INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Karimon penguji barang mistik

Saturday, March 10, 2012

 

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

BAU busuk kayu tas dapat menundukkan harimau ganas.


SELESA memakai baju T dan seluar jean, penampilan Rahim Hanipah, 53, tidak menampakkan beliau seorang peminat aktiviti paranormal.

Namun, hakikatnya beliau ialah seorang penguji dan pengumpul tegar barang-barang mistik.

Malah, semasa ditemui di kediamannya di Puchong, Selangor baru-baru ini beliau sedang sibuk memunggah kotak yang berisi bahan-bahan seperti kayu, batu serta minyak wangi dari kereta Proton Persona miliknya.

“Maaf saya baru pulang dari Jengka, Pahang bertemu dengan orang lama yang mengatakan dia pernah ke kampung orang bunian,” ujarnya membuka bicara.

Lelaki yang berasal dari Temerloh, Pahang ini memberitahu, beliau mula terlibat dengan profesion sekarang sejak umur belasan tahun.

Tetapi beliau cuma bergiat secara serius pada tahun 1998 selepas berhenti kerja di sebuah syarikat swasta.

Uji

“Saya hanya ingin mencari kepastian sama ada batu, kayu malah amalan seperti tarik duit, puja kubur untuk mendapatkan nombor ekor dan fenomena tidak lut senjata merupakan perkara realiti atau sebaliknya.

“Kerana itu saya telah menjelajah seluruh negara untuk berguru dan melihat sendiri amalan tersebut,” cerita beliau.

Menurut Rahim, secara peribadi beliau tidak menolak perkara mistik itu. Malah, katanya, perkara itu lebih berkesan dengan bantuan makhluk halus seperti jin.

Rahim yang lebih dikenali dengan panggilan Karimon menjelaskan sebagai pengkaji aktiviti paranormal seseorang itu harus memiliki deria rasa dan pendengaran yang tajam.

“Deria rasa membolehkan kita menyedari kehadiran makhluk halus manakala pendengaran penting untuk berkomunikasi dengan makhluk itu. Kadang-kadang kita boleh melihatnya,” ujarnya.

Bicaranya lagi, definisi mistik bersifat subjektif namun ada penjelasan logik mengenainya.

“Saya pernah tidur di sebuah hotel di Kedah beberapa tahun lalu untuk menguji barang mistik. Tiba-tiba alat pendingin hawa bilik kami terhenti.

BATU tabasheer didakwa mampu membuatkan pemiliknya lebih kuat.


“Isteri saya takut kerana menganggap ia disebabkan gangguan makhluk halus. Tapi sebenarnya pendingin hawa itu terpadam kerana alat itu telah di-set sebelum itu,” katanya.

Karimon yang mempunyai tiga orang isteri juga pernah pergi ke Sabah dan Sarawak untuk menguji barang mistik.

“Ada pelanggan yang menawarkan saya untuk menjadi warganegara Indonesia semata-mata mahu saya menguji barang-barang mistik di sana,” jelasnya.

Karimon berkata, kebanyakan barang yang diuji beliau ialah keris, batu, pedang.

“Pelanggan meminta saya memulihkan barang tersebut kerana didakwa tidak mempunyai ‘kuasa’ lagi.

“Saya berpendapat barang itu tidak berfungsi kerana ia telah digunakan untuk tujuan salah seperti meminta nombor ekor dan mengenakan orang lain.

“Semua benda itu memang ada fungsi dan khasiat dari sudut sains tetapi jika dijampi serta mempunyai khadam ia akan menjadi lebih berkuasa,” ujarnya.

Karimon mendakwa batu dan kayu boleh digunakan untuk mempertahankan diri, memikat orang atau bagi tujuan perubatan.

“Kayu tas misalnya didakwa menyebabkan harimau menjadi takut kepada pemakainya.

“Sebenarnya, bau busuk kayu itu yang tidak disukai oleh haiwan terbabit menyebabkan ia menjauhkan diri, bukannya disebabkan kekuatan semula jadi kayu itu,” terang beliau.

MINYAK pengasih terkenal dengan kebolehannya untuk menawan hati individu lain.


Pontianak

Karimon sempat menunjukkan kayu keluat yang digunakan oleh pemilik ayam sabung. Cebisan kayu itu dicucuk pada kulit ayam bagi menjadikannya lebih garang semasa berlawan.

Kayu keluat juga dipakai sebagai gelang tangan oleh para peninju tomoi untuk lebih gagah beraksi di gelanggang.

Hakikatnya menurut sains, kayu tas ada khasiat dalam melancarkan pengaliran darah sekali gus menjadikan pemakainya lebih cergas.

Karimon juga menunjukkan batu tabasheer atau lebih dikenali sebagai batu buluh yang tinggi kandungan ferumnya.

Batu itu jika dibuat loket dikatakan mampu memberikan kekuatan dan ketahanan tubuh kepada pemakainya.

Penulis sendiri cuba menguji batu itu dengan menggenggamnya dengan tangan kiri selama beberapa minit.

Selepas itu, Karimon cuba membuka genggaman tangan penulis tetapi mendapati ia cukup sukar untuk dibuka.

Dalam pertemuan dengan Karimon, beliau turut menceritakan pengalaman lucu mengikut seorang bomoh di Klang, Selangor bernama Rudi untuk meminta nombor ekor di sebuah kawasan perkuburan.

“Antara bahan pemujaan pada masa itu ialah cebisan kain puntianak yang tertinggal di pokok yang dihinggapi makhluk itu. Kain itu berbau hanyir dan busuk.

“Semasa upacara pemujaan dijalankan, tiba-tiba puntianak itu yang bermata merah muncul sambil mendengus. Ia mungkin marah kerana Rudi mencuri kainnya.

“Apa lagi kami terus menjerit dan lari lintang-pukang,” imbau Karimon sambil ketawa.

Isteri Karimon, Azura Ibrahim, 40, berkata sepanjang lebih 10 tahun bersama suaminya beliau tidak pernah diganggu makhluk halus.

“Setakat ini tiada perkara buruk yang berlaku walaupun semasa saya mengikut suami pergi ke lokasi mistik tempat beliau menguji barang-barang tertentu,” ujar Azura yang merupakan isteri ketiga Rahim.

Info tentang Rahim Hanipah

Umur: 53 tahun

Asal: Temerloh, Pahang

Status: Berkahwin dan mempunyai sembilan orang anak.

Pekerjaan: Penguji barang mistik, pengkaji aktiviti paranormal.

Hobi: Mengumpul barang mistik.

Rahim menghasilkan buku bertajuk Menyingkap Rahsia Mistik yang mengupas kepercayaan orang Melayu mengenai barang-barang mistik yang mempunyai kuasa.

Kandungan buku ini mengupas adakah sebenarnya barang seperti besi kuning, delima merah dan geliga lipas memiliki kuasa dan ada penjelasan saintifik mengenainya.

Beliau mendakwa pernah berjumpa dengan orang bunian. Menurut Rahim, bentuk fizikal makhluk halus itu sama seperti manusia.

Kosmo!

18 Disember 2011

0 comments: