AZIZAH menunjukkan keadaan telekong yang duduk seperti orang bersolat di rumahnya di Bandar Sunggala, Port Dickson semalam.
PORT DICKSON - "Selepas memakai kain sarung saya terkejut melihat telekung yang sebelum ini dalam keadaan berlipat, telah duduk seperti orang sedang bersolat."
Demikian cerita seorang ibu tunggal, Azizah Jalil, 61, ketika hendak bersolat Asar di rumahnya di Bandar Sunggala di sini pada pukul 5 petang Selasa lalu.
Sebelum itu menurut Azizah, pada sebelah malamnya, dia bermimpi berada di sebuah tanah perkuburan Islam di Mekah sebelum menunaikan solat di Masjidil Haram.
"Sejak kejadian itu, saya tidak berani untuk mengusik atau mengalihkan telekong ini. Mungkin ini satu petunjuk daripada Allah dan saya tidak tahu kenapa saya dipilih untuk mengalaminya," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Menurut Azizah, dia tinggal di rumah itu bersama seorang anak lelakinya berusia 25 tahun dan telekung itu sudah lama dibelinya.
Kejadian itu menyebabkan kediaman Azizah menjadi tumpuan jiran-jirannya dan penduduk-penduduk berhampiran yang ingin menyaksikan sendiri telekung berkenaan.
Bagaimanapun, beberapa pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) terpaksa meleraikan telekung berkenaan semalam kerana bimbang ia akan disalah tafsir oleh mana-mana pihak.
Dalam pada itu, Pegawai Agama Islam daerah Port Dickson, Mohd Raizalaini Mohd. Rais berkata, telekung berkenaan terpaksa dileraikan supaya ia tidak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, kejadian itu sudah pasti ada hikmahnya dan sebagai umat Islam, harus menerimanya dengan rela hati serta bertekad untuk terus memperbaiki segala amalan kepada Tuhan.
Kosmo!
14 Mei 2010
0 comments:
Post a Comment