INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Lubuk maut Tasik Michigan

Tuesday, March 30, 2010

 

Oleh Hazirah Che Sab

KETENANGAN Tasik Michigan simpan seribu satu keanehan.


Lebih 40 pesawat hilang di kawasan perairan Amerika Syarikat

KAWASAN Segi Tiga Bermuda bukanlah satu-satunya tempat yang menyimpan 1,001 macam misteri kerana Tasik Michigan di Amerika Syarikat, turut berkongsi karektor sama.

Malah, ia dikatakan menjadi tempat kemunculan kapal hantu, kehilangan aneh malah kelibat piring terbang juga pernah dilaporkan kelihatan di situ.

Bill Wangemann - sejarawan Wisconsin, yang menghabiskan usianya mengumpul kisah segi tiga Tasik Michigan turut mengakui wujudnya kehilangan kapal secara tiba-tiba dengan misterinya belum terlerai sehingga ke hari ini. Catatan penulis, Linda S Godfrey bukunya bertajuk ‘Weird Michigan,’ kisah aneh di tasik itu bermula dari bandar Ludington ke Pelabuhan Benton di Michigan dan kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, misteri tidak berakhir dengan kapal yang karam saja kerana hampir 40 pesawat juga dilaporkan turut hilang sebaik melintasi Tasik Michigan. Pesawat paling diingati ramai adalah yang membabitkan Northwest 2501 yang berlepas dari New York ke Minneapolis pada Jun 1950. Ia bagaimanapun menjunam ke Tasik Michigan berhampiran Pelabuhan Benton dan tiada yang terselamat dalam nahas itu.

Tidak lama kemudian, ada pihak mendakwa melihat kelibat piring terbang di angkasa. Malah, ada banyak laporan mengenai objek asing yang kelihatan serta pesawat ‘hantu’ atau ghaib sehingga memaksa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan menubuhkan perkhidmatan khas di tasik itu bagi menghimpunkan laporan kehadiran objek asing di angkasa.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menghalang beribu perjalanan yang dilakukan melintasi kawasan tasik itu. Kapten Kevin Fitch yang bertugas dengan Feri Badger sudah berlayar di perairan Tasik Michigan hampir 30 tahun.
“Saya pernah mendengar mengenainya, tetapi saya tidak begitu percaya. Saya tidak pernah melihat sesuatu yang aneh sepanjang melakukan beribu pelayaran merentasi tasik ini. ” katanya.

“Ada banyak kisah berbeza berlaku di situ dan orang hilang, kelasi lenyap daripada kapal dan sesetengahnya mendakwa sesuatu luar biasa berlaku di situ,” katanya.

Bangkai kapal layar Rosa Belle dan kehilangan 11 krew dan penumpang, pernah mengejutkan Amerika Syarikat pada tahun 1921. Ia ditemui sebuah feri pada 30 Oktober dan terapung dalam keadaan terbalik. Kapten feri berkenaan berkata ia melihat Rosa Belle bertembung dengan sebuah kapal lain tetapi anehnya, tiada pula sebarang catatan mengenai kapal lain berlanggar pada minggu berkenaan. Dan misteri yang berlaku kepada Rosa Belle tidak pernah terungkai sehingga ke saat ini.

Lebih pelik, kejadian yang menimpa Rosa Belle seolah-olah pernah berlaku. Sebuah kapal karam di kawasan sama dan hanyut ke pantai berhampiran Grand Haven, Michigan, pada Ogos 1875. Sepuluh anggota krew hilang dan bangkai yang ditemui dibina semula.

Antara misteri paling pelik ialah kehilangan kapal layar Thomas Hume, yang lesap tanpa kesan di Tasik Michigan pada 21 Mei 1891 ketika dalam pelayaran dari Chicago ke Muskegon untuk mengangkut papan. Tujuh kelasi termasuk Kapten George C Albrecht, hilang bersama-sama kapal berkenaan.

Walaupun pencarian dilakukan di seluruh tasik berkenaan, tiada sekeping papan pun ditemui. Kelasi lama membuat spekulasi bahawa Hume, kapal kayu, tidak akan karam tanpa bangkainya terapung. Sehingga kini, kehilangan Hume juga masih misteri.

Antara kisah paling terkenal adalah mengenai anggota krew yang hilang termasuk kapal pengangkut, O M McFarland. Pada April 1937, Kapten George Donnor menuju ke Port Washington, Wisconsin.

“Dia memutuskan untuk tidur sebentar di kabin dan memberi arahan untuk dikejutkan pada jam 6 petang. Dia kemudian ke kabinnya dan terus hilang. Kabin itu dikunci dari dalam dan tiada siapa tahu apa berlaku kepadanya sehingga hari ini,” kata Wangemann.

Ada juga kisah penumpang kapal yang mendakwa melihat raksasa berwarna hijau. Apa pun, misteri yang melingkari Tasik Michigan masih menjadi sesuatu yang menarik untuk terus diikuti.

Berita Minggu

21 Mac 2010

0 comments: