Kampung Batu Belah dan Kampung Sungai Binjai di Meru, Klang serta Kampung Bukit Kerayong di Kapar dikatakan menjadi tempat si Melor dan si Pekan berkelana menyusuri sungai sebelum menetap di Bukit Kerayong bersama nenek angkatnya.
Cerita mitos Batu Belah Batu Bertangkup pernah dibukukan malah versi cerita tanpa sebarang tokok tambah telah dihasilkan oleh seorang penduduk Kampung Batu Belah. Malangnya buku itu binasa ketika banjir besar di Klang pada tahun 1970-an.
Lokasi kisah Batu Belah Batu Bertangkup pernah dijadikan sebagai tempat bersejarah di bandar Klang di antara tahun 1980 hingga 1990-an.
Dua taman perumahan di Kapar dinamakan sempena nama si Melor dan si Pekan iaitu Taman Bunga Melur dan Taman Seri Pekan.
Batu Bertangkup jadi tontonan
Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
Menyusuri Jalan Kilang Gula menjadi perkara biasa bagi orang ramai yang pulang daripada membeli-belah di Padang Besar, Perlis.
Pandangan pasti terarah pada papan tanda Kampung Batu Bertangkup sekali gus mengingatkan mereka pada kisah Batu Belah Bau Bertangkup.
Menurut Ketua Kampung Baru Sungai Serai, Jamaluddin Ismail, terdapat ketulan batu yang seakan-akan bertangkup di sebatang sungai berdekatan kampung itu.
Katanya, kampung itu diteroka pada tahun 1950-an oleh beberapa penduduk termasuk datuk dan bapanya. Mereka kemudian menemui longgokan batu di sungai berdekatan.
"Jadi, kampung itu terus dinamakan Kampung Batu Bertangkup lebih-lebih lagi kisah Batu Belah Batu Bertangkup diuar-uarkan di corong-corong radio pada tahun itu," cerita Jamaluddin.
Katanya lagi, batu bertangkup yang ditemui itu berupa ketulan batu-batu besar.
"Secara kebetulan, sesetengah batu besar itu mempunyai rekahan dan mengeluarkan air. Ia kelihatan betul-betul seperti mulut manusia," ujarnya.
Jamaluddin berkata, orang-orang tua di kampung itu sering bercerita bagaimana batu bertangkup di sungai itu boleh menelan manusia.
"Pada masa itu saya memang takut. Malah pada tahun 1970-an ramai orang sekitar Perlis datang ke kampung ini untuk melihat batu itu," ujarnya sambil menjelaskan tujuan orang tua mereka cerita seram itu adalah untuk mengingatkan anak-anak mereka supaya tidak bermain di kawasan itu kerana berbahaya.
"Tapi saya dan kawan-kawan tidak peduli dan tetap bermain-main di kawasan tersebut termasuk mandi-manda dan menangkap ikan," ujarnya.
Kini, sungai di kampung berkenaan mengalami banyak perubahan akibat diteroka penduduk kampung bagi membina rumah dan pelbagai kegiatan lain menyebabkan bilangan ketulan batu bertangkup itu semakin berkurangan.
Kosmo!
13 November 2011
0 comments:
Post a Comment