Oleh Mary Victoria Dass
JOHOR BAHRU: Meskipun usianya menjangkau 50-an, seorang lelaki kelihatan seperti hero Melayu pada pandangan gadis remaja hingga sanggup menjalin hubungan percintaan, gara-gara menggunakan sejenis ilmu hitam.
Perkara berkenaan dibongkar ibu bapa seorang gadis bawah umur didakwa menjadi mangsa lelaki berkenaan hingga melarikan diri bersamanya lebih sebulan selepas ahli keluarga tidak merestui hubungan percintaan pasangan terbabit.
Malah, kejadian itu didakwa bukan kali pertama berlaku kerana lelaki berkenaan juga didakwa pernah melarikan gadis sama pada pertengahan Ogos lalu sebelum mangsa berkenaan ditemui semula di Kuala Kangsar oleh saudara-maranya dalam tempoh seminggu.
Bapa gadis yang akan mencapai usia 16 tahun pada November ini, Tarmedi Jamaluddin, 42, berkata keluarganya khuatir nasib anaknya yang taksub dengan hubungan percintaan dengan pemandu jentera berat itu hingga mengambil keputusan berjauhan dengan keluarga sejak 18 Disember lalu.
Menurutnya, keluarganya pelik dengan cinta luar biasa Nurul kerana lelaki itu yang pernah tinggal berjiran beberapa tahun lalu tidak sesuai dengan anak gadisnya memandangkan jarak usia terlalu jauh iaitu kira-kira 30 tahun selain lelaki itu sudah berkeluarga dan bergelar datuk pada seorang cucu.
“Tambahan pula, sebelum ini semua anak saya biasa menggelarnya sebagai pak cik dan tidak dijangka lelaki berkenaan menaruh perasaan cinta terhadap Nurul.
“Hati saya remuk apabila Nurul yang menjadi anak perempuan tunggal dalam keluarga mengakui dia sudah jatuh hati terhadap lelaki yang tidak sepadan dengannya, selain memuji lelaki itu kacak, gagah dan penyayang sedangkan pada mata kami dia hanya sederhana tidak beza seperti lelaki 50-an lain.
“Malah, Nurul juga umpama anak patung kerana menuruti kehendak lelaki itu dan menghampakan kami kali kedua apabila menghilangkan diri bersama lelaki berhidung belang itu,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Taman Johor Jaya pada 4 Januari lalu.
Tarmedi berkata, keluarganya bertambah bimbang dengan keselamatan anaknya kerana difahamkan lelaki berkenaan pernah memerangkap gadis belasan tahun dengan menggunakan ilmu hitam.
Menurutnya, Nurul menunjukkan perubahan sikap hanya selepas mengenali lelaki berkenaan berbanding sebelumnya dia anak baik dan tidak pernah menghadapi masalah keluarga.
“Kami risau masa depan Nurul kerana dia menerima tawaran mengikuti kursus kemahiran di pusat latihan kejuruteraan di Kulaijaya dan seharusnya melapor diri pada 25 Februari depan.
“Kami puas mencarinya di pelbagai tempat dan ditambah pula isteri bertambah risau selepas menerima SMS pada 4 Januari lalu daripada nombor telefon bimbit yang tidak dikenali dan menyatakan lelaki berkenaan mengahwini Nurul dan meminta tidak mencari mereka.
“Diharap waris lelaki berkenaan termasuk anaknya difahamkan masih belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di Batu Pahat menghubungi kami,” katanya ketika datang ke pejabat Harian Metro, semalam.
Harian Metro
3 Februari 2010
Buskers
10 years ago
0 comments:
Post a Comment