Pemakaian baju merah dilarang ketika berada di Tasik Loagan Bunut. BAGI wanita kaum Berawan yang majoritinya berkulit cerah, pakaian terang seperti warna kuning dan merah sangat sesuai bagi mereka kerana ia menyerlahkan kecantikan semula jadi dan menambah seri muka pemakai terutama bagi anak gadis.
Namun, pakaian merah bagi lelaki membawa maksud tidak baik dan dilarang sama sekali dipakai ketika berada di Tasik Loagan Bunut atau di hutan kerana warna merah dianggap milik mutlak penunggu atau penjaga tasik berkenaan.
Sekiranya masih ada yang berdegil dengan melanggar pantang larang, mereka akan ditimpa musibah seperti sakit teruk bahkan ada beberapa kes kematian berlaku dikatakan berpunca daripada kepercayaan kuno itu.
Kejadian itu menyebabkan kepercayaan tradisi semakin menebal walaupun perubahan zaman menyaksikan banyak amalan lama terhapus. Atas sebab itulah, sepanjang tempoh tiga hari berada di sana, kami langsung tidak pernah melihat golongan lelaki berpakaian baju merah.
Daripada memakai pakaian yang dilarang, mereka kelihatan lebih selesa memilih untuk langsung tidak berbaju ketika berada di rumah apatah lagi ketika menangkap ikan di tasik. Bagaimanapun, bagi wanita terutama anak muda, mereka kelihatan masih gemar dan suka berbaju warna terang tetapi ia cuma dipakai ketika berada di rumah panjang.
Sepanjang tempoh tinggal bersama kaum Berawan, kami cuma pernah melihat hanya ada seorang anak gadis yang memakai baju T merah berada di rumah panjang Long Bunut.
Ketua Rumah Panjang Long Bunut, Meran Surang, 67, berkata kepercayaan itu diamalkan sejak beratus tahun lalu dan beliau sendiri pernah beberapa kali ternampak penunggu tasik bermata merah terbang berlegar antara Pulau Bukit Tengah, Sungai Bunut serta Sungai Buran.
“Penunggu itu menjaga kawasan tasik. Saya pernah ternampak cahaya merah seakan-akan sebiji bola api melintasi tasik, terbang dan singgah antara pulau kecil di sana. Anak saya juga pernah nampak antara jam 2 hingga 3 pagi.
“Kami percaya penunggu itu mengawasi kawasan tasik dan sebab itulah juga orang luar tidak berani menceroboh kawasan tasik yang dikhaskan untuk kaum Berawan. Ini bukan cerita lama, tetapi sampai sekarang pun masih ada,” katanya dengan mimik muka berkerut seolah-olah menggambarkan ketakutan.
Menguatkan lagi kepercayaan itu, Meran berkata pernah berlaku kes hampir 10 tahun lalu membabitkan seorang peserta ekspedisi menjelajah tasik meninggal dunia akibat demam panas teruk selepas melanggar pantang larang.
Baju merah hanya dipakai penduduk Berawan di kawasan rumah panjang.
“Asalnya, lelaki itu tidak mahu ikut rombongan menaiki bot ke tasik dan buat keputusan saat akhir. Beliau memakai baju merah, kami dah larang dan arahkan supaya tukar baju lain, tetapi dia tetap berdegil,” katanya.
Sebaik saja ekspedisi berakhir di sebelah petang, mangsa terus mengalami demam panas yang teruk dan meninggal dunia pada pagi keesokannya.
Selain larangan itu, kaum Berawan terutama nelayan tasik juga dilarang keras daripada terlalu berseronok sekiranya mendapat hasil tangkapan yang banyak kerana ia dianggap sebagai tidak bersyukur dan lupa diri.
Sekiranya mereka lupa diri, kaum itu percaya mereka akan ditimpa musibah termasuk bot karam atau terbalik, tangkapan terlepas atau sesuatu yang buruk akan berlaku terhadap keluarga mereka yang tinggal di rumah panjang.
“Pantang larang ini bukannya baru, sudah lebih 100 tahun diamalkan dan kami tidak pernah melanggarnya. Tradisi ini akan terus kekal,” katanya.
Dicuplik dari akhbar Berita Harian
0 comments:
Post a Comment