INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Mitos Sang Kelembai

Tuesday, May 3, 2011

 

Formasi batu kapur yang menyerupai sotong kurita di Gua Puteri, mungkinkah sotong kurita ini juga mangsa sumpahan Sang Kelembai? Foto dari The Star

Sang Kelembai ialah sejenis makhluk mitos (mythical creature) menurut kepercayaan orang Melayu. Dikatakan Sang Kelembai mampu menukarkan makhluk lain menjadi batu (suatu persamaan dengan makhluk mitos kaum Yunani iaitu Medusa).

Bagaimanakah bentuk fizikal Sang Kelembai tidak pula pernah diceritakan dan tidak diketahui juga Sang Kelembai itu makhluk jenis apa, sama ada manusia, jin atau rasaksa.

Kononnya pada zaman dahulu di sebuah tempat bernama Hulu Jepai, seorang raja telah mengadakan majlis perkahwinan puteranya.

Raja tersebut telah menggunakan peralatan berupa pinggan mangkuk yang dipinjam daripada Sang Kelembai yang tinggal berhampiran dengan istananya.

Namun, sang raja terlupa untuk memulangkan kembali pinggan mangkuk yang dipinjamnya kepada Sang Kelembai sehinggalah baginda melangsungkan pula perkahwinan puterinya beberapa tahun kemudian.

Sang Kelembai tersangat marah apabila mengetahui raja tersebut tidak memulangkan pinggan mangkuk yang dipinjam malahan tidak menjemputnya ke majlis perkahwinan itu.

Sang Kelembai pun pergi ke istana tempat raja itu mengadakan majlis perkahwinan. Apabila diberitahu oleh pengawal istana bahawa Sang Kelembai ingin masuk ke istana, raja itu menjadi murka kerana Sang Kelembai datang tanpa dijemput oleh baginda.

Baginda terlupa tentang barang-barang Sang Kelembai yang dipinjamnya dan memerintahkan kepada para pengawal supaya menghalau Sang Kelembai.

Sang Kelembai menjadi begitu marah apabila dihalau dari istana dan terus menyumpah seisi istana itu menjadi batu. Akibat sumpahan itu, raja, permaisuri, pasangan pengantin, tetamu yang hadir juga dayang-dayang, kakitangan dan pengawal istana bertukar menjadi batu. Begitu juga dengan peralatan-peralatan di dalam istana seperti perabot, pinggan mangkuk, pakaian dan juga segala hidupan seperti binatang ternakan dan serangga turut menjadi batu.

Istana raja yang terkena sumpahan Sang Kelembai itu kini dikenali sebagai Gua Puteri, terletak di daerah Lenggong di negeri Perak. Di dalam Gua Puteri terdapat dua jenis stalagmit yang kononnya adalah jasad putera dan puteri yang bersanding. Dikatakan juga kononnya jika kanak-kanak memanjat stalagmit tersebut, kanak-kanak itu akan jatuh sakit.

Sumber: daripada cerita rakyat negeri Perak

1 comments:

Syahir Aizat Bin Yahya said...

dikatakan juga tapak kaki sang kelembai ini terdapat di salah satu tempat di gunung tahan,pahang