INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Pelajar histeria jilat darah sendiri

Monday, January 24, 2011

 

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM

ANGGOTA bomba cuba menyelamatkan pelajar yang diserang histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar di Temerloh semalam.

TEMERLOH - Para pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar di sini semalam melalui detik seram dan cemas apabila bukan saja terkejut dengan serangan histeria terhadap seorang pelajar perempuan malah menyaksikan cubaan membunuh diri oleh pelajar itu.

Selain gempar dengan tindakan pelajar tingkatan tiga pada pukul 8.30 pagi itu, lebih 1,000 pelajar termasuk kakitangan sekolah itu juga merasa seram menyaksikan bagaimana pelajar itu menjilat darah di tapak tangannya yang luka dipercayai terkena cermin tingkap.

Kejadian berlaku apabila mangsa yang berada di dalam kelasnya yang terletak di tingkat dua bangunan itu tiba-tiba menjerit-jerit mengatakan dia hendak terjun dari kelasnya yang mempunyai ketinggian lapan meter itu.

Lebih cemas apabila mangsa kemudian dapat melompat ke balkoni melalui tingkap kelasnya selepas setengah jam menjerit-jerit.

Keadaan bertambah kecoh apabila mangsa berlari-lari di sepanjang balkoni itu sebelum berdiri di hujung balkoni sambil mendepakan kedua-dua belah tangan.

Mangsa berusia 15 tahun itu kemudian menarik cermin kaca tingkap kelas sekolah tersebut lalu membalingnya.

Suasana bising itu turut menarik perhatian kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Temerloh yang terletak bersebelahan dengan sekolah berkenaan.

Pegawai Pelajaran Daerah, Mohd. Nadzri Ab. Wahab berkata, dia yang tiba di lokasi kejadian terperanjat dan seram melihat tindakan pelajar terbabit sedang menjilat darah dari tapak tangannya yang luka seperti dalam adegan filem seram.

Lebih menyeramkan lagi, katanya, apabila pelajar itu semakin agresif setelah menyedari kedatangan orang lain di situ dengan bertindak membuka tudung lalu mencampak tudung itu.

"Selain adegan menjilat darah sendiri, paling mencemaskan apabila dia hanya menggunakan hujung jari kakinya untuk memijak hujung balkoni tersebut. Jika silap sedikit kemungkinan dia akan jatuh," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Melihatkan keadaan itu, katanya, pihak sekolah bertindak menyusun banyak tilam di bawah bangunan tersebut untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Mohd. Nadzri memberitahu, selain polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), keluarga mangsa juga bergegas ke situ untuk memujuknya namun cubaan mereka pada awalnya tidak berhasil.

"Saya dimaklumkan pelajar yang diserang histeria itu tidak tinggal di asrama sekolah," katanya.

Kata Mohd. Nadzri lagi, pelajar berkenaan dapat diselamatkan sejam kemudian oleh pasukan penyelamat dengan membawanya turun melalui tangga sekolah sebelum ditenangkan oleh ahli keluarga.

Menurutnya, kejadian histeria di sekolah itu sudah beberapa kali berlaku namun kejadian semalam paling mencemaskan.

Pelajar berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk dirawat. Ahli keluarga mangsa enggan ditemu bual.


Info Sekolah Terlibat Histeria

4 Ogos 2008
KUANTAN - Kejadian histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur yang disangka telah berakhir sejak lima hari lalu, kembali menghantui guru serta pelajar sekolah tersebut apabila beberapa pelajarnya diserang histeria.

28 April 2009
ALOR SETAR - Sesi persekolahan Sekolah Menengah Kebangsaan Langgar di sini kecoh apabila 18 pelajar perempuannya diserang histeria ketika menghadiri majlis bacaan Yassin sebelum menghadapi peperiksaan.

10 Julai 2009
ARAU - Lima daripada 32 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin yang menyertai perkhemahan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) diserang histeria selepas mereka mendakwa ternampak kelibat seorang wanita tergantung.

14 Mei 2010
BIDOR - Kelibat kanak-kanak berkepala besar punca 40 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Syeikh Abdul Ghani diserang histeria.

Kosmo!

25 Januari 2011

0 comments: