INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Ramalan maut

Sunday, March 14, 2010

 

Oleh Hazirah Che Sab

Bangunan Dakota Apartmen tempat John Lennon ditembak mati.


Misteri ahli psikik teka kematian bintang rock belum terungkai

DI Barat, khidmat ahli psikik bukan lagi satu perkara luar biasa di kalangan masyarakatnya yang rata-ratanya tiada pegangan. Istilah kejadian yang diramalkan berlaku secara kebetulan, seakan tidak diterima. Bagi mereka, kelompok seperti pakar psikik itu memang memiliki anugerah istimewa dan benar-benar dapat melihat kejadian bakal berlaku.

John Lennon


Pada 8 September 1980, seorang ahli psikik Amerika Syarikat, Alex Tanous, ditemubual oleh Lee Spiegel untuk rancangan Unexplained Phenomena bagi siaran Radio NBC. Ia diadakan secara langsung dan dilakukan di pejabat Persatuan Penyelidikan Psikik Amerika yang terletak di West 73rd Street di New York City. Spiegel meminta Tanous membuktikan kebolehannya membuat satu ramalan, lebih kepada sesuatu yang menarik minat pendengar rancangan berkenaan, yang kebanyakannya dalam kumpulan usia 18 hingga 35 tahun.

Tanous terdiam seketika, seolah-olah memberi tumpuan dan kemudian berkata: “Seorang bintang rock terkenal akan berdepan maut yang tidak tentu masanya dan ini boleh berlaku pada bila-bila masa. Saya berkata ‘tidak tentu masanya’ kerana ada sesuatu yang aneh mengenai kematiannya, tetapi tetap memberi kesan kepada ramai orang kerana kemasyhurannya. Bintang itu dilahirkan di negara lain tetapi menetap di Amerika.”

Selepas menyatakan ramalannya, Tanous merenung bangunan yang terletak bertentangan pejabatnya - bangunan tinggi mewah dikenali sebagai Apartment Dakota.

Tiga bulan kemudian, pada malam 8 Disember, sebuah limosin berada di luar bangunan mewah berkenaan pada jam 10.50 malam dan Yoko Ono, dilihat keluar daripada kenderaan itu. Suaminya, John Lennon, bintang dan penyanyi kumpulan The Beatles yang digilai ramai, menyusulinya beberapa saat kemudian, sambil membimbit beberapa kaset daripada sesi rakaman. Ketika John berjalan menuju ke Apartmen Dakota, dia mendengar suara di belakang yang memanggilnya namanya.
John berpaling dan melihat Mark Chapman, 25, berada pada jarak enam meter sambil mengacu pistol .38 Undercover Special ke arahnya. Sedetik kemudian, Chapman melepaskan tembakan ke arah anak kelahiran Liverpool yang paling terkenal dan paling disayangi.

Penyanyi itu tersungkur di depan pintu masuk bangunan. Beberapa minit kemudian John dimasukkan ke tempat duduk belakang sebuah kereta polis yang bergegas membawa dia ke hospital berdekatan.

Ketika kereta polis itu melanggar lampu isyarat di Broadway, pegawai polis James Moran, seorang peminat setia Beatles ketika muda, bersandar dan bercakap dengan John dalam usaha memastikan penyanyi itu dalam keadaan sedar. Moran amat terkejut dengan kejadian itu dengan kepada idolanya yang sedang nazak, dia sempat bertanya: “Adakah awak John Lennon?” Dengan nafas yang tersekat-sekat, John berkata ‘Ya’ dan itulah kata-kata terakhir yang diucapkan John Lennon. Dia adalah orang ke-70 ditembak di New York City tahun itu.

Di Britain, sepanjang tempoh hampir tiga abad politik negara itu, cuma seorang Perdana Menteri dibunuh iaitu Spencer Perceva. Pembunuhnya dikenali John Bellingham.

Kematian Perceval sudah diketahui lebih awal oleh seorang pegawai perbankan di Cornwall, John Williams, dalam mimpi yang dialaminya pada 3 Mei 1812. Dalam mimpi aneh itu Williams mendapati dirinya berdiri di lobi Parlimen dan melihat seorang lelaki memakai kot biru dan baju putih memasuki Parlimen.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki lain dengan tiba-tiba mengeluarkan pistol dan menembak lelaki berkot biru. Mimpi itu seolah-olah kejadian sebenar sehingga Williams dapat melihat peluru menembusi bahagian kiri dada mangsa.

Terkejut dengan kejadian itu, dalam mimpinya Williams mendapatkan sekumpulan orang di lobi dan bertanya siapa yang ditembak dan seseorang menjawab mangsa adalah Perdana Menteri, Spencer Perceval.

Pada tengah hari 11 Mei tahun itu, Perceval meninggal kediaman rasminya dan memutuskan untuk berjalan ke Parlimen. Pada jam 5.15 petang, Perceval memasuki lobi Parlimen dan beberapa minit kemudian, Bellingham mengeluarkan pistol. Dia bersembunyi di belakang tiang dan melepaskan tembakan yang terkena bahagian kiri dada Perdana Menteri itu.

Mendengar berita pembunuhan itu, Williams segera ke London. Dia terkejut apabila melihat gambar yang dicetak kerana setiap perincian yang digambarkan sama seperti dalam mimpinya, daripada warna baju dan kedudukan tepat luka tembakan di dada, kepada rupa Perceval dan Bellingham.

Selepas itu, Williams tidak lagi melihat apa yang bakal terjadi dalam mimpinya. Mengapa dan bagaimana pegawai bank itu dapat menyaksikan masa depan sehingga kini masih menjadi misteri.

Berita Minggu

14 Mac 2010

0 comments: