INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Cakap Mandarin waktu subuh

Tuesday, February 14, 2012

0 comments  

ISMAIL SALLEH (kanan) memberi kata semangat kepada Noraini sambil diperhatikan abangnya, Jefri (kiri).


Oleh MANIRAH OTHMAN

Bibir gadis berusia 17 tahun itu seperti bergerak-gerak, semacam ada sesuatu yang ingin diluahkan.

Ketika dihampiri, gadis bernama Noraini Ismail itu kembali senyap. Tubuhnya menampakkan kegelisahan, namun masih mampu tersenyum.

Persoalan mula timbul, adakah benar Noraini berubah hanya kerana satu kemalangan?

Ramai mendakwa sejak kejadian pada 10 Januari 2012, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah, Besut itu mampu bertutur dalam pelbagai bahasa asing.

Dakwa keluarga gadis itu, antara bahasa yang mampu dituturkan ialah bahasa Mandarin, Hokkien, Korea dan beberapa bahasa asing.

Bagi mencari kepastian, penulis bersama jurugambar Kosmo! Ahad hadir untuk menemuramah gadis yang berjaya mencuri tumpuan negara.

Dalam pertemuan itu, Kosmo! Ahad turut ditemani wartawan dari akhbar Sin Chew Daily Terengganu, Lew I-Ling bagi memastikan kesahihan bahasa yang digunakan gadis itu.

Tujuan penulis hanya satu, iaitu untuk mencari kebenaran di sebalik dakwaan yang mengatakan dia mampu bertutur dalam pelbagai bahasa.

"Maaflah, dia hanya akan bercakap bahasa asing selepas bangun dari tidur pada waktu subuh," ujar ibu Noraini, Masena Daud, 48, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Medang, Besut, baru-baru ini.

Namun, penulis sedikit tergamam pada ketika Noraini mula membuka suara. Pelat bahasanya cukup asing walaupun bercakap dalam bahasa Melayu.

Dia sebenarnya membawa sisi lain, iaitu seorang anak keluarga Cina yang ingin bercakap Melayu, sedangkan perwatakan asal Noraini hanyalah gadis kampung yang cukup kuat pelat Melayunya.

"Saya cuba cakap seperti biasa tapi tak boleh. Mama marah dan suruh saya cakap elok-elok tapi saya memang tak boleh cakap macam biasa," katanya dalam pelat loghat Cina.

Jelasnya, perkara itu tidak dibuat-buat dan pakar perubatan yang ditemuinya memberitahu saraf percakapannya mungkin terjejas ekoran kemalangan tersebut.

"Kadang-kadang saya diserang sakit kepala yang kuat tapi saya tak tahu kenapa saya cakap bahasa asing. Saya nak cakap seperti biasa tapi tak boleh," ujarnya lagi.

Mengimbas kejadian 10 Januari lalu, keganjilan mula dikesan selepas Noraini pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan akibat kemalangan.

Kemalangan berlaku ketika dia pulang dari sekolah. Dia yang membonceng motosikal abangnya, Jefri Ismail, 18, terbabit dalam satu kemalangan di Simpang Empat. Mereka kemudian melanggar sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat di Kampung Alor Lintang.

Peliknya, dalam kejadian itu, Noraini yang pengsan selama 11 jam hanya mengalami luka kecil di kaki namun selepas dibuat imbasan sinar-X, doktor memaklumkan terdapat darah beku di kepalanya.

Selepas tiga hari, doktor mengesahkan darah beku itu hilang dan dia dibenarkan pulang. Namun secara tiba-tiba gadis ini tidak boleh bercakap dan terpaksa dirujuk ke hospital semula.

Melalui terapi yang dilakukan, dia mampu bercakap semula, namun apa yang mengejutkan ahli keluarganya ialah bahasa yang digunakan.

"Dia tidak pernah mempelajari bahasa asing melainkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Jadi kami terkejut kerana dia mampu bertutur dalam bahasa Cina, Korea dan Jepun," jelas Masena.

Bagaimanapun kata Masena, sekalipun mampu bertutur dalam bahasa asing, anak gadisnya itu boleh memahami tulisan bahasa yang dituturkannya.

Sementara itu, I-Ling mengakui pelat bahasa yang digunakan Noraini memang merupakan pelat masyarakat Cina.

"Saya terkejut kerana secara fizikal, dia memang seorang anak Melayu, tetapi ketika bercakap, pelatnya dalam bahasa Cina," ujar I-Ling.

Bagi menguji kesahihan itu, I-Ling bertanyakan beberapa soalan asas dalam bahasa Cina kepada Noraini tetapi ia gagal dibalas oleh gadis itu.

"Saya tidak pasti sama ada dia faham atau tidak kerana saya hanya bertanyakan 'Apa Khabar'. Kalau benar dia mampu bercakap dalam bahasa itu, dia pasti menjawab soalan asas itu.

"Tetapi sepanjang dua jam pertemuan, dia langsung tidak bercakap dalam bahasa asing termasuklah bahasa Cina," jelasnya.

Sementara itu, Masena memberitahu, Noraini akan kembali bersekolah esok dan dia berharap rakan-rakan anaknya itu tidak akan mempersendakannya.

"Ia mungkin akan buat anak saya malu dan saya harap kawan-kawan dia boleh faham keadaan dia dan bergaul dengannya seperti biasa.

"Saya risau anak saya akan berasa rendah diri dan tidak mahu meneruskan persekolahan," katanya.


Hantu cina atau separa sedar

Kebolehan luar biasa yang dilalui Noraini Ismail selepas terlibat dengan kemalangan pada awal bulan lalu dikaitkan dengan dua andaian.

Mengikut pakar perubatan tradisional, kejadian itu akibat diganggu 'hantu Cina', manakala andaian kedua daripada pakar psikologi menjelaskan, kebolehan itu adalah kebolehan separa sedar.

Pengamal perubatan tradisional yang merawat gadis itu baru-baru ini mendakwa, Noraini disampuk roh hantu Cina yang berkeliaran di tempat kemalangan.

"Roh ini biasanya akan memasuki badan individu yang lemah sekali gus membolehkan dia bertutur dalam bahasa yang digunakan oleh roh itu," katanya yang enggan dikenali.

Tambahnya, satu masa dahulu terdapat sebuah kedai milik seorang berketurunan Cina berhampiran lokasi kemalangan itu dan ia kemungkinan berkait dengan roh tersebut.

"Saya sudah rawat Noraini dan kita mungkin akan dapat lihat perubahan dalam masa terdekat," katanya berjaya mengusir dua roh daripada badan Noraini.

Dakwanya, dia turut membuang satu roh dari dalam badan Jefri yang turut terlibat dalam kemalangan bersama Noraini.

Seorang peniaga, Maimunah Awang Chik, 51, memberitahu, kawasan kemalangan membabitkan dua beradik itu bagai kehausan darah.

"Ada juga kemalangan maut, kemalangan yang mendatangkan cedera parah tapi ini kali pertama kemalangan di sini yang menyebabkan mangsa bercakap dalam bahasa asing," katanya.

Namun jelasnya, mungkin ada kebenaran mangsa disampuk hantu Cina kerana berkemungkinan, mangsa kemalangan terdahulu berketurunan Tionghua.

Bagaimanapun, Ketua Pusat Kaunseling dan Kerjaya, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Ruhani Mat Min mempunyai pandangan berbeza dan menjelaskan mangsa mempunyai kebolehan yang tidak disedarinya.

Jelasnya, jika dilihat daripada perspektif psikologi dan kaunseling, ia melibatkan emosi seseorang itu yang teruja ataupun timbul keseronokan pada sesuatu perkara melalui pengalaman secara tidak formal.

"Pengalaman secara tidak formal ini diperoleh melalui pembacaan, menonton televisyen dan sebgainya.

"Namun apa yang berlaku kepada Noraini ada kaitannya dengan pengalaman separa sedarnya dan ia perlu dilihat dari sudut positif dan potensi diri itu seharusnya dikembangkan supaya kebolehannya itu dapat dimanfaatkan dan tidak hilang begitu sahaja," katanya.

Kosmo!

12 Februari 2012

Burung hantu petanda buruk

0 comments  


Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Sebut sahaja burung hantu, persepsi awal seseorang pasti akan mengaitkan haiwan itu sebagai sebab utama seseorang dilanda kecelakaan mahupun peristiwa buruk.

Malah, cerita itu bukan sahaja menjadi bahan cerita di negara ini tetapi melangkau ke Greenland.

Namun, usah khuatir, di sebalik cerita negatif ada kisah menarik mengenai burung unik ini.

Sememangnya, burung hantu sering dianggap sebagai pembawa sial. Itu menyebabkan ramai yang beranggapan haiwan itu merupakan penjelmaan hantu atau haiwan peliharaan hantu.

Bermula di India, sesetengah penduduk kampung di pedalaman India menganggap burung hantu sebagai penolong dan lambang kebijaksanaan.

Pendapat itu juga dipercayai oleh masyarakat lama di Britain.

Tetapi jika seseorang bermimpi burung hantu, itu merupakan petanda rumah bakal dirompak.

Tidak berhenti begitu sahaja, di utara England, jika seseorang yang terlantar sakit terlihat burung hantu bermakna dia akan menemui ajal tidak lama lagi.

Pelik

Menjengah Ireland pula, ada individu yang menggunakan bulu burung hantu untuk diletakkan di bawah bantal bayi agar si kecil mudah tidur.

Malah, ada yang percaya burung itu mampu memusingkan kepalanya sebanyak 360 darjah.

Cerita yang kebiasaan kita dengar ialah haiwan itu digunakan oleh bomoh untuk aktiviti pengamal khurafat itu.

Di Algeria, meletakkan mata burung hantu jenis Eagle di tangan kiri wanita yang sedang tidur akan menyebabkan wanita tersebut akan bercerita kesemua rahsianya.

Masyarakat Perancis pula menganggap jika wanita hamil mendengar suara burung hantu bermakna anak yang dikandung ialah bayi perempuan.

Masyarakat di rantau Arab turut mempunyai mitos mengenai burung hantu. Mereka percaya kanak-kanak nakal akan insaf dengan perlakuan buruk masing-masing jika dihinggapi burung tersebut.

Segelintir masyarakat China, Jerman, Greenland pula percaya haiwan tersebut mampu memberikan kekayaan, membahagiakan keluarga, memberikan sumber inspirasi kepada keluarga yang memeliharanya.

Bagi segelintir individu di negara ini dan Indonesia, burung hantu lebih mengerikan kerana ia akan memakan bayi yang baru lahir.

Orang Jepun ada yang menganggap burung hantu jenis Eagle pembawa mesej yang baik dan kemakmuran kepada keluarga.

Lazat

Di sebalik kepercayaan itu, burung hantu sebenarnya semakin terancam kerana menjadi buruan untuk diseludup ke Indochina sebagai hidangan eksotik.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Rasid Samsudin memberitahu, haiwan itu mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap dengan harga mencecah RM200 seekor.

Katanya, modus operandi yang dijalankan penyeludup ialah menerima pesanan daripada Orang Asli sebelum diseludup ke luar negara melalui laluan laut atau darat.

"Burung hantu menjadi kegemaran penggemar makanan eksotik di Indochina.

"Ia dikenal pasti mendapat permintaan tinggi berdasarkan beberapa rampasan yang dibuat sebelum ini," katanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena(baik atau buruk) melalui burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis." - (Hadis riwayat Bukhari)

Kosmo!

12 Februari 2012

Ramalan kiamat kaum Maya

Sunday, January 22, 2012

0 comments  


Teori kaum Maya yang mendakwa planet Nibiru atau planet X akan melanggar bumi pada tahun 2012 hanyalah mitos.

Inskripsi lama itu menggambarkan bahawa sesuatu akan berlaku pada 2012 melibatkan Tuhan kaum Maya, Bolon Yokte yang berkaitan dengan perang dan penciptaan.

Namun, hakisan dan retakan pada batu tulisan itu menyebabkan bahagian akhirnya yang kononnya tertulis angka 2012 sukar dibaca.

Seorang ahli arkeologi Universiti Nasional Mexico, Gullermo Bernal mendakwa dia menemui beberapa tulisan lain di lokasi bekas tamadun Maya yang menunjukkan tarikhnya bukan 2012 tapi 4772.

Seorang ahli arkeologi kaum Maya di Yucatan, Mexico, Jose Huchim yang menemui beberapa komuniti yang bertutur bahasa Maya pernah bertanyakan kepada mereka apa yang akan berlaku pada tahun 2012.

"Mereka menjawab mereka tidak tahu mengenainya. Mereka sekadar berminat untuk terus hidup," katanya.

Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat turut menafikan ramalan kaum Maya itu.

"Minat manusia yang semakin berkembang terhadap angkasa lepas telah membawa kepada satu terma iaitu kosmofobia.

"Semakin manusia mengenali angkasa lepas, semakin mereka takut kepada ancaman cakerawala seperti ribut matahari, lubang hitam dan Milky Way," ujar saintis NASA, Dr. David Morrison.

Ramalan Kiamat

Ramalan kiamat menurut kaum Maya

Filem 2012 lakonan John Cusack mengisahkan ramalan berlaku kiamat kaum Maya menjadi kenyataan pada 21 Disember 2012. Kaum Maya wujud di benua Amerika kira-kira 200 tahun Sebelum Masihi. Mereka mendakwa pada tarikh tersebut, bumi akan berada sebaris dengan pusat Galaksi Bima Sakti buat kali pertama sejak 25,800 tahun, menyebabkan kedudukan magnet bumi berganjak sehingga mencetuskan gempa bumi, banjir dan letupan gunung berapi.

Ramalan kiamat menurut Nostradamus

Seorang peramal masa depan dari Perancis, Nostradamus mendakwa pada 2012 planet-planet di angkasa lepas akan hancur.

Planet Nibiru

Dijangkakan pada 23 Disember 2012, sebuah planet bernama Nibiru atau Planet X akan memutarkan kedudukan kutub-kutub sekarang kepada terbalik apabila ia lalu di antara bumi dan matahari.

Ramalan kiamat menurut astrologi China

Para astrologi China dari Dinasti Chang pada tahun 1766 Sebelum Masihi meramalkan berlaku bencana besar pada 3778 tahun berikutnya iaitu bertepatan tahun 2012.

Kiamat menurut agama Islam

Soal kiamat merupakan hal ghaib yang harus dipercayai oleh setiap Muslim namun tarikh sebenar hanya diketahui oleh Allah SWT.

Kosmo!

8 Januari 2012

Ribut matahari bukan kiamat

0 comments  

BANYAK ramalan menyebut 2012 merupakan tahun berlakunya kiamat. Teori kemusnahan alam semesta kaum Maya telah dipopularkan menerusi filem 2012 hinggakan filem tahun 2009 itu meraih kutipan global sebanyak AS$769 juta (RM2.3 bilion).

Nostradamus, si peramal tersohor Perancis turut menamakan 2012 sebagai tahun kemusnahan planet-planet, manakala para ahli astrologi China dari Dinasti Chang mengatakan akan berlaku bencana besar tahun ini.

Oleh kerana itu, apabila saintis menjangkakan fenomena ribut matahari terjadi pada pertengahan 2012 hingga 2013, mitos kiamat yang dicanangkan sebelum ini terasa bagaikan semakin hampir.

Dalam ilmu astrologi, matahari merupakan bintang yang terletak paling dekat dengan bumi iaitu sejauh 149 juta kilometer. Ia mempunyai suhu teras 15 juta darjah Celcius dan telah terbentuk lebih 5,000 juta tahun yang lalu.

"Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari.

ANDAIAN bumi akan musnah pada 2012 mitos semata-mata.


"Bagaimanapun, sebahagian gas itu berlegar di ruang angkasa dan memasuki atmofera bumi. Fenomena itulah yang digelar ribut matahari," kata seorang pakar astronomi tempatan, Shahrin Ahmad.

Namun, beliau berpendapat ribut matahari tidak akan memusnahkan bumi. Malah, kejadian ribut matahari sampai ke bumi jarang berlaku kerana ia dihalang oleh lapisan atmosfera dan medan magnet bumi.

Kesan

"Ribut itu akan termusnah sendiri sebelum sampai ke daratan. Tetapi jika ia menembusi lapisan atmosfera dan medan magnet bumi dengan saiz dua atau tiga kali ganda melebihi saiz bumi, kerosakan besar boleh berlaku.

"Apa pun, ia terhad kepada kerosakan peralatan elektrik dan sistem telekomunikasi seperti satelit, sistem penerbangan dan Internet," kata Shahrin.

RIBUT matahari berlaku disebabkan bintang itu menjadi lebih panas berbanding suhu biasa iaitu 15 juta darjah Celcius.


Beliau memberitahu, kesan ribut matahari pernah dirasai di bumi pada tahun 1859. Akibatnya, sistem telegraf di Amerika Syarikat dan negara Eropah lumpuh sama sekali.

"Peristiwa itu dinamakan Carrington Event. Begitupun, kejadian itu kini boleh dielakkan dengan dua satelit peninjau matahari bernama Stereo yang dilancarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat.

"Kedua-dua satelit itu berperanan mengumpul data untuk memahami dan meramalkan ribut matahari sebagai persediaan awal jika ia berlaku," ujarnya.

Shahrin menambah, memang wujud kebimbangan bahawa ribut matahari kemungkinan menjejaskan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) manusia namun beliau berpendapat perubahan DNA itu lebih disebabkan oleh kesan rumah hijau dan pelepasan gas beracun radioaktif.

"Makanan, radioaktif dan bahan kimia yang meresapi tubuh boleh mengganggu sistem tubuh tetapi ia tiada kaitan secara langsung dengan fenomena ribut matahari," tegasnya.

NASA sebelum ini meramalkan ribut matahari akan kerap berlaku sepanjang tahun 2012 dan 2013.

Ini mengakibatkan saintis Amerika Syarikat (AS) mengandaikan impak kerosakan akibat ribut matahari pada tahun 2012 lebih dahsyat berbanding Taufan Katrina yang melanda AS pada tahun 2005 dan mengorbankan 1,800 orang.

"Puncak kerisauan sebenar ialah gangguan ke atas kehidupan sosial yang bergantung pada teknologi seperti GPS dan komunikasi satelit," kata ahli fizik NASA, Lika Guhathakurta.

Seorang lagi pegawai NASA, Michael Kaiser menambah, matahari mencetuskan ribut solar sejak berbilion tahun dahulu tetapi hanya pada akhir-akhir ini ramai yang mengambil berat isu tersebut.

TANAH tandus adalah akibat fenomena pemanasan global dan bukan kerana ribut matahari.


"Ribut elektromagnet matahari boleh menjejaskan sistem tenaga elektrik selain membahayakan angkasawan.

"Pertambahan tenaga magnetik dalam atmosfera dijangka mengeluarkan radiasi yang mampu menyebabkan kuasa janakuasa elektrik meningkat mendadak," katanya.

Ujarnya lagi, kali terakhir pancaran matahari meletus adalah pada tahun 1859 hingga menyebabkan dua pertiga daripada ruang angkasa bumi bertukar menjadi warna merah.

Dijangkakan, peristiwa itu dapat dilihat sekali lagi dengan beberapa bandar utama seperti London, Paris dan New York mengalami ribut awan pada 2012 atau 2013.

Pakar astronomi dari Indonesia, Hakim L Malasan pula berpendapat, fenomena ribut matahari tidak berhubung kait dengan kiamat. Seorang lagi pakar, Thomas Djamaluddin, mengatakan kiamat mungkin berlaku lima juta tahun lagi.

"Matahari akan menjadi bintang raksasa merah dan menelan planet terdekat, Utarid, Zuhrah dan mungkin bumi," jelasnya.

