Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
HAIRUL Azaman, 28, sudah berpengalaman selama lebih lapan tahun membawa jemaah haji dan umrah ke Tanah Suci Mekah. Bekas imam masjid di Bangi, Selangor ini turut membina laman web, www.umrah-haji.com sebagai hab yang membolehkan orang ramai memilih pelbagai pakej umrah, haji atau ziarah.
“Ia bagi memudahkan umat Islam memilih pakej yang bersesuaian dengan mereka selain mendapat informasi mengenai haji dan umrah melalui laman web berkenaan,” ujarnya.
Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu kisah di sebalik minat beliau mengendalikan pakej haji dan umrah itu.
“Semuanya bermula semasa saya menjadi imam masjid di Bangi. Pada waktu itu, Ustaz Datuk Daud Che Ngah sering memberikan ceramah mengenai ibadat itu.
“Beliau juga selalu bercerita tentang pengalaman jemaah yang pernah menunaikan haji dan umrah di bawah kendaliannya.
“Lama-kelamaan saya berminat dan menawarkan diri untuk menjadi ejen kepada syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. di mana beliau menjadi Pengerusi Eksekutifnya,” kata Hairul yang tidak teragak-agak berhenti menjadi imam masjid.
Ternyata usahanya tidak sia-sia kerana dengan kerjaya barunya itu, Hairul berpeluang menunaikan haji dan umrah setiap tahun kerana beliau mencapai sasaran yang ditetapkan syarikat.
“Saya dapat menunaikan haji dan umrah secara percuma sejak lapan tahun lalu,” akuinya.
Dalam tempoh itu, sudah tentu banyak pengalaman yang dikutip Hairul.
“Pada pemerhatian saya, ada segelintir jemaah haji pergi tanpa kesedaran untuk menjadi tetamu Allah.
“Mereka sekadar ingin melancong dan membeli-belah, bukan untuk mendapat haji mabrur.
“Sepatutnya perjalanan itu digunakan sebaik mungkin kerana belum tentu kita mendapat peluang sedemikian pada masa akan datang,” ujarnya.
Kata Hairul lagi, ada juga jemaah haji yang bermulut celupar, cakap besar dan mementingkan diri sendiri sehingga mengundang pelbagai masalah kepada jemaah lain.
“Semasa berada di Tanah Suci tingkah laku perlu dijaga. Jangan takbur atau membebel apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran. Semua itu bertujuan menguji keimanan kita.
“Pernah berlaku seorang jemaah, Ali (bukan nama sebenar) gemar bercakap takbur. Kerana sikapnya, jemaah lain turut menghadapi masalah seperti bas rosak malah terlibat dalam kemalangan. Ali sendiri pernah terjatuh dan patah kaki semasa turun dari bas,” ujarnya.
Bukit magnet
Hairul turut menceritakan pengalaman beliau melawat Bukit Magnet atau Jabal Kholil, terletak sekitar 40 kilometer dari kota Madinah ke Bukit Uhud.
“Sepanjang tujuh tahun menunaikan haji serta umrah, saya tidak pernah pergi ke kawasan padang pasir yang berbukit itu. Hanya pada musim haji yang lalu saya mengunjunginya.
“Bukit Magnet ini terletak di satu kawasan lapang yang cantik pemandangannya. Apabila sampai ke bukit berkenaan, pemandu bas yang kami naiki tiba-tiba mematikan enjin. Peliknya bas itu masih boleh bergerak pada kelajuan 120 kilometer sejam sehingga dua atau tiga kilometer dari bukit berkenaan.
“Penduduk di sekitar itu juga suka beriadah di sana kerana cuacanya dikatakan tidak terlalu panas pada waktu siang. Mungkin itu keajaiban kuasa Allah,” katanya jujur.
Sesetengah penduduk tempatan percaya Bukit Magnet merupakan pusat magnet terbesar di dunia. Bagaimanapun, ada yang menganggap keupayaan kenderaan bergerak dalam keadaan enjin dimatikan cuma satu ilusi optik kerana jalan raya yang dilihat mendatar itu sebenarnya menurun.
Kosmo!
23 November 2009
0 comments:
Post a Comment