Oleh Hazirah Che Sab
Dua wanita berbeza era mati dibunuh pada hari, tarikh sama
FAKTOR kebetulan ada kalanya memang aneh terutama jika peristiwa yang berlaku sama seperti kejadian terdahulu tetapi seabad jaraknya sebelum ia berulang.
Peristiwa penemuan mayat mangsa pembunuhan Mary Ashford, 20, pada pada 27 Mei 1817, di Erdington, sebuah perkampungan berhampiran Birmingham, mencipta satu kebetulan mengerikan apabila tepat 157 tahun kemudian, pada hari dan waktu sama sejarah berulang dengan menyaksikan pembunuhan paling kejam menimpa Barbara Forrest, 20. Barbara dicekik dan dibiarkan di kawasan berumput panjang berhampiran sebuah rumah kanak-kanak di Erdington, tempat dia bekerja sebagai jururawat.
Ia mungkin sekadar satu kebetulan biasa, tetapi persamaan kedua-dua kes semakin menonjol apabila polis menyiasat mengenai pembunuhan Barbara. Apabila seorang pegawai polis membaca mengenai pembunuhan Mary pada 1817, dia menggeleng-gelengkan kepala tidak percaya. Kedua-dua kes berlaku pada Isnin bertarikh 26 Mei pada 1817 dan 1975 - tahun pembunuhan Barbara.
Seperti Mary, Barbara dirogol sebelum dibunuh dan kedua-dua mangsa ditemui dalam lingkungan 274 meter antara satu sama lain. Mary dan Barbara berkongsi tarikh lahir sama dan kebetulan tidak terhenti setakat itu kerana kedua-dua mangsa melawat rakan baik masing-masing pada petang pembunuhan untuk tujuan sama - menukar baju baru untuk ke majlis tari menari.
Dalam kes Mary, suspek bernama Abraham Thornton ditahan, manakala dalam kes Barbara, suspek bernama Michael Thornton. Kedua-duanya didakwa membunuh tetapi anehnya, mereka dibebaskan dalam kedua-dua kes itu.
Menelusuri sejarah kebetulan kedua-dua kes bermula pada jam 6.30 pagi 27 Mei 1817, apabila seorang buruh yang dalam perjalanan ke tempat kerja menemui baju wanita berlumuran darah berhampiran Penn’s Mill.
Siasatan polis membawa kepada penemuan mayat seorang gadis yang disenangi, Mary Ashford. Polis segera menyoal siasat penduduk tempatan dan mengetahui sehari sebelumnya, pada 26 Mei, Mary pergi ke Birmingham untuk menjual hasil tenusu di pasar awam.
Dia kemudian mengunjungi rakannya, Hannah Cox, untuk menukar baju dan menghadiri majlis tari menari pada petangnya. Pada majlis itu, mereka kelihatan gembira dan menjadi tumpuan peminat lelaki. Sepanjang petang malang itu, Mary ditemani seorang anak muda bernama Abraham Thornton manakala Hannah menari dengan Benjamin Carter.
Dalam perjalanan pulang, Hannah dan Carter berpisah daripada Mary dan Thornton.
Mary dilihat hidup kali terakhir pada jam 4.15 pagi dan dua saksi memberi keterangan mereka nampak dia berseorangan. Thornton yang disoal siasat terkejut selepas diberitahu Mary dibunuh, kemungkinan dicekik, selepas dirogol.
Dia memberitahu detektif: “Saya tidak percaya dia bunuh; mengapa, saya bersamanya sehingga jam 4 pagi ini.”
Thornton tidak faham mengapa dia menjadi suspek utama dalam siasatan itu. Dia mengaku mengadakan hubungan seks dengan mangsa tetapi menafikan merogol dan membunuh gadis itu.
Sehingga hari ini, pakar jenayah masih cuba memastikan siapa sebenarnya membunuh Mary dan kini dengan fakta satu kes lain menyamai pembunuhan Mary yang berlaku lebih seabad kemudian, misteri berkenaan masih belum terungkai.
Pada 27 Mei 1975, Barbara ditemui mati berhampiran Erdington. Dia dicekik, dirogol dan mayatnya hilang lebih seminggu sebelum ditemui. Barbara bekerja di Rumah Kanak-Kanak Pype Hayes dan lebih aneh, dia mempunyai persamaan wajah dengan Mary, dan seperti Mary, Barbara juga dicekik selepas dirogol.
Polis menahan pegawai kebajikan kanak-kanak, Michael Thornton, berhubung kes itu. Seperti juga Abraham Thornton, yang dituduh membunuh Ashford pada 1817, Michael dibicarakan atas tuduhan membunuh Forrest tetapi dia juga dibebaskan.
Lebih mengejutkan, beberapa hari sebelum menemui ajal, kedua-dua mangsa seolah-olah dapat meramalkan nasib mereka. Seminggu sebelum dibunuh, Mary memberitahu ibu Cox dia berasa ‘tidak senang hati mengenai minggu akan datang’ manakala Barbara pula, 10 hari sebelum dibunuh, memberitahu rakan sekerjanya: “Ini bulan malang bagi saya. Saya cuma tahu. Jangan tanya mengapa."
Berita Minggu
9 Mei 2010
Buskers
10 years ago
0 comments:
Post a Comment