BOMJON bertapa di perdu sebatang pokok gergasi selama 10 bulan ketika berusia 15 tahun.
KEHADIRAN dan kehilangannya mengundang perhatian dan kegemparan sekali gus. Kekecohan bukan sahaja berlaku di kampungnya, Ratanapuri, yang terletak di daerah Bara, Nepal, malah di seluruh dunia.
Digelar Palden Dorje, populariti Ram Bahadur Bomjon, 19, berakar umbi kepada legenda Gautama Buddha, kononnya dia ialah jelmaan semula tokoh budaya itu. Bomjon sendiri telah menafikannya, begitu juga pengikut-pengikut Buddha.
Namun, yang lebih menarik perhatian antarabangsa terutamanya pengamal perubatan Barat ialah kemampuan remaja itu menahan diri daripada lapar dan dahaga selama hampir 10 bulan semasa melakukan meditasi pada tahun 2005.
Bagi mengesahkan kemampuan hidup tanpa makan dan minum, pergerakan Bomjon yang ketika itu berusia 15 tahun diperhatikan dan dirakam.
Pakar perubatan berpendapat purata kemampuan manusia boleh hidup tanpa minuman adalah sekitar tiga hingga empat hari sebelum mengalami hidrasi dan maut.
Bagaimanapun, mengikut Guinness Book of Records, rekod paling lama manusia boleh hidup tanpa minuman ialah selama 18 hari. Tanpa air, manusia akan mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti kulit menjadi kasar, bibir merekah, hidung berair dan berpeluh.
Seorang penulis Amerika, George Saunder yang berjaya menghampiri Bomjon dan memerhatikannya selama semalaman, begitu kagum dengan keadaan budak lelaki itu yang kekal dalam posisi meditasi meskipun dalam cuaca yang sangat sejuk pada waktu malam.
Tiada penjelasan yang kukuh dapat diberikan namun kebanyakan pakar perubatan menyatakan, pada peringkat meditasi yang ekstrem, tubuh manusia mampu berhibernasi dan memperlahankan fungsi organ.
Kerap hilangMalah ada antara mereka yang mengatakan terdapat beberapa fenomena yang tidak akan difahami sampai bila-bila atau dibongkar oleh sains.
Pemerhatian yang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk Discovery Channel mendapati tiada sebarang makanan atau minuman yang tersembunyi di kawasan pertapaan Bomjon.
Pokok besar yang menjadi tempat meditasi tersebut juga dikunci dan dikawal rapi oleh abang sulung Bomjon dan pelawat hanya boleh melihatnya dari jarak tidak kurang daripada tiga meter.
Namun, terdapat spekulasi yang menyatakan Bomjon makan dan minum sekitar pukul 5 petang hingga 5 pagi kerana pada waktu itu tiada siapa yang boleh menghampirinya.
Ibu Bomjon, Maya Devi Tamang yang mempunyai nama serupa seperti ibu Buddha, pengsan apabila mengetahui anak lelakinya itu mahu bermeditasi untuk satu tempoh yang sangat lama.
Meditasi Bomjon selama 10 bulan pada tahun 2005 hanyalah satu permulaan bagi mengikuti perjalanan Buddha pernah bertapa selama enam tahun.
Selepas itu, Bomjon telah beberapa kali menghilangkan diri sebelum kembali muncul kerana mendakwa tidak mendapat ketenangan hakiki.
Selepas pertapaan selama 10 bulan itu, Bomjon hilang pada 11 Mac 2006. Dia tidak memberitahu sesiapa malah ada yang percaya dia telah diculik. Pengikutnya pula mengagak Bomjon pergi jauh ke dalam hutan untuk mencari tempat yang sunyi untuk bertapa.
Pada 25 Disember, penduduk kampung di Bara terserempak dengan Bomjon yang sedang bermeditasi. Dia membawa sebilah pedang sebagai perlindungan di dalam hutan dan mendakwa tidak makan kecuali tumbuh-tumbuhan herba.
Pada 8 Mac 2007, dia meninggalkan Bara lagi untuk mencari tempat pertapaan yang lebih tenang.
Pada 26 Mac, seorang inspektor polis menemui Bomjon di dalam sebuah parit sedalam tujuh kaki yang dibina seperti kubu. Pasukan polis mencarinya selepas tersebar khabar angin yang mendakwa Bomjon sedang bertapa di dalam tanah.
Pada awal tahun ini pula, dengan rambut panjang sehingga paras pinggang, Bomjon sekali lagi menghilangkan diri selepas mengadakan perjumpaan dengan pengikutnya. Dia memberitahu akan kembali selepas tamat pertapaan selama enam tahun iaitu pada tahun 2011 atau 2012.
Dari arkib Kosmo!
0 comments:
Post a Comment