INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Disakat penunggu hutan

Tuesday, December 20, 2011

 

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

PESAN Azfar, elakkan daripada melalui kawasan yang mempunyai kesan tapak kaki harimau. Binatang ini mempunyai bau hamis seakan kambing.


AZFAR kaki hutan. Gelaran yang melekat pada lelaki berusia 35 tahun ini diberi oleh rakan-rakan dan keluarganya yang faham tentang obsesi anak kelahiran Pekan, Pahang, ini terhadap penerokaan hutan.

Minat Azfar terhadap hutan terbit sejak usianya tujuh tahun. Bapa kepada tiga anak ini mengaku hubungannya dengan alam mulai rapat apabila bapanya, Abdullah Isa, 67, seorang guru, ditugaskan mengajar di Belaga, Sarawak, sekitar tahun 1980-an.

Berpengalaman meneroka hampir kesemua hutan tebal di Malaysia, terutamanya di Sarawak, Azfar turut mahir berburu. Jelasnya, teknik berburu yang diamalkannya kini banyak dipelajari daripada rakan-rakan Penan sewaktu menetap di Belaga dahulu.

“Saya masih minat berburu sampai sekarang. Cuma sekarang, saya tidak lagi memburu dengan anak panah, buluh atau senapang patah, sebaliknya memburu menggunakan kamera untuk mendekatkan lagi pelancong hutan dengan haiwan-haiwan di dalamnya,” katanya.

Biarpun mahir dengan selok-belok hutan, Azfar tidak mendabik dada dengan isi alam. Pemuda ini sedar, hutan bukan sahaja dihuni makhluk nyata tetapi juga makhluk ghaib.

“Kalau nak masuk hutan, ingatan supaya menjaga percakapan dan perbuatan memang tidak pernah saya lupakan.

“Walaupun bunyinya klise, namun itu ialah peraturan hutan yang perlu dipatuhi kerana ketika berada di dalam hutan, bukan hanya kita, pokok dan haiwan sahaja yang mendiami hutan, tetapi ada juga makhluk halus yang menjadikan hutan sebagai tempat tinggal,” katanya.

Menceritakan sedikit pengalamannya membawa pelancong meredah hutan pada waktu malam, Azfar akui dia pernah berdepan dengan pelbagai peristiwa mistik.

“Dulu, semasa saya masih baru dengan hutan, beberapa kali juga kumpulan yang saya bawa menerima gangguan. Ada yang kaki bengkak sampai tidak boleh jalan dan pernah juga ada yang hilang berjam-jam.

Pokok ara

“Kalau terlihat kelibat atau lintasan hitam itu dan kena sakat juga sudah biasa,” katanya yang nekad berguru dengan rakan-rakannya yang pandai hutan.

Menurut Azfar, sebelum masuk hutan, niat atau tujuan perlu baik. Katanya, jangan sekali-kali berfikir hendak buat maksiat atau merosakkannya.

“Cakap orang-orang lama ada betulnya. Jangan buang air dan buat khemah sembarangan.

“Sebagai pemandu arah, saya juga perlu pastikan tempat berhenti rehat betul-betul selamat dari ancaman binatang buas dan gangguan makhluk halus.

“Kalau kawasan itu lapang, tiada kesan tapak kaki Tok Penghulu (harimau) bukan bermakna tempat itu cukup selamat. Mungkin itu perkampungan orang bunian.

“Kalau nampak ada pokok yang besar seperti pokok ara, dongak ke langit dan perhatikan pokok dari pucuk hingga ke pangkal pokok.

“Jika nampak seperti ada ruang antara daun pokok besar dengan pokok-pokok kecil, cari kesan tapak kaki bintang di sekitar kawasan tersebut.

“Andainya ada, maknanya tempat itu selamat. Jika tidak ada, laluan tersebut adalah laluan jin dan seeloknya jangan berhenti atau berkhemah di situ,” katanya.

Sungguhpun mahir dengan hutan, Azfar akui, ilmu alam memang tidak pernah habis untuk dikaji. Berkongsi cerita tentang pengalaman sesat selama lebih 12 jam di dalam hutan di Temenggor, Perak bersama empat rakan tiga tahun lalu, dia semakin ghairah untuk mengkaji tentang isi alam.

“Kami merancang untuk memburu kijang malam itu. Sejak petang lagi, kami sudah membuat ran di perdu pokok berhampiran pokok jerai.

“Kami tunggu hingga tengah malam. Anehnya, kelibat seekor kijang pun kami tak jumpa sedangkan kami nampak banyak kesan tapak kaki kijang di kawasan tersebut.

“Esok malamnya selepas Isyak, kawan-kawan ajak saya menyuluh kijang. Kira-kira setengah jam berjalan, pandangan kami terarah pada warna hijau kebiruan, tidak jauh dari tempat kami bersembunyi. Sah ada pelanduk di depan kami.

“Bila tembakan saya tidak kena, kawan saya pula tembak. Yang peliknya, walaupun leher sudah berasap, pelanduk tersebut tidak tumbang, masih berdiri. Yang saya dengar ketika itu suara orang mengeruh. Pada tembakan kali ketiga, baru pelanduk tersebut jatuh.

“Selepas disembelih, kami terus masukkannya ke dalam guni. Sampai di khemah nanti, baru dilapah dan dibuang isi perutnya.

“Lebih kurang 15 minit berjalan, kami tidak berjumpa dengan pelanduk atau kijang. Pelik juga kerana kesan tapak kaki yang kami jumpa bukan main banyak lagi.

“Hampir sejam berjalan, kawan saya putuskan untuk kembali ke khemah kerana sudah letih. Bagaimanapun, kami tidak temui denai menuju ke khemah kami.

“Kami mencari ranting pokok yang kami patahkan untuk menanda jalan, tapi tidak jumpa. Laluan semakin semak, seperti tidak pernah dilalui orang sebelum ini,” katanya.

Berpusing

Enggan berputus asa, Azfar dan rakan-rakannya terus berjalan hinggalah menjelang Subuh.

“Kami bergilir pikul pelanduk. Boleh tahan juga beratnya. Kira-kira pukul 5.30 pagi, kami terjumpa dengan kubang gajah. Sah kami sesat kerana kami tidak melaluinya sebelum ini.

“Setengah jam kemudian berjalan, kami sampai ke kubang gajah semula. Rasanya kami berjalan lurus dan tidak melencong, tetapi rupa-rupanya kami berpusing di denai yang sama.

“Kawan saya kata, kami mungkin diganggu dengan penunggu hutan.

“Lebih kurang pukul 8.30 pagi, kami berjalan semula. Masing-masing mati akal, tak tahu nak buat apa. Pelanduk sudah perlu dilapah dan dibuang perutnya untuk elak busuk, tetapi kami semua sudah keletihan.

“Masa itu saya fikir, mungkin ada betulnya kami disakat makhluk yang menunggu di hutan ini. Kami akhirnya sepakat untuk tinggalkan sahaja pelanduk itu di situ.

“Saya jerit dalam hutan, aku minta maaf. Ini pulangkan semula kawan kau. Tolong buka jalan, kami nak pulang.

“Kami teruskan berjalan. Tak sampai 20 minit, kami terjumpa semula dengan ranting yang sengaja dipatahkan untuk menanda laluan. Tidak sampai setengah jam selepas itu, kami semua sudah sampai ke khemah,” cerita Azfar.

Walaupun berdepan dengan macam-macam perkara, Azfar tetap berpegang pada prinsip lagi jauh hutan itu diteroka, semakin indah pemandangan yang dapat dilihat dan pengalaman yang ditimba.

Kosmo!

31 Julai 2011

0 comments: