INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Seruan ghaib perigi buta

Tuesday, April 13, 2010

 

Oleh KHAIRI MOHAMAD

SEORANG penduduk menunjukkan perigi di Kampung Laha, Pulau Chondong, Kota Bharu tempat Siti Ramlah terjun selepas mendakwa disuruh berbuat demikian oleh suara ghaib.


Wanita berendam dalam air lebih sejam sebelum diselamatkan

Tidak tahu dari mana datang suara itu, Siti Ramlah Wok, 52, mendakwa dia bagaikan orang hilang akal apabila terdengar suatu arahan ghaib.

Dalam kejadian pada 10 pagi semalam, wanita itu mengikut arahan tersebut dengan menghampiri sebuah perigi buta dan terus terjun ke dalam perigi yang terletak tidak jauh dari rumahnya di Kampung Laha, Pulau Chondong di Kota Bharu, Kelantan.

Sebaik berada dalam perigi yang airnya cuma pada paras pinggang, Siti Ramlah yang seolah-olah baru sedar daripada perbuatannya itu menjerit meminta pertolongan.

Dia yang menghidap penyakit kencing manis kemudian diselamatkan oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang menaikkan mangsa dari perigi yang telah 10 tahun digali dan kini terbiar ekoran musim kemarau.

Suami mangsa, Husin Mat Ali, 63, berkata, inilah kali pertama Siti Ramlah bertindak di luar dugaan.

Sebelum ini tiada penduduk kampung itu yang mengadu mendengar suara ghaib seperti didakwa isterinya.

Perigi itu digali lebih 10 tahun lalu dengan paras kedalaman enam meter.

Bagaimanapun musim kemarau sejak awal tahun ini menyebabkan ia jarang digunakan lagi sehingga ditumbuhi semak.

Ia hanya digunakan sekali sekala oleh penoreh getah di kampung itu untuk mencuci tangan dan peralatan menoreh.

Siti Ramlah yang ditemui memberitahu, sebelum kejadian itu dia sedang berjalan kaki melalui laluan berhampiran perigi itu untuk 'ambil angin'.

Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan perigi yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya, dia mendakwa terdengar suara ghaib yang menyuruhnya terjun ke dalam perigi tersebut.

Sebelum terjun, Siti Ramlah sempat membaca surah al-Fatihah.

"Saya tidak pasti suara itu wanita atau lelaki. Apa yang saya dengar, suara itu mengarahkan saya datang dekat perigi dan terjun.

"Entah macam mana, saya kemudian mendapati saya sudah berada dalam perigi yang airnya pada paras pinggang dan ketika itu badan saya telah dipenuhi lumpur," ceritanya.

Dia yang mula ketakutan mengenangkan suara itu dan berada dalam perigi terus meminta tolong sebelum seorang penoreh getah terdengar jeritannya dan memberikan bantuan.

"Sebelum ini saya tidak pernah mengalami gangguan seperti itu dan kejadian ini benar-benar menakutkan saya," katanya.

Sementara itu, suami mangsa, Husin Mat Ali, 63, berkata, ketika kejadian dia menoreh getah tidak jauh dari rumahnya.

"Saya tidak sangka isteri saya terjun ke dalam perigi itu kerana dia tidak menghadapi masalah lain kecuali kencing manis sejak beberapa tahun lalu," ujarnya.

Katanya, sebelum ini tidak pernah berlaku kes orang terjun ke dalam perigi itu apatah lagi mendengar suara ghaib.

Dalam pada itu, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang telah menyelamatkan Siti Ramlah selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.15 pagi.

Mereka mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa dari perigi itu.


Info Kes Suara Ghaib

10 Mac 2010
Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Kangar, Perlis cedera parah akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah selepas mendakwa terdengar satu bisikan suara ghaib yang menyuruhnya terjun.

4 Februari 2010
Seorang pemuda berusia 20 tahun bertindak menikam bapanya sehingga mati manakala abangnya cedera parah selepas mendakwa bisikan suara seorang gadis bernama Siti Aisyah menyuruhnya berbuat demikian di Kampung Duyung Wan Su, Duyong Besar, Kuala Terengganu.

5 Januari 2010
Seorang pemuda, Rasidi Ismail mendakwa dia mendapat arahan dari langit untuk membunuh empat ahli keluarganya termasuk bapa dan adiknya di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Seremban.

5 Mei 2006
Seorang bekas krew syarikat produksi televisyen Azwanizam Mat Desa didakwa membunuh isterinya, Azmah Mohamad di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Hiliran Ampang selepas terdengar suara yang mengatakan isterinya curang.

7 Januari 2005
Seorang mangsa tsunami, Rizal Shahputra mendengar suara ghaib yang mengingatkan dia supaya tidak tidur jika mahu terus hidup ketika hanyut dari Acheh ke Klang.

25 September 1999
Bekas ahli geologi Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz didakwa membunuh isterinya di Bukit Damansara selepas terdengar suara ghaib yang memberitahu isterinya telah berlaku curang.

Kosmo!

14 April 2010

0 comments: