INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Sumpahan Sang Kelembai

Sunday, February 26, 2012

 

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

MUNGKIN inilah gambaran Sang Kelembai yang mempunyai badan bersaiz gergasi dan suka menyumpah manusia menjadi batu. - Gambar hiasan


CERITA kebolehan Sang Kelembai menyumpah manusia dan haiwan menjadi batu sering menakutkan manusia zaman dahulu.

Makhluk misteri yang tinggal di hutan tebal itu dikatakan pantang mendengar bunyi bising dan akan bertindak menyumpah apa sahaja jika dia sedang marah.

Terdapat pelbagai versi cerita Sang Kelembai yang terkenal di tiga buah negeri iaitu Perak, Kedah dan Pahang.

Di Perak, Kampung Gajah yang terletak di Teluk Intan dikatakan mendapat nama daripada kisah Sang Kelembai. Begitu juga Lata Kinjang di Tapah dan Lata Batu Hampar di Padang Rengas.

Di Pahang pula, makhluk itu sinonim dengan Orang Asli daripada suku kaum Batek dan Semelai di Kuala Tahan, Kampung Batu Sawar dekat Pekan dan Gua Kota Gelanggi di Jerantut.

Dalam pada itu, ada juga dakwaan mengatakan kisah ini berlaku di Kodiang, Kedah.

Menurut cerita penduduk Kampung Gajah, tempat itu mendapat nama daripada batu di kaki Bukit Tunggal yang berbentuk seperti gajah.

Batu itu wujud hasil sumpahan Sang Kelembai terhadap tiga ekor gajah yang sering membuat bising.

Malah, peristiwa mengejutkan itu disaksikan seorang lelaki yang suka memencilkan diri di hutan.

BATU berbentuk seakan-akan gajah di Batu Gajah, Perak.


Budak sakti

Memandangkan Batu Gajah masih tidak mempunyai nama dan baru diterokai, lelaki itu menamakan tempat itu Batu Gajah.

Bukan sekadar makhluk halus, Sang Kelembai juga digambarkan sebagai seorang budak lelaki yang mempunyai kuasa sakti.

Budak tersebut gemar makan rebung buluh menyebabkan penduduk Kampung Gajah sukar mendapatkan buluh kerana semua anak buluh sudah habis dimakan.

Budak lelaki itu kemudian dihalau dari kampung selepas semua pohon buluh ditebang.

Di Kuala Tahan, Orang Asli di situ menceritakan Sang Kelembai ialah seorang manusia berbadan besar dan tinggi.

Kerana tubuhnya besar, dia boleh sampai ke negeri Terengganu dari Pahang dengan beberapa langkah sahaja.

Uniknya, makhluk itu boleh berinteraksi dengan penduduk kampung.

Cara komunikasi mereka juga unik iaitu jika ada urusan dengan Sang Kelambai, orang-orang alim akan dihantar bagi mewakili penduduk kampung.

Malangnya, Sang Kelembai mengamuk selepas anak lelakinya meninggal dunia disebabkan tercekik buah perah yang banyak terdapat di tebing Sungai Tembeling.

Berang dan sedih dengan kejadian itu, gergasi itu mengamuk dan mencabut semua pokok buah perah di sepanjang sungai berkenaan.

Akibatnya, buah perah tiada lagi di tebing Sungai Tembeling hingga sekarang.

Gua Kota Gelanggi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Jerantut pula mempunyai kisah tersendiri.

Ia sering dikaitkan dengan orang bunian dan Sang Kelembai. Di situ juga wujud batu menyerupai pengantin bersanding, ular dan singa yang dipercayai akibat sumpahan Sang Kelembai.

REBUNG merupakan makanan kegemaran Sang Kelembai.


Raksasa betina

Dalam pada itu, negeri yang terkenal dengan jolokan Negeri Jelapang Padi turut menerima tempias Sang Kelembai.

Penduduk sebuah kampung di Kodiang misalnya menceritakan wujud bongkah batu seperti seekor kerbau yang didakwa disumpah oleh Sang Kelembai. Gua itu ialah Gua Kerbau yang merupakan ikon pelancongan negeri Kedah.

Lebih pelik ada yang mengatakan Sang Kelembai sebenarnya makhluk besar betina yang mendiami kawasan hutan berhampiran Air Terjun Lata Kinjang di Tapah, Perak.

Makhluk itu digambarkan tinggal bersama keluarganya. Ia ditakuti penduduk kampung kerana berperwatakan bengis. Rambutnya berwarna merah panjang mengurai sehingga beberapa meter.

Kawasan batu di sekitar air terjun di situ pula dikatakan terbentuk akibat sumpahan raksasa itu kepada manusia dan haiwan. Ia berang selepas anaknya mati akibat terlanggar sebatang pokok.

Kosmo!

1 Januari 2012

0 comments: