Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN dan MOHD. ALIF ABU BAKAR
DARAH yang terlekat pada uri dibersihkan menggunakan asam keping.
SELEPAS 12 jam bertarung nyawa di kamar bersalin Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Shayeeda Ziana Shariff, 24, akhirnya tersenyum tatkala mendengar suara tangisan si kecil yang dinanti-nantikan.
Walaupun ibu muda itu sudah tidak tertanggung keletihan, perasaan itu lenyap sebaik sahaja mendakap anak lelaki pertama yang baru dilahirkannya.
Selepas selamat bersalin dan bayi itu diazankan bapanya, tibalah pula masa untuk menguruskan uri yang keluar bersama bayi itu daripada rahim ibu.
Walaupun dunia semakin moden, kelaziman keluarga Shayeeda menanam uri masih mengikut adat dan pantang larang orang dulu-dulu.
Selain bertujuan menjamin kesejahteraan bayi tersebut, menurut Shayeeda seluruh keturunannya juga dipercayai akan kekal terpelihara dan dilimpahi kebaikan.
Nasib baik
Ibu mentuanya, Rusmah Jaafar, 63, diberi tanggungjawab menguruskan uri tersebut.
“Mula-mula uri itu dibasuh bersih sehingga tiada darah yang tertinggal. Kemudian tempurung kelapa yang dicuci luar dan dalam dijadikan bekas mengisi uri itu.
“Tempurung yang telah berisi uri itu perlu dibungkus dengan kain putih dan diletakkan di dalam lubang yang digali di halaman rumah.
“Sebelum lubang dikambus, saya letakkan paku, jarum dan asam keping yang diikat bersama dan ditanam sekali,” jelas Rusmah yang berasal dari Hulu Langat, Selangor.
Menurut beliau lagi, barangan itu merupakan simbolik melindungi uri daripada dihurung ulat di dalam tanah.
Tidak habis di situ, tradisi diteruskan dengan menghidupkan bara api di permukaan tanah tempat uri ditanam.
Ia dipercayai mampu mengelakkan bayi mengalami kembung perut dan menangis sepanjang malam.
Seorang warga emas, Mas Mamat, 64, percaya uri yang ditanam mempunyai ‘hubungan’ dengan kehidupan bayi yang baru lahir.
Beliau juga mengakui tradisi pengurusan uri seperti yang dipraktikkan Rusmah turut dilakukan ke atas semua bayi yang lahir dalam keluarganya.
“Selepas uri dibersihkan dan direndam dengan air garam semalaman, ia mesti ditanam di kawasan yang orang sentiasa lalu lalang supaya anak yang bakal membesar dipermudahkan urusan dan mendapat rezeki yang mencurah-curah,” ujarnya yang berasal dari Kelantan.
Selain itu, uri akan dibungkus menggunakan sarung bantal terpakai dan sebatang paku. Amalan itu dipercayai akan mengurangkan masalah bayi menangis malam.
Penghormatan
Namun begitu, penceramah bebas, Datuk Daud Che Ngah menolak perkaitan antara penanaman uri dengan masa depan atau nasib seseorang.
“Tiada kaitan antara kehidupan seseorang dengan uri wanita selepas bersalin.
“Namun, seelok-eloknya uri itu diuruskan dengan penghormatan yang tinggi,” ujarnya ketika dihubungi Jurnal.
Katanya, uri memang perlu dibersihkan dengan air asam dan garam bagi menghilangkan bau dan kekotoran yang terlekat padanya agar tidak diselongkar oleh haiwan buas.
Tambahnya lagi, uri adalah sebahagian daripada jasad manusia dan sepatutnya perlu kembali ke tempat asalnya iaitu tanah.
“Uri dan manusia datang daripada tanah dan perlu kembali kepada tanah,” katanya merujuk kitab Tanbihul Ghafilin.
Beliau turut memberitahu, bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang mengiringi upacara penanaman uri boleh dilakukan untuk memperoleh keberkatan.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Kedah, Dr. Kamaruzaman Ali pula menjelaskan tiada upacara khas dilakukan pihaknya untuk menguruskan uri wanita selepas bersalin.
“Biasanya, uri akan dibersihkan menggunakan air bersih bagi menyucikan darah yang masih terlekat sebelum diserahkan kepada keluarga pesakit untuk urusan lanjut.
“Namun, bagi uri milik keluarga bukan Islam atau uri yang tidak dituntut, selepas dibersihkan ia akan dinyahkuman dan dibakar,” ujarnya.
Tambahnya lagi, individu yang menyucikan uri perlu memakai sarung tangan bagi mengelakkan kebarangkalian virus atau kuman yang mungkin melekat pada uri menjangkiti individu terbabit.
Kamaruzaman menasihatkan agar uri ditanam di kawasan yang sesuai dan jauh daripada lokasi haiwan berkeliaran bagi mengelakkan uri itu digali.
“Seelok-eloknya uri perlu ditanam di dalam lubang yang digali lebih sekaki bagi tujuan membendung dihidu binatang buas,” katanya.
Kosmo!
13 Mac 2011
0 comments:
Post a Comment