INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Geliga lipan tarik duit

Sunday, January 17, 2010

 

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

Menjadi buruan kaki kasino dan ‘penarik harta’.

PERBANDINGAN geliga lipan (dalam bulatan) dengan batu-batu geliga jenis lain. Geliga lipan kadangkala dijual pada harga yang tidak masuk akal iaitu RM10 juta sebutir.


MENURUT cerita yang didengar daripada golongan yang taksub memiliki batu geliga lipan, kelebihan butiran berwarna merah coklat ini sangat menakjubkan.

Mempunyai keupayaan tembus pandang, sesetengah pemiliknya dikatakan berupaya mengetahui dan melihat sesuatu yang terselindung, contohnya angka yang tersembunyi di belakang daun terup.

Kebanyakan pemburu geliga ini sanggup mengeluarkan jutaan ringgit hanya kerana mahu berjudi.

Malah ramai juga percaya mereka bakal mendapat keuntungan berlipat kali ganda jika ia dibawa ke kasino di Genting Highlands.

“Menurut telahan saya, geliga ini bukan tembus pandang tetapi pemiliknya dapat mengetahui perkara tersembunyi itu melalui ‘khadam’ yang menjaga geliga lipan tersebut.

“Pemilik dikatakan dapat mendengar bisikan di telinga yang memberitahu perkara yang tersembunyi walaupun tidak melihatnya secara terus.

“Namun, tidak dinafikan ada yang terlalu taksub dengan geliga ini hingga sanggup mengadakan ritual yang tidak sepatutnya hanya kerana mahu cepat kaya.

Penawar bisa

“Bahkan ada yang menjadikan makhluk ghaib sebagai khadam kepada geliga ini,” ujar pengumpul aktif barangan mistik, Azman Abdul Aziz, 39.

Jelas beliau, pemilik yang terlalu taksub dengan batu geliga yang didakwa terhasil daripada pengerasan air liur seekor raja lipan itu percaya ia boleh menarik duit dan harta jika mengamalkan ritual khusus untuk tujuan tersebut.

Wujud juga teori yang mengatakan geliga lipan bukan sekadar untuk perubatan atau tembus pandang bahkan ia juga membawa tuah seperti murah rezeki

“Sesetengah orang mengatakan pemakaian geliga tersebut boleh membuat seseorang itu kebal dan halimunan.

“Cara ini digunakan individu untuk menarik duit atau harta. Namun, geliga untuk tujuan ini sangat jarang ditemui dan sukar mendapatkannya.

“Dari sudut perubatan, geliga ini dipercayai berguna sebagai penawar bisa.

GELIGA yang diambil daripada mulut lipan adalah yang paling berharga.


Tergolong sebagai sejenis serangga berbisa yang mempunyai banyak kaki, ada cerita rakyat menyebut ‘sehingga naga pun turut takut akan serangga kecil’ ini kerana kepantasan dan bisanya.

“Ada empat jenis geliga lipan, iaitu yang terdapat di kepala lipan dan dinamakan mahkota, di dalam perut, terdapat di antara sengatnya dan yang terakhir dan dikira paling berharga ialah yang terdapat di dalam mulutnya.

“Ia dikatakan dapat memancarkan cahaya di dalam gelap.

“Geliga yang berada di dalam mulut lipan biasanya ditemui pada lipan yang mati beragan atau mati tua.

“Mistiknya, walaupun haiwan tersebut mati dan kering, geliga ini sangat sukar untuk diambil daripada mulutnya.

“Jika pengambilan secara paksa, geliga tersebut tidak akan memiliki kelebihan, tak ubah seperti butiran manik sahaja.

“Untuk mengambilnya pula, satu ritual khas perlu dilakukan di mana ia disertai dengan zikir dan sehelai kain merah ditadah untuk menyambut geliga tersebut.

“Ritual ini dikatakan mampu menyerap khasiat raja lipan ke dalam geliga,” jelasnya.

Dijual mahal

Tambah Azman, keaslian geliga yang mampu mencecah harga RM10 juta sebutir ini dapat diuji dengan cara memegangnya.

“Untuk mengetahui keasliannya sama ada ia hidup atau mati, cara memegang yang betul dapat menentukannya.

“Jika merasai getaran atau gigitan, itu jelas menunjukkan ia geliga asli.

“Namun, ujian ketepatan yang paling baik ialah apabila terasa lipan merayap di tangan,” kata Azman sambil menambah, warna paling lazim geliga lipan ialah merah. Selain itu ada juga yang berwarna biru, hijau dan kuning.

Menurut beliau lagi, harga geliga ini sepatutnya tidak mencecah jutaan ringgit, malah jauh lebih rendah.

Namun, apabila wujud broker atau orang tengah, harga yang dikenakan kadang-kadang tidak masuk akal.

Ekstra: Batu Geliga
  • Banyak versi mengenai cara pembentukan geliga lipan. Selain proses pengerasan air liur, ada juga yang percaya ia berasal daripada telur yang tidak menetas dan mengeras. Telur itu dijadikan mainan di dalam mulutnya lalu terbentuk menjadi batu geliga.
  • Terdapat tiga jenis batu geliga, iaitu yang dihasilkan daripada binatang, tumbuhan dan alam. Contoh geliga binatang ialah geliga lipan, geliga ular dan geliga landak. Ada juga batu geliga yang dihasilkan oleh tumbuhan seperti geliga buluh, serai dan delima manakala batu geliga yang terhasil daripada alam termasuk geliga embun dan geliga air.
  • Terdapat beberapa cara untuk menyimpan geliga lipan, bergantung kepada petanda atau alamat yang diterima oleh pemiliknya. Antaranya menyimpannya di dalam botol bersama beberapa butir beras atau padi. Ada juga yang memberi 'makan' geliga lipan dengan beberapa titik madu dan dimandikan dengan air embun.

Kosmo!

17 Januari 2010

0 comments: