INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Mulut masin Tok Batin Bak

Monday, January 28, 2013

 

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

Orang Asli Che Wong di Pahang, imej oleh Kosmo!
BAGI Tok Batin Bak Raja Tek, 68, biarpun kehidupannya jauh di dalam hutan, ketua masyarakat Orang Asli Che Wong yang menetap di pinggir Hutan Simpan Krau, Pahang, ini beranggapan selagi mereka boleh bercucuk tanam, mencari hasil hutan dan berburu, itu sudah memadai.

“Kami bukan menolak kemodenan. Kami cuma lebih selesa mengekalkan kehidupan tradisi yang membenarkan kami mencari rezeki di dalam hutan,” kata Bak yang sudah puluhan tahun tinggal di situ.

Dia dan anak-anak buahnya mahir benar dengan selok-belok di dalam hutan.

Dia juga sudah faham sangat dengan fungsi kepelbagaian spesies pokok-pokok hutan yang ada di situ.

“Ada pokok boleh buat ubat, ada pokok boleh jadi racun. Ada juga pokok boleh jadi pelindung dan ada juga pokok yang boleh mendatangkan mudarat, semuanya bergantung kepada apa niat kita ketika masuk ke dalam hutan.

“Nampak macam remeh, tetapi kalau ada yang langgar pantang larang, hendaklah mereka bersedia menanggung akibatnya,” jelas Bak yang mengakui hutan adalah tempat yang penuh dengan misteri.

“Bila memasuki hutan, perlu diingat empat perkara.

“Pertamanya hubungan sesama manusia. Kedua, hubungan terhadap haiwan, ketiga, hubungan dengan alam sekitar atau hubungan dengan semangat yang menjaga hutan dan segala isinya.

“Sebab itu, kalau ada orang luar mahu datang berburu di sini, mereka perlu tahu tentang undang-undang hutan supaya tidak berlaku musibah,” katanya.

Jelas Bak lagi, mengikut kepercayaan Che Wong, memburu haiwan yang sedang bunting adalah sangat dilarang kerana mereka percaya ada semangat hutan yang menjaganya.

“Kami percaya ada roh baik dan roh jahat. Pantang larang ini sudah kerapkali diberitahu kepada pemburu, tetapi masih ada juga yang berdegil.

“Selalu juga kami dengar berita, bila ada pemburu menembak mati kijang atau rusa yang bunting, anak mereka di rumah juga mati.

Ganti nyawa

“Kalau haiwan itu tidak mati tetapi tercedera dan berjaya melarikan diri, pemburu itu sendiri akan mendapat musibah.

“Anak-anak buah saya selalu terserempak dengan pemburu yang herot mulut, bengkak kaki, hilang ingatan dan bermacam-macam lagi masalah selepas keluar dari hutan.

“Saya percaya, itu hukuman yang perlu mereka terima kerana melanggar pantang,” kata Bak yang menasihatkan pemburu supaya faham tentang kehidupan haiwan liar di situ sebelum menjadikannya sebagai sasaran.

Bagi Bak dan adiknya, Aki Gadong, 50-an, kini mereka sudah jarang berburu.

“Kijang, pelanduk, rusa, napuh semakin berkurangan sekarang. Kalau jumpa pun, ia masih kecil lagi,” kata Aki Gadong yang menggunakan sumpit untuk berburu.

Sumpit yang menggunakan demak beracun, walaupun sinonim dengan masyarakat Che Wong namun sesiapa pun tidak boleh bermain-main dengannya.

“Racun ini kami ambil daripada pokok ipoh dari dua tempat, satu di atas gunung dan satu lagi di tanah rata.

“Kami percaya racun pokok ipoh di atas gunung lebih berbisa berbanding pokok di tanah rata,” ujar Aki Gadong.

Tambahnya lagi, getah tersebut akan dimasak dan dicampur dengan ramuan lain sebelum boleh dijadikan racun damak atau lebih dikenali sebagai tengloid dalam kalangan masyarakat Che Wong.

“Untuk hasilkan racun damak terbaik, getah pokok ipoh yang ada di tanah hulu perlu dicampurkan dengan getah pokok ipoh yang diambil dari Gunung Benom.

“Semasa dimasak, asap perlu dielakkan daripada hampir ke muka kerana menghidu asapnya sahaja sudah boleh memeningkan kepala,” katanya.

Selepas dimasak, damak yang diraut daripada batang pokok bertam sehingga lancip dicelupkan ke dalam acuan racun sebelum dijemur sehingga kering.

“Proses menyediakan damak beracun perlu dilakukan secara berhati-hati supaya racun tidak menembusi kulit kerana ia boleh mengakibatkan kematian,” katanya yang memberitahu racun pokok ipoh bukan sahaja ada pada getahnya tetapi pada fizikal pokok itu sendiri.

“Kalau masuk ke hutan, seboleh-bolehnya kami mengelak daripada berhenti di bawah pokok ipoh kerana ia boleh mendatangkan rasa loya malah muntah-muntah jika tidak biasa,” ujar Aki Gadong.

Sungguhpun pokok itu beracun, ada mantera yang boleh menawarnya.

“Abang saya antara orang yang boleh menawarkan racun pokok ipoh.

“Apabila dibacakan mantera dan dicampurkan dengan bahan-bahan tertentu, racun hilang bisanya malah boleh dicalit ke lidah tanpa was-was,” ujarnya.

Kosmo!

8 Julai 2012

0 comments: