Sisa tinggalan kayu kapal berusia 4,800 tahun ditemui di puncak Gunung Ararat, Turki
PEGAWAI Turki, Murat Guven menunjukkan spesimen kayu berusia 4,800 tahun yang didakwa tinggalan bahtera Nabi Nuh.
Beberapa binaan kayu yang didakwa sebahagian daripada bahtera Nabi Nuh ditemui oleh kumpulan penjelajah China dan Turki di sebuah lereng curam setinggi 4,000 meter di Gunung Ararat, timur Turki kelmarin.
Hasil ujian penentuan tarikh karbon ke atas beberapa spesimen kayu yang ditemui itu mendapati ia berusia 4,800 tahun iaitu sama usia dengan kejadian banjir besar yang melanda dunia pada zaman Nabi Nuh.
Struktur bahan binaan yang ditemui itu didapati terbahagi kepada beberapa petak yang dipercayai kandang haiwan dalam bahtera itu.
Nabi Nuh ialah Rasul ketiga yang wajib diketahui oleh umat Islam. Baginda dikatakan hidup selama 950 tahun dan mempunyai isteri bernama Waliyah serta dikurniakan empat anak lelaki iaitu Sam, Ham, Yafith dan Yam. Percaya kepada Rasul adalah sebahagian daripada Rukun Iman.
Mengikut kitab al-Quran dan Injil, Nabi Nuh membina bahtera itu setelah mendapat perintah Allah yang kemudian menenggelamkan bumi dalam peristiwa banjir besar sebagai balasan kepada golongan manusia yang enggan mematuhi ajaran agama.
Menurut Ensiklopedia Sejarah Islam terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nabi Nuh diutuskan untuk menyeru umat manusia kepada mentauhidkan Allah dan meninggalkan perkara-perkara mungkar.
Malangnya, umat manusia ketika itu membantah dan memperolok-olokkan seruan Nabi Nuh dan mencabar kekuasaan Allah.
Bagaimanapun, Nabi Nuh terus menyeru kaumnya supaya beriman kepada Allah seperti yang diceritakan dalam al-Quran surah Hud ayat 25 hingga 31.
Disebabkan mereka terus berdegil, maka Allah menurunkan malapetaka melalui banjir besar.
Sebelum bala itu diturunkan, Allah mewahyukan kepada Nabi Nuh supaya memberitahu umatnya agar menyediakan sampan tetapi ia disambut dengan cemuhan dan ejekan termasuk daripada isterinya, Waliyah.
Baginda kemudian membina bahtera bersama-sama pengikutnya dan setelah ia siap, mereka bersama segala jenis haiwan secara berpasang-pasangan masuk ke dalam bahtera tersebut.
Tidak lama selepas itu, ditakdirkan hujan turun sehingga menenggelamkan bumi.
Ketika paras air semakin tinggi, bahtera Nabi Nuh mulai bergerak dan seisi kapal berdoa dengan ayat berbunyi: "Dengan menyebut nama Allah di waktu belayar dan berlabuhnya. Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" (Surah Hud, ayat 41).
Daripada empat orang putera Nabi Nuh, hanya tiga orang yang terselamat daripada bencana itu.
Setelah golongan manusia yang ingkar mati lemas, air banjir itu mulai surut.
Mengikut ensiklopedia tersebut, bahtera Nabi Nuh dipercayai berlabuh di kawasan Bukit Judie dekat Sungai Mausul, Iraq yang bersempadan dengan Turki.
Sekumpulan penjelajah China dan Turki kelmarin mendakwa mereka mungkin telah menemui bahtera Nabi Nuh pada ketinggian 4,000 meter di sebuah lereng curam di Gunung Ararat, timur Turki.
Jurucakap pasukan berkenaan memberitahu, beberapa binaan kayu yang mereka temui di lokasi itu didapati berusia 4,800 tahun berdasarkan ujian penentuan tarikh karbon iaitu sama usianya dengan zaman banjir besar pada era Nabi Nuh.
"Penemuan ini bukan mengesahkan 100 peratus bahawa ia bahtera Nabi Nuh tetapi kami yakin ia 99.9 peratus adalah bahtera itu," kata seorang anggota pasukan penjelajah, Yeung Wing-cheung.
Menurutnya, binaan kayu itu dibahagikan kepada beberapa petak, sebahagiannya memiliki rasuk kayu yang dipercayai digunakan untuk menempatkan sejumlah haiwan dalam bahtera itu.
Mereka menafikan bahawa penemuan itu adalah peninggalan penempatan manusia dahulu kala dengan alasan tiada tempat tinggal manusia pernah ditemui pada ketinggian melebihi 3,500 meter di Gunung Ararat.
Menurut Wing-cheung, beberapa pegawai tempatan akan meminta pentadbiran Turki supaya memohon status Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di kawasan itu bagi membolehkan kerja penggalian arkeologi dilakukan tanpa gangguan.
Info dakwaan penemuan bahtera Nabi Nuh
1959 - Juruterbang tentera udara Turki merakamkan gambar berbentuk bahtera 24 kilometer dari Gunung Ararat, Turki. Gambar objek berbentuk bahtera dekat bandar Dogubayazit itu disiarkan oleh majalah Life pada 1960. Ia penemuan paling popular mengenai topik bahtera Nabi Nuh. Pelbagai pihak termasuk sejumlah ahli akademik percaya objek itu adalah bahtera sebenar.
1990 - Ahli teologi A.S. Edward Crawford menemui struktur berbentuk bahtera yang tertanam dalam ais pada ketinggian kira-kira 4,200 meter di Gunung Ararat, Turki yang diyakininya sebagai bahtera Nabi Nuh.
2003 - Gambar satelit satu kawasan setinggi 4,500 meter di barat daya Gunung Ararat menunjukkan bentuk aneh seperti bahtera yang diberi nama Keganjilan Ararat. Ramai mempercayai struktur itu adalah bahtera Nabi Nuh.
2006 - Sekumpulan penjelajah diketuai ahli arkeologi Amerika Syarikat (AS), Bob Cornuke menemui lapisan kayu yang mengeras seperti batu pada ketinggian 3,900 meter di Gunung Suleiman, Iran. Dia percaya ia bahtera Nabi Nuh tetapi ramai yang mempertikaikan dakwaannya.
Kosmo!
28 April 2010
2 comments:
Alkitab menyatakan bahawa kapal itu berlabuh di daerah timur laut Turki dan Al-Quran berpendapat bahawa kapal itu mendarat di kawasan sekitar Pergunungan Judi, Cizre di sempadan Iraq-Turki,
KEJADIAN
8:4 Dalam bulan yang ketujuh, pada hari yang ketujuh belas bulan itu, terkandaslah bahtera itu pada pegunungan Ararat.
Hud
[44]
Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim”.
kesimpulannya:
saya kurang percaya dengan penemuan itu dan mugkin bahtera yg dijumpai d pergunungan ararat bukanlah bahtera nabi nuh,tetapi bahtera lain.
mungkin saudara/saudari dapat menjelaskan pada saya tentang penemuan ini kerana mustahil bagi saya untuk mengatakan AL-QURAN silap teapi BIBLE adalah benar.
Saya juga kurang percaya dgn penemuan ini, namun Allah telah berfirman agar kita mengkaji setiap kejadian di muka Bumi ini, alangkah bagusnya sekiranya beberapa pengkaji dan adventurer di tanah air kita menjalankan ekspedisi mencari bahtera Nabi Nuh a.s drpd sibuk mencipta rekod dunia mendaki gunung, sekurang2 nya membuktikan bahawa orang Islam juga pernah menjalankan ekspedisi mencari bahtera tersebut.
Post a Comment