INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas
Showing posts with label Sejarah Pseudo. Show all posts
Showing posts with label Sejarah Pseudo. Show all posts

Kemunculan puntianak di Bulgaria

Thursday, January 24, 2013

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

JIKA anda menganggap puntianak hanya mitos atau kisah seram dalam filem, fikirkanlah semula. Ahli arkeologi Bulgaria baru-baru ini menemui dua rangka manusia daripada Zaman Pertengahan dengan sebatang besi menikam dadanya, dipercayai bagi menghalang si mati daripada hidup semula sebagai puntianak.

Dua rangka itu, dikatakan berusia 800 tahun, ditemui dalam satu ekskavasi berhampiran sebuah biara di bandar Laut Hitam Bulgaria, Sozopol.

Ketua Muzium Sejarah negara itu, Bozhidar Dimitrov berkata, dua rangka yang ditikam itu menyamai amalan penduduk kampung di Bulgaria sehingga dekad pertama abad ke-20.

Bomoh-bomoh di Eropah percaya orang yang berkelakuan jahat semasa hidup akan bertukar menjadi puntianak selepas mati melainkan dadanya ditusuk batang besi atau kayu sebelum dikebumikan.

Mereka yakin batang besi itu dapat menghalang si mati daripada merayau-rayau pada waktu tengah malam dan mengganggu penduduk. Menurut Dimitrov, lebih 100 rangka dengan tikaman besi ditemui di Bulgaria dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

PENEMUAN rangka puntianak di Bulgaria menimbulkan misteri sama ada makhluk itu benar-benar wujud.

“Saya tidak tahu kenapa penemuan rangka seperti itu menjadi begitu popular. Mungkin ia disebabkan misteri perkataan puntianak,” katanya.

Puntianak Eropah kebiasaannya adalah lelaki tetapi bulan lalu, penyelidik Itali menemui rangka puntianak wanita di Venice - ditanam dengan seketul bata disumbat ke dalam mulutnya bagi menghalangnya daripada memburu mangsa di bandar itu. Puntianak wanita itu dipercayai daripada abad ke-16.

Ahli antropologi Universiti Florence, Matteo Borrini berkata, penemuan di sebuah pulau kecil, Lazzaretto Nuovo di lagun Venice itu menyokong kepercayaan lama bahawa puntianak menjadi dalang di sebalik kejadian huru-hara seperti Black Death pada abad berkenaan.

“Untuk membunuh puntianak itu, anda terpaksa membuang kain yang menutup mulutnya. Kain itu umpama makanan sama seperti susu bayi. Sebagai ganti, letakkan benda yang tidak boleh dimakan,” jelas Borrini.

Kisah puntianak ternyata bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk kampung di Malaysia bahkan di negara-negara maju di Eropah.

Cerita itu juga popular di Indonesia hinggakan sebuah wilayah di Kalimantan Barat dinamakan Pontianak. Menurut cerita orang tua-tua, pengasas Pontianak iaitu seorang ulama bernama Syarif Abdurrahman Al-Qadri sering diganggu oleh hantu itu ketika menyusuri Sungai Kapuas yang merupakan pintu masuk ke bandar itu dari Laut China Selatan.

Ulama itu dikatakan menggunakan meriam karbaid untuk menghalau atau membunuh makhluk tersebut.

PAKU membunuh puntianak. - Gambar hiasan

Halia

Sehingga hari ini, meriam yang digunakan itu menjadi satu instrumen untuk menarik pelancong ke situ.

Menurut Datuk Bandar Pontianak, Paryadi, meriam karbaid digunakan untuk menghalau puntianak semasa pemerintahan sultan di Pontianak.

“Kini ia digunakan untuk memaklumkan penduduk di sini waktu solat Maghrib, berbuka puasa dan pengumuman Hari Raya Aidilfitri,” beritahu beliau.

Di Eropah, mitos puntianak memiliki banyak versi. Di Greece ia dikenali dengan nama vrykolakas manakala di Romania, symengol.

Kisah puntianak turut diangkat oleh penulis Britain, John Polidori yang menghasilkan novel bertajuk The Vampyre pada tahun 1819. Cerita hantu penghisap darah itu sangat digeruni hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang ramai pada masa itu.

Di Croatia pada tahun 1672, penduduk sebuah kampung diceritakan gempar apabila seorang penduduk yang mati pada tahun 1656 hidup semula dan menghisap darah penduduk selain merogol wanita janda.

Serangan puntianak turut menggemparkan Britain pada tahun 1970 apabila beberapa akhbar tempatan melaporkan berita kononnya hantu itu telah menyerang kawasan Perkuburan Highgate di London.

Ia menyebabkan ramai pemburu puntianak berkumpul di situ. Sesetengah daripada mereka sempat menulis buku mengenainya hingga memperoleh keuntungan.

Seorang penulis buku dan juga pemburu hantu, Sean Manchester mendakwa telah menghapuskan semua puntianak di kawasan itu. Tetapi tiada bukti jelas mengenai kewujudan hantu itu.

Pada Januari 2005 pula, penduduk Birmingham terkejut dengan kemunculan seorang penyerang yang berkelakuan seperti puntianak iaitu menghisap darah mangsa sebelum membunuhnya. Bagaimanapun, polis yang menyiasat kes itu mengatakan andaian puntianak itu hanya khabar angin

Seorang pakar teologi Perancis, Dom Augustine Calmet pernah membuat kajian komprehensif berdasarkan kes serangan puntianak tetapi tidak menemui bukti tentang kewujudan makhluk itu.

Mitos

Pemerintah Austria pada kurun ke-17, Maria Theresa Walburga Amalia Christina pula meminta doktor peribadinya, Gerard Van Swieten menyiasat entiti puntianak tetapi ia juga berakhir dengan kegagalan.

Kata Swieten, kisah puntianak itu sekadar menggalakkan pengamal ilmu hitam menggali kubur untuk memantapkan ilmu serta mencuri organ manusia untuk dijual.

Pengkaji alam misteri dan sejarah purba Nusantara, Mohammad Idrus Abu Hanifah berpendapat, puntianak sebenarnya ialah jin dan hantu yang ingin mengganggu manusia.

Katanya, tidak mungkin jin serta hantu dapat meragut nyawa manusia.

“Pelbagai teori telah dikemukakan tetapi tidak ada sekeping gambar atau kajian saintifik yang mengesahkan perkara tersebut.

“Malah, cara menghapuskan puntianak mempunyai pelbagai versi seperti mencurahkan air panas pada muka atau abu mayat, melemaskan hantu itu, menusuk paku ke tengkuknya dan menyumbat halia ke dalam mulutnya,” katanya kepada Jurnal.

Merujuk kepada negara ini, puntianak dikatakan hantu wanita yang berwajah cantik selepas dipantak paku di tengkuknya tetapi akan kembali hodoh jika paku itu dicabut.

Mohammad Idrus mengaku pernah membuat kajian dengan pergi ke sebuah lokasi yang dikatakan ada puntianak di Hulu Selangor.

“Di situ, saya berjumpa dengan hantu puntianak yang hodoh. Sebaik sahaja saya mencucuk paku sepanjang 10 sentimeter di tengkuknya, tidak berlaku apa-apa perubahan sebaliknya hantu itu memarahi saya.

“Hantu itu memakai pakaian berwarna putih manakala matanya merah menyala. Ia mempunyai gigi yang tajam, memang tak cantik langsung,” dakwa Mohammad Idrus sambil ketawa.

Kosmo!

24 Jun 2012

Burung api

Thursday, July 12, 2012

0 comments  

Mitologi orang Arab kuno, Parsi, Greek, Rom, Mesir, China dan Phoenicia pernah menyebut tentang seekor burung yang terbakar ataupun berapi.

Burung tersebut diliputi bulu pelepah yang berwarna-warni dengan ekornya yang keemasan dan berwarna merah menyala, burung yang dipanggil cenderawasih ini dikenali kerana kecantikannya dan juga keabadian hayatnya.

Burung tersebut dikatakan sebesar seekor helang dan sesetengah mitos mengatakan rupanya seakan-akan burung merak ataupun ayam denak.

Tiada siapa yang mengetahui jangka hayat hidupnya, tetapi ia dijangka dapat hidup selama 500 hingga 1000 tahun.

Cenderawasih dikatakan sebagai seekor burung yang bersyukur, hanya makan sewaktu di udara dan tidak membahayakan haiwan atau makhluk lain.

Apabila cenderawasih menangis, air matanya akan menjadi dupa atau gaharu manakala darahnya boleh menjadi penawar segala penyakit.

Cenderawasih hidup dengan menjauhkan dirinya dari manusia dan hanya kembali ke tempat yang dihuni manusia apabila sudah sampai masanya ia menemui ajal.

Sebelum cenderawasih mati, ia akan terbang ke Arab, mengumpulkan kemenyan, candu dan sejenis tumbuhan yang berbau wangi dari Himalaya untuk dibawa ke Phoenicia. Apabila tiba di Phoenicia, ia akan membina sarangnya di atas sebatang pokok palma yang tinggi.

Menjelang senja, cenderawasih akan menyanyi sambil melihat matahari turun dan menantikan cahaya matahari membakar tubuhnya. Kononnya, selepas tiga hari burung cenderawasih akan bangun semula daripada abunya dan menjadi seekor cenderawasih yang baharu.

Burung cenderawasih menjadi simbolik kepada kematian dan kehidupan semula.

Legenda mennyatakan bahawa burung cenderawasih pernah wujud sewaktu alam semesta ini dicipta dan ia mengetahui segala rahsia kehidupan dan penjelmaan semula. Orang Mesir kuno menggelar burung cenderawasih sebagai Dewa Jubli dan menganggap ia adalah roh kepada Dewa Matahari bernama Ra.

Hari ini, cenderawasih dikenali di seluruh dunia sebagai lambang api, keagungan dan keabadian.


New Straits Times


Patung Nefertiti jadi rebutan

Sunday, December 18, 2011

0 comments  

Oleh KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN

BARU-BARU ini, Majlis Agung Antikuiti Mesir (SCA) menggesa Jerman memulangkan kepala patung Permaisuri Nefertiti kepada majlis itu. Nefertiti dianggap begitu unik disebabkan wajah jelitanya selain kontroversi selepas kematiannya.

Individu yang bersungguh-sungguh mahu patung ratu berusia 3,300 tahun itu dibawa pulang ialah Ketua Jabatan Antikuiti Mesir, Dr. Zahi Hawass yang menjalankan kempen mengembalikan artifak purba negara itu sejak lapan tahun lalu.

Kempen beliau itu dilihat agak sukar kerana pada tahun 2007, pihak berkuasa Jerman enggan meminjamkan patung Nefertiti semasa Mesir menganjurkan satu pameran dengan alasan ia mudah pecah jika dipindahkan.

Nama Nefertiti jarang diperkatakan dalam riwayat tamadun Mesir purba, tidak seperti Cleopatra yang sehingga kini dianggap wanita paling bahaya dalam sejarah dan penggoda yang telah memikat lelaki paling berkuasa di dunia, iaitu Julius Caesar dan Marcus Antonius dari Rom.

Namun, jika disorot semula lembaran sejarah Nefertiti yang juga isteri kepada Amenhotep IV, dia sebenarnya mempunyai pengaruh yang sangat besar.

Dalam beberapa catatan rekod Mesir purba, figura wanita pertama Dinasti ke-18 ini sangat diagungkan. Dia bersama Amenhotep IV telah mencetuskan revolusi agama Aten yang memuja satu tuhan sahaja iaitu tuhan matahari.

Keperibadian isteri kesayangan Firaun ini juga semakin menyerlah apabila dia diberi peranan besar dalam aspek agama selepas diangkat sebagai wakil wanita dalam aspek ketuhanan.

Dibunuh

Sesetengah teori mengatakan Nefertiti adalah penulis revolusi agama dan budaya yang diilhamkan oleh Akhenaten yang menolak agama-agama lain sehingga membangkitkan kemarahan golongan pendeta.

Tidak gentar dengan ancaman, Nefertiti bersama Akhenaten mengambil keputusan untuk memindahkan pusat pemerintahan Mesir dari Thebes ke Amarna semata-mata untuk mentaati tuhan baru mereka.

Pakar sejarah mengaitkan perkembangan agama baru ini adalah hasil usaha Nefertiti.

Nefertiti juga dipercayai memegang kuasa yang lebih besar daripada kuasa seorang permaisuri semasa pemerintahan suaminya.

Bahkan, pendapat mengatakan pemerintahan Mesir purba pada zaman Firaun Akhenaten adalah pemerintahan bersama pasangan suami isteri ini.

CANCELOR Jerman, Angela Merkel merenung Permaisuri Nefertiti di Muzium Neues di Berlin pada 16 Oktober 2009. Patung berusia 3,300 tahun itu telah menarik berpuluh ribu pengunjung setiap tahun ke muzium itu.


Pengaruh penting Nefertiti boleh dilihat melalui lukisan dan ukiran gambarnya yang banyak ditemui di dinding kuil.

Persamaan saiz di antara ukirannya dan ukiran Akhenaten memberi petunjuk mereka mempunyai kepentingan yang sama dalam struktur politik Mesir purba.

Sayangnya, zaman kegemilangan permaisuri yang mendapat jolokan Wanita Paling Cantik Di Dunia ini tidak lama.

Pada tahun ke-14 pemerintahan Akhenaten iaitu kira-kira tahun 1335 Sebelum Masihi, nama dan pengaruh besar Nefertiti lenyap begitu sahaja.

Teori sejarah mengatakan Nefertiti meninggal dunia disebabkan wabak penyakit yang melanda kawasan itu.

Ada juga yang mengatakan dia tidak lagi disukai suaminya kerana rekod sejarah selepas itu menunjukkan Akhenaten banyak merujuk kepada isteri keduanya iaitu Kiya, ibu kepada Firaun Tutankhamun yang terkenal dengan gudang emasnya.

Selain itu, timbul juga teori Nefertiti dibunuh oleh pendeta Mesir kerana dia memulakan revolusi agama di Amarna.

Anehnya, semua rekod tentang permaisuri ini telah dihapuskan supaya tiada sesiapa yang akan menyebut namanya.

Perang Dunia

Misteri dan kontroversi kehilangan Nefertiti masih diperdebatkan.

Bukan sahaja fakta sejarah, malah patung ukiran permaisuri tersebut yang didakwa dibawa keluar secara haram masih menjadi rebutan antara Mesir dan Jerman.

Gesaan yang dikeluarkan kerajaan Mesir supaya kepala patung berkenaan dipulangkan ke Kaherah tidak dipedulikan Jerman.

KEDUDUKAN Lembah Raja yang berhampiran Sungai Nil di Luxor, Mesir. Sebuah filem Itali tahun 1961 lakonan Jeanne Crain menggambarkan Nefertiti sebagai ‘Ratu Sungai Nil’.


Malah, tindakan Zahi Hawass yang bersungguh-sungguh dalam kempen tersebut ditempelak Yayasan Warisan Budaya Prussia yang bertanggungjawab mengendalikan Muzium Neues apabila mereka mendakwa mempunyai dokumen sah pemindahan patung itu dari Mesir ke Jerman.

Bagi sesetengah pihak, tindakan Zahi mungkin tidak disenangi, namun beliau bertindak demikian selepas mengetahui patung berleher jinjang dengan mata yang unik itu didapati dibawa keluar dari Mesir secara haram pada tahun 1924.

Meneliti patung ukiran Nefertiti yang dihasilkan daripada batu kapur itu, ia cukup layak untuk dianggap salah satu hasil kerja seni terbaik dunia pramoden.

Berusia 3,300 tahun, artifak unik tersebut telah ditemui di sebuah kompleks membuat patung di Lembah Raja di Luxor, kira-kira 275 kilometer dari selatan Kaherah pada tahun 1912 sebelum dibawa ke Jerman oleh ahli ekskavasi Jerman, Ludwig Borchardt.

Melalui ukiran ini sahaja, ramai yang dapat membayangkan kejelitaan asli Permaisuri Nefertiti.

Bibir merahnya yang separa tebal, mata yang bundar dan lehernya yang jinjang menjadikan patung kepala ini cukup menawan.

Dengan hiasan mahkota tinggi yang disempurnakan dengan lekapan batu-batu aneka warna yang bernilai tinggi, sentuhan warna gelap yang tebal pada kening dan garisan mata nyata membangkitkan pesona wanita berkulit kuning langsat itu.

Bagaimanapun, Zahi optimis Jerman akan menyerahkan semula artifak tamadun milik negaranya itu.

Malah, usaha kerajaan Mesir untuk membawa pulang patung tersebut telah dimulakan sejak Perang Dunia Kedua tamat iaitu pada tahun 1947.

“Saya tahu Jerman tidak senang dengan apa yang saya lakukan. Saya tidak kisah apa mereka mahu kata. Saya hanya mahu membawa pulang patung kepala Permaisuri Nefertiti.

“Kerajaan dan rakyat Mesir begitu bersemangat menanti kepulangan harta dan warisan tamandun purba ini kepada pihak yang sepatutnya.

“Jika perkara ini menjadi kenyataan, kepala patung itu akan dipamerkan di muzium baru di selatan Kaherah,” katanya.

Kosmo!

30 Januari 2011

Pokok kasut rakyat Amerika

0 comments  

SAMA ADA untuk memperingati sesuatu tarikh atau memasang niat tertentu, pemandangan sebatang pokok 'berdaun' kasut sudah dianggap lumrah di Amerika dan beberapa negara Eropah.


SEBATANG pokok kapas setinggi 21 meter di Middlegate, utara Nevada, Amerika Syarikat sudah lama menjadi tarikan kepada pengembara kerana terdapat beratus-ratus pasang kasut koboi, tumit tinggi, sandal, selipar bahkan kasut luncur bergantungan di dahannya. Ia dikatakan pokok kasut terbesar di dunia.

Penjaga bar di Old Middleton Station - kombinasi bar, restoran dan stesen minyak, berkata kasut pertama yang tergantung di pokok itu dilemparkan oleh seorang lelaki yang baru berkahwin pada tahun 1980-an selepas bertengkar dengan pasangannya. Pasangan itu datang berkhemah di bawah pokok kapas itu.

"Si isteri habis banyak wang disebabkan berjudi dan si suami yang marah telah membaling kasut isterinya ke arah dahan pokok itu," kata Stevenson.

Setahun kemudian, pasangan itu datang semula ke tempat itu dan menunjukkan kepada anak sulung mereka kasut yang pernah menjadi tanda pertengkaran mereka.

Pokok itu tumbuh di tepi Laluan 50, jalan raya yang dianggap paling sunyi di AS. Pada malam Tahun Baru baru-baru ini, pokok itu telah ditebang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kisah pokok kasut telah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Amerika, sebuah kuasa besar dan didakwa paling maju di dunia.

Hakikatnya, pokok seumpama itu berselerakan di negara itu termasuk di negeri seperti New York, Idaho, Indiana, Maine dan Michigan.

Menurut masyarakat tempatan, amalan membaling kasut ke atas pokok masih misteri dan hanya dilakukan pada pokok terpilih sejak tahun 1970-an.

Amalan membaling kasut seperti menjadi ritual suci bagi memperingati tarikh tertentu atau sebagai tanda mereka pernah melalui sesuatu kawasan.

Tragis

Pengkaji pokok kasut di AS, Doug Kirby bersungguh-sungguh untuk merungkai misteri popular itu.

Menurutnya, sesetengah pokok kasut bermula dengan insiden yang tragis. Dia memberi contoh peristiwa yang berlaku di Salem, Michigan apabila pokok kasut di situ dikaitkan dengan pembunuhan bersiri kanak-kanak yang mana kasut mereka dilempar ke atas pokok selepas dibunuh.

Terang Kirby, bukan mudah untuk melempar kasut ke dahan pokok kerana terdapat tiga peraturan yang perlu diikuti oleh mereka yang mempunyai hajat tertentu.

"Antaranya, sepasang kasut mesti diikat bersama sebelum balingan dibuat. Teknik mengikat dan membaling perlu betul. Jika mengetuk kasut berhampiran pokok itu, pemilik dikhuatiri terkena sumpahan dan mungkin mendatangkan bahaya jika pokok itu sudah reput.

"Kasut yang tergantung di dahan pokok dipercayai mempunyai roh 'Manitau' daripada pemilik sebelumnya yang mengganggu mereka dengan sengaja," ujarnya.

Tambahnya, di Arkansas, pemilihan pokok kasut berhampiran Empangan Beaver agak unik kerana rata-rata pokok di situ sama saiz.

Katanya, pokok kasut itu bukan sekadar menarik perhatian penduduk setempat malah pengunjung turut mengambil peluang membaling kasut yang ditulis dengan mesej tertentu menyebabkan laluan di situ sesak.

"Pada tahun 2000, angin kencang melanda Arkansas mengakibatkan pokok kasut Beaver tumbang manakala kasut-kasut yang tergantung jatuh bersepah.

"Seperti tiada penghujung, beberapa bulan berikutnya pokok kasut Beaver sudah ada pengganti. Penduduk setempat dan pengunjung tidak melepaskan peluang melakukan amalan seperti sebelumnya," katanya.

Akibat terlalu ramai pelawat datang ke situ, ada individu tidak dikenali telah mencantas pokok berkenaan.

Kesannya, kini orang ramai yang mengunjungi pokok kasut Beaver semakin berkurangan. Bagaimanapun, di negeri lain di AS, amalan pelik itu masih berterusan.

Kosmo!

9 Januari 2011

Skrol Laut Mati berusia 2,000 tahun

Tuesday, November 1, 2011

0 comments  

SALAH satu skrol Laut Mati dipamerkan di Muzium Israel di Baitulmuqaddis.


BAITULMUQADDIS - Skrol berusia 2,000 tahun yang ditemui di gua sebuah gurun kini dipamerkan di online.

Ia dipamerkan sebagai sebahagian daripada projek muzium kebangsaan Israel dan laman web Google di Internet.

Skrol itu ditulis dan dikumpulkan oleh satu kumpulan agama Yahudi yang melarikan diri ke sebuah gurun 2,000 tahun lalu dan menetap di Qumran di tepi tebing Laut Mati.

Lima skrol itu merupakan antara yang dibeli oleh para penyelidik Israel di antara tahun 1947 dan 1967 daripada seorang penjual barang antik.

Ia pertama kali ditemui oleh penduduk Badwi di gurun Judean. - Agensi

Kosmo!

28 September 2011

Budak temui fosil berusia 160 juta tahun

0 comments  

EMILY BALDRY menemui cangkerang berusia lebih 160 juta tahun di Taman Air Cotswold, Britain pada Mac tahun lalu.


TAMAN AIR COTSWOLD, Britain - Seorang budak berusia lima tahun, Emily Baldry menemui fosil cangkerang berusia lebih 160 juta tahun selepas menggali tanah dengan menggunakan sebatang penyodok yang selalu digunakan untuk membina istana pasir.

Emily menemui fosil seberat 57 kilogram itu yang jarang didapati itu di kawasan Taman Air Cotswold di sini dengan bantuan bapanya Jon, 40, pada Mac tahun lalu.

Fosil lengkap berdiameter hampir 40.6 sentimeter itu berasal daripada haiwan moluska yang mempunyai cangkerang yang hidup di lautan.

Ia kini disimpan di kediaman keluarga berkenaan di sini setelah ia dipamerkan kepada umum.

Cangkerang itu diberi nama Spike oleh Emily.

Selepas cangkerang itu ditemui, dia menyerahkannya kepada seorang ahli geologi, Neville Hollingworth untuk dibersihkan.

Emily yang kini berusia enam tahun berasa gembira apabila melihat cangkerang itu yang kelihatan berkilat semasa ia dipamerkan di Pusat Penerangan Gateway dekat Cirencester.

Menurut bapa Emily, cangkerang itu akan dibawa pulang ke rumah selepas tempoh ia dipamerkan berakhir. - Agensi

Kosmo!

14 September 2011

Tulang kuda, pedati 3,000 tahun ditemui

0 comments  

LIMA pedati kayu dan 12 rangka tulang kuda ditemui di dalam sebuah makam di Luoyang, China.


LUOYANG, China – Beberapa ahli arkeologi telah menemui rangka tulang kuda dan pedati kayu di sebuah makam Dinasti Zhou di sini. Usia rangka tulang kuda dan pedati itu dipercayai hampir 3,000 tahun.

Sebanyak lima pedati kayu dan 12 rangka tulang ditemui di dalam makam tersebut.

Ahli-ahli arkeologi percaya makam itu milik seorang pegawai terkenal pada zaman itu. – Agensi

Kosmo!

3 September 2011

Topi 2,000 tahun dilelong RM11.1 juta

Sunday, October 10, 2010

0 comments  

GAMBAR menunjukkan topi askar pada era empayar Rom yang dilelong RM11.1 juta di London kelmarin.


LONDON, Britain - Sebuah topi askar pada era empayar Rom dijual pada harga mencecah AS$3.6 juta (RM11.1 juta) dalam satu lelongan di sini kelmarin.

Harga tersebut adalah lapan kali ganda lebih tinggi berbanding jangkaan Rumah Lelongan Christie selepas lapan pesaing membida untuk membelinya.

Artifak berkenaan ditemui oleh seorang pemuda dengan menggunakan alat pengesan logam di sebuah padang di daerah Cumbria, utara England pada Mei lepas.

"Kali pertama saya melihatnya, saya seperti tidak percaya, objek ini amat sukar ditemui," kata Ketua Antikuiti Rumah Lelongan Christie, Georgiana Aitken.

Topi yang jarang didapati itu diperbuat daripada gangsa dan berusia hampir 2,000 tahun.

Sehingga kini, cuma terdapat tiga artifak berkenaan di Britain dengan dua lagi berada di muzium di sini dan satu lagi di ibu negeri Scotland, Edinburgh.

Pemuda yang menemui topi itu dibenarkan menyimpan sebahagian besar hasil lelongan kerana artifak berkenaan tidak tertakluk dengan undang-undang khazanah England. - AP

Kosmo!

9 Oktober 2010

Peninggalan bandar Aryan ditemui

Monday, October 4, 2010

0 comments  


MOSCOW - Beberapa bandar yang dibina oleh bangsa Aryan yang menggunakan simbol swastika seperti tentera Nazi di Jerman telah ditemui di kawasan Steppe di pedalaman Rusia, lapor sebuah akhbar semalam.

Bangsa Aryan menjadi popular kerana ia menjadi kebanggaan bekas pemimpin Nazi di Jerman, Adolf Hitler yang pernah merancang pembunuhan ramai bangsa Yahudi pada era Perang Dunia Kedua.

Beberapa pakar arkeologi telah mengenal pasti 20 penempatan berbentuk bulatan yang dibina kira-kira 4,000 tahun dahulu pada permulaan tamadun Barat sejurus selepas pembinaan Piramid Besar di Mesir.

Adalah dipercayai bangunan-bangunan tersebut digunakan oleh bangsa Aryan dan boleh menempatkan kira-kira 2,000 orang.

Seorang felo penyelidikan di King's College London dan pengacara terkenal, Bettany Hughes telah meneroka kawasan penduduk bangsa Aryan itu yang bersempadan dengan Kazakhstan untuk program radio Perbadanan Penyiaran British, Tracking The Aryans.

Bahasa Aryan telah dikenali sebagai pelopor beberapa bahasa Eropah.

Bahasa Inggeris menggunakan banyak perkataan bangsa Aryan seperti brother, oxen dan guest.

Setakat ini beberapa barang telah ditemui seperti serpihan tembikar dan sebuah pedati kuda di kawasan itu - Agensi

Kosmo!

5 Oktober 2010

Patung Firaun Amenhotep III ditemui

Sunday, October 3, 2010

0 comments  

GAMBAR yang disiarkan kelmarin menunjukkan patung Firaun Amenhotep III yang ditemui di Kom el-Hittan, Luxor, Kaherah.


KAHERAH - Ahli-ahli arkeologi menemui patung Firaun Amenhotep III di Kom el-Hittan di bandar Luxor, kata Kementerian Kebudayaan Mesir kelmarin.

Firaun itu memerintah hampir 3,400 tahun lalu dan merupakan datuk Firaun Tutankhamun yang memerintah pada abad ke-14 Sebelum Masihi.

Sekumpulan ahli arkeologi menemui patung itu yang mengandungi ukiran kepalanya memakai makhota di lokasi sebuah kuil Firaun Amenhotep III di tepi tebing Sungai Nil.

Kuil itu telah musnah kemungkinan akibat banjir. - AP

Kosmo!

4 Oktober 2010

Tapak rumah berusia 10,500 tahun ditemui

Monday, August 16, 2010

0 comments  

SEJUMLAH serpihan kayu ditemui yang dipercayai runtuhan sebuah rumah berusia 10,500 tahun di Flixton, Britain, baru-baru ini.


FLIXTON, Britain - Sebuah tapak yang merupakan rumah kayu manusia zaman batu ditemui di sini yang dipercayai berusia 10,500 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Sekumpulan ahli arkeologi dari Universiti Manchester, membuat penemuan itu baru-baru ini.

Para penyelidik percaya lantai rumah itu mengandungi lantai yang terdiri daripada lapisan rumput.

Menurut seorang penyelidik, Dr Chantal Conneller dari Universiti Manchester, rumah itu mungkin digunakan selama 200 tahun hingga 500 tahun.

"Anda boleh menempatkan tiga atau empat orang di dalam rumah itu. Ia mungkin satu struktur ritual kerana terdapat bukti terdapat aktiviti ritual di tapak ini," katanya. - Agensi

Kosmo!

12 Ogos 2010

Tulang kaki lebih 47,000 tahun

0 comments  

GAMBAR menunjukkan tulang kaki berusia lebih 47,000 tahun yang ditemui di sebuah gua dekat Penablanca, Filipina.


MANILA - Pakar-pakar arkeologi menemui satu tulang tapak kaki yang dapat membuktikan bahawa kepulauan Filipina pertama kali dihuni manusia pada 67,000 tahun lalu, beberapa ribu tahun lebih awal berbanding tanggapan sebelum ini, kata seorang penyelidik Muzium Nasional negara berkenaan semalam.

Penyelidik arkeologi muzium tersebut, Taj Vitales berkata, tulang kaki itu ditemui di sebuah gua dan berusia lebih tua daripada tulang Orang Tabon yang dianggap manusia pertama tinggal di Filipina.

Tulang Manusia Tabon berusia 47,000 tahun.

"Tulang ini menjadikan ia rangka manusia tertua pernah ditemui di kepulauan Filipina," kata Vitales.

Ahli-ahli arkeologi dari Universiti Filipina dan Muzium Nasional menemui tulang tapak kaki kanan itu pada 2007 di gua Callao dekat Penablanca, kira-kira 335 kilometer ke utara Manila.

Berdasarkan lokasi penemuan tersebut, manusia pertama yang menghuni kepulauan berkenaan kini dinamakan Orang Callao manakala penemuan itu dipaparkan dalam edisi terbaru sebuah jurnal arkeologi bertajuk Journal of Human Evolution. - AFP

Kosmo!

4 Ogos 2010

Makam purba separuh siap dijumpai di Mesir

Sunday, July 4, 2010

0 comments  

GAMBAR yang disiarkan oleh Jabatan Antikuiti Mesir semalam menunjukkan Zahi Hawass memasuki terowong yang tidak dapat disiapkan pada zaman Firaun Seti di Luxor.


KAHERAH - Ahli-ahli arkeologi Mesir yang telah menamatkan kerja-kerja ekskavasi di satu terowong purba di Luxor percaya ia dibina untuk menyambungkan makam Firaun berusia 3,300 tahun dengan satu tapak pengebumian rahsia, kata Jabatan Antikuiti Mesir semalam.

Ketua Arkeologi Mesir, Zahi Hawass menyatakan proses ekskavasi terowong sepanjang 174 meter yang terletak di bahagian selatan Lembah Raja-Raja dan berhampiran dengan makam purba Firaun Seti I itu mengambil masa selama tiga tahun untuk dilakukan.

Menurutnya, terowong dan makam rahsia itu tidak dapat disiapkan kerana kematian Firaun Seti I.

Mula ditemui pada tahun 1960, terowong tersebut kini telah dapat dibersihkan daripada timbunan pasir.

Ahli-ahli arkeologi turut menemui patung-patung purba kecil dan serpihan tembikar. - AP

Kosmo!

1 Julai 2010

Kasut berusia 5,500 tahun ditemui

Tuesday, June 15, 2010

0 comments  

KASUT berusia 5,500 tahun yang ditemui di sebuah gua di Armenia.


LONDON - Kasut kulit tertua di dunia yang wujud 1,000 tahun lebih awal berbanding Piramid di Giza, Mesir dan 400 tahun daripada usia batu Stonehenge di Britain telah ditemui di dalam sebuah gua di wilayah Vayotz Dzor, yang terletak di sempadan Armenia, Iran dan Turki.

Kasut berusia 5,500 tahun itu dijumpai oleh sepasukan arkeologi antarabangsa yang kemudian melaporkan penemuan itu pada kelmarin.

Ia diperbuat daripada sekeping kulit lembu dan mempunyai tali dan dibentuk untuk dipadankan dengan kaki si pemakainya.

Kasut itu berukuran 24.5 sentimeter (sm) panjang dan lebar 10sm dan diperbuat pada zaman Chalcolithic kira-kira 3,500 tahun Sebelum Masihi.

"Tidak diketahui sama ada kasut itu milik lelaki atau perempuan," kata ketua pasukan penyelidik, Ron Pinhasi dari Universiti College Cork, Ireland.

Saiz kasut itu sepadan dengan saiz moden penduduk Eropah iaitu 37.

Keadaan kasut itu yang ditemui dalam keadaan elok turut dibantu oleh lantai gua yang diselaputi oleh najis biri-biri yang tebal.

- Reuters

Kosmo!

11 Jun 2010

Kubur gladiator ditemui di Britain

0 comments  

GAMBAR menunjukkan satu rangka manusia gladiator yang ditemui di York, England baru-baru ini.


YORK - Sepasukan pakar arkeologi menemui kawasan perkuburan mengandungi hampir 80 rangka lelaki dipercayai gladiator dari empayar Rom yang disemadikan di utara England ribuan tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Serpihan tulang berusia 2,000 tahun itu menunjukkan lelaki tersebut dibawa dari empayar Rom untuk berlawan di utara England.

Seorang pegawai penyelidik Yayasan Arkeologi York, Kurt Hunter-Mann berkata, puluhan rangka lelaki itu mempunyai tanda-tanda luka akibat mengalami banyak kecederaan termasuk ditetak dengan kapak di kepala.

Saintis pada mulanya menyangka tanah perkuburan purba di utara England itu menempatkan mangsa pembunuhan beramai-ramai sebelum mendapati tengkorak sebahagian besar rangka berkenaan dipenggal selain mempunyai kesan gigitan harimau.

Rangka bertubuh sasa itu menyerupai gambaran pahlawan Rom seperti dilakonkan aktor terkenal Australia, Russel Crowe menerusi filem epik sejarah Gladiator.

Analisis tulang menunjukkan galdiator itu diimport oleh empayar Rom dari pelbagai tempat termasuk di Afrika dan kawasan sekitar Mediterranean.- Agensi

Kosmo!

8 Jun 2010

Makam 3,300 tahun ditemui di Mesir

0 comments  

GAMBAR yang disiarkan oleh Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir semalam menunjukkan makam berusia 3,300 tahun di Saqqara dekat Kaherah.


KAHERAH - Sekumpulan arkeologi telah menemui makam berumur 3,300 tahun milik seorang datuk bandar, Ptahmes di Saqqara, selatan Kaherah, kata beberapa pegawai semalam.

Menurut pegawai-pegawai itu, beberapa pemburu harta karun telah mencuri beberapa hiasan di dinding makam berkenaan.

Datuk bandar itu turut menjadi ketua tentera, penyelia perbendaharaan dan jurutulis diraja di bawah pemerintahan Seti I dan anaknya, Ramses II pada abad ke-13 Sebelum Tahun Masihi.

Penemuan itu pada awal tahun ini menyelesaikan misteri makam tersebut pada 1885 apabila sekumpulan ekspedisi asing menemuinya.

Namun, lokasi asalnya tidak diketahui kerana makam tersebut diliputi pasir.

"Sejak ia diliputi pasir, tidak ada seorang pun yang mengetahui mengenainya," kata seorang profesor arkeologi di Universiti Kaherah, Ola el-Aguizy yang mengetuai kerja-kerja ekskavasi. - AP

Kosmo!

31 Mei 2010

Tiada pembeli harta karun 1,000 tahun

0 comments  

ANTARA harta karun yang dilelong.


JAKARTA - Majlis lelongan harta karun yang ditemui dari bangkai sebuah kapal karam abad ke-10 di perairan utara Cirebon, Jawa Barat, Indonesia gagal menemui pembeli yang sanggup membelinya pada harga minimum AS$80 juta (RM254.8 juta) semalam.

Beberapa pegawai berkata, tiada seorang pun peminat harta karun yang sanggup membayar wang pendahuluan bidaan sebanyak AS$16 juta (RM51.6 juta) yang diperlukan untuk mereka membuat bidaan.

Seorang pegawai Kementerian Hal Ehwal Maritim Indonesia, Ansori Zawawi berkata, satu lagi majlis mungkin diadakan dengan memberi lebih banyak masa kepada bakal pembida untuk mengkaji harta karun tersebut yang berusia 1,000 tahun.

Harta karun itu merangkumi 271,000 batu delima, mutiara, emas, batu kristal pada zaman Dinasti Fatimiyah yang dianggap keturuanan Nabi Muhammad SAW, barangan kaca Iran dan tembikar Maharaja China berusia 976 Tahun Masihi.

Beberapa pegawai berkata, wang pendahuluan, pembidaan minimum dan notis singkat mengenai lelongan mungkin menjadi punca majlis lelongan itu tiada mempunyai pembeli.

Harta karun itu ditemui oleh sekumpulan nelayan dan kerja-kerja untuk membawa kesemua harta karun tersebut memerlukan 22,000 selaman pada Februari 2004 sehingga Oktober 2005.

Pemerintah Indonesia akan mengambil 50 peratus hasil lelongan manakala bakinya akan dibahagikan di antara pihak yang terlibat me nemuinya termasuk pemburu harta karun, Luc Heymans.

Namun, kekecohan berlaku di tempat lelongan itu apabila sekumpulan penunjuk perasaan menentang harta karun tersebut dilelong tetapi pasukan keselamatan berjaya mengawal ketenteraman. - Agensi

Kosmo!

6 Mei 2010

Kristal milik keluarga Nabi Muhammad dilelong

0 comments  

PEMBURU harta karun, Luc Heymans memegang pisau bersalut emas bertulisan Arab yang ditemui di perairan Cirebon dan dilelong pada hari ini.


JAKARTA - Sebanyak 24 batu kristal berusia 1,000 tahun yang merupakan antara harta karun yang ditemui dari bangkai sebuah kapal karam di perairan utara Cirebon, Jawa Barat, Indonesia dipercayai milik keluarga Nabi Muhammad SAW pada zaman Dinasti Fatimiyah, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Menurut Ketua Pengarah PT Paradigma Putra Sejahtera, Adi Agung Tirtamarta, batu tersebut akan dilelong pada hari ini bersama semua harta karun itu.

"Di dunia, cuma terdapat 40 batu kristal. Harta karun yang ditemui di Cirebon itu cuma mempunyai 24 batu kristal," kata Adi yang menyewa sebuah kandang kuda di Pamulang untuk dijadikan tempat simpanan harta karun itu yang ditemui oleh sekumpulan nelayan Indonesia pada 2004.

Syarikat milik Adi itu mengendalikan lelongan harta karun itu secara pukal dan tidak satu persatu.

Harga minimum lelongan itu ialah AS$80 juta (RM254.8 juta).

Adi berkata, batu kristal itu dipercayai berasal dari Dinasti Fatimiyah yang merupakan keturunan keluarga anak perempuan Nabi Muhammad SAW iaitu Siti Fatimah dan suaminya, Ali bin Abi Talib.

Siti Fatimah merupakan puteri bongsu Nabi Muhammad bersama isteri pertama baginda, Siti Khadijah.

Harta karun itu merangkumi 271,000 batu delima, mutiara, emas, batu kristal, barangan kaca Iran dan tembikar Maharaja China berusia 976 Tahun Masihi.

Namun, seorang pegawai di Kementerian Hal Ehwal Maritim Indonesia, Sudirman Saad berkata, pada Isnin lalu tidak ada seorang pun pembida yang telah membayar deposit sebanyak AS$16 juta (RM51.41 juta) atau 20 peratus daripada harga lelongan minimum.

"Terdapat 20 orang yang berminat untuk menyertai lelongan itu termasuk dari luar negara.

"Pembida yang berminat itu datang dari Singapura, Beijing, Hong Kong, Malaysia dan Jepun," katanya.

Menurutnya, setakat ini, tidak ada pembida yang meletakkan wang deposit tetapi lelongan itu akan tetap diadakan pada hari ini.

"Jika tidak ada pembeli, lelongan itu akan diadakan buat kali kedua," katanya.

Pemerintah Indonesia akan mengambil 50 peratus hasil lelongan manakala bakinya akan dibahagikan di antara pihak yang terlibat menemuinya termasuk pemburu harta karun, Luc Heymans. - Agensi

Kosmo!

5 Mei 2010

Kayu 20 meter bukti kukuh bahtera Nabi Nuh

0 comments  

GAMBAR di laman YouTube menunjukkan serpihan kayu yang ditemui oleh satu kumpulan ekspedisi China-Turki di dalam lereng Gunung Ararat, Turki.


WASHINGTON - Seorang anggota ekspedisi China-Turki mempertahankan dakwaan mengenai penemuan serpihan bahtera Nabi Nuh di celah lereng Gunung Ararat setinggi 4,000 meter di Turki, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Sebelum ini terdapat pelbagai pihak yang meragui penemuan kumpulan itu selepas pendedahannya dibuat pada satu sidang akhbar pada minggu lalu di Hong Kong sehingga seorang saintis Britain mahu bukti lebih kukuh dikemukakan.

"Bagaimanakah sebuah kapal boleh berada di atas gunung," kata seorang anggota ekspedisi itu yang memasuki Gunung Ararat pada Oktober lalu, Yeung Wing-cheung.

Menurut seorang penyelaras ekspedisi itu, Clara Wei, satu-satunya rekod struktur kayu yang ditemui di gunung itu ialah daripada bahtera Nabi Nuh.

"Sehingga kini, saya percaya ini ialah satu penjelasan yang paling munasabah. Kami tidak mempunyai penjelasan lain. Kami tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan," tambahnya.

Menurut Wei: "Anda boleh menyewa beberapa ekor kuda untuk membawa beg tetapi anda tidak boleh mengimbangi kuda tersebut dengan kayu sepanjang 20 meter ( yang ditemui di dalam lereng gunung itu)."

Dia berkata, tidak ada tembikar dan bukti kebudayaan lain ditemui di gunung tersebut.

Pada Isnin lepas, kumpulan ekspedisi tersebut mengumumkan penemuan struktur dan serpihan kayu bahtera Nabi Nuh di dalam lereng Gunung Ararat, Turki dengan menyatakan ujian karbon menunjukkan barang yang ditemui itu berusia 4,800 tahun iaitu tarikh sama kejadian banjir besar berlaku.

Beberapa pihak meragui penemuan itu kerana pasuakan ekspedisi itu tidak mendedahkan lokasi sebenar tempat penemuan berkenaan.

Namun, kumpulan ekspedisi itu menyatakan lokasi sebenar tempat penemuan tersebut akan didedahkan selepas pemerintah Turki bersetuju menjadikan tempat penemuan sebagai kawasan arkeologi.

Pada Jumaat lalu, agensi berita AFP menyatakan, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turki, Ertugrul Gunay mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui bagaimana serpihan kayu yang didakwa daripada bahtera Nabi Nuh berjaya dibawa keluar dari negara itu ke China. - Agensi

Kosmo!

3 Mei 2010

Harta karun 1,000 tahun di perairan Indonesia dilelong

0 comments  

SERPIHAN barang kemas yang mengandungi tulisan Arab turut ditemui.


JAKARTA - Harta karun yang ditemui oleh sekumpulan nelayan dari bangkai sebuah kapal karam berusia 1,000 tahun akan dilelong di Jakarta pada Rabu depan dengan harga minimum AS$80 juta (RM254.8 juta).

Pencari harta karun dari Belgium, Luc Heymans menyatakan ia adalah penemuan terbesar di Asia.

KEPINGAN bercetak yang berusia 1,000 tahun.


Harta karun itu merangkumi 271,000 batu delima, mutiara, emas, batu kristal, barangan kaca Iran dan tembikar Maharaja China berusia 976 Tahun Masihi.

"Ketika itu, terdapat banyak aktiviti perdagangan antara Arab dan India dan yang datang ke Jawa serta Sumatera," kata Heymans yang mengetuai kerja-kerja menyelamat dan pernah berbalah dengan pegawai-pegawai Indonesia untuk membawa harta karun berkenaan ke daratan.

LUC HEYMANS memegang pasu besar yang ditemui pada bangkai kapal di perairan Cirebon.


Kerja-kerja mencari di tapak kapal karam itu di Cirebon, Jawa Barat bermula pada tahun 2004.

"Tapak itu seluas 40 meter kali 40 meter dan ia hanyalah timbunan tembikar. Anda tidak akan menemui sebarang kayu," kata Heymans.

SEBAHAGIAN barangan porselin yang ditemui.


Harta karun itu termasuk serpihan tembikar dari pemerintahan dinasti Liao (907-1125) dan barang-barang dagangan dari pemerintahan Lima dinasti (907-960) di China.

Di bawah persetujuan dengan Heymans, pemerintah Indonesia akan mengambil 50 peratus daripada hasil lelongan tersebut.

Dikendalikan oleh pemerintah Indonesia, pembida perlu menyerahkan deposit sebanyak AS$16 juta (RM50.9 juta) untuk mengambil bahagian dalam acara lelongan.

Para pembida dijangka datang dari China, Singapura, Jepun dan Taiwan. - AFP

Kosmo!

3 Mei 2010