LUKISAN budak menangis karya pelukis Sepanyol ini pernah menghantui penduduk Britain pada tahun 1980-an.
PADA tahun 1985, rumah pasangan Ron dan May Hall yang tinggal di Yorkshire, England, hangus terbakar. Namun, sebuah lukisan budak menangis milik mereka langsung tidak terusik oleh api yang marak.
Kisah lukisan misteri itu menjadi sensasi selepas akhbar The Sun mendedahkan pengakuan ahli bomba Peter Hall yang memberitahu kejadian itu bukan pertama kali berlaku sepanjang dia bertugas di Yorkshire.
Kira-kira 50 kejadian kebakaran misteri membabitkan lukisan seperti itu dilaporkan.
Malah, pengarang The Sun pada masa itu, Kelvin MacKenzie telah mengatur kebakaran olok-olok dengan meminta para pembaca supaya menghantar lukisan mereka kepada akhbar itu. Spekulasi lukisan itu menjadi punca kebakaran rumah pemilik-pemiliknya menjadikan misteri itu semakin menarik.
Lukisan budak menangis dihasilkan pelukis Sepanyol, J Bragolin yang meninggal dunia pada tahun 1981. Dia menghasilkan banyak lukisan seperti itu untuk pelancong pada tahun 1950-an.
Budak lelaki dalam lukisan itu dikatakan seorang anak yatim piatu yang ibu bapanya mati dalam satu kebakaran. Bernama Don Bonillo, kanak-kanak tersebut berusia antara tiga hingga lima tahun ketika dia ditemui merayau-rayau oleh Bragolin di jalanan di Madrid.
Kononnya, Bragolin sebelum itu telah diberi amaran oleh seorang paderi supaya tidak melukisnya kerana budak itu didakwa boleh menyebabkan kebakaran walaupun dia tidak menyentuhnya. Di mana saja Bonillo ditempatkan, kebakaran akan berlaku hingga dia digelar diablo atau syaitan.
Hendak dijadikan cerita, tidak semena-mena studio Bragolin terbakar dan budak itu melarikan diri. Sepuluh tahun kemudian, sebuah kereta ditemui terbakar di pinggir Barcelona. Pemandu tersebut mati dalam kemalangan itu.
Berdasarkan maklumat daripada lesen memandunya, pemandu itu ialah budak yatim piatu dalam lukisan Bragolin itu.
BUDAK lelaki dan anak patung perempuan dalam lukisan The Hands Resist Him ini dikatakan bergerak pada waktu malam.
Sumpahan budak menangis di Yorkshire yang bermula pada September 1985 dikatakan ada kaitan dengan lukisan itu.
Dan ia semakin menjadi-jadi apabila di Britain, versi lukisan itu dicetak secara komersial.
Dalam kebanyakan kes, rumah mangsa kebakaran hangus tetapi lukisan itu selamat. Kini, masyarakat Yokshire tidak lagi menyimpan potret budak menangis itu.
Bagaimanapun, baru-baru ini, selebriti Steve Bunt yang mengendalikan rancangan Punt PI di Radio 4 di Britain mendedahkan rahsia di sebalik lukisan itu.
Menurut Punt, dia telah melakukan ujian di Building Research Establishment iaitu sebuah makmal berhampiran Watford yang melakukan ujian kebakaran bagi tujuan penyelidikan.
Hasilnya agak mengejutkan. Api hanya membakar bahagian tepi beberapa keping lukisan budak menangis itu. Rahsianya? Lukisan itu diletakkan secara terbalik atau menghadap lantai sekali gus melindunginya daripada asap dan haba panas.
Sebuah lagi karya yang dianggap berhantu ialah sebuah lukisan yang dinamakan The Hands Resist Him. Ia dihasilkan pada tahun 1972 oleh seorang pelukis dari Oakland, California, Amerika Syarikat, Bill Stoneham.
Ia lukisan seorang budak lelaki berdiri di sebelah anak patung perempuan di hadapan pintu berpanel kaca yang berlatarbelakangkan tangan-tangan melekap di pntu kaca.
Menurut Stoneham, budak lelaki itu ialah dirinya sewaktu berumur lima tahun manakala laluan pintu merujuk kepada garisan pemisah antara realiti dan mimpi.
Anak patung itu pula digambarkan sebagai pembimbing budak lelaki itu untuk melalui pintu di belakang mereka itu.
Lukisan itu diposkan untuk dilelong menerusi laman eBay pada Februari 2000 dan tiba-tiba menjadi terkenal kerana misterinya.
Bakal pembeli mendakwa karakter di dalam lukisan tersebut bergerak pada waktu malam dan kadangkala meninggalkan lukisan tersebut dan masuk ke dalam bilik yang mempamerkannya.
Terdapat beberapa bukti bergambar yang menunjukkan anak patung perempuan itu mengancam budak lelaki itu menggunakan pistol yang dipegangnya, sekali gus menyebabkan budak lelaki itu melarikan diri dengan keluar daripada lukisan itu.
Namun, ada pendapat mengatakan alat seperti pistol itu tidak lebih daripada sebutir bateri dan lilitan wayar.
Menurut Stoneham, terdapat seorang pemilik galeri dan seorang pengkritik seni, mati dalam masa setahun selepas berurusan dengan lukisan itu.
Lukisan itu memulakan bidaan pada harga AS$199 (RM616) sebelum terjual pada AS$1,025 (RM3,177) selepas diburu oleh hampir 30 penggemar seni lukisan.
Kosmo!
24 Oktober 2010
0 comments:
Post a Comment