Oleh Hazirah Che Sab
Sehingga hari ini tiada sesiapa pun dapat mengesahkan kewujudan makhluk misteri yang dikatakan mendiami Tasik Ness
TEKA-teki mengenai betul atau tidak kewujudan Nessie, makhluk gergasi yang mendiami Tasik Ness atau lebih dikenali Loch Ness di Scotland, masih menjadi perbualan walaupun kelibat makhluk itu dikatakan dilihat pada abad keenam. Kemunculannya pada era moden ini cuma menghangatkan perdebatan terutama dengan bukti lebih nyata seperti gambar.
Namun sehingga kini ia masih menjadi misteri kepada dunia, apatah lagi dengan kelibatnya cuma dilihat pada waktu dan orang tertentu saja.
Pada awal 1930-an, sebatang jalan baru yang dibina di sekitar Loch Ness memberikan pandangan baru kepada pengguna jalan raya itu. Kelibat Nessie buat pertama kali dilihat oleh lelaki dinamakan sebagai Spicer dan isterinya pada 22 Julai 1933, yang memandu melalui jalan berkenaan. Mereka ternampak seekor haiwan besar melintasi jalan dengan susah payah kira-kira 18 meter di depan. Mereka jelas melihat sebatang leher panjang, lebih tebal berbanding belalai gajah dan tubuh amat besar bergerak ke arah Loch Ness.
Haiwan itu hilang dalam semak tetapi laporan kejadian itu menarik minat antarabangsa dengan tawaran hadiah lumayan diberikan untuknya sama ada hidup atau mati.
Pemilik Sarkas Nessie, Bertram Mills, menjanjikan ganjaran sebanyak £20,000 (RM97,000) kepada sesiapa yang boleh membawa haiwan itu hidup-hidup ke sarkasnya.
Salah satu gambar raksasa itu berjaya diambil oleh pekerja syarikat British Aluminium, Hugh Gray, menunjukkan ia menggeliat dan mencetuskan kocakan air di permukaan Loch Ness. Dia cuma melihat sebahagian haiwan itu yang dianggarkan sekitar 12 meter panjang termasuk bahagian belakang dan ekor.
Pada 5 Januari 1934, seorang penunggang motosikal hampir bertembung dengan haiwan gergasi itu ketika dalam perjalanan pulang dari Inverness. Ia sekitar jam 1 pagi dan keadaan agak cerah kerana diterangi bulan. Ketika Grant menghampiri Abriachan di timur laut tasik itu, dia ternampak satu bentuk besar di kanan jalan itu.
Sebaik mendekati objek berkenaan, Grant melihat kepala kecil bersambung dengan leher panjang. Haiwan itu menyedari kehadiran Grant dan segera kembali ke tasik.
Kejadian 5 Jun 1934 dianggap penting tetapi tidak disebarkan meluas membabitkan seorang remaja perempuan yang diupah menjadi pembantu rumah di kediaman berhampiran tasik itu. Pada kira-kira jam 6.30 pagi ketika remaja itu memandang ke tasik dari tingkap biliknya, dia melihat ‘antara haiwan paling besar pernah dilihat dalam hidup’ tidak jauh dari situ.
Gambaran mengenai haiwan itu sama dengan orang lain iaitu leher seperti zirafah, kepala kecil, kulit seperti gajah dan kaki kecil di depan. Dia melihat haiwan itu kira-kira 20 minit sebelum ia memasuki tasik dan hilang.
Beberapa siasatan yang dibiayai secara peribadi dilakukan pada tahun sama, tetapi kebanyakannya gagal menemui haiwan misteri itu. Namun terdapat satu ekspedisi yang mencatat kejayaan tersendiri yang diketuai Edward Mountai pada Julai 1934. Dalam tempoh membuat penyelidikan dan siasatan, dia memperoleh lima gambar gergasi tasik itu.
Namun Nessie dan misterinya semakin hilang apabila ancaman perang dengan Jerman memuncak. Ketika perang, Loch Ness dikawal tentera laut dan kawasan sekitarnya turut diawasi. Namun ia tidak menghalang Nessie menjadikan dirinya sebagai tajuk utama.
Pada Mei 1943, C B Farrel, dari Perbadanan Pemantauan Diraja sedang bertugas untuk memberi amaran mengenai kedatangan pengebom musuh tetapi sebaliknya memantau pergerakan seekor haiwan besar pada jarak 228 meter. Dia melihat haiwan sepanjang 10 meter dan leher dianggarkan sepanjang 1.5 meter di permukaan air. Mata, jelasnya, besar dan kelihatan ‘sirip’ pada tubuh haiwan berkenaan. Ia akhirnya tenggelam tanpa sedikit pun mengocakkan air.
Pada 1951, satu gambar baru seakan-akan mengesahkan kewujudan Nessie. Pada 14 Julai kira-kira jam 6.30 pagi, Lachlan Stewart, yang bekerja sebagai pemotong kayu, melihat sesuatu yang besar bergerak keluar dari tasik. Ia akhirnya hilang begitu saja.
Nessie mungkin boleh muncul dan hilang begitu saja tetapi tanda tanya mengenai apakah sebenar yang mendiami tasik itu sehingga kini tidak dapat dirungkaikan.
Berita Minggu
4 April 2010
0 comments:
Post a Comment