GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan kuil kucing yang ditemui di Iskandariah, Mesir. KAHERAH - Pihak berkuasa Mesir semalam mengumumkan beberapa penyelidik arkeologi berjaya menemui sebuah kuil Ptolemaic berusia lebih 2,000 tahun yang digunakan untuk menyembah dewi kucing yang dikenali sebagai Bastet.
Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir menyatakan runtuhan kuil milik Ratu Berenice, isteri Raja Ptolemy III yang memerintah Mesir pada abad ketiga Sebelum Masihi (SM) dijumpai di kawasan Kom el-Dekkah di Iskandariah, 180 kilometer dari sini.
Ketua pasukan arkeologi yang menemui kuil itu, Mohammed Abdel-Maqsood berkata, runtuhan tersebut dipercayai sebagai kuil pertama Ptolemaic yang menunjukkan penyembahan dewi kucing masih berterusan selepas berakhir zaman Mesir kuno.
"Runtuhan yang tinggal cuma ialah 60 meter tinggi dan 15 meter lebar," kata Ketua Tertinggi Antikuiti Mesir, Zahi Hawass dalam satu kenyataan.
Dia menyatakan kuil itu mengalami kemusnahan selepas kawasan tempat ia didirikan menjadi sebuah kuari.
Sejumlah 600 buah patung Ptolemaic ditemui semasa kerja-kerja mencari dilakukan itu termasuk koleksi berhala yang menggambarkan Bastet sebagai dewi perlindungan dan keibuan. - Agensi
Kosmo!
20 Januari 2010
0 comments:
Post a Comment