INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Info keranda mengikut etnik

Monday, April 12, 2010

 

Keranda Erong

Erong, keranda tersohor di kalangan sekumpulan masyarakat Melayu-Polynesia yang mendiami kawasan tanah Toraja di daerah Sulawesi Selatan tidak kurang hebatnya.

Disebut orang Toraja, sebahagian besar golongan ini masih mempercayai amalan animisme, terikat dengan amalan ritual seperti pemujaan roh dan semangat, mempunyai pandangan hidup sendiri terhadap alam kematian dan kuasa kosmos.

Rambu Solo adalah upacara pemakaman bagi masyarakat itu yang masih berpegang kuat kepada kepercayaan Aluk To Dolo.

Menurut kepercayaan ini, semakin tinggi tempat mayat diletakkan, maka semakin cepat rohnya menemui tuhan serta syurganya.

Erong atau keranda ini diukir dalam pelbagai bentuk, antaranya menyerupai binatang (kerbau atau babi), perahu dan lesung. Setiap bentuk dan ukiran mewakili nilai serta status tertentu masyarakat, misalnya, yang berbentuk kerbau atau tangkonan (rumah) menandakan si mati adalah kalangan bangsawan.

Erong berbentuk babi, lesung dan rumah dikhaskan kepada masyarakat kelas menengah dan orang biasa. Keranda jenis ini didatangkan secara polos tanpa ragam hias menawan.

Erong dengan penutup diibaratkan seperti bumbung rumah. Lazimnya, ia direka khas bagi erong kerbau. Penutup mirip tanduk kerbau itu dikatakan sebagai tindak balas masyarakat terhadap peraturan kosmos iaitu penutup melambangkan atap syurga, manakala badan tempat menyimpan mayat ditafsirkan sebagai alam bumi.

Pengebumian suku kaum Bateq daripada kelompok Negrito yang menghuni beberapa kawasan di Kuala Tahan dan Kuala Lipis ringkas, namun sesuai mengikut adat resam serta struktur muka buminya. Penghormatan dilakukan dengan meletakkan mayat di atas para kayu yang dibina atas dahan sebatang pokok besar lagi rimbun.

Sesetengahnya diletak di ancak iaitu gantungan diperbuat daripada kayu atau rotan sebelum ditempatkan di pokok. Ketinggian ancak bergantung kepada kesesuaian, misalnya, mayat dipastikan tidak diganggu dan dicekuh binatang darat, selain semakin tinggi tempatnya, semakin dapat dihindari bau busuk mayat berkenaan.

Sebelum penggunaan keranda papan, mayat suku kaum Mah Meri daripada kelompok Senoi terdahulu disemadikan dalam jalinan buluh dan rotan yang sekali pandang mirip bubu ikan. Sesudah dibalut dengan kulit kayu terap atau kayu mabang, si mati dimasukkan dalam jalinan buluh tadi lalu dikebumikan.

Perahu keranda dibentuk daripada kayu padu dan banyak dijumpai di gua Kain Hitam, Niah mendedahkan kepada pengunjung mengenai amalan pengebumian manusia prasejarah. Ia sebenarnya direka khusus pengebumian sekunder iaitu setelah mayat reput, tulangnya dikumpulkan untuk dikebumikan semula.

Penemuan menakjubkan ini selalunya disertai dengan lukisan primitif di gua yang mengisahkan perjalanan si mati ke alam roh. Lukisan berkenaan ditafsirkan sebagai ‘perjalanan perahu kematian’. Salah sebuah keranda ditemui dianggarkan berusia lebih 1,000 tahun berdasarkan rekod penemuan beberapa seramik dari China dikira menerusi pentarikhan radiokarbon dipercayai wujud di antara 1 hingga 780 Masihi.

Pengebumian tempayan juga dikategorikan sebagai amalan sekunder dan kewujudannya dikesan sejak zaman prasejarah neolitik membabitkan kawasan Kepulauan Melayu khasnya masyarakat pelaut yang tinggal di pesisir pantai.

Penemuan tempayan tembikar berfungsi sebagai tempat menyimpan tulang manusia membuktikan kesahihannya. Tempayan berkenaan dipercayai disimpan dan disembunyikan di gua batu dan celah banir pokok. Selain mempunyai bentuk unik, di badan tempayan dipaparkan ragam hias yang dapat menggambarkan pengembaraan roh ke alam akhirat.

Kaedah pengebumian tempayan turut dikesan di kalangan masyarakat pribumi Filipina, khususnya di kawasan utara Pulau Luzon, Mindanao, Palawan, Lembah Cagayan dan beberapa kawasan lain.

Sebelum 1951, dilaporkan pengebumian seumpamanya dipraktikkan masyarakat Tagbanwa di Pulau Palawan terutama di kalangan bidan dan dukun (babalyan) yang begitu dihormati di kalangan masyarakat. Mayat mereka diletakkan di pelantar berlapik tikar, dibiarkan sehingga daging terlerai dari tulang dan akhirnya tinggal rangka. Tulang-tulang berkenaan kemudiannya disemadikan dalam tempayan dan diberi tempat khas dalam rumah.

Dipetik dari artikel Darjat Keranda tulisan Bennie Zie Fauzi yang disiarkan di akhbar Berita Minggu 4 April 2010

0 comments: