BECKETT (kiri) membalut tubuh mumia wanita di Muzium Barnum, Bridgeport pada Selasa lalu. BRIDGEPORT - Sekumpulan penyelidik di Amerika Syarikat (AS) kini menggunakan teknologi imbasan terbaru untuk menganalisis satu mumia wanita dari Mesir dalam usaha merungkai rahsia kehidupan di zaman purba.
Antara jawapan yang dicari termasuk sama ada satu paket misteri dalam mumia itu merupakan persembahan kepada dewa-dewa bagi membantu wanita tersebut di alam kehidupan selepas mati.
Beberapa penyelidik itu berkata, imbasan yang dilakukan di Universiti Quinnipiac di sini semalam turut berperanan untuk menentukan usia mumia dan mengenal pasti sama ada si mati pernah melahirkan anak.
"Setiap mumia mempunyai kisah yang tersendiri. Setiap maklumat yang diperoleh dapat membantu kami untuk lebih memahami dunia Mesir purba," kata pengarah bersama Institut Bioantropologi Universiti Quinnipiac, Ronald Beckett.
Menurutnya, wanita tersebut dipercayai bukan berasal daripada keturunan bangsawan kerana analisis gigi mendapati dia makan makanan yang dimakan penduduk bukan bangsawan pada zaman itu.
Mumia itu yang dikenali sebagai Pa-Ib dan dipercayai berusia kira-kira 4,000 tahun sebelum ini disimpan di Muzium Barnum di sini sejak tahun 1890-an.
Ia dihantar ke kampus universiti berkenaan dengan diiringi kawalan ketat polis.
- AP
Kosmo!
15 Januari 2010
0 comments:
Post a Comment