ILMU pukau sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah yang bertujuan meletakkan mangsa berada di bawah sedar sehingga memudahkan penjenayah mengambil kesempatan seperti melarikan wang dan barang kemas mangsa.
Sebagai contoh, akhbar baru-baru ini melaporkan seorang wanita berusia 37 tahun yang tinggal bersendirian di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur dipukau hingga separuh bogel sebelum disamun.
Menceritakan kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Sarifah berkata, ketika kejadian dia berseorangan di rumah manakala adik sepupunya keluar untuk membeli barang.
Selepas mendengar orang memberi salam di pintu hadapan dia tanpa teragak-agak membuka pintu.
"Sebaik sahaja pintu dibuka, saya melihat seorang lelaki dan wanita berdiri di muka pintu. Lelaki itu berbaju Melayu hitam manakala pasangannya berpurdah. Saya yang seperti terkaku membenarkan mereka masuk ke dalam rumah.
"Sebaik sahaja masuk, pasangan itu bertanyakan tempat saya menyimpan barang berharga dan saya lantas menunjukkan tempat simpanan itu kepada mereka.
Bomoh
"Tidak cukup dengan itu, saya diarahkan membuka pakaian dan tanpa rasa malu, saya hanya menuruti arahannya itu dalam keadaan separuh sedar.
"Selepas mengambil barangan bernilai lebih RM10,000, mereka mengarahkan saya berbaring di dalam bilik sebelum mereka bergegas keluar.
"Saya tidak dapat menggerakkan badan sehingga adik sepupu saya pulang ke rumah dan mengejutkan saya," ujarnya.
Apabila mendapati dirinya berada dalam keadaan separuh bogel dan rumahnya bersepah, barulah Sarifah tersedar ia angkara pasangan berlagak alim yang masuk ke rumahnya itu.
Bagi Mona, 38, ibu kepada seorang anak dan sudah mendirikan rumah tangga selama 15 tahun, dia mempunyai masalah sering berasa dingin setiap kali ingin bersama suaminya.
"Saya memberanikan diri menceritakan masalah yang dihadapi itu kepada seorang rakan yang seterusnya memperkenalkan saya kepada seorang bomoh di Selangor bagi memulihkan keadaan saya itu.
"Kami pergi menemui bomoh tersebut dan dia berjanji mahu membantu saya dengan mengenakan kos rawatan sebanyak RM3,000 serta kos tambahan bagi tujuh rawatan yang lain.
"Saya bersetuju tanpa berbincang terlebih dahulu dengan suami," ujarnya.
Untuk sesi rawatan pertama, Mona diajar cara perhubungan seksual yang dapat membantu meningkatkan kemesraan antara suami isteri oleh bomoh berkenaan dan isterinya.
Bomoh itu meminta Mona membawa wang kononnya untuk membeli beberapa peralatan yang akan digunakan.
Sepanjang proses rawatan itu, bomoh itu meminta kebenaran untuk merokok. Sebaik saja bomoh itu menghembuskan asap rokok, Mona pening dan seakan-akan mengikut kata-kata bomoh berkenaan.
"Bomoh itu memberitahu dia perlu memasukkan minyak yang sudah dijampi ke dalam bahagian sulit saya kerana katanya, ada saka dan ia perlu ditarik keluar. Tanpa sebarang bantahan, saya sekali lagi akur," jelasnya yang kerugian hampir RM6,000 akibat dipukau oleh bomoh berkenaan.
Warga Afrika
Menurut Penasihat Pusat Rawatan Islam Sinar Zamdurrani, Sharhan Shafie, pukau adalah satu cabang ilmu sihir yang menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan dan kewarasan.
"Pukau yang berlaku di negara ini banyak dipengaruhi oleh kebanjiran warga asing Afrika.
"Mereka dilihat cuba membawa masuk ilmu voodoo bagi menundukkan wanita-wanita di negara kita. Oleh sebab itu, sekarang anak-anak muda kita seolah-olah berasa bangga sekiranya mereka berpacaran dengan warga Afrika ini.
"Pernah terjadi satu kes di mana seorang remaja perempuan yang baharu pulang dari Mesir selepas menamatkan pengajian di sana menaiki bas dan duduk bersebelahan dengan seorang Awang Hitam.
"Warga Afrika itu cuba berbual-bual dengan remaja terbabit tetapi tidak dilayan. Kemudian, dia berpura-pura terpegang pergelangan tangan mangsa tetapi sebenarnya dia mencalitkan minyak dagu kepada remaja itu," jelasnya sambil memberitahu selepas kejadian itu, remaja terbabit sering termimpikan Awang Hitam berkenaan.
Tambahnya, remaja tersebut cuba mencari Awang Hitam itu di lokasi perhentian bas yang dijumpainya dan selepas itu, dia dilaporkan hilang selama dua bulan dan dipercayai mengikut warga Afrika terbabit. Lebih mengejutkan, apabila remaja berkenaan pulang ke kampung dua bulan selepas itu, dia berpakaian seksi sedangkan dahulunya dia bertudung labuh.
"Banyak juga kes pukau terjadi menggunakan medium laman sosial seperti Facebook dan Twitter.
"Mereka (warga Afrika) ini akan cuba mencari ruang dan peluang untuk berjumpa mangsa. Oleh itu, saya nasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan pujuk rayu Awang Hitam ini," jelas Sharhan ketika ditemui baru-baru ini.
Cara pukau
Pukau boleh berlaku melalui kaedah seperti hembusan asap rokok, renungan mata, senyuman, minuman, telefon (percakapan dan SMS), bersalaman, menepuk belakang, serta membuang najis atau pakaian buruk di hadapan rumah mangsa.
"Pukau boleh berlaku dalam tempoh sekitar 5 hingga 10 saat. Bagi wanita, anak gadis atau remaja, lazimnya mereka terjebak dengan pukau yang membabitkan perasaan cinta.
"Sebab itulah kita sering dengar, ada orang yang sanggup mengikut lari lelaki yang baru dikenali termasuklah warga asing kerana apabila terkena pukau, individu itu akan berasa terlalu sayang kepada orang yang mengenakan sihir ke atasnya.
"Tanda-tanda mereka yang terkena pukau ialah nampak sesuatu yang sebaliknya misalnya, hodoh bertukar cantik.
"Selain itu, jantung berdebar-debar, terima panggilan senyap, sakit di belakang badan dan sakit kepala khususnya menjelang waktu Maghrib juga merupakan tanda seseorang terkena ilmu pukau.
"Mereka yang terkena ilmu pukau ini biasanya tidak akan sedar melainkan selepas ditegur oleh orang sekeliling seperti ahli keluarga terdekat yang nampak perubahan diri mereka," beritahu beliau.
Tambahnya, orang ramai juga harus berhati-hati sekiranya menemui benda pelik seperti telur busuk, selipar sebelah dan najis manusia di hadapan rumah kerana itu adalah salah satu cara untuk menghantar ilmu pukau ke rumah bagi tujuan jenayah.
Sharhan memberitahu, terdapat kes yang dikendalikannya membabitkan seorang lelaki yang terkena ilmu pukau ketika dia mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
"Selepas terkena ilmu tersebut, lelaki itu mengalami kemurungan selama tiga tahun. Selepas menjalani rawatan menggunakan air zamzam, bacaan al-Quran dan mandi menggunakan air terapi, dia kembali sihat seperti sediakala," ujarnya.
Bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa pukau, Sharhan menasihatkan supaya menjauhkan diri daripada orang tidak dikenali yang secara tiba-tiba ingin rapat, di samping jangan mudah percaya kepada seseorang.
Untuk 'pendinding diri', amalkan membaca beberapa ayat suci al-Quran seperti surah Hud (ayat 57) setiap kali selepas solat fardu, surah Yassin (ayat 9), surah as-Soffat (ayat 6) dan surah Yunus (ayat 81 dan 83).
"Setiap kali keluar rumah jangan lupa baca doa yang sewajarnya dan sentiasa menjaga solat sebagai perisai mukmin. Kalau boleh, sentiasa dalam keadaan berwuduk kerana iblis tidak boleh menembusi tubuh orang yang seperti itu," katanya.
Hipnosis
Sementara itu, Pengetua London College of Clinical Hypnosis, (LCCH) Sheila Menon, berkata pukau adalah sesuatu yang bukan berlaku secara semula jadi atau berkait rapat dengan amalan sihir yang digunakan untuk memberi kemudaratan dengan kaedah yang luar biasa.
"Dalam pukau, seseorang itu bukan berada dalam kawalan tetapi berbeza pula dengan hipnosis kerana pesakit dapat dikawal sepanjang masa. Hipnosis boleh diibaratkan seperti kaunseling dalam keadaan santai.
"Dalam hipnosis klinikal, ahli hipnosis akan menggunakan pengalaman secara semula jadi dengan cara yang terapeutik. Pertama, dia akan menjemput pesakit duduk dengan selesa.
"Kemudian menutup mata pesakit bagi membantu mereka memberi tumpuan kepada apa yang ahli hipnosis mahukan.
"Ia juga melibatkan kedua-dua bahagian otak iaitu logik dan emosi (otak kiri dan otak kanan).
"Sudah tentu apabila menggunakan otak, kita lebih mudah mempelajari perkara baharu, meningkatkan motivasi dan mencari cara untuk menyelesaikan masalah," jelasnya.
Tambah Sheila, hipnosis boleh digunakan untuk banyak perkara. Kajian oleh Universiti Harvard di Amerika Syarikat menjelaskan, melalui 'hipnosis diri' iaitu salah satu kaedah yang diajar kepada pesakit dan pelajar, ia bukan saja menyaksikan kesihatan keseluruhan bertambah baik, malah mampu memadam penanda genetik yang menjadi punca penyakit berbahaya seperti kanser dan kencing manis.
"Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk pengurusan berat badan, berhenti merokok, kebimbangan, fobia, masalah pembelajaran, membina keyakinan, belajar perkara baharu dan menangani semua masalah emosi," beritahu beliau.
Kosmo!
9 September 2012
0 comments:
Post a Comment