Muzik Blues merupakan sejenis muzik yang popular khususnya di kalangan warga Amerika berkulit hitam. Dalam dunia muzik Blues terdapat dua orang pemuzik Blues yang menjadi legenda kerana kebolehan luar biasa mereka bermain gitar dan ditambah dengan kisah supernatural yang masih menjadi misteri sehingga kini.
Legenda pertama ialah Tommy Johnson. Tommy Johnson dilahirkan di Terry, Mississippi dan kemudian dibesarkan di Crystal Springs pada tahun 1910. Tommy Johnson belajar bermain gitar pada tahun 1914 dan berkahwin pada tahun 1916 ketika berumur 20 tahun. Tommy Johnson kemudian menetap di sebuah kawasan ladang di Drew, Mississippi dan bertemu pemuzik Blues yang lain seperti Charlie Patton dan Willie Brown.
Pada tahun 1920 Tommy Johnson menjadi kaki botol dan telah mencipta sebuah lagu tentang ketagihannya kepada alkohol berjudul Canned Heat Blues. Tommy Johnson meninggal dunia pada tahun 1956 akibat serangan jantung.
Menurut abangnya, kononnya Tommy Johnson mendapat kebolehan luar biasa bermain gitar setelah berjanji untuk menyerahkan rohnya kepada Syaitan. Kisah ini hampir sama dengan kisah seorang lagi pemuzik Blues bernama Robert Johnson.
Robert Johnson dilahirkan di Hazlehurst, Mississippi pada 8 Mei 1911. Robert Johnson tiada sebarang pertalian dan hubungan kekeluargaan dengan Tommy Johnson. Cuma persamaan antara Robert Johnson dan Tommy Johnson, kedua-duanya mempunyai bakat bermain gitar yang luar biasa dan kedua-duanya dikatakan mempunyai perjanjian dengan Syaitan untuk memiliki roh mereka sebagai pertukaran untuk bakat luar biasa itu.
Robert Johnson dikatakan telah membuat perjanjian dengan Syaitan persimpangan jalan atau dikenali sebagai Legba menurut mitos orang Afrika Amerika. Cerita ini diperkuatkan lagi dengan lagu-lagu Robert Johnson seperti Cross Road Blues, Hellhound on My Trail dan Me and the Devil.
Robert Johnson mati pada 16 Ogos 1938 akibat diracun oleh seorang lelaki yang cemburu kerana Robert Johnson dikatakan telah menjalinkan hubungan sulit dengan kekasihnya (ada cerita mengatakan wanita itu adalah isteri kepada pembunuh tersebut). Lagu terakhir yang sempat dirakamkan oleh Robert Johnson adalah Me and the Devil yang menceritakan tentang Syaitan telah bertemu dengan Robert Johnson dan mengatakan sudah sampai masanya untuk dia pergi meninggalkan dunia ini.
Kisah Tommy Johnson dan Robert Johnson ini telah menjadi inspirasi kepada siri-siri seram seperti The Twilight Zone, The X-Files dan Supernatural.
Walau apapun kisahnya, Tommy Johnson dan Robert Johnson kini menjadi legenda dan inspirasi kepada pemuzik-pemuzik Blues dan Rock generasi yang seterusnya.
Buskers
10 years ago
0 comments:
Post a Comment