INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Bersahabat dengan buaya

Monday, May 3, 2010

 

Oleh Hazirah Che Sab

Chito (kiri), mempercayai sahabatnya.


Sang bedal yang diselamatkan seorang nelayan daripada mati akibat tembakan jadi 'rakan baik'

MELIHAT kemesraan dan persahabatan sejati antara sesama manusia sudah cukup menyentuh perasaan, apatah lagi jika menyaksikan keakraban dua makhluk berlainan kejadian. Namun jika sebelah pihak yang bersahabat baik itu hadir dalam bentuk seekor haiwan ganas yang pernah menjadikan manusia sebagai makanan, ia memang pelik.
Ia mungkin aneh bagi manusia lain tetapi pada Gilberto Shedden atau Chito, nelayan dari Costa Rica, persahabatannya dengan Pocho, buaya sepanjang 5.1 meter dan seberat 444 kilogram, membawa makna yang begitu besar dalam hidupnya. Menyedari asas persahabatan ialah menerima diri rakan seadanya, Chito langsung tidak cuba menjinakkan sahabat ‘ganasnya’ itu, sebaliknya lebih suka bermain-main dan bergusti dengan Pocho di dalam air.

Nelayan berusia 52 tahun itu cukup mengagumkan orang ramai dengan tindakannya mengharung air separas dada dan mula bersiul memanggil sahabatnya dan memberikan buaya itu pelukan mesra.

“Pocho adalah sahabat saya. Ini memang rutin bahaya tetapi kami mempunyai hubungan amat baik. Ia akan merenung mata saya dan tidak akan menyerang. Bahaya bagi orang lain untuk masuk ke dalam air ini. Kawasan ini cuma untuk kami berdua,” katanya.

Persahabatan unik itu bermula 20 tahun lalu selepas Chito menemui Pocho dengan kesan tembakan di tebing sungai Parismina di Amerika Tengah. Pocho ditembak pada mata kiri oleh seorang pengembala lembu dan hampir mati. Namun Chito berjaya mendapatkan bantuan beberapa rakan untuk mengangkat reptilia itu ke dalam botnya.
“Ketika menemui Pocho, ia hampir mati. Jadi, saya bawa ia ke rumah. Ia amat kurus, cuma seberat 68 kilogram. Saya memberikan ia makan ikan dan ayam serta ubat selama enam bulan untuk membantu Pocho pulih.

“Saya berada di sisinya ketika ia sakit, tidur di sebelahnya pada waktu malam. Saya cuma mahu dia rasa ada seseorang menyayanginya, dan tidak semua manusia jahat. Ia memerlukan pengorbanan besar. Saya perlu sentiasa di sisinya setiap hari. Saya sayangkan semua haiwan terutama yang cedera,” katanya.

Bagaimanapun, Chito perlu mengambil masa beberapa tahun sebelum berasakan Pocho sudah benar-benar mesra dengannya untuk dia mendekati haiwan ganas itu.

“Selepas 10 tahun, saya memutuskan untuk mendekatinya. Saya bermula dengan perlahan, bermain dengannya dan melakukan dengan lebih kerap selepas itu. Kemudian saya dapati apabila memanggil namanya, ia datang kepada saya,” kata Chito.

Pada satu masa selepas Pocho semakin pulih, Chito meninggalkan buaya itu dalam tasik berhampiran rumahnya. Namun sebaik dia berpaling, Pocho tiba-tiba keluar dari tasik dan mengikutnya pulang.

Katanya, kejadian itu meyakinkan dia bahawa buaya boleh dijinakkan tetapi apabila dia memasuki tasik bersama-sama reptilia itu buat pertama kali, keluarganya tidak menyaksikan peristiwa itu kerana terlalu takut. Berikutan itu, dia cuma bermain-main dengan Pocho di dalam tasik selepas ahli keluarganya tidur.

Empat tahun lalu, Chito mempamerkan keakraban mereka kepada rakan-rakannya, termasuk mengarahkan Pocho mendekatinya sehingga mereka bertentangan mata dan ia meyakinkan Chito untuk mempamerkan persahabatan itu kepada orang ramai.

Kini, Chito masih terus berenang dan bermain dengan Pocho, selain memberi makan kepada buaya itu di tasik berhampiran rumahnya di Sarapiqui.

Pasangan aneh itu kini menjadi tarikan pelancongan utama, dengan beberapa agensi pelancongan termasuk Crocodile Adventures, membawa pelancong menaiki bot untuk menyaksikan mereka.

Laman web Crocodile Adventures menggambarkan keajaiban itu sebagai: “Salah satu perkara paling menakjubkan yang tidak mahu dilepaskan oleh penumpang kapal persiaran, pertunjukan menakjubkan antara manusia dan buaya.”

Buaya Amerika yang banyak di Amerika Utara, Tengah dan Selatan, boleh hidup sehingga berusia 70 tahun. Pocho dianggarkan berusia 50 tahun, hampir sebaya dengan sahabatnya, Chito. Ia juga dikatakan tidak begitu agresif berbanding buaya Australia.

Seorang aktivis alam sekitar, Chito turut menawarkan khidmat melancong dengan bot untuk memberi makluman kepada pelancong mengenai pelbagai kehidupan liar.

Dia, bagaimanapun cuma mengenakan bayaran paling rendah untuk menonton pertunjukan buaya kerana tidak mahu mengambil kesempatan di atas persahabatannya dengan Pocho.

“Ia rakan saya. Saya tidak mahu melayannya seperti hamba atau mengeksploitasi Pocho. Saya gembira kerana menyelamatkan ia dan ia gembira bersama saya kerana ia mempunyai semua yang diperlukan,” katanya.

Berita Minggu

2 Mei 2010

0 comments: