Pemungut madu lebah tualang di Sik, Kedah mengalunkan dua rangkap gurindam untuk memujuk ratu lebah supaya mengarahkan puluhan ribu askarnya turun ke tanah.
BAGI orang biasa, berdiri dengan sebelah kaki sambil menukang di atas pokok tualang setinggi bangunan 10 tingkat mustahil untuk dilakukan.
Namun, bagi sekumpulan pemungut madu lebah asli di sekitar hutan di Tasik Pedu, Tasik Ulu Muda dan Tasik Gubir yang terletak di daerah Sik, Kedah, ia bukan satu masalah besar.
Dengan lilitan kemas tali keselamatan di pinggangnya, Che Man Hashim, 63, cermat mengatur langkahnya. Sebagai ahli paling senior dalam kumpulan yang terdiri daripada lapan sekawan itu, dia masih gagah memanjat pokok hutan yang tertinggi di Asia Tenggara itu untuk membuat tangga berbentuk V.
Tangga tersebut yang dipanggil sigai merupakan kayu pokok pisang yang dipaku pada batang pokok tualang bagi membolehkan peraih madu memanjatnya hingga ke puncaknya.
"Dalam satu ekspedisi mengutip madu, empat orang diperlukan untuk membuat sigai. Saya merupakan dua orang pertama yang akan memanjat pokok dan mula memasang sigai hingga melepasi separuh ketinggian pokok.
"Tugas itu kemudian disambung oleh dua orang rakan lain yang lebih muda kerana semakin tinggi memanjat, semakin besar cabaran serta risikonya," katanya yang mesra disapa Pak Teh.
Sesekali mendongak ke atas, sayup-sayup kelihatan puncak berdaun yang mekar dengan cabang-cabang dahan melintang, yang menjadi tempat koloni lebah hutan daripada jenis Apis Dorsata membuat sarang.
Ternyata, bukan mudah untuk memungut madu liar. Kesempatan untuk melihat sendiri proses pengambilan madu lebah tualang akhir April lalu di hutan Tasik Ulu Muda, Kedah, memberi perspektif sebenar tentang nilai mahal madu lebah liar.
Tiga syarat
Pokok tualang yang kami dekati bukan calang-calang. Terletak di kawasan permatang yang berbukit-bukau, perdu pokok saka ini dianggarkan menyamai saiz pemeluk tujuh lelaki dewasa.
Menurut Pak Teh, setiap pokok tualang terdapat jumlah sarang yang berbeza, bergantung pada tinggi serta jarak di antara pokok-pokok lain.
"Satu pokok biasanya boleh menempatkan di antara 50 hingga 60 sarang. Ada juga pokok yang memiliki lebih 100 sarang. Ia bergantung pada musim. Bila musim lawas, biasanya jumlah sarang tidak banyak. Tapi apabila musim lebat, memang tidak menang tangan dibuatnya.
"Saiz sarang juga berbeza-beza, biasanya panjangnya mencecah 1.2 meter (m) dan ada juga yang boleh memanjang sampai 1.8 m," katanya lagi.
Dianggarkan, satu sarang bersaiz 0.9 m boleh menempatkan 50,000 hingga 70,000 ekor lebah yang terdiri daripada lebah ratu, lebah jantan dan lebah betina.
Dalam kasta keluarga serangga himenoptera ini, lebah betina merupakan lebah pekerja yang keluar menghisap nektar daripada lebih 100 jenis debunga di sekitar hutan dan menyimpannya di pundi manisan.
Ia kemudian dipindahkan ke sarang lebah, lebih tepatnya, dibawa ke indung madu.
"Lebah betina bertindak sebagai lebah pekerja manakala lebah jantan akan duduk di sarang untuk memastikan ratu lebah dapat bertelur," kata Abdul Samad, 53.
Selesa dengan panggilan Pak Ngah, beliau memberitahu, ada tiga syarat yang perlu diikut jika ingin jadi pengambil madu tualang.
"Tidak boleh gayat, kena tahan sakit dan boleh berjaga malam kerana kerja pengumpulan madu hanya boleh dilakukan pada waktu tengah malam ketika bulan gelap iaitu di antara 23 hingga 7 haribulan mengikut kalendar Hijrah.
"Jika bulan terang atau diambil pada waktu siang, penglihatan lebah lebih sensitif dan ia boleh bertindak agresif," katanya.
Pak Ngah berkata, semua pemungut mesti melalui saat gayat pada awal kerjaya mereka. Apatah lagi apabila berada di puncak pokok yang tingginya seperti 12 tingkat bangunan.
"Ketika itu, kalau ada angin kuat, kecut perut dibuatnya," ujarnya.
Disengat
Musim aktif untuk memungut madu lebah tualang bermula pada bulan Januari hingga Mac setiap tahun.
