INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Misteri Orang Kenit

Monday, October 7, 2013

0 comments  

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

SESETENGAH pengkaji mistik percaya orang kenit berasal daripada keluarga jin yang berkahwin dengan manusia.
ORANG KENIT dikatakan makhluk yang bentuknya mirip manusia tetapi tubuhnya hanya sebesar tikus atau tupai.

Menurut cerita orang dulu-dulu, orang kenit sentiasa menyembunyikan diri kerana takut dicederakan manusia.

Pada tahun 2002, saintis Chile kebingungan berikutan penemuan makhluk setinggi 7.2 sentimeter di Hutan Simpan Valdivian di negara itu.

Ia dijumpai oleh seorang remaja, Julio Carreno, 15. Carreno berkata, orang kenit itu memiliki fizikal haiwan yang seakan-akan manusia. Ia mempunyai sepasang kaki dan tangan serta berkepala besar.

Carreno membawanya berjumpa doktor kerana menyangka makhluk itu sakit.

“Doktor yang memeriksanya terkejut kerana dia tidak pernah melihat spesies haiwan seperti itu,” tutur Carreno.

Malangnya, makhluk itu mati lapan hari kemudian.

Cerita itu tidak berakhir begitu sahaja. Selepas mati, bangkai makhluk kenit itu mengering seperti mumia.

“Pada mulanya badannya berwarna merah jambu sebelum bertukar menjadi lebih gelap dan hitam,” kata remaja itu.

Meskipun begitu, penyelidik Chile berpendapat ia mungkin janin hidupan liar seperti kucing hutan atau tupai kecil.

Pengkaji dari Universiti Sonto Tomas, Filipina pula mengatakan ia sejenis hidupan seakan-akan tupai iaitu monito de monte.

Tupai

Tupai itu merupakan spesies mamalia kecil yang tinggal di hutan Valdivian, Chile. Ia kerap menyembunyikan diri pada waktu siang untuk mengelak daripada dikesan musuh.

Bagaimanapun, cerita orang kenit di negara jiran, Indonesia lebih menggemparkan.

Lebih 100 tahun lalu, beberapa penyelidik yang membuat kajian di Taman Negara Kerinci, Sumatera, menemui makhluk berkaki pendek dan berlari seperti manusia di hadapan mereka.

MAKHLUK pelik yang ditemui oleh seorang remaja, Julio Carreno di Hutan Simpan Valdivian, Chile pada tahun 2002.


Kulit makhluk itu setinggi 70 sentimeter itu coklat kemerah-merahan manakala tubuhnya berbulu gelap panjang. Lengannya pula lebih panjang daripada kaki.

Haiwan kriptid itu dilihat pertama kali pada tahun 1910. Ia digelar dengan pelbagai nama seperti orang pendek atau orang kenit.

Pada 21 Ogos 1915, seorang saintis haiwan, Edward Jacobson menemui jejak misteri di hutan simpan itu.

Penemuan tapak kaki sebesar tapak tangan kanak-kanak sepanjang tujuh sentimeter memperkukuhkan dakwaan kewujudan spesies orang kenit yang mendiami kawasan hutan itu.

Namun, Edward gagal menemui kelibat makhluk berkenaan mahupun kediamannya.

Dua tahun selepas itu, pada tahun 1917, seorang pengurus ladang Belanda bernama Oostingh mendakwa terserempak dengan orang kenit di sebuah hutan berdekatan Bukit Kaba, selatan Jambi.

Beberapa tahun kemudian, Muzium Nasional Bogor menerima bangkai dipercayai milik orang kenit.

Sebelum itu, pihak muzium itu ada menawarkan hadiah bagi setiap penemuan bangkai makhluk kriptid tersebut.

Makhluk asing

Cerita tentang bangkai haiwan yang disangka orang kenit itu menjadi tajuk utama akhbar di Indonesia selama beberapa hari sebelum bangkai itu disahkan milik seekor kera.

Setelah lama menyepi, pada tahun 1989, pencarian orang kenit kembali hangat selepas seorang penulis Britain, Deborah Martyr mendakwa berjaya menemui jejaknya di barat daya Sumatera.

Jejak tersebut sepadan dengan tapak kaki anak Deborah yang berusia tujuh tahun.

Selepas mengkaji selama lima tahun, Deborah akhirnya berpeluang melihat sendiri orang kenit di Gunung Kerinci pada 30 September 1994.

Makhluk itu dilihat sedang berjalan dengan kedua-dua belah kakinya.

Setelah berjalan sejauh beberapa meter, makhluk itu berhenti sejenak, menoleh ke arah Deborah dan terus menghilang ke dalam hutan.

Malangnya, tiada bukti foto atau video yang dapat mengesahkan cerita itu.

Setahun selepas itu, semasa gempa bumi melanda Liwa di Lampung, Indonesia, beberapa penduduk tempatan sempat menyaksikan orang kenit lari bertempiaran dari hutan berdekatan kerana takutkan gempa.

SAIZ tapak kaki orang kenit yang berjaya dirakam sekumpulan penyelidik di Hutan Simpan Kerinci, Sumatera.


Pencarian orang kenit masih diteruskan sehingga hari ini. Terbaharu, sekumpulan pengkaji Pusat Zoologi Fortean di Universiti Cambridge, Britain melaksanakan misi menjejak orang kenit tahun lepas diketuai Adam Davies.

Beberapa foto telah hantar ke Universiti Cambridge dan ada khabar angin yang mengatakan gambar itu sahih.

Menurut seorang pengkaji paranormal, Rahim Hanipah, 53, beliau pernah mendengar kewujudan makhluk itu di negara ini berdasarkan cerita rakan-rakannya.

“Mereka menemuinya di beberapa kawasan di Johor. Ia setinggi 4 atau 5 sentimeter dan mirip manusia.

“Pakaiannya juga seperti manusia tetapi cepat melarikan diri apabila terserempak dengan orang.

“Sekali lagi, tiada foto atau video yang mengesahkan perkara ini,” ujarnya.

Rahim berpendapat orang kenit mungkin berasal daripada keluarga jin dan berkahwin dengan manusia.

“Mereka mempunyai tamadun tetapi tidak secanggih manusia. Mereka menetap di hutan, paya atau kawasan gunung-ganang yang sukar dijejaki manusia.

“Makhluk ini hidup berpasangan, perlu makan dan minum selain membiak seperti manusia,” katanya.

Seorang pakar objek terbang tidak dikenali (UFO), Ahmad Jamaludin, 56, berpendapat, peristiwa kemunculan UFO mempunyai hubung kait dengan orang kenit.

Katanya, bukti yang beliau kumpul sejak tahun 1979 mengesahkan kehadiran entiti orang kenit di negara ini.

“Saiznya kecil iaitu sekitar 3 hingga 6 sentimeter tetapi mereka sukar diperhatikan kerana hidup di alam ghaib lain sama seperti orang bunian.

“Mereka mempunyai senjata laser untuk menyerang musuh.

“Selain itu, mereka mengkaji corak kehidupan manusia sebelum pulang ke angkasa lepas,” katanya.

Ciri orang kenit
  • Berjalan dengan dua kaki
  • Berukuran antara 5 hingga 70 sentimeter
  • Mempunyai tapak kaki yang agak lebar
  • Tubuh ditutupi bulu berwarna kelabu
  • Didakwa mempunyai tenaga yang kuat kerana boleh mengangkat kayu balak
  • Boleh bergayut di dahan pokok dalam keadaan terbalik
  • Seorang saintis Britain, Richard Freeman berjaya menemui sampel rambut orang kenit di Taman Negara Kerinci, Sumatera, Indonesia.  Sebaik sahaja diteliti di makmal, dia mendapati rambut itu berasal daripada spesies haiwan yang tidak dikenali tetapi mempunyai 50 peratus persamaan dengan manusia.
  • Terdapat penyelidik mengatakan orang kenit ialah sejenis kera kriptozoologi yang memiliki tubuh seperti kera tetapi berjalan seperti manusia.

Kosmo!

16 Disember 2012

Awang Kenit

Sunday, October 6, 2013

0 comments  

Ilustrasi Gulliver dan masyarakat kenit Lilliput di dalam buku Gulliver's Travel tulisan Jonathan Swift

Cerita Awang Kenit agak popular di Malaysia.

Ia mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Awang Kenit yang berjaya menewaskan seekor gergasi jahat yang suka mencuri makanan dan membunuh ternakan penduduk kampung yang terletak di tepi sebuah hutan tebal.

Saiz Awang Kenit hanya sebesar jari manusia dewasa.

Ibunya yang khuatir akan keselamatan anaknya, membekalkan Awang Kenit sebatang jarum tajam sebagai senjata untuk menghadapi musuh.

Suatu hari gergasi itu berjaya mengesan Awang Kenit di rumahnya dan terus memakannya.

Namun, Awang Kenit yang sudah dimakan itu sempat mencucuk perut gergasi itu dengan jarum hingga makhluk itu mati.

Ibu Awang Kenit terkejut melihat bangkai gergasi itu di atas lantai rumahnya.

Setelah mendapati ada sebatang jarum tersembul dari perut gergasi itu, dia tahu Awang Kenit sudah dimakan.

Si ibu kemudian segera menyelamatkan anaknya.


Kosmo!

16 Disember 2012.

Bantuan Allah untuk Palestin

Thursday, September 26, 2013

0 comments  


Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

Laman blog Filisthin Al-Aan pernah menulis pada Januari 2009 bagaimana seorang mujahidin Briged Ezzedine al-Qassam dibelasah dengan teruk oleh tentera Israel selepas didakwa berbohong.

"Tentera Israel bertanya kepada anak lelaki kepada seorang pejuang Palestin yang ditahan, apakah warna pakaian tentera al-Qassam? Anak itu menjawab, seragam berwarna hitam.

"Selepas tiga hari anak itu memberi jawapan yang sama, tentera itu berang kerana menyangka kanak-kanak itu berbohong lalu dia dipukul hingga pengsan.

"Jangan berbohong, al-Qassam berseragam putih, bukannya hitam," sergah tentera berkenaan.

Dalam satu kejadian lain, sekumpulan tentera Israel telah menahan sebuah ambulans. Apabila pemandunya ditanya adakah dia daripada kelompok Hamas atau Fatah, pemandu tersebut menjawab, "saya bukan Hamas atau Fatah, saya hanya pemandu ambulans."

Tentera tersebut bertanya lagi, "pasukan yang berseragam putih di belakang kamu tadi dari kelompok mana?"

Pemandu itu kelihatan bingung sebelum menjawab, "saya tidak tahu. Tiada siapa di belakang saya sepanjang perjalanan ke mari."

Cerita tentang tentera berseragam putih seakan-akan menghantui tentera Israel. Mereka tidak tahu dari mana kumpulan ini datang, malah jejaknya juga sukar dikesan.

Malah, seorang bekas tentera Zionis yang pernah ditemu ramah stesen televisyen tempatan Israel kini buta kedua-dua matanya selepas berhadapan dengan tentera berseragam putih.

"Saya merupakan seorang daripada tentera penggempur yang ditugaskan ke Gaza beberapa tahun lalu.

"Semasa bertugas di sana, pada suatu hari saya didatangi oleh seorang tentera berpakaian putih yang menaburkan pasir ke dalam mata saya. Akibat kejadian itu, sehingga saat ini saya menjadi buta," katanya.

Sebelum itu, kumpulannya juga pernah terserempak dengan sekumpulan tentera berseragam putih dan berjanggut panjang. Namun apabila ditembak, tentera berbaju putih itu tidak mati sebaliknya tidak diketahui ke mana menghilangnya.

Dalam situasi lain pula, seorang khatib di Masjid al-Qassam yang terletak di wilayah Nashirat, Gaza bercerita dalam khutbahnya tentang 'bantuan Allah' kepada pejuang Palestin.

"Pejuang tersebut telah menanam satu jerangkap samar untuk menyambut kedatangan tentera Zionis di satu kawasan lapang.

"Tidak lama kemudian, dia melihat sebuah helikopter menurunkan tentera Zionis disertai beberapa kereta kebal. Mereka melalui kawasan tempat dia memasang jerangkap samar tersebut.

"Pejuang tersebut memutuskan untuk kembali ke markas kerana mengandaikan jerangkap yang dipasangnya tidak boleh menghapuskan tentera yang ramai itu.

"Akan tetapi sebelum dia berganjak, terdengar bisikan di telinganya yang bermaksud, "tetaplah di tempatmu maka Allah akan menguatkanmu".

"Dia mencari dari mana datangnya suara itu namun tidak ternampak kelibat manusia lain. Akhirnya, dia menunggu di situ.

"Tidak lama kemudian, tanpa disangka-sangka ketika sebuah kereta kebal melalui kawasan jerangkap samar, keajaiban berlaku.

"Jerangkap samar itu meledak dengan dahsyat sehingga menghancurkan kereta kebal tersebut dan membunuh ramai tentera Israel.

"Malah, sebahagian tentera yang terselamat terpaksa diangkut semula ke helikopter sedangkan pejuang itu masih berdiri dalam keadaan selamat," cerita khatib tersebut.

Sementara itu, pakar perubatan yang menjalankan misi kemanusiaan di Hospital As-Syifa, Gaza, Dr. Hisam Az-Zaghah memberitahu, pernah berlaku kejadian aneh ketika dia sedang merawat mangsa perang.

"Mangsa mengalami luka di kaki dan badan akibat terkena serpihan bom dan sisa runtuhan. Namun apa yang menakjubkan ketika mencuci luka tersebut, saya menjumpai sebutir peluru di poket lelaki berkenaan.

"Ajaibnya, kelongsong peluru yang masih panas itu tidak menembusi jantung mangsa kerana terhalang oleh sebuah buku doa dan mushaf al-Quran yang ada di dalam poket mangsa.

"Hanya buku doa itu yang berlubang dan muka depan mushaf rosak. Isi al-Quran langsung tidak terjejas sedangkan peluru itu sendiri bentuknya sudah hampir hancur," cerita Hisam.

Selain itu, Pengarah Jabatan Hubungan Sosial, Kementerian Kesihatan Gaza, Hamam Nisman memberitahu, angka kelahiran bayi di Gaza turut meningkat walaupun kematian yang dicatatkan di wilayah itu leboh tinggi berbanding wilayah lain di Palestin.

Menurut Nisman, sepanjang 22 hari Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada 27 Disember 2008 hingga 17 Januari 2009, seramai 1,412 rakyat Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terkorban.

"Namun di sebalik kematian lebih 1,000 rakyatnya, seramai 5,000 bayi dilahirkan. Ini merupakan peningkatan luar biasa kerana secara puratanya dalam sebulan Gaza hanya mencatatkan kelahiran antara 3,000 hingga 4,000 bayi.

"Pendek kata, dalam tempoh kemuncak konflik Israel-Palestin, kami hilang seribu rakyat tetapi Allah telah gantikan mereka dengan 4,000 pejuang baharu," ujar Nisman.

Kosmo!

9 Disember 2012

Sihir jejas akidah

0 comments  


Oleh Juani Munir Abu Bakar

Penyakit dalaman sering dikaitkan dengan amalan sihir dan santau. Dua perkataan itu yang berkaitan antara satu sama lain merupakan tindak tanduk perbuatan syaitan untuk menyesatkan dan berhasrat merosakkan kehidupan manusia.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, pada mulanya sihir diwujudkan untuk mengejar kebaikan tetapi akhirnya ia bertukar menjadi kejahatan apabila manusia mengejar ketamakan dunia dan mempunyai sifat hasad dengki.

Tambah beliau, sihir yang disamakan dengan kegelapan dan mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud, ilmu guna-guna atau mantera yang ditujukan untuk menyakiti atau mempersonakan seseorang.

"Ia dihantar dalam bentuk dalaman dengan menyakiti anggota badan atau mempengaruhi hati dan fikiran manusia melalui perantaraan iblis dan syaitan. Sebagai contoh, santau yang dihantar kepada seseorang bagi membinasakan mangsa secara perlahan atau cepat.

"Peralatan digunakan berbentuk senjata tajam iaitu keris dan pisau, tanduk, tulang binatang dan sebagainya. Bagaimanapun, kedua-dua amalan sihir dan santau berkait dengan pemujaan terhadap syaitan dan bertentangan dengan syariat Islam," katanya.

Utusan Malaysia

2 November 2012

Mimpi baik dan mimpi buruk

Monday, July 15, 2013

0 comments  


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Mimpi yang baik berasal daripada Allah. Mimpi yang buruk berasal daripada syaitan. Maka, jika salah seorang daripada kamu melihat mimpi yang ia sukai, maka janganlah diceritakan melainkan kepada orang yang mencintainya. Dan jika ia melihat perkara yang dibenci dalam mimpinya, maka meludahlah tiga kali ke sebelah kiri, dan berlindunglah kepada Allah daripada kejahatan syaitan. Dan jangan ceritakan mimpi itu kepada sesiapa. Sesungguhnya ia tidak akan memberi mudarat kepadanya." - Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

"Mimpi (terbahagi) tiga. Mimpi yang merupakan gangguan daripada syaitan untuk membuat sedih anak Adam. (Mimpi yang asalnya) sesuatu yang difikirkan oleh manusia pada saat terjaga, lalu terbawa hingga ke tidur. Dan (mimpi) yang merupakan satu daripada 46 bahagian kenabian." - Hadis Riwayat Ibn Hibban.


Selain menjelaskan hakikat mimpi, Baginda Nabi SAW mengajarkan kita sikap yang sepatutnya kita lakukan apabila mendapatkan mimpi yang baik ataupun yang buruk.

Tanda sebuah mimpi berasal daripada Allah ia menyebabkan kelapangan hati. Siapa yang mendapat mimpi ini akan merasakan kegembiraan dan kebahagiaan sepanjang hari.

Bagi orang seperti ini, Rasulullah SAW menganjurkan agar tidak menceritakan mimpi itu kepada sembarang orang. Ia hanya boleh diceritakan kepada sahabat dan kenalan rapatnya sahaja. Sebab orang yang membencinya dikhuatiri akan merosak tafsiran mimpi untuk merubah kegembiraan itu menjadi kesedihan.

Dan tanda sebuah mimpi berasal daripada syaitan, ia melahirkan kesedihan dan kerunsingan fikiran.

Baginda menyuruh kita segera meminta perlindungan kepada Allah dari gangguan syaitan.

Yang lebih penting, Nabi SAW menyuruh kita melupakan mimpi tersebut.

Menceritakan mimpi itu kepada orang lain, apa lagi mencari-cari pentafsirannya, merupakan perkara sia-sia yang hanya akan mengeruhkan hati dan minda.


Utusan Malaysia

30 Oktober 2012

Perbezaan rawatan Islam dengan perbomohan

Sunday, July 14, 2013

0 comments  


Bacaan - Dalam perubatan Islam, perawat membaca dan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran manakala bomoh pula membaca jampi serapah atau mantera yang bertentangan syariat.

Bahan digunakan - Perawat membaca dan menggunakan ayat-ayat al-Quran sementara bomoh dengan jelas bertentangan dengan syariat Islam dengan penggunaan senjata seperti pisau dan keris, tulang dan najis.

Etika - Apabila merawat pesakit, mereka mesti ditemani mahram dan berada dalam keadaan sopan dan menutup aurat. Berbeza dengan amalan bomoh yang merawat sehingga mengambil kesempatan untuk melakukan gangguan seksual terhadap pesakit.

Pada November 2011 Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (GAPPIMA) telah mengeluarkan garis panduan berhubung amalan perubatan Islam dengan kerjasama Jakim dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Caj bayaran - Dalam etika perubatan Islam adalah ikhlas dan tidak perlu mengenakan sebarang bayaran berbanding dengan perbomohan yang memang menganiayai pesakit serta keluarga mereka.

Utusan Malaysia

2 November 2012

Mitos Batu Belah Batu Bertangkup

Monday, June 17, 2013

0 comments  


Kampung Batu Belah dan Kampung Sungai Binjai di Meru, Klang serta Kampung Bukit Kerayong di Kapar dikatakan menjadi tempat si Melor dan si Pekan berkelana menyusuri sungai sebelum menetap di Bukit Kerayong bersama nenek angkatnya.

Cerita mitos Batu Belah Batu Bertangkup pernah dibukukan malah versi cerita tanpa sebarang tokok tambah telah dihasilkan oleh seorang penduduk Kampung Batu Belah. Malangnya buku itu binasa ketika banjir besar di Klang pada tahun 1970-an.

Lokasi kisah Batu Belah Batu Bertangkup pernah dijadikan sebagai tempat bersejarah di bandar Klang di antara tahun 1980 hingga 1990-an.

Dua taman perumahan di Kapar dinamakan sempena nama si Melor dan si Pekan iaitu Taman Bunga Melur dan Taman Seri Pekan.



Batu Bertangkup jadi tontonan

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

Menyusuri Jalan Kilang Gula menjadi perkara biasa bagi orang ramai yang pulang daripada membeli-belah di Padang Besar, Perlis.

Pandangan pasti terarah pada papan tanda Kampung Batu Bertangkup sekali gus mengingatkan mereka pada kisah Batu Belah Bau Bertangkup.

Menurut Ketua Kampung Baru Sungai Serai, Jamaluddin Ismail, terdapat ketulan batu yang seakan-akan bertangkup di sebatang sungai berdekatan kampung itu.

Katanya, kampung itu diteroka pada tahun 1950-an oleh beberapa penduduk termasuk datuk dan bapanya. Mereka kemudian menemui longgokan batu di sungai berdekatan.

"Jadi, kampung itu terus dinamakan Kampung Batu Bertangkup lebih-lebih lagi kisah Batu Belah Batu Bertangkup diuar-uarkan di corong-corong radio pada tahun itu," cerita Jamaluddin.

Katanya lagi, batu bertangkup yang ditemui itu berupa ketulan batu-batu besar.

"Secara kebetulan, sesetengah batu besar itu mempunyai rekahan dan mengeluarkan air. Ia kelihatan betul-betul seperti mulut manusia," ujarnya.

Jamaluddin berkata, orang-orang tua di kampung itu sering bercerita bagaimana batu bertangkup di sungai itu boleh menelan manusia.

"Pada masa itu saya memang takut. Malah pada tahun 1970-an ramai orang sekitar Perlis datang ke kampung ini untuk melihat batu itu," ujarnya sambil menjelaskan tujuan orang tua mereka cerita seram itu adalah untuk mengingatkan anak-anak mereka supaya tidak bermain di kawasan itu kerana berbahaya.

"Tapi saya dan kawan-kawan tidak peduli dan tetap bermain-main di kawasan tersebut termasuk mandi-manda dan menangkap ikan," ujarnya.

Kini, sungai di kampung berkenaan mengalami banyak perubahan akibat diteroka penduduk kampung bagi membina rumah dan pelbagai kegiatan lain menyebabkan bilangan ketulan batu bertangkup itu semakin berkurangan.


Kosmo!

13 November 2011