Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
PEMANDANGAN Stonehenge dari udara yang berbentuk bulatan. Sesetengah masyarakat Britain percaya monumen ini dibina oleh UFO.
MONUMEN batu besar Stonehenge di England yang sering dijadikan wallpaper berjuta-juta komputer di seluruh dunia kekal misteri sehingga kini.
Batu megalit prasejarah itu masih kukuh berdiri di kawasan terbuka di Salisbury, kira-kira tiga kilometer ke barat pekan Amesbury, Wiltshire di selatan England. Ia dibina kira-kira 5,000 tahun lalu.
Masa selama lebih 1,000 tahun diambil untuk menyiapkannya dengan menggunakan tenaga ribuan pekerja.
Bagaimanapun, daripada 30 batu asal setinggi bangunan tiga tingkat yang didirikan, tinggal 17 ketul batu sahaja sekarang.
Kawasan seluas 13 kilometer di sekitarnya juga tidak mempunyai apa-apa struktur bangunan.
Lingkaran eksentrik batu itu bukan sahaja berkisar mengenai siapa yang membinanya bahkan bagaimana batu itu diangkut ke lokasi sekarang.
Ada yang mengatakan batu itu berasal dari barat daya Wales dan dibawa melalui jalan laut sebelum diangkut menggunakan kayu yang diluncurkan semasa musim salji sebelum tiba di Salisbury.
Batu pasir seberat 40,000 kilogram itu dikatakan oleh ramai pengkaji berasal dari Marborough Downs iaitu satu kawasan yang terletak kira-kira 20 kilometer dari tapaknya sekarang.
Terdapat juga teori mengatakan lubang yang dalam perlu dibina untuk meletakkan batu itu pada kedudukannya. Tali mungkin digunakan untuk menarik batu ke atas sebelum dihamparkan di atas batu yang berada dalam kedudukan menegak.
Namun, sehingga kini tidak seorang pun tahu proses batu-batu gergasi itu diangkut.
Ia sama seperti misteri batu besar yang digunakan untuk membina piramid pada zaman Firaun di Mesir. Batu piramid di Luxor dikatakan dibawa dari Aswan yang terletak 800 kilometer ke hulu Sungai Nil.
Teori UFO
Ada dakwaan menyebut setiap bongkah batu Stonehenge itu dibawa oleh lebih 600 lelaki.
“Ia satu persoalan yang masih belum terungkai dan memerlukan penjelasan mendalam.
“Tetapi saya percaya Stonehenge merupakan satu kuil suci,” kata Ketua Jabatan Arkeologi dari Universiti Bournemouth, Britain, Timothy Darvill.
Ironi, Darvill sendiri belum mendapat bukti kukuh untuk mengesahkan teorinya.
Batu pelik itu juga dikaitkan dengan pusat peredaran bumi dengan paksi semesta.
Pada Disember 2009, komuniti pengikut fanatik kepercayaan pelik itu telah berkumpul di Stonehenge untuk menyambut ritual Solstis Musim Sejuk.
Sambil mengenakan kostum pelik menyerupai pakaian manusia zaman batu, mereka berkumpul dan mengikuti ritual tradisi masyarakat Keltik kuno.
Persoalan mengenai kewujudan batu itu tidak terhenti begitu sahaja. Satu lingkaran gergasi yang aneh ditemui berdekatan batu itu pada tahun lepas.
Lingkaran yang mempunyai diameter 61 meter itu dipercayai dibuat oleh objek terbang tidak dikenali (UFO), daya tarikan medan magnet atau buatan manusia sendiri.
Pengkaji fanatik UFO mengatakan batu itu diangkut dan disusun oleh mahkluk asing memandangkan teknologi manusia kuno tidak mungkin dapat membina batuan yang unik sifatnya.
Dalam pada itu, beberapa pengunjung dilaporkan mengalami kejadian pelik semasa mengambil gambar atau merakam video di Stonehenge.
Mereka mendakwa terdapat objek dan imej misteri yang tidak dapat dijelaskan wujud dalam gambar dan video yang mereka ambil. Selain itu, pengunjung kerap bertemu dengan individu misteri yang ghaib secara tiba-tiba.
Bagi pakar geologi Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, masyarakat pada zaman dahulu sebenarnya mempunyai kecanggihan dari sudut sains dan teknologi.
“Mereka mungkin memiliki alatan tertentu untuk memindahkan dan menegakkan batu yang beratnya sehingga beribu kilogram.
“Walaupun fenomena ini sukar dijelaskan akal tetapi ia tidak mustahil,” katanya.
Ujarnya lagi, kawasan batu Stonehenge itu juga digunakan untuk pemujaan dan ritual tertentu.
“Asal usul batu itu serta masyarakat yang membinanya sangat sukar untuk dikenal pasti kerana pada batu itu tiada tulisan atau gambar yang boleh menceritakan mengenai kewujudannya.
“Malah, kerajaan kuno mana dan apa corak kehidupan mereka juga tidak diketahui,” ujar Mohamad Ali kepada Jurnal.
Pengkaji alam misteri dan sejarah purba, Drs. Mohammad Idrus Abu Hanifah pula mendakwa Stonehenge ialah milik orang asli Yunani.
“Tiada misteri sebenarnya dan tidak pelik apabila manusia zaman kuno mampu mengangkat dan memindahkan batu dengan kudrat mereka.
“Hakikatnya mereka menggunakan bantuan makhluk halus. Itu membolehkan mereka memiliki kekuatan luar biasa,” katanya.
Ujar Idrus lagi, perkara yang sama berlaku dalam pembinaan Candi Borubudur di Indonesia dan Piramid Giza di Mesir yang mana mereka yang membinanya didakwa mendapat bantuan daripada makhluk halus.
“Dahulu tiada kepercayaan agama. Manusia juga menyembah batu termasuk Stonehenge sendiri yang dianggap mempunyai kuasa penyembuhan,” katanya.
Info tentang Stonehenge
Batu Stonehenge di England telah menarik perhatian ahli arkeologi, mubaligh dan peminat kisah mistik untuk mengkajinya.
Setiap tahun kawasan batu itu menerima kunjungan lebih 850,000 pelancong.
Tiada siapa mengetahui bagaimana batu-batu gergasi itu dibawa serta diletakkan tetapi ada kajian mengatakan setiap bongkah memerlukan tenaga 600 lelaki untuk menggerakkannya.
Stonehenge juga didakwa satu kuil suci yang boleh menyembuhkan penyakit.
Bahagian paling menarik di Stonehenge ialah bahagian tengahnya yang menjadi tapak untuk menyusun batu-batu megalit itu pada kedudukan sekarang.
Kosmo!
18 Disember 2011
0 comments:
Post a Comment