BEBERAPA serangan ngeri manusia memakan daging manusia yang menggemparkan penduduk Amerika Syarikat sehingga ada yang beranggapan mereka diserang zombie sebenarnya berpunca daripada sejenis dadah baharu yang diimport dari Britain.
Siasatan tabloid The Sun mendapati, dadah jenis Bath Salts yang dibeli di internet berjaya mempengaruhi penggunanya supaya memakan daging manusia.
The Sun melaporkan, bilangan panggilan kepada Pusat Kawalan Racun Amerika membabitkan kes dadah itu meningkat kepada 6,138 pada 2011 berbanding tahun sebelumnya iaitu 304 kes.
Kombinasi beberapa bahan kimia seperti dalam amfetamin terutama ‘mephedrone’, ‘MDPV’ dan ‘methylone’ yang terkandung di dalam dadah itu menyebabkan pihak berkuasa Amerika dan Britain berusaha untuk memberhentikan jualannya.
Pengguna dadah itu melaporkan mereka berasa terlalu panas sehingga banyak kes pengguna dilaporkan menanggalkan pakaian. Ia juga membuatkan pengguna berasa kebal dengan lebih enam lelaki dewasa diperlukan untuk menenangkan pengguna dadah berkenaan.
Serangan
Mereka tidak sedar apa yang mereka lakukan kerana berada dalam keadaan khayal seperti dua insiden di Britain membabitkan dadah itu yang diberi nama Benzo Fury.
Kes pertama serangan ‘zombie’ ini membabitkan seorang remaja Scotland, Alex Herriet, 19, yang maut selepas membeli dadah jenis itu dengan harga RM50. Katie Wilson, 19, pula bertindak membogelkan dirinya di pasar raya Tesco di negara itu sejurus selepas mengambil dadah itu.
Kes terbaharu ialah serangan terhadap seorang lelaki gelandangan, Ronald Poppo, 65, yang kehilangan hampir tiga suku wajahnya kerana dimakan penyerang berbogel, Rudy Eugene, 31, yang mengambil dadah itu.
Pihak polis terpaksa menembak mati Eugene di sebuah lebuh raya di Miami, Amerika Syarikat selepas dia tidak mengendahkan arahan seorang anggota polis supaya berhenti menggigit wajah Poppo sebaliknya Eugene mendengus seperti haiwan liar. Poppo kini dilaporkan separuh buta akibat serangan itu.
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Eugene menanggalkan pakaian Poppo sebelum membelasahnya.
Seorang saksi, Larry Vega yang menunggang basikal di lebuh raya itu sempat melihat serangan ganas Eugene yang memakan muka mangsanya.
“Lelaki itu seperti mengoyak daging wajah seorang lagi lelaki dengan giginya. Saya tidak pernah fikir akan melihat orang makan orang. Ia adalah benar dan betul-betul mengerikan,” kata Vega kepada stesen televisyen Miami, WSVN.
Bekas isterinya, Jenny Ductant berkata, Eugene sudah ditahan sebanyak lapan kali sejak usianya 16 tahun termasuk membabitkan kes-kes lain.
“Saya tidak akan mengatakan dia mempunyai masalah mental tetapi dia sentiasa merasakan seperti ada sesuatu di dalam dirinya,” terangnya yang memberitahu perkahwinan mereka berakhir apabila Eugene menjadi semakin ganas.
Sementara itu, teman wanita Eugene yang enggan namanya disiarkan berkata, Eugene mungkin berada di bawah pengaruh dadah atau terkena sihir vodoo kerana lelaki yang menyerang itu bukan seperti lelaki lembut yang dicintainya.
Berbahaya
The Sun turut melaporkan, siasatannya menemui beberapa lokasi dadah itu di Britain yang menjanjikan penghantaran ke Amerika dalam masa lima hingga lapan hari.
“Satu daripadanya menasihatkan pengguna supaya duduk di dalam tab mandi untuk berehat sambil menyegarkan badan.
“Ia juga menyatakan, produk itu bertujuan untuk penyelidikan saintifik sahaja dan tidak sesuai diambil oleh manusia.
“Ia turut mengingatkan pengguna supaya mengambil dadah itu dalam kuantiti yang sedikit kerana kesannya akan berlarutan selama beberapa jam.
“Namun, risiko pengambilannya yang boleh menyebabkan pengguna menjadi gila sehingga memakan daging manusia tidak dinyatakan,” lapor The Sun.
Seorang doktor di bahagian kecemasan yang berpengalaman selama lebih 30 tahun, Dr. James Wright berkata, pengambilan dengan cara membakar, menghisap, melarut dalam air dan disuntik atau memasukkan ke punggung dibuat bagi mendapatkan rangsangan dadah jenis ini.
“Ini adalah salah satu jenis dadah paling berbahaya yang pernah dilihat. Sekiranya dinilai mengikut skala 1 hingga 10, saya beri 10,” katanya.
Pengambilan yang berlarutan selama beberapa jam akan mengakibatkan pengguna menjadi gila dengan 85 peratus akan pulih dalam tempoh 30 hari manakala 15 peratus lagi kekal gila sehingga mati. – Agensi
Kosmo!
15 Julai 2012
0 comments:
Post a Comment