"Biasanya lebah akan mencari tempat bersarang pada bulan Oktober dan menjelang Disember, manisan yang dikumpul sudah boleh diambil.
"Hari ini merupakan tuaian terakhir pada tahun ini, tidak hairanlah lokasi pokok lebih jauh ke dalam hutan," katanya.
Usai melihat kerja-kerja memasang sigai petang itu, kami pulang semula ke kawasan perkhemahan yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan.
"Khemah kena jauh dari pokok tualang, takut lebah menyerang semasa madunya diambil nanti," ujar Pak Ngah.
Selepas solat Isyak, dengan berpakaian tebal, kami bergerak ke lokasi pokok tualang itu.
Sampai di sekitar perdu pokok tinggi itu, ahli termuda dalam kumpulan itu, Sabri Md. Zain, 35, bersedia untuk memanjat pokok dan menyambung kerja membuat sigai.
Pernah disengat ratusan lebah sepanjang 10 tahun memungut madu tualang, dia hanya menggunakan madu sebagai penawar.
"Bila kena 'tembak' memang sakit, tapi bila sudah biasa, tidak rasa sangat sakitnya. Bila berada di atas, sengatan lebah memang tidak dapat dielak.
"Penawar paling mujarab ialah sapukan madu di tempat yang disengat, insya-Allah, tidak bengkak," katanya yang akan menjual hasil kutipan madu kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada harga RM120 sekilogram (kg).
Sementara Sabri bersama rakannya Zaini Abdul Hamid, 45, memanjat pokok, ahli kumpulan yang lain berada di bawah memotong kayu pisang untuk dibuat sigai.
Menurut Sabri, kayu jenis itu digunakan kerana teksturnya yang tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut.
Sementara dua rakannya naik ke atas, Ramli Yusof, 45, leka memeriksa jamung yang dibuat daripada akar pokok merau.
"Akar pokok merau dipilih kerana ia mengeluarkan bunga api yang cantik ketika jatuh ke tanah. Asapnya juga tidak memedihkan mata," katanya.
Lebih kurang pukul 12 malam, setelah sigai siap dibuat, kedua-dua pembuat sigai tadi turun.
Kali ini mereka mengenakan pakaian yang lebih tebal, penutup kepala, cermin mata, sarung tangan dan stoking sebagai langkah berjaga-jaga terhadap serangan lebah.
Setelah semuanya siap, Pak Ngah mengetuai rutin membaca surah al-Fatihah serta beberapa surah lain dan diikuti doa agar operasi pada malam itu berjalan lancar.
Bunga api
Dua orang pengumpul madu mula memanjat sigai dan menuju ke sarang yang telah dikenal pasti. Mereka turut menarik jamung yang dihulur dari bawah.
Ketika itu kami disuruh duduk diam dalam keadaan gelap gelita.
"Jangan risau, nanti bila masa yang sesuai tiba, saya akan beritahu dan anda boleh mengambil gambar," kata Ramli kepada sekumpulan jurugambar yang sudah bersedia dari tadi.
Apabila jamung dinyalakan dan diketuk di dahan, terdengar bait-bait gurindam dialunkan untuk memujuk lebah turun ke tanah, mengikut ritma bunga api dari akar merau tadi.
"Intan manis turunkan ikut bunga bintang. Turunlah ke bumi duduk diam-diam."
Ditanya tentang asal-usul gurindam tersebut, Ramli menjelaskan, ia diperoleh daripada orang dulu-dulu.
"Tidak pasti siapa yang mula-mula mengalunkan gurindam ini untuk kutip madu. Namun, ia berkesan untuk menarik perhatian lebah keluar dari sarang dan turun ke tanah," tambahnya.
Serentak itu, puluhan ribu lebah menghurung bunga api berwarna merah dan mengikutnya jatuh ke tanah.
Masa itu digunakan sebaiknya oleh pengutip madu di atas pokok untuk mengerat indung madu dan membawanya turun menggunakan palong atau besen yang diikat tali.
"Hanya indung madu diambil manakala sarangnya ditinggalkan untuk menarik lebah datang bersarang pada musim akan datang," kata Ramli.
Operasi malam itu tidak berhenti di situ. Indung madu yang diturunkan menggunakan palong tadi diperah dan ditapis sebelum dimasukkan ke dalam gelen putih yang tersedia. Malam itu, mereka berjaya megutip 35 kg madu dari dua sarang.
Dibantu pencahayaan minimum, penulis sempat merasa keenakan madu tualang liar. Rasanya memang sedap, ia tidak terlalu manis.
Malah, sedikit rasa masam yang hadir di hujung sudu plastik menjadikan sesi merasa madu pada pukul 2 pagi itu tidak cukup dengan hanya tiga suapan madu!
Kosmo!
15 Mei 2011
0 comments:
Post a Comment