GAMBAR menunjukkan Elizabeth yang berumur 18 bulan mendapat rawatan di sebuah hospital selepas ditemui hidup di Port-au-Prince pada Rabu lalu.
PORT-AU-PRINCE - Seorang bayi perempuan yang baru berusia 11 hari ketika Haiti musnah akibat gempa bumi pada 12 Januari lalu, mencipta keajaiban apabila dia berjaya dibawa keluar daripada runtuhan rumah keluarganya di sini pada Rabu lalu.
Elizabeth Joassaint dikeluarkan oleh anggota-anggota pasukan penyelamat Perancis yang kembali semula seminggu kemudian sebelum mereka terdengar bunyi tangisan bayi itu dan tidak percaya mangsa masih hidup ketika rumah tersebut ranap.
Dia yang cedera dengan mengalami sedikit calar ditemui di ruang kecil di bawah runtuhan dan masih lagi baring di atas katil.
Katil itu merupakan tempat terakhir dia diletakkan oleh ibunya, Michelene sejurus sebelum gempa melanda pulau itu minggu lalu.
Kelmarin, wanita berusia 22 tahun itu akhirnya dapat memeluk semula anaknya di sebuah khemah hospital dan bersyukur dengan penemuan bersejarah tersebut yang disebutnya sebagai 'satu keajaiban dan rahmat daripada tuhan'.
Suaminya, Michelet, 47, berkata: "Semua orang menyangka dia sudah meninggal dunia kecuali tuhan. Ini bukan cara yang dikehendaki oleh tuhan untuk dia menemui ajalnya."
Michelene mendakwa, dia baru sahaja menyusukan Elizabeth dan kemudian membaringkan bayi itu sebelum berlaku gempa. Dia cuba untuk menyelamatkan anaknya namun gagal apabila dinding rumah runtuh menutup bangunan itu.
Pasangan itu yang hampa dan menetap di sebuah padang bola sepak sebelum seorang petugas penyelamat Perancis memaklumkan Elizabeth masih hidup dan mereka sedang berusaha mengeluarkan bayi itu.
"Saya cuma mampu menangis dan berlari ke arah bayi saya. Saya tidak percaya dia masih panjang umur dan dengan sedikit kekuatan, dia mampu hidup di sebalik runtuhan dinding tanpa cedera teruk," kata Michelene.
Kira-kira 200,000 orang dipercayai terbunuh dalam gempa bumi itu. - Agensi
Kosmo!
23 Januari 2010
0 comments:
Post a Comment