Halloween ialah sejenis perayaan yang dirayakan oleh masyarakat Barat pada tanggal 31 Oktober setiap tahun. Perayaan Halloween disambut dengan meriah di Amerika Utara dan juga beberapa tempat di Eropah.
Di Ireland, perayaan ini dikenali dengan nama Oíche Shamhna yang bermaksud Malam Samhain. Di Scotland pula ia dikenali dengan nama Oidhche Shamhna, makanala di Isle of Man ia dikenali sebagai perayaan Hop-tu-Naa.
Di England, selain Halloween perayaan ini turut dikenali dengan pelbagai nama lain seperti Mischief Night, Devil's Night, Hell Night, Cabbage Night, Gate Night, Mizzy Night, Miggy Night, Goosing Night dan Egg Nyte.
Di negara Wales, perayaan ini dipanggil Calan Gaeaf manakala di negara seperti Mexico dan Hong Kong perayaan ini berkongsi dengan perayaan mistikal tempatan seperti Día de los Muertos (Day of the Dead) bagi rakyat Mexico dan perayaan Hantu Lapar (Yue Lan) bagi masyarakat cina di Hong Kong.
Halloween sebenarnya berasal daripada kepercayaan orang pagan di Eropah sebelum kedatangan agama Kristian. Masyarakat pagan seperti Druid akan mengadakan satu perayaan untuk memperingati Dewa Kematian yang dipanggil Samhain (perayaan ini juga disambut bersempena dengan berakhirnya musim panas dan penghujung tahun bagi masyarakat Celtics).
Pada hari tersebut mereka akan memakai topeng binatang ataupun rasaksa menakutkan sambil menyalakan unggun api. Mereka juga akan menjalankan hukuman membakar penjenayah ataupun mereka yang dituduh sebagai ahli sihir dengan tujuan untuk menghalau kejahatan.
Apabila kerajaan Rom menakluk Eropah, mereka cuba menghapuskan segala amalan masyarakat pagan ini dan mencipta perayaan musim luruh mereka sendiri. Bagaimanapun, amalan membuat unggun api masih diteruskan.
Apabila agama Kristian sampai ke Eropah, para mubaligh Kristian juga cuba untuk menghapuskan kepercayaan terhadap Dewa Samhain ini namun kepercayaan kuno tersebut agak sukar hendak dibuang. Sehinggalah pada tahun 835 Masihi apabila Pope Gregory IV memindahkan perayaan agama Kristian iaitu All Saint's Day yang lazimnya disambut pada bulan Mei ke 1 November. Perayaan tersebut dikenali juga dengan nama All Hallow's Day dan pada malam 31 Oktober ia dikenali dengan nama All Hallow's Eve atau All Hallow's Evening. Daripada nama tersebut ia kemudian diubahsuai untuk memudahkan ia disebut dan dikenali dengan nama Halloween.
Dengan pemindahan tersebut, Pope Gregory IV telah berjaya mengisi perayaan tersebut dengan unsur-unsur Kristian bagaimanapun kepercayaan kuno tentang Samhain dan tahyul masih tidak dapat dikikis. Kemudian beberapa penambahan telah dibuat bersempena dengan perayaan ini antaranya seperti mengukir labu dengan wajah yang menakutkan yang digelar Jack O' Lantern dan juga acara 'trick or treat' iaitu suatu aktiviti yang dilakukan oleh kanak-kanak pada waktu malam menjelang Halloween. Mereka akan memakai pakaian beragam (lazimya pakaian hantu) ke rumah jiran sambil membawa karung atau bakul. Apabila tiba di rumah jiran mereka akan mengetuk pintu atau membunyikan loceng. Sebaik sahaja pintu dibuka, mereka akan berkata "trick or treat!" manakala tuan rumah pula akan mengisi karung atau bakul yang mereka bawa dengan gula-gula.
Perayaan Halloween juga sudah mula menjadi popular di Malaysia. Saban tahun kita dapat lihat pusat-pusat hiburan mempromosikan 'Halloween's Night' dan sudah pastinya dihadiri oleh remaja berbagai bangsa dan agama. Seperti perayaan Valentine, Halloween juga tidak wajar diraikan oleh orang Islam meskipun sekadar untuk memeriahkan suasana dengan memakai pakaian beragam. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun ayat 1-6 yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”
Juga firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 36 yang bermaksud:
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota- anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."
sumber: wikipedia.
0 comments:
Post a Comment