INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Siapa yang ikut baca al-Quran?

Saturday, August 21, 2010

 


Oleh SHANIKA ABDULLATIB

INI cerita pengalaman seorang sahabat. Ia berlaku lama dahulu ketika dia masih menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi terkemuka di Selangor.

Setiap kali tiba Ramadan dan berkumpul untuk berbuka bersama, pasti cerita ini akan meniti di bibir rakan-rakan yang pernah tinggal sebilik dengannya.

Entahkan ujian atau gurauan alam, dua kali Ramadan di kampus tersebut, dia mengalami perkara yang sama.

Sahabat ini, biar dinamakan Aida sahaja, memang gemar mengaji al-Quran. Ada waktu terluang, pasti kitab suci itu yang akan menjadi temannya.

Menjadi amalan rutin selepas bersolat tarawih di masjid berhampiran, Aida akan meluangkan masa kira-kira sejam untuk membaca al-Quran.

Suatu malam, seperti biasa, Aida duduk di satu sudut di dalam masjid.

Sudah bertahun, semenjak semester pertama lagi, tempat itu menjadi kegemarannya.

Jauh daripada laluan orang ramai dan agak sunyi untuknya menghayati ayat-ayat suci tersebut tanpa gangguan.

Setelah beberapa minit membaca, Aida perasan ada seseorang yang duduk di belakangnya.

Dia sendiri tidak sedar sudah berapa lama wanita berbaju putih itu duduk betul-betul di belakangnya.

Tanpa mempedulikan wanita yang memakai tudung seperti wanita Arab itu, Aida meneruskan bacaan.

Apa yang pasti, wanita itu hanya menunduk setiap kali Aida mengerling ke arahnya.

Cuma, cerita Aida, dia terasa pelik kerana wanita itu mengikut bacaannya dalam nada perlahan namun masih jelas di telinga Aida.

Dibiarkan saja wanita itu begitu. Lagipun, getus hati Aida, suaranya cukup merdu. Tapi apabila ada bacaan Aida yang tidak kena, wanita itu akan menegur.

Imbas Aida, wanita itu akan membaca semula ayat yang salah tadi dan membetulkannya tetapi dalam nada tegas.

Meskipun hairan, Aida mengikut sahaja bacaan seperti yang dibetulkan oleh wanita itu.

Aida sendiri langsung tidak terasa hendak menoleh ke belakang lagi.

Setelah hampir satu jam lebih dan bacaan juzuk itu berakhir, Aida menutup al-Quran dan berpaling untuk berterima kasih pada wanita itu.

Alangkah terkejutnya dia kerana tiada sesiapa pun di belakangnya. Apa yang tinggal hanya bauan wangi di tempat duduk wanita itu.

Setahun berlalu dan Ramadan kembali. Aida masih dengan rutinnya membaca al-Quran sementelah tahun tersebut, dia mengambil beberapa subjek berkaitan pengajian dan tafsir al-Quran.

Hinggalah satu malam, dia seolah-olah dikejutkan untuk bangun bersolat malam dan bertahajud.

Mula-mula Aida menganggap ada rakan sebilik yang menarik ibu jari kaki kanan atau berbisik di telinganya agar dia bangun pada pukul 3.30 pagi.

Anggapannya meleset kerana apabila ditanya, tiada seorang pun rakan yang mengaku mengejutkan Aida.

Sejak itu, dia merupakan orang yang paling awal bangun sama ada untuk bersahur atau solat Subuh.

Ujar Aida, mahu memikirkan hantu, ia hanya berlaku pada bulan Ramadan, yang lazimnya hantu, iblis dan syaitan didakwa dibelenggu pada bulan mulia itu.

Bagi menyedapkan hati, Aida menganggap wanita yang mengaji bersamanya itu adalah jin Islam yang sama-sama mahu menghayati kalam suci itu.

Kali terakhir penulis berjumpa Aida, dia masih ditemani wanita tersebut pada waktu tertentu sepanjang bulan Ramadan.

Kosmo!

22 Ogos 2010

0 comments: