahulu.

“Nenek kebayan merupakan seorang bidan, bomoh dan pawang. Namun malangnya dia mengamalkan amalan syirik dalam proses perubatannya.

“Orang zaman dahulukala gemar menggunakan bantuan jin dalam upacara perubatan. Tidak hairanlah kalau nenek kebayan boleh hidup lama biarpun bersendirian di dalam hutan kerana ada makhluk lain yang berdampingan bersamanya,” jelas Shamsuri.

Menurut Shamsuri, biarpun kewujudannya tidak dapat dipastikan, namun ciri-ciri yang digambarkan oleh wanita itu menjelaskan bahawa ia mampu hidup sendirian dan mempunyai kuasa sakti kerana bantuan jin tersebut.

Jika kebanyakan warga emas mengamalkan memakan ulam-ulaman mahupun sumber alam untuk kekal awet muda, berbeza pula dengan nenek kebayan apabila dia gemar memakan daging mentah.

“Nenek kebayan makan begitu banyak kerana berkongsi hidangan dengan makhluk yang mendampinginya. Dia suka makan daging mentah dan darah,” tutur Shamsuri.

Hutan

Jelas Shamsuri, seiring dengan peredaran zaman dan kepercayaan masyarakat pada zaman ini yang lebih berpegang kepada ajaran Islam, kisah nenek kebayan kini sekadar menjadi cerita rakyat.

Namun, jin belaan nenek kebayan masih wujud di hutan kerana di situ tempat makhluk seperti itu berkeliaran.

“Mungkin di kawasan Semenanjung Malaysia nenek kebayan sudah tiada lagi kerana masyarakat hari ini sudah tidak mempercayai amalan seperti itu.

“Tetapi di rantau Nusantara ini mungkin masih ada nenek kebayan yang tinggal di dalam hutan bersama jinnya,” jelas Shamsuri.

Seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi memberitahu bahawa dia pernah ‘ditegur’ makhluk yang menyerupai seorang nenek tua ketika mengikuti program perkhemahan di sebuah kawasan di kepulauan Borneo.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Razali bersama beberapa orang kawannya berkhemah di sebuah kawasan yang berdekatan air terjun yang dilatari oleh hutan tebal.

“Setibanya saya di tempat itu, saya melihat suasananya begitu cantik seperti terpelihara. Ketika terlelap kerana penat selepas memasang khemah, saya terjaga kerana berdepan dengan mimpi aneh.

“Dalam mimpi itu seorang wanita tua yang bongkok dan berwajah hodoh menghampiri saya dan berkata bahawa dia membenarkan kami mandi di kawasan air terjun itu, tetapi kena menjaga tingkah laku.

“Sejurus kemudian saya tersedar. Begitu sukar untuk mengiakan sama ada ia hanya mainan tidur atau benar-benar pesanan yang disampaikan oleh orang tua itu,” ujar pelajar berusia 22 tahun itu.

Kosmo!

3 Jun 2012

Ikan tapah pantang keturunan Pak Kadok

Thursday, January 10, 2013

0 comments  

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI

WALAUPUN enak, ikan tapah akan mendatangkan mudarat jika dimakan oleh keturunan Pak Kadok.

KISAH keturunan Pak Kadok tidak boleh menyentuh ikan tapah apatah lagi memakannya bukanlah perkara baharu. Pak Kadok yang terkenal dengan pepatah menang sorak kampung tergadai dikatakan membuat larangan itu selepas dia menemui seekor ikan tapah yang perutnya penuh dengan emas di Sungai Perak pada lebih 450 tahun lalu.

Pak Kadok pada masa itu baru sahaja kalah pertandingan sabung ayam menyebabkan ahli keluarga dan kampungnya tergadai kepada sultan. Emas yang diperoleh daripada ikan tapah itulah yang digunakan untuk menebus semula kampungnya itu.

Keturunan Pak Kadok yang dianggarkan seramai berpuluh ribu orang pada hari ini kebanyakannya berasal dari Kampung Tua di Lambor Kanan, Perak.

Berikutan peristiwa ikan tapah itu, keturunan Pak Kadok langsung tidak boleh menjamah ikan sungai itu sampai sekarang.

Jika dimakan juga, tubuh mereka bagaikan melecur, kulit melepuh seperti dicurah air panas bahkan ada yang sakit sehingga hampir maut. Untuk mendapatkan penawarnya, mereka akan kembali ke kampung berkenaan dan mengunjungi sebuah rumah yang dikenali Rumah Tua di situ.

Penjaga

Rumah Tua itu milik saudagar emas, Pandak Logam, iaitu salah seorang keturunan Pak Kadok yang menyimpan Emas Kancing Tapah, iaitu saki-baki emas yang didakwa ditemui Pak Kadok di dalam perut ikan tapah terbabit.

Air rendaman emas berbentuk kerongsang empat segi itu dikatakan berupaya mengubati penyakit yang dipercayai berpunca daripada perbuatan melanggar sumpah Pak Kadok.

Rumah itu kini diwarisi anak Pandak Logam, Hasmah. Bagaimanapun akibat sakit tua, Hasmah tidak lagi menetap di rumah berusia lebih 100 tahun itu sebaliknya tinggal bersama anak saudaranya di Selayang, Selangor.

Tugas menjaga Rumah Tua itu kini dibantu oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tua, Zenal Ngah Haleb, 63.

“Kebetulan rumah saya terletak bersebelahan dengan Rumah Tua. Jadi, Hasmah meminta bantuan saya untuk membuka kediaman ini jika ada waris Pak Kadok yang memerlukan air penawar,” katanya kepada Jurnal.

Ujarnya lagi, air penawar yang disediakan sekali dalam setahun itu akan diminum atau disapu pada kulit yang melepuh.

“Setiap tahun sebelum bulan Ramadan, Hasmah akan pulang ke sini. Pada masa itu sahajalah orang ramai boleh melihat Emas Kancing Tapah itu kerana pada hari biasa ia disimpan di dalam sebuah peti besi di Rumah Tua ini.

INILAH rupa Emas Kancing Tapah.

“Emas itu akan direndam ke dalam air yang disimpan di dalam sebuah bekas khas. Tugas saya adalah menokok air tersebut dan memastikan ia tidak kering,” terang Zenal.

Menurut Zenal, dua kejadian pelik berkaitan sumpahan itu berlaku baru-baru ini.

“Ada seorang wanita keturunan Pak Kadok terjamah hidangan ikan tapah semasa berkursus di Langkawi. Sekembalinya ke rumah, dia mengalami penyakit kulit yang kritikal.

“Doktor pakar di Hospital Taiping segera merujuknya ke Hospital Kuala Lumpur namun berkat air penawar ini, wanita itu pulih semula,” kata Zenal.

Tambahnya, hal yang sama berlaku ke atas seorang budak lelaki berusia enam tahun yang seperti sudah tiada harapan lagi untuk hidup.

“Bapanya datang memangku anak kecil itu dan menangis minta dibantu. Jadi, saya suruh dia ratakan air itu ke badan anaknya dan diminum sedikit kerana saya percaya budak itu pernah termakan ikan tapah,” katanya.

Dengan izin Allah, ujarnya, keluarga budak itu datang menziarahi Zenal selepas genap 100 hari air penawar itu digunakan.

“Saya terkejut melihat anak kecil itu yang dahulu sangat lembik sudah boleh berlari-lari keliling rumah di sini,” katanya.

Kosmo!

4 Mac 2012

Orang bunian makhluk hodoh

Tuesday, January 8, 2013

0 comments  


Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

KISAH orang bunian sering diperkatakan khalayak di seluruh dunia. Banyak versi cerita yang melingkari kewujudan makhluk halus itu.

Segelintir pihak mengatakan orang bunian ialah puteri kayangan yang disumpah turun ke bumi, sesetengah yang lain mendakwa ia orang alim yang menuntut ilmu salah. Ada pula yang percaya ia sejenis makhluk seakan-akan manusia.

Seorang pengkaji paranormal, Mohammad Idrus Abu Hanifah memberitahu, kisah orang bunian wujud di seluruh dunia termasuk di benua Eropah.

“Sepanjang yang saya ketahui, dahulu di Hulu Klang ramai orang mengatakan mereka pernah terserempak dengan orang bunian malah berinteraksi dengan mereka.

“Orang bunian akan meminjamkan pinggan mangkuk kepada orang kampung semasa majlis perkahwinan,” katanya kepada Jurnal.

Namun, kerana sikap segelintir penduduk kampung yang tidak memulangkan pinggan mangkuk yang dipinjam selain merosakkannya menyebabkan orang bunian berkenaan menghilangkan diri dan enggan bekerjasama lagi dengan mereka.

Idrus mempunyai perspektif berbeza mengenai takrifan orang bunian.

“Jika disebut orang bunian, ia seolah-olah manusia sebenar iaitu makhluk Tuhan yang paling sempurna sedangkan orang bunian ialah jin,” ujarnya.

Katanya lagi, orang bunian mampu bertukar rupa seperti manusia kerana jin atau makhluk halus boleh bertukar rupa dan fizikal dengan mudah.

Idrus memberitahu, orang bunian hidup secara berkumpulan dan memiliki perkampungan.

Mereka juga mempunyai istana, pentadbiran dan gelaran. “Kadang-kadang perkampungan mereka ada di taman perumahan malah mungkin di sebelah rumah kita. Tetapi selagi kita tidak mengganggu mereka, tidak akan ada masalah,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut Idrus, orang bunian kebiasaannya menetap di hutan tebal dan tasik bagi mengelakkan berjumpa dengan manusia.

Bunian Eropah

Sifat orang bunian juga berbeza mengikut negara mereka tinggal.

“Di Malaysia orang bunian menggunakan bahasa Melayu manakala di Indonesia mereka bercakap dalam bahasa ibunda negara itu. Di Britain pula mungkin bahasa Inggeris.

“Ia kedengaran agak lucu tetapi itulah hakikatnya. Pakaian mereka juga berbeza-beza mengikut musim dan keadaan,” ceritanya. Bagi masyarakat Barat, orang bunian tergolong dalam jenis hantu.

Idrus mengaku dia pernah berjumpa dengan makhluk halus itu. Bahkan Idrus pernah mengajak penulis memasuki alam bunian itu tetapi penulis menolaknya kerana khuatir tidak akan kembali.

“Tidak perlu untuk pergi ke alam bunian, sekadar berjumpa pun boleh. Tetapi kebanyakan orang yang bersungguh-sungguh untuk berjumpa tidak akan dapat melihatnya.

“Ini kerana mereka telah pengsan dahulu sebab rupa orang bunian tidak menawan seperti yang disangka. Mereka sebenarnya makhluk hodoh,” ujarnya.

Idrus berkata, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sebelum berjumpa dengan orang bunian. Antaranya seseorang perlu menyediakan apa sahaja tujuh jenis makanan dan tujuh jenis bunga di samping teh O, kopi O dan air suam.

Hari untuk bertemu mereka pula adalah pada malam Selasa disertai bacaan tertentu. Malam Selasa dianggap sebagai malam persahabatan antara manusia dan makhluk halus itu.

Kosmo!

29 Januari 2012

Ikan todak langgar Singapura

Thursday, October 11, 2012

0 comments  

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

TABIAT ikan todak yang suka melompat secara tiba-tiba pernah menyebabkan kematian nelayan


CERITA Singapura atau dahulunya dikenali sebagai Temasek diserang sekumpulan ikan todak sememangnya cukup terkenal.

Kisah ini terdapat dalam teks Hikayat Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Karakter yang begitu dikenali ialah seorang budak lelaki yang pintar bernama Hang Nadim yang berjaya menyelamatkan negaranya daripada serangan ikan todak dengan cetusan ideanya.

Budak itu memberikan pendapatnya kepada Raja Temasik iaitu Sri Maharaja supaya menggunakan batang pisang sebagai ganti benteng manusia yang telah menyaksikan banyak kematian.

Hasilnya, batang pokok buah-buahan itu menyebabkan muncung spesies ikan laut dalam itu tersekat sebelum penduduk kampung bertindak mencincangnya dengan parang.

Versi kisah ini agak simbolik. Tindakan Sri Maharaja yang didakwa menghukum bunuh seorang ulama, Tun Jana Khatib yang cuba menyampaikan ajaran Islam di kepulauan itu menyebabkan malapetaka berlaku di kawasan pemerintahannya.

Tun Jana Khatib sebelum meninggal dunia memberi amaran akan berlaku bencana di Temasek kerana dirinya telah dizalimi. Malah, terdapat sisi misteri apabila jenazah ulama itu ghaib secara tiba-tiba sebelum sampai di kawasan perkuburan.

Anehnya, mayatnya ditemui penduduk kampung Pulau Langkawi, Kedah yang jaraknya beratus-ratus kilometer dari Temasek. Beberapa hari selepas peristiwa itu, beribu-ribu ekor ikan todak menyerang Singapura.

Ada beberapa pendapat yang mengatakan Tanjung Pagar, Singapura merupakan lokasi serangan itu.

Dikatakan perkataan ‘pagar’ itu diambil sempena kisah pembinaan pagar tembok daripada batang pisang itu bagi menghalang serangan ikan itu.

Kerana kebijaksaannya, Hang Nadim menerima pujian daripada Sri Maharaja termasuk diberikan anugerah kerana jasanya.

Namun, kepintaran itu jugalah yang menjadi punca nyawanya berakhir.

Kerana sifat dengki dan ingin menjaga status quo, terdapat segelintir pembesar yang tidak berpuas hati terhadap Hang Nadim.

TANJUNG Pagar dikatakan lokasi berlakunya serangan ikan todak di Singapura.


Serangan

Akhirnya, mereka bersepakat menahan budak malang itu sebelum mencampakkannya ke dalam laut sehingga mati lemas.

Ironi, Hang Nadim juga terkenal di Indonesia sehingga Lapangan Terbang Hang Nadim di Batam didakwa dinamakan sempena nama budak pintar itu.

Pakar sejarah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim memberitahu, walaupun ramai yang menganggap kisah itu sebagai mitos, ia sarat dengan unsur pengajaran.

“Cuma kisah ini memerlukan kajian yang lebih mendalam termasuk kajian arkeologi di lokasi kejadian kerana sumber kini hanya berdasarkan bukti bertulis tanpa gambar,” katanya kepada Jurnal.

Nik Safiah berkata, beliau tidak pasti sama ada betulkah kejadian itu berlaku di Tanjung Pagar.

“Mungkin ia berlaku di situ tetapi yang lebih penting ia penuh dengan unsur pengajaran iaitu golongan intelektual berperanan penting dalam memajukan sesebuah negara.

“Jika sebuah negara kehilangan atau tidak menghargai golongan ini, lama-kelamaan negara itu akan musnah walaupun ia pernah menjadi empayar besar serta mempunyai sumber alam yang banyak,” ceritanya.

Katanya, tidak lama kemudian selepas peristiwa serangan ikan todak itu, empayar Temasek lenyap sebelum digantikan dengan Kerajaan Melayu Melaka.

Bagi seorang pakar ikan, Affendi Yang Amri, ikan todak tidak bergerak secara berkumpulan berbanding spesies ikan laut lain.

“Ikan ini lebih bersifat menyendiri selain bergerak dalam radius beberapa meter daripada pasangannya.

“Sifat ikan ini sebenarnya tidak menyerang manusia. Mungkin ia menyerang apabila dikejar ikan besar yang lain.

“Bagaimanapun, tabiat melompat ikan ini yang agak membahayakan terutamanya kepada nelayan,” katanya.

Bagaimana pula dengan rasa dagingnya? Affendi memberitahu, dagingnya enak seperti ikan tongkol tetapi ramai yang tidak mengetahuinya.

Kosmo!

8 Julai 2012

Ikan puyu dan kisah mistik

Sunday, September 23, 2012

0 comments  

Ikan puyu dikatakan sejenis ikan yang tidak tidur malam. Sebab itulah, kehadirannya di dalam rumah dipercayai boleh membatalkan usaha penjahat yang ingin memukau penghuni sesebuah rumah.

Ikan yang mampu hidup melebihi 24 jam di atas daratan itu juga dikatakan sebagai alat mainan yang digemari toyol dan orang bunian.

Ciri fizikal ikan yang mampu mencecah usia lima tahun itu juga dipercayai digeruni makhluk halus termasuk syaitan dan jin. Duri tajam yang terdapat pada puyu dikatakan menyekat kebal makhluk tersebut untuk masuk ke dalam rumah manusia.

Dalam dunia perdukunan, puyu turut menjadi medium memindahkan objek santau yang dihantar kepada seseorang.

Santau yang diperoleh mangsa dipindahkan ke dalam badan puyu. Begitupun, ada juga yang menjadikannya sebagai objek untuk menyantau orang lain.

Kosmo!

13 Jun 2012

Badang diuji maharaja India

Sunday, March 25, 2012

0 comments  

PANJANG makam Badang di Kepulauan Riau, Indonesia didakwa penduduk berubah-ubah setiap tahun.


KISAH seorang lelaki yang memiliki kekuatan luar biasa selepas makan muntah hantu sungai yang ditangkap kerana mencuri ikan daripada bubu yang dipasangnya begitu melankolik.

Lelaki bernama Si Badang itu bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi juga di Indonesia dan Singapura.

Menurut versi cerita yang terkenal di Temasik (Singapura), suatu hari Badang melihat 50 lelaki cuba menolak sebuah kapal ke laut tetapi gagal.

Cuba menawarkan bantuan, niat ikhlas Badang ditolak kerana fizikalnya yang kecil.

Raja Temasik pada masa itu, Seri Rena Wikrama, kemudian menghantar 300 orang pemuda lagi tetapi kapal itu tetap tidak bergerak.

Permintaan Badang untuk mengangkat kapal itu yang sering ditolak akhirnya dipersetujui Seri Rena. Ternyata, kemampuan Badang menolak kapal itu seorang diri ke laut telah mengejutkan orang ramai.

Disebabkan kekuatan luar biasanya, anak daripada keluarga petani yang miskin itu akhirnya dilantik menjadi panglima tentera oleh Seri Rena.

Bagaimanapun, kekuatan Badang terus diuji dari semasa ke semasa. Kali ini, Badang disuruh memetik daun kuras. Pokok kuras itu tinggi tetapi daunnya enak dimakan.

Lempar batu

Pokok yang perlu dipanjat Badang itu terletak di Kuala Sayong, Sumatera, Indonesia. Ada juga pendapat mengatakan Kuala Sayong itu kini ialah negeri Johor.

Walaupun sukar, Badang berjaya mengambil daun itu. Malangnya dia terjatuh menyebabkan kepalanya terhentak pada sebuah batu besar. Namun, Badang tidak cedera sebaliknya batu itu yang terbelah dua.

Maharaja India yang mengetahui kekuatan Badang itu ingin mengujinya dengan berlawan dengan pahlawan negara itu yang bernama Nadi Bijaya. Raja Seri Rena bersetuju dengan pelawaan itu.

BABAK filem Badang lakonan Wahid Satay pada tahun 1962.


Syaratnya, siapa yang kalah perlu memberikan tujuh buah kapal yang penuh dengan barang-barang.

Pada hari yang dijanjikan, Badang dan Nadi Bijaya beradu kekuatan termasuk bertinju dan pelbagai ujian lain. Bagaimanapun, dalam semua pertandingan itu, kedua-dua manusia kuat itu mendapat keputusan seri.

Nadi Bijaya kemudian mencadangkan siapa yang dapat mengangkat batu besar yang terdapat berhampiran istana Seri Rena akan menjadi pemenang.

Nadi Bijaya hanya mampu mengangkat batu besar itu sehingga paras lutut sebelum diletakkan kembali ke tanah. Namun, Badang mengangkat batu itu sehingga melebihi paras kepala dan melemparkannya ke laut.

Selepas bertanding dengan lelaki kuat lain dari beberapa negara dan berkhidmat sebagai panglima tentera, Badang mengambil keputusan untuk bersara. Tidak lama selepas itu dia meninggal dunia dan dikebumikan di Kepulauan Riau, Indonesia.

Di Malaysia, peninggalan mitos Badang masih boleh disaksikan. Selain Sayong Pinang iaitu negeri Johor yang merupakan tempat asal Badang, sebuah kampung di Baling, Kedah, turut dinamakan Kampung Badang.

Peristiwa Badang itu dikatakan berlaku di kampung itu. Namun, versi cerita orang lama menyebut kampung itu mendapat nama daripada sebatang sungai di kampung itu iaitu Sungai Badang.

Di Indonesia, terdapat sebuah makam yang didakwa kubur Badang. Ia terletak di kawasan hutan di pinggir Desa Kandis, Pulau Buru, Karimun, Kepulauan Riau, Indonesia.

Makam itu dianggap keramat kerana panjang kubur itu sentiasa berubah-ubah jika diukur.

Menurut seorang pengkaji mistik, Rahim Hanipah, kekuatan Badang bukan disebabkan dia telah makan muntah hantu kerana itu sebagai syarat semata-mata.

BADANG mampu mengangkat batu dengan mudah seperti yang dilakukan semasa mengalahkan pahlawan maharaja India, Nadi Bijaya. - Gambar hiasan


"Mana ada orang yang mempunyai kekuasaan luar biasa dengan hanya makan muntah. Pasti ada pengaruh makhluk halus yang memasuki badannya yang membuatkan dia menjadi kuat.

"Malah, syarat tidak boleh berkahwin seperti yang ditetapkan hantu sungai itu juga tidak ada dalam mana-mana seni mempertahankan diri sekali pun. Malang sekali buat Badang kerana dalam perjanjian dengan hantu itu, dia akan mati dalam keadaan tragik jika dia berkahwin," katanya.


Fakta tentang Badang

Pelakon Wahid Satay memegang watak Badang dalam filem Si Badang pada tahun 1962.

Dalam satu kisah Badang versi Singapura, lelaki itu dikatakan seorang hamba kepada Orang Kaya Nira Sura. Badang diberikan tugas oleh tuannya untuk membersihkan hutan di sebuah bukit untuk dijadikan kawasan bercucuk tanam.

Badang tidak boleh berkahwin kerana dia akan menemui ajal dengan dahsyat jika berbuat demikian. Itulah janjinya dengan hantu sungai yang muntahnya dimakan Badang.

Kosmo!

25 Disember 2011

Kami waris buaya putih

Thursday, December 22, 2011

0 comments  

Mohd. Zin mendakwa mereka adalah keturunan keenam buaya putih yang terkenal di Lubok China, Negeri Sembilan.

BUAYA putih memang wujud namun sangat jarang dijumpai. Spesies buaya albino ini tidak mempunyai pigmen melanin yang boleh menghitamkan kulit.


TATKALA bercerita mengenai buaya putih, ramai yang akan mengaitkan sejarah lisan turun-temurun berkenaan dengan alam mistik.

Buaya putih didakwa mempunyai kuasa sakti yang boleh memberi petunjuk mengenai sesuatu perkara yang akan berlaku malah ia juga dikatakan boleh berhubung dengan manusia.

Walaupun belum dapat dibuktikan dengan nyata kewujudan reptilia jenis ini di perairan negara, namun terdapat banyak cerita yang menyokong sisi hebat buaya putih.

Antaranya ialah kisah ulama terkenal, Tok Selehor di Tumpat, Kelantan, yang boleh berkomunikasi dengan buaya putih di sungai kampungnya.

Menurut cerita yang disampaikan, guru agama yang terkenal dalam bidang tasawuf itu dikurniakan kelebihan oleh Allah apabila dia boleh berinteraksi dengan buaya putih yang terdapat di Sungai Selehor sehingga masyarakat di sekitar kampung tersebut dapat menggunakan sungai tersebut tanpa sebarang gangguan mahupun rasa takut.

Dikhabarkan juga, buaya putih itu ditugaskan untuk menjaga keamanan di sungai tersebut yang mana sebelum itu sering berlaku ancaman dari buaya-buaya lain sehingga menyukarkan penduduk setempat keluar menjala, memancing dan mandi di sepanjang Sungai Selehor.

Buaya putih itu dikatakan masih ada di situ hingga ke hari ini.

Riwayat buaya putih tidak hanya disebut di Kelantan. Ia turut menjadi sebahagian daripada sejarah asal beberapa lokasi lain di negara ini seperti di Kuala Kubu Bharu di Selangor, Tasik Dayang Bunting di Pulau Langkawi dan Lubok China yang terletak di sempadan Negeri Sembilan-Melaka.

Baru-baru ini, penulis berpeluang bertemu dengan sebuah keluarga yang mendakwa mereka adalah waris kepada buaya putih di Lubok China, Negeri Sembilan.

Sarung buaya

Bukan sekadar mewarisi darah pemilik tubuh buaya putih, mereka juga boleh berkomunikasi dengan buaya putih yang menjelma dalam rupa nenek tua. Perantara utamanya hanya mahu dikenali Siti, 38.

"Alhamdulillah, ini anugerah Allah yang tidak ternilai. Saya dan kakak, biar saya namakannya sebagai D, dapat mendengar suara dari alam ghaib dan berinteraksi dengan mereka," kata Siti ketika ditemui di kediamannya di Lubok China.

Menurut bapanya, Mohd. Zin, 69, dia mula menyedari tentang salasilah buaya putih yang diwarisinya apabila arwah ibunya, pernah ditumpang tubuhnya oleh Nenek Putih pada tahun 1983.

"Nenek Putih asalnya manusia biasa. Kira-kira 500 tahun yang lalu, Putih jatuh ke dalam Sungai Linggi tetapi mayat wanita itu tidak ditemui.

"Sebelum itu, Putih sedang mengacau dodol sambil menyusukan anaknya di tebing sungai namun entah bagaimana dadanya terkena percikan dodol.

"Oleh kerana kepanasan, Putih meletakkan anaknya di tanah dan terus terjun ke sungai.

"Selepas menyedari kehilangan isterinya, suami Putih puas mencari namun jasad ibu muda itu tidak juga ditemui.

"Setelah berhari-hari hilang di sungai, pada satu malam, Putih muncul dalam mimpi suaminya.

"Dia meminta agar jangan mencarinya lagi kerana dia sudah bertukar menjadi buaya putih dan kini tinggal di alam ghaib," ujar Mohd. Zin.

Ibu kepada Mohd. Zin ialah cicit kepada Nenek Putih dan 28 tahun lalu, Nenek Putih pernah memasuki tubuh ibunya.

SEPANJANG didampingi Nenek Dayang, Siti juga diberi kelebihan untuk mengubati penyakit berunsur gangguan.


"Ketika itu, ibu saya merangkak-rangkak seperti buaya.

"Ibu saudara saya yang ketika itu tahu serba sedikit cerita bertindak menjadi orang tengah dan berdialog dengan Nenek Putih.

"Saya masih ingat lagi perbualan itu. Selepas memberi salam, ibu saudara saya mula bertanya, kenapa nenek datang?

"Jawabnya, nenek datang ni nak tengok anak cucu dalam kesusahan.

"Nenek datang dengan siapa?

"Nenek datang seorang.

"Datang naik apa nek? Nenek dari mana?

"Datang naik perahu. Nenek datang dari Sungai Linggi.

"Kenapa pula nenek menggigil-gigil ni?

"Nenek sojuk.

"Macam mana nenek nak balik ni?

"Cuba ekau tengok dalam kopai den (beg yang dianyam daripada rotan) yang tergantung kek tiang tu. Ado bondo dalam tu.

"Bila saya tengok dalam kopai, ada sebotol minyak merah dan apabila minyak itu dilalukan di hidung emak saya, emak saya beransur pulih," cerita Mohd. Zin yang menceritakan detik awal keluarganya mengetahui tentang kewujudan Nenek Putih dalam susur galur keluarga mereka.

Jelasnya lagi, itulah sejarah sebenar buaya putih Sungai Linggi.

"Sejarah ini diceritakan sendiri oleh Nenek Putih melalui sarungnya, iaitu tubuh Siti," kata Mohd. Zin.

Menjadi sarung bermakna badan wanita ini dipinjam oleh roh berkenaan dan digunakan sebagai perantara untuk berkomunikasi dengan alam nyata.

"Pada hari pertama Nenek Putih memasuki tubuh saya, kepala dan badan saya tidak berhenti bergoyang seperti buaya.

"Suara saya turut berubah dan badan saya membongkok seperti wanita yang sangat tua.

"Bukan setakat keluarga, saya juga takut dengan keadaan saya ketika itu.

"Apa tidaknya, bila nak bercakap, suara orang lain yang keluar, bila saya membaca al-Quran pun, suara Nenek Putih yang membacanya, bukan saya.

"Dalam keadaan bergoyang-goyang itulah Nenek Putih mengarahkan saya ke Sungai Linggi dan membaca surah Yasin di sana. Nenek Putih berjanji untuk menunjukkan dirinya selepas itu," kata Siti.

Mengaji

Enggan menunggu lama, dia dan beberapa ahli keluarganya bergegas ke Sungai Linggi.

"Di awal pembacaan, air sungai seakan bergelombang.

"Adik lelaki saya yang membaca Yasin suaranya tiba-tiba berubah menjadi sangat merdu. Lagu taranum yang dibawakan tidak pernah kami dengar sebelum ini. Suaranya sangat merdu," cerita D, yang sering bertindak menjadi penterjemah apabila penghuni alam ghaib memasuki tubuh adiknya.

"Menurut Nenek Putih, itu ialah suara pasangannya, seekor buaya jantan di alam ghaib," jelas D.

Bagai dikata, sebaik sahaja mereka selesai membaca surah Yasin, timbul buaya putih di tebing di seberang sungai.

"Warnanya putih keemasan, saiznya juga besar daripada buaya yang lain," tambahnya.

Selain Nenek Putih, Siti memberitahu, pendamping setia yang sentiasa berada bersamanya ialah Nenek Dayang.

Nenek Dayang merupakan ketua dayang istana ketika Zaman Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511.

Dalam pertemuan pada petang itu juga, penulis dan jurufoto sempat berbual-bual dengan penghuni alam ghaib yang menjadi teman Siti selama ini.

"Siapa sebenarnya nenek ini?

"Nama nenek Siti Fatimah. Nenek dulu kerja di istana sebagai ketua dayang semasa Zaman Kesultanan Melayu Melaka.

"Nenek meninggal dunia tidak lama selepas itu dan roh nenek diangkat ke alam ghaib.

"Nenek Putih yang ghaib menjadi buaya itu adalah anak saudara nenek," ujar Nenek Dayang yang muncul dalam tubuh Siti selepas diberi salam dan selawat sebanyak tiga kali.

Ketika Nenek Dayang memasuki tubuh sarungnya, memang boleh dilihat perbezaan antara dua karakter tersebut.

MOHD. ZIN turut mendakwa keluarganya tidak pernah diganggu ancaman buaya. - Gambar hiasan


Tutur kata dan intonasi Nenek Dayang lebih lembut. Riak wajahnya tidak sebujur wajah asal Siti dan pandangan matanya pula lebih redup.

"Kenapa nenek pilih Siti sebagai sarung nenek?

"Di alam ghaib, nenek boleh tengok semuanya. Kita tahu mana waris kita yang lurus jalan hidupnya.

"Nenek memang sudah lama tunggu Siti. Nenek juga sudah tahu, bapa sarung nenek ini akan berkahwin dengan ibunya dan melahirkan Siti," jelasnya.

Ditanya tentang kehidupan di alam ghaib, Nenek Dayang menjawab, hidup di alam sana sangat indah.

"Setiap masa diisi dengan zikir memuji Allah. Kalau manusia biasa boleh melihat keindahan dunia ghaib, mereka akan merasakan kemanisan ibadah.

"Mereka akan rasa lebih dekat kepada Allah dan tidak akan berhenti menyediakan bekalan untuk menuju akhirat yang kekal abadi," katanya penuh hemah.

Siti dan D pernah berjumpa dengan beberapa orang guru agama untuk bertanyakan perkara aneh ini namun sehingga hari ini mereka masih belum dapat jawapannya.

Kosmo!

4 Disember 2011

Batu Belah diletup elak dipuja

0 comments  

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

SISA batu belah selepas tiga kali diletupkan.


PERJALANAN menuju ke Kampung Batu Belah di Kapar, Klang, Selangor baru-baru ini cukup mengujakan memandangkan di situlah kononnya lokasi peristiwa Batu Belah Batu Bertangkup berlaku. Kisah kampung itu banyak diceritakan dalam laman blog.

Pengarah filem, Jamil Sulong turut mengarahkan filem Batu Belah Batu Bertangkup pada tahun 1959. Ia mengisahkan Si Tanjung yang mempunyai sepasang anak, Si Melur dan adiknya Si Pekan.

Pada suatu hari, Si Tanjung yang hidup miskin dan baru kematian suami dapat mengail seekor ikan tembakul sementelah dia mengidam telur ikan tersebut.

Dia menyuruh Si Melur merebus telur ikan itu sementara dia pergi mandi. Apabila telur ikan itu masak, sebahagiannya diberikan kepada Si Pekan dan sebahagian lagi disimpan untuk ibunya.

Si Pekan menangis kerana ingin makan telur ikan bahagian ibunya sehingga memaksa kakaknya memberikan telur itu kepadanya.

Letup

Si Melur hanya mendapat sebiji telur ayam untuk menggantikan telur ikan sebagai lauk ibunya. Ini menyebabkan Si Tanjung merajuk, terkilan dan marah.

Akhirnya Si Tanjung mengambil keputusan menyerahkan diri kepada Batu Belah Batu Bertangkup walaupun dirayu belas kasihan oleh Si Melur yang terus mengekorinya sambil mendukung Si Pekan. Akhirnya ibunya ditelan oleh batu itu.

Khabarnya, tinggalan batu belah itu ada di Sekolah Rendah Agama Integrasi Tengku Ampuan Fatimah di Kampung Batu Belah.

“Sebenarnya sebelum ini memang ada bongkah batu yang didakwa peninggalan Batu Belah Batu Bertangkup tetapi telah diletupkan semasa pembinaan bangunan baharu sekolah ini.

“Tiada lagi bongkah batu yang besar itu. Yang ada cuma serpihan batu itu yang bersaiz kecil tetapi telah menjadi milik persendirian,” kata guru sekolah berkenaan, Mohd. Faeez Mohd. Yassin, 32.

Bagaimanapun, menurut Faeez, Ketua Kampung Batu Belah, Salim Hassan, 64, ada menyimpan gambar batu belah berkenaan sebelum pembinaan sekolah itu dahulu.

“Dahulu memang ada tinggalan batu itu di situ. Tetapi apabila sekolah itu mahu dibesarkan, batu itu telah diletupkan kerana terlalu berat untuk dialihkan.

TAMAN SERI PEKAN di Kapar sempena nama Si Pekan.


“Lagipun ia mempunyai unsur khurafat kerana ada orang yang memuja batu itu berdasarkan colok yang ditinggalkan,” kata Salim kepada Jurnal.

Salim memberitahu, pada awal tahun 1950-an kawasan Bukit Batu Belah yang merupakan lokasi sekolah agama itu sekarang mempunyai sebuah kolam air semula jadi selain batu belah yang setinggi dua meter dengan saiz lebar dan panjang yang sama.

Monumen

Katanya, kawasan bukit itu digunakan penduduk kampung untuk mengambil sumber air.

“Pada masa itu, saya dan rakan-rakan sering mandi di kolam itu. Kami juga bermain di atas batu itu tetapi tiada perkara pelik yang berlaku.

“Namun, yang anehnya kawasan sekitar kolam air dan batu belah itu lapang tanpa tumbuh-tumbuhan, serangga atau haiwan dalam radius 500 meter sedangkan kawasan bukit itu sebenarnya dipenuhi hutan tebal,” ujarnya.

Salim menggambarkan bentuk batu belah itu seperti badan manusia dengan sedikit bonjolan yang membentuk seakan-akan hidung.

“Batu belah yang seolah-olah tertangkup itu juga berbentuk seperti mulut manusia,” katanya.

Bicara Salim lagi, mengikut cerita arwah bapanya, pada zaman penjajahan British terdapat sebilangan penduduk kampung yang memuja batu itu untuk tujuan tertentu sehingga menyebabkan batu itu diletupkan.

Sisa batu itu sekali lagi diletupkan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan raya.

“Sisa batu itu kekal di tapak sekolah agama sekarang sehingga awal tahun 2006 lalu sebelum ia diletupkan lagi bagi membina sekolah itu.

“Batu itu memang besar. Walaupun sudah tiga kali diletupkan, serpihannya masih ada. Disebabkan ia berat, pihak kontraktor bersetuju untuk mengalihkan batu itu ke kawasan lapang berhampiran sekolah.

“Mereka juga menawarkan untuk membina sebuah monumen menggunakan batu itu dengan upah RM10,000,” beritahu Salim.

Menurut Salim, batu itu tidak dijadikan monumen kerana khuatir ia dijadikan tempat penyembahan.

“Kini serpihan batu belah itu diletakkan dalam kawasan rumah banglo milik individu,” katanya.

Namun, terdapat dua kawasan perumahan yang dinamakan Taman Bunga Melur dan Taman Seri Pekan di Kapar sebagai usaha untuk memperingati cerita mitos itu.

Kosmo!

13 November 2011

Pertarungan dua puteri

Wednesday, December 21, 2011

0 comments  

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

KAMPUNG Santubong di Sarawak dikatakan menjadi lokasi pergaduhan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang.


KISAH Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang sangat dekat di hati rakyat Sarawak terutamanya bagi penduduk yang tinggal di Kuching.

Kedua-dua puteri jelita itu dikatakan berasal dari kayangan. Mereka diturunkan ke bumi untuk menghentikan pergaduhan di antara dua buah kampung.

Sebelum turun ke bumi, kedua-dua puteri itu diberi amaran supaya jangan bergaduh sesama sendiri jika tidak mahu terkena sumpahan dan menyebabkan mereka tinggal di bumi selama-lamanya.

Ceritanya bermula dengan penduduk bumi kehairanan melihat cahaya terang laksana mentari menyusuri dua buah kampung berkenaan.

Puteri Santubong dikehendaki tinggal di Kampung Pantai Biru dan mengajar penduduk menenun kain.

Puteri Sejinjang pula pergi ke Kampung Pasir Kuning untuk mengajar mengasingkan sekam padi menggunakan sejenis alat yang dinamakan aluk.

Kilat

Kehadiran kedua-dua puteri itu akhirnya menamatkan pertelingkahan di antara kedua-dua kampung. Malangnya, Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang kemudian bergaduh kerana berebutkan seorang putera kacak iaitu Putera Serapi yang datang dari negara berdekatan.

Putera Serapi sengaja mengunjungi kampung berkenaan untuk melihat kejelitaan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang.

Bagaimanapun, kehadiran putera itu menyebabkan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang bergaduh kerana kedua-duanya jatuh hati pada lelaki yang sama.

Pergaduhan antara dua puteri itu sememangnya dahsyat. Masing-masing menggunakan kuasa sakti yang buruk kesannya.

Semasa bergaduh, Puteri Sejinjang telah mencapai aluk lalu menghayunnya ke pipi Puteri Santubong. Kononnya, disebabkan peristiwa itu sehingga kini terdapat lekuk di puncak Gunung Santubong.

Selepas itu, Puteri Santubong menikam belida di kepala Puteri Sejinjang. Akhirnya, kedua-dua puteri itu tersungkur kesakitan.

Secara tiba-tiba, kilat sabung-menyabung diiringi dentuman guruh. Kemudian, satu cahaya terang dari langit mengangkat tubuh kedua-dua puteri itu.

Puteri Santubong disumpah menjadi gunung manakala Puteri Sejinjang menjadi pulau. Putera Serapi yang kesedihan terus menghilangkan diri di sebuah gunung yang kini dikenali sebagai Gunung Serapi.

Nama Puteri Santubong itu kini kini dikaitkan dengan beberapa tempat di Sarawak. Ini termasuk Gunung Santubong yang terletak 35 kilometer dari bandar raya Kuching, selain sebuah kampung bernama Kampung Santubong.

GUNUNG Santubong dekat Kuching, Sarawak amat sinonim dengan kisah Puteri Santubong.


Kedua-dua tempat itu terkenal dengan aktiviti pelancongan khususnya mendaki gunung.

Sementara pulau yang dikatakan Puteri Sejinjang yang disumpah itu ialah Pulau Kera, terletak berdekatan dengan Gunung Santubong. Ia dihuni pelbagai spesies kera.

Bekas Timbalan Pengarah Radio RTM Sarawak, Madzhi Johari pula mempunyai hubungan sentimental dengan kisah Puteri Santubong sehinggakan beliau mencipta lagu bertajuk Puteri Santubong.

Lagu itu kerap dimainkan semasa sambutan Hari Keamaatan dan Hari Gawai di Sarawak.

Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Ipoh Datan, berkata, cerita Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang hanyalah mitos.

Artifak

"Tiada penemuan bahan-bahan arkeologi bagi mengesahkan perkara itu. Jika nama Santubong itu kekal sehingga kini, ia mungkin terjadi secara kebetulan.

"Selain itu, tidak terdapat bahan bertulis mengenai kisah itu menyebabkan saya kurang mempercayainya," katanya kepada Jurnal.

Katanya lagi, nama Santubong itu boleh jadi diambil daripada pedagang-pedagang. Ini kerana Santubong suatu masa dahulu merupakan sebuah pelabuhan entrepot terpenting di Asia Tenggara.

"Ini dibuktikan dengan penemuan bahan artifak seperti pasu zaman Dinasti Han dari China di Santubong.

"Bukti hubungan awal di antara China dan Borneo diperkukuhkan lagi dengan jumpaan duit syiling China bertarikh 600 Sebelum Masihi, serta tahun 112 dan 588 Masihi.

"Banyak serpihan tembikar China dijumpai di Muara Sungai Sarawak. Nama Santubong sendiri dikatakan ungkapan dialek Kheh dalam bahasa Cina yang bermaksud raja bukit," katanya.

Bagi pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, beliau menganggap penduduk pada zaman dahulu menghargai gunung yang banyak membantu mereka menjalani kehidupan seperti memberikan sumber air dan hasil hutan.

"Mereka menghargai gunung itu dengan mereka kisah mistik supaya ia terus diperkatakan untuk satu tempoh yang lama.

"Kepercayaan agama juga tidak kukuh pada zaman dahulu menyebabkan ramai mempercayai unsur mitos dan mistik," katanya.

Kosmo!

6 November 2011

Cerita sahabat Mat Indera

0 comments  

Oleh SYALMIZI HAMID

ITHNIN menunjukkan sijil penghargaan daripada Kementerian Dalam Negeri atas khidmatnya sebagai polis hutan.


CUACA di bandar Muar pada hari itu agak dingin. Mungkin kerana hujan pada sebelah malamnya membuatkan suasana di negeri Johor pada pagi itu sedikit lembap.

Namun, ia tidak membuatkan seorang penarik beca, Ithnin Turban, untuk bermalas-malasan di rumah. Pada masa itu Ithnin berusia 21 tahun.

Rutin membawa penumpang di sekitar bandar itu kira-kira 63 tahun lalu sudah menjadi kemestiannya selepas dia berkahwin, apatah lagi beliau telah dikurniakan seorang cahaya mata berumur setahun.

Sahabatnya pula, Muhammad Indera yang tujuh tahun lebih tua daripadanya bekerja sebagai pemunggah beras dari kapal yang berlabuh di tebing Sungai Muar.

Ithnin yang mesra disapa Pak Ngah itu berkawan baik dengan Muhammad atau lebih popular dipanggil Mat Indera, lelaki yang dikatakan bertanggungjawab mengarahkan serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar pada 23 Februari 1950.

Serangan sebelum subuh itu mengakibatkan seramai 23 anggota polis dan keluarga mereka terkorban.

“Pada zaman itu (tahun 1947) begitu sukar untuk mendapatkan beras. Sesiapa yang ingin membelinya perlu menggunakan kupon kerana ia dijual secara terhad.

“Oleh kerana saya bersahabat dengan Mat (Mat Indera), saya sering dapat membeli beras dengan mudah tanpa perlu pakai kupon.

“Tetapi ia bukan beras yang dijual di kedai sebaliknya sisa beras yang tertumpah ke tanah,” ujar Ithnin semasa ditemui Jurnal di rumahnya di Kampung Baru Salong, Pekan, Pahang baru-baru ini.

Ilmu ghaib

Pada usia 84 tahun sekarang, ingatan Ithnin mengenai kejadian lebih 60 tahun lalu itu ternyata masih baik. Walaupun beliau mengalami masalah pendengaran kerana faktor usia, perbualan dengannya banyak dibantu oleh Penghulu Mukim Penyor 1, Mohamad Bakri Abu Talib.

Jelas Ithnin, beras yang tercicir itu akan dikutip oleh Mat Indera untuk dijual kepadanya pada harga yang lebih murah. Harga beras pada masa itu ialah 10 sen secupak, kata Ithnin.

Ujar Ithnin lagi, Mat Indera memiliki tubuh badan yang tegap dan lebih tinggi berbandingnya. Justeru, tidak hairanlah dia dapat memunggah guni beras seberat 50 kilogram dengan mudah. Ketinggian Ithnin lebih kurang 1.55 meter.

Menurut cerita Ithnin, beliau mengenali Mat Indera semasa sama-sama menuntut ilmu dengan seorang guru agama di Muar. Selain ilmu agama, Mat Indera juga dipercayai memiliki ilmu ghaib dan ‘ilmu selisih’ iaitu kebolehan menghilangkan diri daripada pandangan orang. Dengan kelebihan itu, orang yang mencari atau ingin menangkapnya sukar bertembung dengan Mat Indera

“Dia (Mat Indera) memang ada ilmu ghaib. Sebab itulah dia menjadi lincah dan tidak dapat ditangkap oleh polis dengan mudah,” ujar bapa kepada lima cahaya mata itu.

TAPAK Sejarah Bukit Kepong di Muar, menjadi simbol kekejaman komunis di negara ini.


Tambah Ithnin, untuk menjaga ilmu ghaibnya, Mat Indera tidak boleh menembak orang.

“Boleh jadi sebab itulah dia hanya memberi arahan dalam serangan pukul 4 pagi ke atas Balai Polis Bukit Kepong itu,” terang Ithnin.

Ditanya mengenai ilmu ghaib yang dipelajarinya, Ithnin nampaknya enggan mengenang kembali. Dalam laporan sebelum ini, Mat Indera yang lahir pada 29 Disember 1920 di Batu Pahat pernah berguru dengan beberapa orang guru agama termasuk Kiai Salleh.

Menurut adik Mat Indera, Johan Shah Indera pula, abangnya itu pernah juga berguru dengan Haji Yassin iaitu bapa kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Haji Yassin dikenali sebagai Tok Guru Haji Yassin yang amat terkenal di Bakri dan Panchor, Muar.

Mat Indera juga pernah berguru dengan Kiai Haji Fadzil Bentan yang menjadi salah seorang guru dan penasihat Sultan Johor, Almarhum Sultan Ibrahim.

Ithnin memberitahu, pada tahun 1948, beliau ada menyimpan hasrat untuk menyertai pasukan beruniform. Dalam masa yang sama, Mat Indera telah membawanya ke sebuah bangunan di pekan Muar. Tanpa pengetahuan Ithnin, tempat itu rupa-rupanya lokasi pertemuan anggota Parti Komunis Malaya (PKM).

Mat Indera curi beras

Menurutnya, di kelab itu hanya orang Cina yang kelihatan. Ithnin dan Mat Indera sahaja orang Melayu di dalam bilik itu.

Ithnin sangat terkejut kerana dia dipujuk oleh Mat Indera untuk menyertai komunis dan dia segera menolaknya. Namun, dia sempat berpesan kepada Mat Indera: “Mat, tak guna kau masuk komunis, nanti kau kena tembak.”

Sejak peristiwa itu, hubungan Ithnin dan Mat Indera terputus.

“Saya tidak ambil tahu lagi pasal dia selepas itu, tetapi sedar yang dia menyertai komunis. Saya pula mengambil keputusan untuk menjadi polis SC (Special Constable).

“Tetapi setahun kemudian saya menjadi polis JS (Jungle Scout) pula dengan gaji RM150 sebulan iaitu RM60 lebih banyak daripada gaji SC,” ujar Ithnin yang ditempatkan di Kem Tangkak, Johor.

Menjawab persoalan mengapakah Mat Indera menyokong komunis, Ithnin berpendapat lelaki itu tidak puas hati terhadap pihak berkuasa yang menangkapnya kerana mencuri beras.

MAT Indera pernah bekerja sebagai pemunggah beras di jeti Sungai Muar pada tahun 1940-an.


“Mungkin kerana dia berdendam dengan pihak polis menyebabkan dia menyertai komunis untuk menentang kerajaan,” ujar Ithnin.

Mengimbas kembali tragedi Balai Polis Bukit Kepong, Ithnin memberitahu, beliau turut terlibat dalam usaha memberikan bantuan.

Jelasnya, beliau bersama 40 anggota polis hutan yang lain menerima arahan untuk pergi ke Bukit Kepong kira-kira pukul 4 pagi, namun bantuan itu sudah terlambat.

“Perjalanan dari Tangkak ke Bukit Kepong mengambil masa selama lebih sejam. Apabila sampai, seluruh balai polis itu sudah musnah diserang dari segenap sudut.

“Saya sedih kerana tiada apa yang sempat kami bantu,” kenangnya.

Tambah Ithnin, situasi itu telah digambarkan seperti keadaan sebenar dalam filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsudin pada tahun 1981.

Mat Indera dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953 di Penjara Taiping sebelum dikebumikan Kampung Jambu Air, Taiping, Perak. Lelaki itu yang tidak pernah berkahwin mati pada umur 33 tahun.

“Saya ada mendengar cerita bahawa dia telah tertangkap setelah termakan buah kecubung yang membuatkan dia mabuk.

“Dengan cara itu sahaja yang dapat melemahkan ilmu ghaibnya. Khabarnya dia ditangkap atas bantuan seorang lelaki Jawa yang diberikan hadiah sebanyak RM25,000,” katanya lagi.

Setelah lima tahun berkhidmat sebagai anggota pasukan keselamatan, Ithnin yang lahir di Tanjung Gading, Melaka berhenti berkhidmat secara sukarela pada tahun 1953.

Beliau kemudian mengikut seorang rakan sepasukannya dalam polis hutan, Ali Mira ke Sungai Majnun, Pekan, Pahang. Apatah lagi beliau turut ditawarkan untuk memiliki sebidang tanah seluas empat hektar di negeri itu.

“Saya terus menetap di negeri Pahang sehingga kini selepas kerajaan menghadiahkan saya sebidang tanah,” ujarnya.

Kosmo!

16 Oktober 2011