Graduan Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Petronas, David Lai, berupaya membengkokkan garpu dan membaca fikiran orang menggunakan kuasa minda.
MEMBENGKOKKAN sudu besi dan duit syiling di samping boleh membaca apa yang sedang difikirkan seseorang hampir mustahil dilakukan oleh individu biasa.
Namun, bagi David Lai, 23, semua itu perkara mudah baginya.
Bukan untuk berlagak handal tetapi David Lai yang berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Perak, telah menjadi mentalis selama hampir 10 tahun.
Berasal dari Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, anak sulung kepada pasangan jurutera dan guru ini memberitahu, beliau mempelajari kemahiran itu sejak kecil lagi.
"Mulanya saya hanya gemar bermain daun terup tetapi kemudian beralih kepada kemahiran mentalis. Sebenarnya saya amat kagum dengan ahli silap mata David Copperfield dan ingin menjadi sepertinya.
"Untuk menguasai kemahiran ini saya banyak belajar daripada buku dan juga melakukan eksperimen di rumah sebanyak beribu-ribu kali.
"Sebenarnya ia hanya mengenai penguasaan minda dan tidak melibatkan unsur lain seperti jin. Tetapi ia amat memenatkan kerana minda harus fokus sepenuhnya," kata David sambil menunjukkan kemahirannya kepada krew Jurnal.
Pada petang itu penulis sengaja membawa sendiri duit syiling 20 sen dan garpu perak yang keras untuk memastikan kemahiran lelaki ini bukan satu helah.
Terkejut sungguh penulis kerana David dapat membengkokkan garpu dan duit syiling itu dengan hanya menggosok kedua-dua objek besi itu dalam masa kurang 10 saat.
Jurujual
Ujar lelaki ini, beliau mungkin individu pertama di negara ini yang mempunyai kemahiran mentalis - istilah yang menurut David berbeza daripada ahli silap mata.
Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain terdapat beribu-ribu mentalis. Di Amerika terdapat Uri Geller, 64, yang dapat menghentikan putaran jarum jam tangan atau membuatkannya bergerak lebih laju.
Darren Brown, 39, berasal dari Purley, utara London, pula mampu menilik nasib buruk dan baik seseorang dengan hanya menggunakan daun terup.
Di negara jiran, Indonesia, Deddy dikatakan mampu mencairkan benda-benda yang diperbuat daripada besi selain boleh membaca fikiran orang lain.
Dia juga mampu menunggang motosikal dalam keadaan mata tertutup dan berjalan di atas air.
David mula membuat persembahan di jalanan semasa berumur 14 tahun.
"Bayangkan dari rumah di Shah Alam saya menaiki LRT untuk ke Pasar Seni, KLCC dan Petaling Street hanya untuk membuat persembahan secara bersendirian.
"Respons yang diterima cukup baik tetapi ada juga yang beranggapan saya dieksploitasi oleh individu tertentu. Segelintir lagi takut menghampiri saya kerana menyangka saya seorang jurujual yang ingin menjual barangan kepada mereka," kenang David ketawa.
David membuat persembahan secara profesional sejak memasuki UTP.
"Saya pernah membuat persembahan membengkokkan sudu kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad di UTP dan meneka dengan tepat perkataan yang sedang difikirkan bekas Perdana Menteri itu. Perkataan itu ialah 'weight listen'.
Dr. Mahathir
"Dr. Mahathir terkejut dengan kemahiran saya dan bertanyakan umur saya. Apabila saya memberitahunya saya baru berusia 17 tahun, beliau terus mengajak saya minum dan bersembang.
"Dr. Mahathir turut menasihatkan saya supaya lebih bersungguh-sungguh mempelajari kemahiran itu di samping berjaya dalam pelajaran.
"Begitu juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes yang turut mengajak saya minum selepas melihat persembahan saya," katanya.
Seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri kini, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menyaksikan kehebatan David.
Ujar David lagi, kini beliau banyak membuat persembahan di luar negara di samping memenuhi undangan daripada sektor korporat dan kerajaan di negara ini.
"Kebanyakan persembahan saya adalah di Mesir kerana mereka gemarkan magis.
"Saya turut membuat persembahan bersama pelawak terkenal, Harith Iskandar," katanya yang mengakui persembahan di luar negara boleh menjana pendapatan yang lumayan.
Bercerita mengenai pengalaman lucu pula, David mengatakan dia tidak lagi membengkokkan kunci penonton kerana selepas diluruskan kembali banyak yang tidak dapat digunakan lagi.
"Dahulu persembahan itu yang paling diminta penonton tetapi ramai yang mengadu tidak dapat masuk ke rumah atau memandu kereta sehingga terpaksa membuat kunci yang baru.
"Penonton juga suka meminta saya membaca apa yang ada dalam fikiran mereka sedangkan itu yang paling sukar dilakukan.
"Malah ada masanya saya gagal untuk mendapat jawapan yang tepat kerana ada yang mengubah fikiran selepas itu.
"Tetapi saya juga manusia yang mempunyai kelemahannya," kata David merendah diri.
Beliau juga mengaku kerap bertukar teman wanita kerana sikap mereka yang gemar meminta David menunjukkan kemahirannya kepada mereka.
"Kerap mereka meminta saya bengkokkan garpu dan membaca minda mereka, susah juga
"Ada juga teman wanita yang risau saya mengetahui apa yang mereka fikirkan," ujarnya yang menggunakan kemahiran silap mata dan mentalis dalam setiap persembahannya.
Bagi aktor terkenal, Hans Isac yang pernah menonton persembahan David, mentalis tempatan itu mampu pergi jauh dalam kerjayanya kini.
"Beliau masih muda dan mempunyai banyak masa untuk berlatih tetapi saya percaya dia mampu menjadi ikon untuk mengharumkan nama negara kelak," katanya.
Pembantu David, Teresa Chan pula berkata sepanjang bekerja dengan lelaki itu ternyata David seorang yang bersungguh-sungguh dalam kerjayanya.
"Dia sanggup membuat latihan siang dan malam bagi memastikan setiap persembahan mendapat sambutan hangat penonton.
"Di Mesir sendiri persembahannya ditonton oleh lebih 3,000 orang malah disaksikan menteri-menteri kerajaan di sana," katanya bangga.
Kosmo!
8 Mac 2010
0 comments:
Post a Comment