Oleh MOHD.AZLI ADLAN
IPOH - Identiti penulis novel mistik, Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) dikenali sebagai Tamar Jalis yang kekal misteri selama hampir 30 tahun akhirnya terbongkar di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di sini semalam.
Tamar Jalis atau nama sebenarnya, Mohd. Radzi Mahmud, 73, membuat kemunculan pertama di khalayak dalam Wacana SBDJ anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Karyawan Perak.
Mohd. Radzi yang pernah berkhidmat sebagai kerani pengedaran Utusan Melayu (M) Sdn. Bhd. cawangan Perak sekitar tahun 70-an berkata, beliau mempunyai sebab tertentu untuk tidak menonjolkan diri.
"Saya mula menulis SBDJ pada April 1981 bagi membantu rakan saya yang juga penerbit majalah Variasari meningkatkan jualan majalah itu.
"Saya gunakan nama Tamar Jalis dan tidak dedahkan identiti diri kerana menganggap ia merupakan karya biasa berbanding karya-karya sastera saya lain termasuk dua cerpen yang pernah memenangi sayembara," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin merasmikan Wacana SBDJ yang menampilkan sembilan tokoh akademik, sastera dan budaya antaranya Prof. Madya Dr. Talib Samat dan Dr. Mohd. Affandy Yusof yang turut mengupas novel itu.
Mohd. Radzi yang kini menetap di Kota Damansara, Petaling Jaya berkata, nama pena Tamar Jalis adalah inspirasi daripada nama anak jin Tamar Bunga yang terkandung dalam Hikayat Inderapura.
Bekas Penolong Ketua Editor akhbar Watan itu mengakui 60 peratus jalan cerita SBDJ adalah berdasarkan pengalamannya sendiri bersama datuknya yang berasal dari Beruas.
"Pada masa itu, saya memilih untuk menulis kisah berkaitan alam mistik dan tahyul kerana percaya ia dekat dengan pembaca dan ternyata berjaya menjadikan jualan Variasari meningkat mendadak sehingga 80,000 sebulan.
"Siri itu bertahan sehingga 23 tahun sehingga tamat pada Januari 2005. Saya tidak menyangka SBDJ mempunyai pengaruh tersendiri," katanya.
Kosmo!
21 Jun 2011
Buskers
10 years ago
0 comments:
Post a Comment