CORAK unik berbentuk bulatan yang ditemui petani di tujuh petak sawah di Slemen, Yogyakarta pada Ahad lalu.
YOGYAKARTA, Indonesia - Tujuh petak sawah padi di Krasakan di Sleman, Yogyakarta mempunyai corak bulatan ganjil yang dipercayai penduduk dihasilkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Jakarta Post semalam.
Bukan sahaja Jakarta Post tetapi banyak akhbar lain di Indonesia turut melaporkan mengenai penemuan unik itu.
Corak bulatan ganjil pada kebiasaannya ditemui di kawasan tanaman gandum di negara-negara Barat seperti Britain sejak tahun 1980.
Bentuk bulatan yang ganjil itu dikaitkan dengan UFO di Barat ekoran ia mempunyai bentuk geometri dan tiasa saksi yang melihat manusia yang melakukannya.
Bentuk ganjil yang ditemui di Sleman itu mengandungi corak segi tiga dan dua bulatan kecil di bahagian tengah bulatan yang besar berdiameter di antara 25 meter hingga 30 meter itu ditemui penduduk tempatan pada pagi Ahad lalu.
"Saya berpendapat, ia (bulatan ganjil itu) ditinggalkan oleh sebuah kapal angkasa asing seperti yang saya lihat di televisyen," kata seorang penduduk, Cahyo Utomo semalam.
"Adalah tidak munasabah, bulatan itu dibuat hasil tiupan angin atau haiwan lain," tambahnya.
Bulatan itu yang terletak dekat dengan sebuah kawasan rumah penduduk kelihatan seperti satu kerja seni geometri manakala kawasan sawah padi lain tidak mengalami sebarang kesan yang sama.
Bulatan ganjil itu kali pertama dilaporkan oleh seorang petani, Tukiman pada pukul 6 pagi Ahad lalu.
SEJUMLAH orang menaiki bukit dan merakamkan gambar corak unik yang dipercayai dihasilkan objek terbang tidak dikenali di kawasan sawah padi di Sleman, Yogyakarta semalam.
Ketua Polis Sleman, Iwan Ramaini berkata, dia tidak pasti jika corak bulatan itu dicipta oleh UFO atau ia merupakan fenomena semula jadi. Satu siasatan polis sedang dilakukan berhubung kejadian itu.
Namun, seorang pegawai polis yang mendegar keterangan daripada enam petani yang memiliki tujuh petak sawah percaya, bulatan itu bukan buatan manusia.
"Mereka bilang (para petani itu) nggak (tidak) mungkin itu dibuat oleh manusia," kata seorang pegawai polis, I Made Muliawan kepada wartawan akhbar dalam talian detikcom.
Menurutnya, petani-petani itu tidak melihat terdapat kegiatan mencurigakan di kawasan sawah padi tersebut.
"Tidak ada keterangan yang menyebutkan, melihat ada orang melakukan hal-hal aneh di sawah itu," katanya.
Dia berkata, salah seorang pemilik sawah itu pernah mendengar bunyi bising pada malam sebelum corak itu ditemui.
"Malam hari ada yang bilang mendengar suara seperti pesawat turun, terus pastinya dia melihat di sawahnya," kata pegawai polis itu.
Menurutnya, pihak polis menghalang orang ramai mendekati kawasan yang mengandungi objek misteri itu.
Dia berkata, sekatan itu dibuat kerana pihaknya bimbang orang ramai akan memijak pohon padi sekali gus menjadi rosak dan merugikan petani. - Agensi
Tentera Indonesia siasat corak ganjil
JAKARTA - Ketua Tentera Udara Indonesia, Imam Sufaat semalam mengarahkan anggota-anggotanya menggunakan sebuah helikopter untuk merakamkan gambar corak ganjil yang ditemui di tujuh petak sawah padi di Krasakan, Sleman, lapor akhbar dalam talian tempointeraktif.com semalam.
"Jika kami memeriksa gambar itu (setelah ia dirakamkan), kemungkinan kami mengetahui jika corak tersebut secara faktanya dihasilkan oleh kuasa yang melebihi kemampuan pengetahuan manusia," katanya.
Bagaimanapun, dia enggan memberikan komen lanjut berhubung corak ganjil itu.
Corak ganjil itu ditemui oleh seorang petani, Tukiman pada Ahad lalu. - Agensi.
Agensi Angkasa Lepas tidak percaya UFO
JAKARTA - Ketua penyelidikan astronomi Agensi Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Indonesia, Thomas Fdjamaluddin meragui corak bulatan ganjil di Slemen, Yogyakarta sebagai petunjuk bahawa makhluk asing telah melawat negara itu, lapor akhbar Jakarta Post semalam.
"Kami tidak akan menghantar para penyiasat ke tempat kejadian kerana kami mengesyaki bulatan itu melibatkan penciptaan manusia, bukan fenomena semula jadi, bukannya fenomena saintifik akibat makhluk angkasa lepas yang dirujuk sebagai makhluk asing," kata Thomas.
Sementara itu, Ketua Agensi Meteorologi, Cuaca dan Geologi, Budi Waluyo menyatakan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian angin puting beliung di wilayah tersebut atau di kawasan sekitarnya pada Sabtu dan Ahad lepas. - Agensi.
Kosmo!
25 Januari 2011
0 comments:
Post a Comment