INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Peramal nasib Luna Maya

Monday, December 19, 2011

 

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK

JAMES bersama Luna Maya (kanan). Kad nombor tiga yang dipilih Luna adalah petanda kepada musibah yang dihadapi selebriti itu.


NAMANYA James Antonius Tahir. Dia beragama Islam dan tinggal di Jakarta, Indonesia. Untuk kesesuaian konsep dan sinonim dengan kerjayanya kini iaitu seorang peramal masa depan, dia menggunakan nama James Ramal. Nama itu kedengaran lebih kuat dan meyakinkan.

Penulis bertemu lelaki berusia 40 tahun ini di ibu kota negara jiran itu sehari selepas perlawanan bola sepak Manchester United melawan Barcelona. Dia hadir dengan memakai baju putih tanpa kad di tangan.

Membuka sejarah penglibatannya dalam bidang paranormal dan kemudian menjadi seorang penilik nasib selebriti negara itu, Luna Maya dan Ariel Peter Pan, kata James semuanya bermula atas dasar minat sewaktu kecil.

Kemudian, minat itu dilanjutkan pada tahun 1991 apabila seorang kenalan meminta James meramalkan nasib cintanya.

Ternyata hanya dengan naluri, tebakan bahawa kenalannya bakal bersatu semula dengan sang bekas kekasih terbukti. Itu pembakar semangat buat James meneruskan cita-cita zaman ciliknya.

“Kali kedua, saya ulangi lagi pada tahun 1994. Kali ini saya menggunakan kad kerana saya tidak mahu dituduh syirik. Saya memberitahu bahawa kekasih teman saya curang dengan wanita lain.

“Dia pada awalnya tidak percaya tetapi kemudian mendapat tahu kesahihannya,” ujar James yang hingga kini tidak pernah dimarahi teman atau selebriti atas ramalan tepatnya.

“Saya berhenti seketika kerana takut dituduh syirik. Hanya pada tahun 2007, saya mencuba kembali bakat saya.

“Sewaktu di Kemang, Jakarta, saya meramal nasib tiga wanita yang saya baru kenali. Ramalan saya bahawa seorang daripada mereka akan putus cinta, seorang lagi mendapat kereta baharu dan yang ketiga mendapat kekasih baharu.

“Kebetulan, seminggu selepas itu, tebakan itu benar belaka,” ketawa dia bercerita.

Kejadian tersebut membuatkan nama James dikenali ramai hingga ia sampai ke pengetahuan ramai selebriti Indonesia.

Ujar James, hingga sekarang sekitar 80 peratus artis meminta khidmatnya untuk mendapatkan ramalan, antaranya Sandra Dewi, Pasha Ungu, Onci Ungu, Irwansyah, Miller dan Randy Panggalila.

Malah, nama James pernah menjadi tajuk utama dalam majalah-majalah ternama Indonesia.

Nasib Luna

“Saya bertemu Luna Maya ketika saya sedang minum-minum bersama Onci (Ungu) yang merupakan teman baik saya. Luna kemudian meminta saya meramalkan masa depannya.

“Ternyata setelah diramal, dia mengambil kad yang tertulis nombor tiga, itu nombor yang tidak bagus.

“Saya memberitahu Luna bahawa dia akan berdepan dengan satu musibah besar yang akan menghancurkan namanya.

“Ramalan itu dilakukan pada tahun 2007 dan terbukti pada tahun lalu, Luna dikaitkan dengan kes video lucah bersama Ariel Peter Pan,” ujar James yang menganggap ramalan itu dilakukan berdasar logik akal.

JAMES RAMAL (kiri) pernah meramal bahawa Pasha Ungu bakal berdepan dengan masalah rumah tangga dalam perkahwinan pertamanya.


Dia meneruskan bicaranya. “Saya turut meramalkan bahawa Ariel akan masuk penjara. Di mana dia kini? Benar, kan? Cuma satu ramalan saya yang masih belum terbukti iaitu Cut Tari bakal bercerai dengan suaminya.

“Kalau penilik nasib yang lain tidak berani berkata begitu, tetapi saya memberitahu kerana itu ramalan saya dan mahu berlaku jujur,” katanya lagi.

Tegas James, kalau mengikut pengalamannya, menilik nasib dan meramal masa depan individu lain adalah sama seperti membuat ramalan cuaca. Ada panas, hujan, mendung malah ribut.

“Saya membuat ramalan mengikut logik. Ada rumusan yang saya gunakan. Kata dagang saya adalah ‘logik tanpa mantera’.

“Saya mahu mengeluarkan sebuah buku tentang ramalan saya tetapi belum terlaksana kerana masih mencari penaja,” ujarnya yang menganggap kerjaya peramal nasib memberinya kehidupan yang baik.

“Awalnya hanya untuk suka-suka tetapi kini sudah menjadi bisnes. Dulu, saya berbisnes di Kemang tetapi sekarang sudah bergerak sebagai peramal nasib peribadi,” ujar James yang mengenakan harga mengikut jam untuk ramalannya.

Satu hal yang cuba dielak oleh James adalah meramal kematian. Sebolehnya dia enggan membuat prediksi musibah yang sebegitu.

“Saya pernah secara tidak sengaja meramal satu kematian dan kebetulan terjadi. Saya jadi panik. Kini, kalau pelanggan saya akan berdepan dengan kehilangan berbentuk kematian, saya akan kata bahawa mereka bakal bertemu berita duka, itu sahaja,” ujarnya.

Menghabiskan bicaranya tentang sebuah prediksi, James berkata dia juga gagal membuat ramalan terhadap dirinya sendiri atau perlawanan bola sepak.

Dia sempat meramal bahawa pasukan bola sepak yang diminatinya, Manchester United akan menundukkan Barcelona. Tebakan itu salah apabila Barcelona membelasah Manchester 3-1 dalam Liga Juara-Juara baru-baru ini.

“Ini mungkin kerana idealisme saya terhadap Manchester dan bukan ramalan, ya? Pasti saya mahu pasukan saya yang menang,” katanya ketawa.

Kosmo!

5 Jun 2011

0 comments: