INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Emas RM1j dikebas Pak Arab - Tepuk tangan dan bahu pekerja, pelanggan sebelum larikan tiga beg barangan kemas

Wednesday, December 9, 2009

 

Oleh MANIRAH OTHMAN

ZAKARIA YUSOFF pemilik kedai emas di Kuala Terengganu menceritakan bagaimana tiga buah beg berisi barangan kemas dilarikan lima suspek dipercayai warga Arab semalam.

KUALA TERENGGANU - Hanya dengan menepuk tangan dan bahu, empat lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Arab dapat melarikan tiga buah beg sarat dengan barangan kemas bernilai RM1 juta.

Kejadian pada pukul 2 petang di sebuah kedai emas berhadapan dengan Pasar Besar Kedai Payang di Jalan Sultan Zainal Abidin itu berlaku di tengah-tengah kesibukan orang ramai.

Di sekitar pasar tersebut dianggarkan terdapat lebih 40 buah kedai emas yang beroperasi.

Pemilik kedai emas itu bersama tiga pekerja serta lima pelanggan yang ada di dalam kedai ketika itu mendakwa mereka hanya mampu melihat kelima-lima suspek itu menjinjing tiga buah beg iaitu dua berwarna hitam dan satu berwarna biru keluar dari premis itu menuju ke kereta.

Sebelum itu, kelima-lima suspek yang datang menaiki sebuah kereta Proton Persona masuk ke kedai emas tersebut dan berlagak sebagai pelanggan.

Mereka yang menggunakan isyarat tangan meminta pekerja di kedai emas itu menunjukkan beberapa barang kemas yang dipamerkan di situ.

Ketika memilih barang-barang kemas yang ditunjukkan, suspek-suspek itu kemudian dipercayai telah menepuk tangan dan bahu setiap pekerja dan pelanggan yang ada di dalam kedai itu.

Seperti tiada apa yang berlaku, suspek-suspek yang bercakap dalam bahasa Arab sesama mereka itu masih lagi meminta pekerja-pekerja kedai emas itu menunjukkan lebih banyak barang kemas.

Ketika itulah, dua daripada suspek itu dikatakan menolak salah satu meja pameran yang membolehkan suspek masuk ke dalam kedai emas.

Dua suspek itu terus masuk ke belakang kedai emas yang menempatkan sebuah peti besi tidak berkunci yang mengandungi tiga buah beg berisi barang kemas.

Info Jenayah Pak Arab
  • 23 Jun 2009: Sekumpulan lelaki Arab menyamun sebuah kedai emas di tingkat dua di sebuah pusat beli-belah di Kuantan melibatkan kerugian RM50,000
  • 16 Mac 2009: Sepasang warga Arab menyamun RM250 dari sebuah stesen minyak di Teluk Sisek, Raub, Pahang.
  • 19 Mac 2009: Seorang juruwang mendakwa dipukau seorang lelaki Arab yang berpura-pura menjadi pelanggan di sebuah kedai runcit di Hentian Rehat dan Rawat Gambang, Kuantan.
  • 10 Februari 2009: Seorang pekerja stesen minyak mendakwa dipukau seorang lelaki dan seorang wanita Arab sebelum mereka melarikan wang RM1,500 di Batu Melintang dekat Jeli, Kelantan.
  • 31 Januari 2009: Tiga wanita Arab yang aktif dalam kegiatan samun menyamun seorang peniaga di Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu, Kelantan menyebabkan mangsa kerugian RM300.
  • 7 Oktober 2008: Dua pemandu lori ais dan roti kerugian RM800 dan RM1,000 selepas mendakwa dipukau warga asing dipercayai berketurunan Arab di Terengganu.

Kosmo!

10 Disember 2009

0 comments: