Seorang kanak-kanak perempuan, Safira Ibrahim (gambar) pernah membingungkan pakar bedah di Hospital Umum Andi Makkasau, Parepare, Sulawesi Selatan, Indonesia pada tahun 2011.
Terdapat 26 batang paku termasuk sebatang jarum dan dua objek besi berwarna putih tertanam dalam kedua-dua betis kanak-kanak tersebut.
Doktor yang membedah Safira perlu berhati-hati kerana kedudukan paku yang berwarna kehitaman itu tertanam berdekatan dengan jaringan saraf dan saluran darah.
Kesemua objek logam itu berjaya dikeluarkan daripada betis Safira selepas dua jam dia berada di dewan bedah. Sebanyak tujuh batang paku tertanam di betis kiri manakala 19 lagi di betis kanannya.
Namun, doktor yang mengesan sebatang paku di punggung Safira tidak melakukan pembedahan kerana bimbang ia membahayakan kanak-kanak itu. Ia hanya akan dikeluarkan setelah luka di betisnya sembuh.
Lebih mengejutkan, sebaik sahaja semua paku dikeluarkan, muncul sebatang paku baharu di betisnya.
Hairan
"Dalam pembedahan pertama ia tidak kelihatan mungkin kerana terlindung oleh paku besar lain.
"Kami akan lakukan pembedahan lagi bagi mengeluarkan paku yang baru dikesan ini.
"Tetapi jika selepas pembedahan kali kedua nanti ia tetap muncul semula, sahlah ia merupakan kekuasaan Tuhan," kata Dr. Kamaruddin Sahid.
Menurutnya lagi, memang terdapat kesan luka pada betis Safira sebelum pembedahan itu.
Namun, apa yang membuat Kamaruddin hairan adalah bagaimana paku yang begitu banyak boleh dimasukkan sekali gus.
Paku yang ditemui dalam tubuh Safira Ibrahim |
Ibu Safira yang hanya mahu dikenali sebagai Sarifa mendakwa parut di betis anaknya itu merupakan kesan cacar.
"Paku itu begitu banyak. Mustahil ia dimasukkan satu persatu kerana pasti menyakitkan.
"Melihat jumlahnya tentu ada orang yang memasukannya?" ujarnya lagi.
Safira bagaimanapun tidak berasa sakit biarpun imbasan sinaran X menunjukkan paku tersebut kelihatan bercerucuk dan mengerikan.
Sarifa yang merupakan ibu tunggal tinggal bersama Safira di Ajatappareng, Parepare, Sulawesi Selatan. Dia memberitahu, dia tidak menyedari bila paku-paku itu berada dalam betis anak tunggalnya itu.
Dia jarang meninggalkan Safira bersendirian bahkan mengaku bahawa anaknya itu tidak pernah memakan benda-benda asing seperti paku.
"Saya pernah keluarkan empat batang paku daripada betisnya ketika dia berusia dua tahun lima bulan tetapi tidak tahu macam mana ia boleh berada di situ. Safira pula tidak menunjukkan tanda kesakitan.
"Saya juga hairan bagaimana objek ini boleh tertanam di badannya sedangkan saya sentiasa mengawasinya.
"Jika sengaja dimasukkan pastinya dia akan berasa sakit dan betisnya membengkak," ujar Sarifa.
Kejadian pelik itu menimbulkan banyak spekulasi. Ramai penduduk menganggap Safira merupakan mangsa amalan ilmu hitam.
Namun, seorang tokoh agama di Kota Makassar, Abd. Halim sependapat dengan pakar perubatan bahawa objek itu telah dimasukkan secara fizikal.
"Ilmu hitam melibatkan perkara ghaib. Tiada pengamal ilmu hitam yang dapat menghantar sesuatu ke dalam tubuh seseorang dari tempat jauh.
"Apatah lagi untuk memasukkan paku itu ke betisnya melalui tiupan mahupun bacaan mentera dari tempat yang jauh," kata Halim.
Isidro Mejia |
Pada bulan April 2004, seorang pekerja binaan di California, Amerika Syarikat, Isidro Mejia, tidak mati biarpun sebanyak enam batang paku telah tertusuk ke dalam otaknya.
Mesin penembak paku secara tidak sengaja tertembak ke arahnya. Kesemua paku tersebut bagaimanapun berjaya dikeluarkan dan dia selamat.
Di Korea Selatan, sebatang paku telah tertanam di dalam kepala seorang lelaki selama empat tahun.
Dia yang tidak menyedari perkara itu pada mulanya berjumpa doktor kerana sering berasa sakit kepala.
Namun, apa yang memeranjatkan adalah imbasan sinaran X telah mengesan sebatang paku yang tertanam di dahinya. Persoalan mengapa otaknya tidak terganggu masih menjadi misteri.
Pada tahun 2001, seorang wanita di Sydney, Australia yang telah menjalani pembedahan abdomen terkejut apabila mendapati sebilah gunting tertinggal dalam perutnya.
Pat Skinner sebelum itu berasa tidak selesa pada perutnya selepas pembedahan itu, tetapi tidak menyangka bahawa gunting tersebut tertinggal di dalam perutnya.
Kosmo!
13 November 2011
0 comments:
Post a Comment