Hidrogen

Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman berpendapat, bidang astrofizik tidak dapat menentukan hari kiamat selagi tiada perubahan pada matahari.

"Ahli fizik memang percaya bahawa alam semesta akan berakhir tetapi sama ada pada 2012 atau 10 juta tahun dari sekarang mahupun 10 bilion tahun lagi, ia terpulang kepada teori yang kita ada.

"Dari segi fizik, jika matahari sudah kehabisan hidrogen, ia akan berkembang menjadi bintang lain. Ketika itu kehidupan di bumi akan mengalami perubahan dan kejadian tersebut boleh dikatakan sebagai tanda kiamat.

RIBUT matahari tidak akan memusnahkan bumi sebaliknya merosakkan sistem radar dan satelit.


"Ini kerana apabila matahari tiada lagi tenaga, manusia tidak boleh hidup dan akan berlaku banyak kejadian alam yang boleh mencetuskan pengakhiran dunia," katanya.

Menurut Pegawai Sains, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd. Zamri Shah Mastor, bumi juga boleh hancur menerusi hentaman objek yang terapung di angkasa lepas seperti komet atau asteroid.

"Tetapi kita bernasib baik disebabkan bumi memiliki lapisan atmosfera. Lapisan itu menyebabkan komet dan asteroid yang cuba menerjah atmosfera bumi akan termusnah terlebih dahulu.

"Sebenarnya terdapat 1,077 asteroid yang dikenal pasti berpotensi menghentam bumi," katanya.

Kosmo!

8 Januari 2012

Harga diskaun rumah berhantu di Hong Kong

0 comments  

Eric Wong

HONG KONG - Diskaun sebanyak 20 sehingga 40 peratus diberikan kepada pembeli rumah yang dipercayai berhantu di sini.

"Penduduk di Hong Kong sensitif pada hantu dan nasib tidak baik.

"Mereka percaya pada feng shui. Jika sesuatu yang buruk berlaku di dalam sebuah rumah, orang ramai tidak mahukannya tetapi Hong Kong adalah kecil dan (harga rumah) amat mahal.

"Justeru, jika terdapat satu diskaun yang baik, terdapat orang lain yang bersedia untuk membuat pelaburan," kata Eric Wong dari laman hartanah agensi squarefoot.com.

Rumah yang berhantu itu dikategorikan sebagai lokasi kejadian pembunuhan seperti kediaman seorang pemain bola sepak yang terjun dari tingkat 36 kerana masalah hutang dan hubungan. - AFP

Kosmo!

11 Januari 2012

Saintis dakwa dunia hampir kiamat

0 comments  

Robert Socolow di samping jam kiamatnya.

WASHINGTON - Sekumpulan saintis menyatakan, dunia semakin hampir menuju kiamat.

Kumpulan Buletin Saintis Atom (BAS) mengumumkan bahawa mereka telah menggerakkan jam kiamat (doomsday clock) lima minit sebelum tengah malam.

Kumpulan tersebut menyatakan tiada langkah yang mencukupi untuk menghentikan pertambahan bilangan senjata nuklear sebagai punca pergerakan jam berkenaan.

Jarum jam tersebut diletakkan enam minit sebelum tengah malam sejak dua tahun lalu.

Robert Socolow yang merupakan anggota BAS dan profesor kejuruteraan dan mekanikal Universiti Princeton menyatakan, dunia kini dalam keadaan kusut.

"Ramai orang mahu kehidupan yang lebih baik berbahagia daripada yang mereka alami kini," katanya. - AFP

Kosmo!

12 Januari 2012

Asal usul perayaan Halloween

Wednesday, December 28, 2011

0 comments  


Halloween ialah sejenis perayaan yang dirayakan oleh masyarakat Barat pada tanggal 31 Oktober setiap tahun. Perayaan Halloween disambut dengan meriah di Amerika Utara dan juga beberapa tempat di Eropah.

Di Ireland, perayaan ini dikenali dengan nama Oíche Shamhna yang bermaksud Malam Samhain. Di Scotland pula ia dikenali dengan nama Oidhche Shamhna, makanala di Isle of Man ia dikenali sebagai perayaan Hop-tu-Naa.

Di England, selain Halloween perayaan ini turut dikenali dengan pelbagai nama lain seperti Mischief Night, Devil's Night, Hell Night, Cabbage Night, Gate Night, Mizzy Night, Miggy Night, Goosing Night dan Egg Nyte.

Di negara Wales, perayaan ini dipanggil Calan Gaeaf manakala di negara seperti Mexico dan Hong Kong perayaan ini berkongsi dengan perayaan mistikal tempatan seperti Día de los Muertos (Day of the Dead) bagi rakyat Mexico dan perayaan Hantu Lapar (Yue Lan) bagi masyarakat cina di Hong Kong.

Halloween sebenarnya berasal daripada kepercayaan orang pagan di Eropah sebelum kedatangan agama Kristian. Masyarakat pagan seperti Druid akan mengadakan satu perayaan untuk memperingati Dewa Kematian yang dipanggil Samhain (perayaan ini juga disambut bersempena dengan berakhirnya musim panas dan penghujung tahun bagi masyarakat Celtics).

Pada hari tersebut mereka akan memakai topeng binatang ataupun rasaksa menakutkan sambil menyalakan unggun api. Mereka juga akan menjalankan hukuman membakar penjenayah ataupun mereka yang dituduh sebagai ahli sihir dengan tujuan untuk menghalau kejahatan.

Apabila kerajaan Rom menakluk Eropah, mereka cuba menghapuskan segala amalan masyarakat pagan ini dan mencipta perayaan musim luruh mereka sendiri. Bagaimanapun, amalan membuat unggun api masih diteruskan.

Apabila agama Kristian sampai ke Eropah, para mubaligh Kristian juga cuba untuk menghapuskan kepercayaan terhadap Dewa Samhain ini namun kepercayaan kuno tersebut agak sukar hendak dibuang. Sehinggalah pada tahun 835 Masihi apabila Pope Gregory IV memindahkan perayaan agama Kristian iaitu All Saint's Day yang lazimnya disambut pada bulan Mei ke 1 November. Perayaan tersebut dikenali juga dengan nama All Hallow's Day dan pada malam 31 Oktober ia dikenali dengan nama All Hallow's Eve atau All Hallow's Evening. Daripada nama tersebut ia kemudian diubahsuai untuk memudahkan ia disebut dan dikenali dengan nama Halloween.

Dengan pemindahan tersebut, Pope Gregory IV telah berjaya mengisi perayaan tersebut dengan unsur-unsur Kristian bagaimanapun kepercayaan kuno tentang Samhain dan tahyul masih tidak dapat dikikis. Kemudian beberapa penambahan telah dibuat bersempena dengan perayaan ini antaranya seperti mengukir labu dengan wajah yang menakutkan yang digelar Jack O' Lantern dan juga acara 'trick or treat' iaitu suatu aktiviti yang dilakukan oleh kanak-kanak pada waktu malam menjelang Halloween. Mereka akan memakai pakaian beragam (lazimya pakaian hantu) ke rumah jiran sambil membawa karung atau bakul. Apabila tiba di rumah jiran mereka akan mengetuk pintu atau membunyikan loceng. Sebaik sahaja pintu dibuka, mereka akan berkata "trick or treat!" manakala tuan rumah pula akan mengisi karung atau bakul yang mereka bawa dengan gula-gula.

Perayaan Halloween juga sudah mula menjadi popular di Malaysia. Saban tahun kita dapat lihat pusat-pusat hiburan mempromosikan 'Halloween's Night' dan sudah pastinya dihadiri oleh remaja berbagai bangsa dan agama. Seperti perayaan Valentine, Halloween juga tidak wajar diraikan oleh orang Islam meskipun sekadar untuk memeriahkan suasana dengan memakai pakaian beragam. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun ayat 1-6 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”


Juga firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 36 yang bermaksud:
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota- anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."


sumber: wikipedia.