Ghaib kala senja
BESUT: Kejadiannya memang aneh dan mungkin ada menganggapnya tidak logik, namun hakikatnya ia benar-benar berlaku sehingga menggemparkan penduduk setempat dan turut menarik perhatian pemimpin masyarakat.
Sejak kira-kira dua bulan lalu, seorang gadis berusia 22 tahun, Siti Balqis Mohd Nor dari Kampung Gong Nangka, Apal di sini, ghaib secara misteri hampir setiap kali tiba waktu senja atau pada tengah malam sebelum dia ditemui semula di lokasi yang sukar dijelaskan kehadirannya.
Antara lokasi itu di tanah perkuburan, di atas pokok, di atas siling dalam rumahnya dan dalam kejadian terbaru kelmarin, Siti Balqis ditemui dalam mesin pembancuh simen berhampiran rumahnya.
Biarpun dikawal rapi keluarganya, gadis itu tetap ghaib apabila individu yang mengawalnya leka atau terlepas pandang beberapa detik saja.
Kejadian misteri itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali yang meminta penduduk mengawal sekitar rumah keluarga Siti Balqis setiap malam, namun usaha itu tetap gagal.
Ramlan berkata, dia simpati dengan keluarga terbabit kerana sudah banyak mengeluarkan wang untuk khidmat bomoh.
“Saya sendiri sudah membantu mencari bomoh, tapi keadaannya tetap serupa apabila gadis terbabit tiba-tiba ghaib terutama pada waktu senja dan tengah malam,” katanya.
Ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, berkata, pelbagai usaha dilakukan keluarganya dan jiran untuk menghalang anak sulung daripada empat beradik itu ghaib, tetapi apabila tiba waktunya dia tetap hilang.
“Kejadian menimpa anak saya memang aneh. Sejak dua bulan lalu hampir setiap malam dia ghaib dari rumah menyebabkan kami sekeluarga terpaksa berjaga malam,” katanya.
Norizan berkata, apabila ditemui semula, Siti Balqis kebiasaannya berada di lokasi tidak jauh dari rumahnya seperti di atas siling rumah, atas pokok manggis dan terbaru dalam mesin pembancuh simen.
“Pernah sekali dia temui semula di tanah perkuburan Islam kira-kira 10 kilometer dari rumah kami,” katanya sambil memaklumkan keluarganya sudah mendapatkan khidmat bomoh dari Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk mengatasi masalah itu, tetapi masih gagal.
Siti Balqis ketika ditanya mengenai kejadian aneh dialaminya berkata, dia sendiri sukar memberi penjelasan dan tidak tahu apa sebenarnya berlaku ke atasnya.
“Setiap kali kejadian berlaku saya tidak sedarkan diri. Apabila sedar, saya dapati diri saya berada di tempat lain, sama ada di atas pokok atau kawasan perkuburan.
“Saya dapat melihat orang mencari saya, tapi saya tak berupaya memanggil mereka. Ketika saya berada di kubur dalam kejadian Ramadan lalu, saya mendengar pelbagai bunyi termasuk suara orang mengaji al-Quran dan menangis,” katanya.
Harian Metro
5 Oktober 2010
Gadis 'ghaib' SMS dari kubur
JERTIH: "Ibu cepatlah datang segera ke kubur, Siti takut tiada orang lain di sini." Itulah khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Siti Balqis Mohd Nor, gadis yang mendakwa sering ghaib dari rumah selepas tiba-tiba menyedari berada di perkuburan Kampung Bukit Kenak, kira-kira lima kilometer dari rumahnya tiga hari sebelum Aidilfitri lalu.
Siti Balqis, 22, yang menghadapi gangguan misteri sejak dua bulan lalu menyebabkannya sering ghaib dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Apal, di sini mendakwa ketika itu telefon bimbit yang ada bersamanya menunjukkan jam 2 pagi.
"Namun saya tidak tahu bagaimana boleh berada di tanah perkuburan dan lebih dahsyat saya berada di dua tanah perkuburan pada malam itu. Selepas tersedar berada di kubur Kampung Bukit Kenak, saya tiba-tiba berada pula di kubur Kampung Gong Rengas, kira-kira 10 kilometer dari rumah kami," katanya ketika ditemui semalam.
Siti Balqis mendakwa sepanjang di tanah perkuburan itu, dia mendengar orang menangis, meminta tolong dan mengaji al-Quran.
Sementara itu, ibunya, Norizan Said, 47, berkata, pada malam mendapat SMS Siti Balqis, beliau bersama suami serta seorang lagi anaknya bergegas ke kubur berkenaan, tetapi selepas puas mencari, mereka tidak menemuinya.
"Kami bergegas pula ke kubur di Kampung Gong Rengas dan di satu kubur baru, ada bekas seperti diduduki seseorang, tetapi Siti tiada di situ," katanya dan menambah mereka kemudian ke Balai Polis Jertih pada jam 5 pagi untuk membuat laporan.
Bagaimanapun, sejurus masuk ke rumah kira-kira jam 6 pagi, Siti muncul di depan rumah dengan tubuhnya dibasahi air dan baju berlumuran tanah merah.
Kisah Siti Balqis menggemparkan penduduk daerah ini hinggakan ramai yang sukarela membantu berjaga bersama keluarganya selepas anak sulung empat beradik itu dikatakn ghaib ke pelbagai tempat termasuk siling rumah, atas pokok, dalam mesin pembancuh simen dan atas kubur.
Siti Balqis juga mendakwa dia luka pada tangan dan kaki ketika berada di sebuah mesin pembancuh simen tidak jauh dari rumah dan ketika di atas pokok manggis, di belakang rumahnya.
Dia juga mendakwa ternampak saudara mara dan orang kampung mencarinya, malah ketika berada di sebuah rumah tinggal, dia menyentuh bapa saudaranya tetapi tidak perasan kehadirannya.
Malam tadi, Norizan menggunakan khidmat tujuh bomoh untuk mengubati anaknya secara tradisional dan wakil Berita Harian turut berada di rumah Siti Balqis bagi meninjau dan memastikan dakwaan dia ghaib.
Sementara itu, kalangan ahli agama di negeri ini berpendapat kejadian itu mungkin disebabkan gangguan jin yang cuba merosak keimanan manusia dan cara terbaik mengatasinya ialah amalan zikir dan membaca al-Quran serta solat hajat dan tahajud.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata kejadian adalah luar biasa tetapi perlu dilihat secara positif dari sudut agama.
Muhammad Ramli berkata, cara terbaik mengatasinya ialah ahli keluarga Siti Balqis sentiasa berdoa kepada Allah meminta dilindungi daripada perbuatan sihir dan diganggu syaitan.
Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri (Operasi), Omar Musa, pula berkata apa yang dialami Siti Balqis itu mungkin ada kaitan dengan gangguan makhluk halus.
Katanyam keluarga mangsa hendaklah bersabar dan mendapatkan rawatan alternatif perubatan Islam bagi membolehkannya tidak lagi diganggu oleh makhluk halus.
"Tetapi, perlu diingatkan jangan sekali-kali beranggapan apa yang terjadi terhadap Siti Balqis ada kaitan dengan keramat kerana ada makhluk jin yang mahu merosakkan dan menyesatkan pemikiran dan akidah orang Islam," katanya.
Berita Harian
6 Oktober 2010
'Cari pakar bantu Siti Balqis'
Terengganu prihatin gangguan misteri gadis
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bersedia memberi bantuan termasuk menyediakan beberapa pakar perubatan Islam untuk merawat gangguan misteri dialami, Siti Balqis Mohd Nor, 22, dari Kampung Gong Nangka, Apal, Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata keluarga gadis yang mengalami gangguan sejak dua bulan lalu perlu membuat permohonan secara rasmi.
"Kita bersimpati dengan masalah dihadapi Siti Balqis dan kita mempunyai beberapa orang pengamal perubatan Islam, termasuk pegawai Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) yang dapat membantu.
"Kita hanya mengetahui gangguan misteri dihadapi Siti Balqis menerusi pendedahan yang dibuat akhbar kumpulan The New Straits Times Press Berhad (NSTP) dan kita akan meminta kerjasama Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali, mengemukakan laporan lengkap," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan ke pejabat NSTP Terengganu di Jalan Pejabat di sini, kelmarin.
Khazan yang juga ADUN Batu Rakit meluangkan masa kira-kira satu jam melawat pejabat NSTP dan mendengar penerangan mengenai pejabat baru NSTP.
Hadir sama ialah Pengurus NSTP Cawangan, Mohd Karimi Ariffin; Ketua Biro Berita Harian Terengganu, Abdul Halim Yusof; Ketua Biro Harian Metro Wilayah Timur, Suffian Thauri Muhammed; Ketua Biro NST, Ridzwan Abdullah.
Khazan berkata, orang ramai di eru jangan mudah percaya dengan perkara keramat kerana ada makhluk jin yang mahu merosak dan menyesatkan akidah.
"Seperti yang terkandung dalam al-Quran, setiap penyakit ada penawar untuk sembuh dan kita minta ahli keluarga Siti Balqis menunaikan solat hajat, berdoa serta membaca surat Yassin," katanya.
Berita Harian Edisi Timur
8 Oktober 2010
Bomoh lemah bertentang mata
JERTIH: Hasrat seorang bomoh mengubati gadis misteri, Siti Balqis Mohd Nor, 22, tidak kesampaian apabila lelaki itu tiba-tiba menjadi lemah selepas bertentang mata dengan gadis berkenaan ketika hendak memulakan upacara mengubat, malam kelmarin.
Kedatangan lelaki berusia lingkungan 40-an yang mendakwa dirinya bomoh ke rumah keluarga Siti Balqis di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, adalah tanpa diundang dan memberitahu mahu mengubati penyakit misteri gadis terbabit yang kerap ghaib sejak dua bulan lalu.
Ibu Siti, Norizan Said, 47, berkata bomoh itu bersama isteri tiba di rumahnya kira-kira jam 7 malam.
Bagaimanapun, ketika hendak memulakan upacara pada jam 7.15 malam, bomoh berkenaan kelihatan lemah dan seluruh tubuhnya menggigil menyebabkan dia tidak dapat meneruskan niat mengubati Siti Balqis.
Norizan berkata, bomoh itu memberitahunya dia tidak dapat bertentang mata dengan Siti Balqis kerana keadaan matanya kelihatan tajam dan menakutkan.
Berikutan kegagalan itu, kata Norizan, bomoh berkenaan meminta izin meninggalkan rumahnya kerana tidak berupaya melawan jin yang didakwa mengawal ketat pergerakan Siti Balqis.
“Saya dimaklumkan oleh bomoh itu bahawa dia bersama isterinya datang dengan motosikal dari Kampung Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, bertujuan membantu mengubati Siti Balqis,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Menurutnya, bomoh itu datang mengubati anaknya secara sukarela selepas membaca laporan media yang menyiarkan kisah gadis berkenaan sejak Isnin lalu.
Norizan berkata, selepas kecewa dengan kegagalan usahanya, bomoh itu dan isteri pulang selepas hampir sejam berada di rumahnya. Dia juga memberi sedikit wang sebagai ganjaran dan simpati terhadap bomoh berkenaan yang datang dari jauh dengan motosikal tetapi lelaki itu menolaknya dengan baik.
Beliau berkata, selepas kepulangan lelaki itu, dua lagi bomoh dari Setiu datang ke rumah untuk menawarkan khidmat secara percuma tetapi tiada apa-apa yang berlaku terhadap bomoh terbabit.
Malah, katanya, keadaan Siti Balqis selepas itu kelihatan normal dan tidak ghaib kecuali tidak dapat tidur sehingga pagi semalam.
Norizan berkata, sejak kisah anak gadisnya disiarkan di akhbar, ramai bomoh tampil memberikan khidmat secara percuma dan dia sekeluarga berterima kasih atas bantuan itu.
Harian Metro
9 Oktober 2010
Gadis 'ghaib' rakam gambar jin
Penduduk serbu rumah gadis ghaib rakam gambar jin
JERTIH: Rumah gadis yang mengalami gangguan misteri yang menyebabkannya sering ghaib di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, diserbu ratusan penduduk selepas dua lelaki datang menawarkan diri merawat gadis itu mendakwa berjaya menangkap sembilan makhluk halus malam kelmarin.
Dalam kaedah rawatan tradisional jam 7.30 malam itu, dua lelaki menggunakan kaedah masing-masing bagi merawat Siti Balqis Mohd Nor, 22, yang ghaib 'dilarikan' makhluk ketika senja dan dinihari, sejak dua bulan lalu.
Dua lelaki itu yang menawarkan khidmat percuma selepas membaca kisah itu di akhbar sejak Selasa lalu, berpecah dua ketika sesi rawatan dengan seorang daripadanya berada di dalam rumah mengerjakan solat dan seorang lagi di luar rumah menggunakan jampi.
Kira-kira 15 minit selepas rawatan, seorang lelaki yang berada di luar rumah mendakwa melihat satu lembaga yang didakwanya dapat ditangkap.
Dia mendakwa dapat menangkap sembilan jin atau makhluk halus yang menyebabkan beratus-ratus penduduk menyerbu rumah gadis itu.
Selepas menangkap sembilan makhluk itu, bomoh itu memasukkannya ke dalam bekas khas bertutup bagi mengelak makhluk berkenaan terlepas.
Orang ramai yang menyaksikannya tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar dan video, kebanyakannya menggunakan telefon bimbit untuk dijadikan kenangan dan bahan bukti kejayaan bomoh berkenaan.
Usaha Berita Minggu mendapatkan komen dan mengambil gambar dua bomoh itu gagal kerana mereka tidak mahu menonjolkan diri sebaliknya memberitahu makhluk halus yang ditangkap, dihanyutkan ke laut.
Siti Balqis pula mengakui kini berasa lebih tenteram kerana dalam tempoh 48 jam lalu, beliau sudah tidak lagi ghaib.
"Saya harap usaha murni semua pihak yang menghulurkan bantuan akan membuahkan hasil dan membolehkan saya kembali menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali.
Ibunya, Norizan Said, 47, berkata, sejak kisah anaknya disiarkan, 17 bomoh menawarkan diri merawat Siti Balqis secara percuma tetapi kejadian malam tadi adalah kemuncaknya apabila bomoh berkenaan dapat menangkap makhluk yang sebelum ini didakwa menjadi punca anaknya ghaib.
Katanya, sejak kisah anaknya disiarkan media, keluarganya juga berasa lega kerana tidak perlu lagi menanggung perbelanjaan besar untuk mengupah bomoh sama ada berasaskan rawatan Islam atau kaedah tradisional kerana semuanya kini menawarkan khidmat merawat anaknya secara percuma.
Berita Minggu
10 Oktober 2010
Tiga bomoh tangkap 12 lagi jin
Siti Balqis ghaib 30 minit sebelum pasukan perubatan Islam (YIT) tiba di rumah
JERTIH: Usaha tiga pengamal perubatan Islam daripada Yayasan Islam Terengganu (YIT) merawat gadis ghaib, Siti Balqis Mohd Nor, 22, malam kelmarin, dikatakan berjaya menangkap 12 lagi jin yang mengganggu gadis berkenaan, selepas dua bomoh yang enggan dikenali sebelum ini mendakwa berjaya menangkap sembilan jin.
Pada awalnya, usaha pasukan perubatan berkenaan dianggotai Pengelola Khidmat Masyarakat YIT, Hassan Yusof, penolongnya, Fauzi Malik dan Pengurus Khidmat Masyarakat, Wan Adi Rahman Wan Abd Rahman untuk merawat Siti Balqis seperti tidak kesampaian berikutan gadis itu didapati ghaib kira-kira setengah jam sebelum ketibaan pasukan perubatan itu ke rumah keluarganya di Kampung Gong Nangka, di sini, kira-kira jam 8 malam.
Ibu gadis berkenaan, Norizan Said, 47, berkata Siti Balqis tiba-tiba ghaib kira-kira jam 7.30 malam ketika mereka berkumpul menunggu ketibaan pasukan perubatan itu di rumah dan usaha mencarinya dilakukan di atas bumbung, dalam siling rumah, almari, rumah kosong, di bawah rumah dan di pokok manggis, tetapi gagal.
Berikutan itu, katanya, orang ramai termasuk pasukan perubatan berkenaan membaca surah Yasin beramai-ramai, sebelum Norizan menerima SMS daripada Siti Balqis jam 11.30 malam berbunyi "tolong dah jauh ni" dan SMS kedua pada jam 12 tengah malam menyatakan "Umi cepat datang, kita dok (duduk) Bukit keluang,".
Selesai membaca surah Yasin, pasukan perubatan diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali bergegas ke Bukit Keluang, kira-kira 15 kilometer dari rumah mangsa, tetapi gagal menemuinya di kawasan pelancongan terkenal itu.
Sebaliknya, Ramlan berkata, mereka terserempak dengan sembilan orang termasuk dua wanita yang kelihatan seperti sedang bertapa dalam gua berkenaan.
Katanya, ketika gerakan mencari Siti Balqis dijalankan, beliau dimaklumkan gadis itu ada di atas pokok rambutan di belakang rumah keluarganya kira-kira jam 1.30 pagi dan pasukan perubatan yang dihantar khas oleh kerajaan negeri itu kembali semula ke rumah untuk menjalankan proses rawatan mengikut kaedah Islam.
Pasukan perubatan itu memulakan usaha rawatan dan mendakwa berjaya mengeluarkan 12 jin yang kemudian dimasukkan ke dalam botol. Siti Balqis hanya sedarkan diri kira-kira jam 5 pagi tadi selepas menerima rawatan berkenaan.
Berita Harian
12 Oktober 2010
Kisah Balqis 'ghaib' tarik tumpuan ramai
BESUT 11 Okt. - Siti Balqis Mohd. Nor , 22, gadis misteri di Kampung Gong Nangka di sini yang kisah mengenai dirinya sering ghaib dan berada dalam situasi seumpama sebuah filem seram, dikatakan hilang lagi malam kelmarin.
Dia diturunkan dari atas pokok dalam keadaan lesu dan bagi gadis itu dia ingin mengakhiri apa yang dilalui yang mungkin mencecah 100 kali dalam tempoh kira-kira dua bulan.
"Mungkin sudah hampir 100 kali, saya tidak tahu siapa mengambil saya dan selalu tidak tahu di mana saya berada sebenarnya.
"Tetapi dalam masa saya dikatakan hilang itu saya pernah terlihat makhluk semacam gorila berbadan besar.
"Dia tidak menjawab salam saya ketika saya berada dalam keadaan sedar ketika itu," ujarnya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Menurut Siti Balqis, rentetan awal kehilangannya walaupun berada di tengah-tengah keluarga bermula apabila kakinya berdarah dengan banyaknya tanpa sebab dan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
"Beberapa hari selepas itu, saya melalui pengalaman tiba-tiba ditarik dari lantai rumah ke bawah dan kemudian ditemui di sekitar kawasan pokok pisang," ujarnya.
Kehidupan yang dilalui Siti Balqis menjadikan rumahnya tumpuan orang ramai setiap malam untuk bersama membantu mengawasi di samping melihat usaha-usaha yang dijalankan oleh bomoh dan pengamal perubatan Islam bagi menghindari fenomena itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat turut menziarah bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Ramlan Ali dan Pengarah Yayasan Islam, Md. Kamaru Al-Amin Ismail kelmarin.
Menurut Ramlan, bersama mereka adalah tiga orang ustaz untuk membantu mengatasi gangguan yang dipercayai dilakukan oleh makhluk halus itu.
"Sebelum maghrib semalam, saya berada di rumahnya. Ada menerima mesej melalui khidmat pesanan ringkas kononnya dia ada di Bukit Keluarga.
"Kita pergi beramai-ramai mencarinya sehingga pukul 3 pagi, ada orang jumpa dia berada di atas pokok rambutan berhampiran rumah," ujarnya.
Katanya, memang sukar untuk dipercayai apa yang dilalui oleh gadis ini sejak dua bulan lalu namun setiap kali dia ditemui, fizikalnya begitu keletihan, amat tidak bermaya dan menyedihkan.
Gadis itu dilaporkan lenyap sekelip mata walaupun berada di tengah-tengah keluarga, dikatakan dikendong oleh 'lembaga besar berwajah binatang' ke pelbagai lokasi termasuk di tanah-tanah perkuburan.
Ramlan turut menceritakan apa yang disaksikan sendiri ketika bersama ramai orang di rumah berkenaan tiga hari lalu.
"Dia (Siti Balqis) masuk ke bilik air di ruang tamu dan semua orang memerhati pergerakannya. Dia keluar seketika dan masuk semula dan terus hilang.
"Bilik air itu tidak mempunyai laluan lain untuk menyelinap keluar selain pintu depan. Kita cari dia di sekitar rumah dan dua jam kemudian, dia ditemui di tepi dapur," ujarnya.
Dalam pada itu, ibu gadis berkenaan, Norizan Said, 47, memberitahu, sejak kisah anaknya disiarkan seramai 17 bomoh datang menawarkan diri untuk merawat anaknya secara percuma.
Malam kelmarin adalah kemuncak apabila dua bomoh tempatan dikatakan berjaya menangkap makhluk yang sebelum ini didakwa menjadi punca anaknya ghaib.
Bagaimanapun dua bomoh itu mengelak daripada ditemu bual dan sekadar memberitahu sembilan jin dan makhluk halus yang ditangkap itu akan dihanyutkan ke laut.
Utusan Malaysia
12 Oktober 2010
Siti Balqis Ghaib Dibawa Lembaga Berbulu Tebal Berwajah Anjing
Selepas gagal ‘mengghaibkan’ Siti Balqis Mohd Nor, 22, jin yang dikatakan mengawal gadis terbabit kini beralih mengganggu ketenteraman keluarganya di rumah mereka di Kampung Gong Nangka, dekat sini.
Senja kelmarin, seberkas kunci rumah yang disimpan dalam beg tangan ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, dikatakan hilang sebelum ditemui diikat dalam kain berwarna merah di atas meja kecil di rumah itu kira-kira sejam kemudian.
Siti Balqis menggemparkan negara apabila sejak dua bulan lalu, dia dikatakan sudah ghaib lebih 100 kali dibawa lembaga besar berbulu tebal dan berwajah anjing ke pelbagai tempat termasuk yang pelik seperti dalam mesin pembancuh simen, kubur, atas siling rumah, atas pokok dan rumah tinggal.
Sejak dirawat tiga pengamal perubatan Islam dari Yayasan Islam Terengganu (YIT), Siti Balqis sudah menunjukkan pemulihan dan tidak lagi ghaib sejak Sabtu lalu.
Beliau berkata, rumahnya kini terpaksa sentiasa ditutup kerana tidak mahu ada orang datang mengganggu keluarganya, terutama bomoh yang menawarkan khidmat merawat anak gadisnya itu.
“Tindakan ini adalah atas permintaan pegawai agama YIT yang meminta kami supaya tidak lagi membenarkan pihak lain mengadakan upacara merawat untuk tempoh tertentu kerana mahu memastikan proses rawatan bersandarkan syariat Islam itu dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa gangguan dan campur tangan elemen lain,” katanya.
Ratusan pengunjung masih menunggu di sekitar rumah keluarga itu untuk mengetahui perkembangan terkini gadis ghaib itu.
Bagaimanapun, orang ramai yang berkumpul berhampiran rumah itu akur dengan nasihat polis yang turut berada di kawasan itu dan meninggalkan rumah terbabit.
Berita Harian
13 Oktober 2010
Keluarga Siti Balqis pula diganggu jin
Seberkas kunci dalam beg dikatakan hilang ditemui berbalut kain merah di atas meja
JERTIH: Selepas gagal ‘mengghaibkan’ Siti Balqis Mohd Nor, 22, jin yang dikatakan mengawal gadis terbabit kini beralih mengganggu ketenteraman keluarganya di rumah mereka di Kampung Gong Nangka, dekat sini.
Senja kelmarin, seberkas kunci rumah yang disimpan dalam beg tangan ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, dikatakan hilang sebelum ditemui diikat dalam kain berwarna merah di atas meja kecil di rumah itu kira-kira sejam kemudian.
“Saya memang tahu anak kunci berkenaan tidak berbalut tetapi terkejut apabila dijumpai dalam keadaan berbungkus dengan kain merah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Dalam gangguan kedua pada jam 12 malam, secara tiba-tiba seketul besi jatuh ke belakang Siti Balqis ketika gadis itu bersama ahli keluarga.
Norizan berkata, sejak dirawat tiga pengamal perubatan Islam dari Yayasan Islam Terengganu (YIT), Siti Balqis sudah menunjukkan pemulihan dan tidak lagi ghaib sejak Sabtu lalu.
Beliau berkata, rumahnya kini terpaksa sentiasa ditutup kerana tidak mahu ada orang datang mengganggu keluarganya, terutama bomoh yang menawarkan khidmat merawat anak gadisnya itu.
“Tindakan ini adalah atas permintaan pegawai agama YIT yang meminta kami supaya tidak lagi membenarkan pihak lain mengadakan upacara merawat untuk tempoh tertentu kerana mahu memastikan proses rawatan bersandarkan syariat Islam itu dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa gangguan dan campur tangan elemen lain,” katanya.
Tinjauan Berita Harian ke kediaman keluarga itu malam kelmarin mendapati ratusan pengunjung masih menunggu di sekitar rumah keluarga itu untuk mengetahui perkembangan terkini gadis ghaib itu.
Bagaimanapun, orang ramai yang berkumpul berhampiran rumah itu akur dengan nasihat polis yang turut berada di kawasan itu dan meninggalkan rumah terbabit.
Siti Balqis menggemparkan negara apabila sejak dua bulan lalu, dia dikatakan sudah ghaib lebih 100 kali dibawa lembaga besar berbulu tebal dan berwajah anjing ke pelbagai tempat termasuk yang pelik seperti dalam mesin pembancuh simen, kubur, atas siling rumah, atas pokok dan rumah tinggal.
Berita Harian
14 Oktober 2010
Siti Balqis - Gadis Misteri - terima 7 batu permata dari langit
JERTIH: Kisah gadis misteri yang semakin menarik perhatian orang ramai, Siti Balqis Mohd Nor, 22, bertambah unik apabila tujuh batu permata dipercayai delima, nilam dan zamrud tiba-tiba jatuh dari siling rumahnya, semalam.
Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika Siti Balqis dan ahli keluarganya berada di ruang tamu dan mereka terdengar bunyi benda jatuh dalam biliknya.
Selepas membuat pemeriksaan, mereka menemui sebiji batu delima di atas katil.
Manakala batu kedua pula jatuh jam 2.45 petang di ruang tamu, diikuti batu ketiga pada jam 3 petang.
Kira-kira 20 minit kemudian, sebiji lagi batu delima jatuh di hadapan seorang jurukamera TV3 yang sedang minum bersama kru rancangan Misteri Nusantara di ruang tamu dan terpelanting pada kameranya.
Dua biji batu lagi jatuh kira-kira jam 6 petang di ruang tamu dengan salah satu daripadanya berwarna biru dipercayai nilam. Kira-kira sejam kemudian, sebiji batu berwarna hijau dipercayai zamrud pula jatuh di ruang tamu.
Ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, berkata, dia menyifatkan penemuan batu terbabit sesuatu yang luar biasa dan mungkin ada hikmahnya.
Katanya, semua batu berkenaan kini disimpan dalam bekas khas yang direndam dengan air Zam-Zam.
Harian Metro
14 Oktober 2010
0 comments:
Post a Comment