Oleh NOR SHAFAWATI YUP
KUALA LUMPUR - Seorang pengkaji makhluk asing tempatan, Ahmad Jamaludin (gambar) meramalkan objek terbang yang tidak dikenali (UFO) akan muncul sekali lagi dalam masa tiga bulan ini di ruang udara Lembah Klang.
Pengkaji UFO bebas dari Kuala Terengganu itu berkata, kebiasaannya, tiga bulan merupakan waktu maksimum bagi UFO untuk muncul.
"Tengok dalam masa tiga bulan mungkin akan ada UFO yang muncul di kawasan sama terutama di Lembah Klang dan Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau mengulas imej yang dilihat di ruang udara Damansara Damai, Petaling Jaya pada malam 12 Mac lepas yang berjaya dirakam oleh penghuni sebuah kondominium, Mohd. Zulfikar Abdul Rahman dari balkoni rumahnya pada pukul 7.11 malam hari yang sama.
Ahmad turut menyifatkan bahawa imej yang dilihat itu kemungkinan besar adalah UFO pertama yang muncul pada tahun ini di kawasan Asia Tenggara.
Beliau berkata, UFO akan melintasi kawasan Asia Tenggara setiap 10 tahun sekali apabila tiba masanya.
"Kali terakhir UFO muncul di kawasan Asia Tenggara ialah di Malaysia pada tahun 1999 dan sepatutnya ia muncul pada tahun lepas tetapi tiada dan kemungkinan imej yang dilihat itu adalah UFO," katanya.
Ahmad menjelaskan bahawa pada tahun lepas, UFO telah muncul di China dan kemungkinan besar ia muncul di Asia Tenggara pada tahun ini.
Beliau juga berpendapat, kemunculan UFO itu mempunyai hubungkait dengan kejadian gempa bumi yang berlaku di Empangan Kenyir pada 10 Mac lepas.
Gempa bumi berukuran 2.6 pada skala Richter itu berpusat 43 kilometer barat daya Kuala Terengganu dan 22 kilometer barat Kuala Berang, Terengganu.
"Sebelum ini, UFO yang muncul di Malaysia dikaitkan dengan gempa bumi yang berlaku di Sumatera, Indonesia.
"Tapi dalam kes ini, UFO tersebut muncul selepas gempa bumi di Empangan Kenyir," ujarnya.
Kemunculan UFO tersebut juga membuktikan bahawa kajian Ahmad mengenai kehadiran UFO yang mempunyai pertalian kuat dengan kejadian gempa bumi sebelum ini ada kebenarannya.
Info kaitan antara UFO dan Gempa Bumi
UFO didapati muncul di antara tempoh 24 jam hingga tiga bulan selepas atau sebelum sesuatu kejadian gempa bumi berlaku, bergantung kepada kekuatan gegaran.
Dalam konteks Sumatera, jika gempa bumi berlaku di kawasan utara dengan magnitud lima pada skala Richter, UFO akan muncul di sebelah utara Semenanjung Malaysia.
Jika gegaran lebih kuat, kemunculan objek UFO boleh pergi lebih jauh, contohnya di Kelantan dan Terengganu.
Sumber: Pengkaji bebas UFO, Ahmad Jamaludin.
Kosmo!
15 Mac 2010
Buskers
10 years ago
0 comments:
Post a Comment