Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Maciek Kozierski |
Kisah kehebatan individu seperti ulama, guru persilatan atau ahli silap mata mampu berjalan atas air sering kita dengar.
Malah, kemampuan itu cukup mengagumkan lantaran ia sering mencabar batas kemampuan manusia.
Kini, terapung atas air dengan bantuan peralatan moden bukanlah sesuatu yang pelik terutama dalam era sains dan teknologi.
Di sebalik keupayaan teknologi itu, masih terdapat beberapa blog dan laman web yang berkongsi ilmu berdiri di atas air.
Antara bahan yang diperlukan ialah air serta kemenyan. Tetapi, ia masih belum terbukti selain lebih menjurus kepada ilmu hitam.
Namun, terdapat beberapa individu boleh berjalan atas air antaranya, seorang lelaki berasal dari Poland iaitu Maciek Kozierski.
Dalam paparan laman web, pemain ski air profesional ini dirakam berdiri di atas air untuk tempoh lebih lima minit.
Kehebatannya mengundang misteri kerana mengikut teori fizik manusia lebih berat berbanding air sekali gus menyebabkan makhluk keturunan Adam tenggelam sebaik berada di kawasan air.
Tetapi, kemampuan Kozierski ini hanya helah semata-mata kerana lelaki itu terapung dengan dibantu ikatan payung terjun di bahagian belakang badannya yang membuatkannya seakan-akan terapung atas air.
Steven Frayne berjalan di atas air |
Begitu juga halnya dengan seorang ahli silap mata Britain, Steven Frayne pada Julai tahun lepas yang menunjukkan kemampuan berjalan kaki di atas air selama beberapa minit sebelum menumpang bot polis.
Perbuatannya itu disaksikan beratus-ratus orang dari Jambatan Westminster. London. Lebih unik, dia tidak menggunakan sebarang bantuan.
Ironi, sebelum lelaki ini membuat persembahan, beberapa hari sebelum itu pelapik plastik terapung dipasang di sungai membuatkan aksi berjalan itu seakan-akan benar.
Misteri
Namun, seorang pengkaji paranormal, Rahim Hanipah berpendapat, terdapat ilmu tertentu membolehkan individu mampu melakukan perbuatan unik tersebut.
"Saya sendiri pernah memancing bersama seorang rakan di Temerloh, Pahang pada tahun lalu. Mulanya saya dan rakan memancing di tebing yang sama.
"Secara kebetulan saya kemudian melihat dia berada di kawasan tebing sungai bersebelahan tanpa disedari," ujarnya.
Berbicara mengenai ilmu mistik, Rahim memberitahu, geliga labah-labah jika dipakai serta dibaca mantera tertentu membolehkan pemakainya berjalan di atas air.
"Tetapi memperolehinya agak sukar kerana terdapat dalam perut labah-labah air yang bersaiz kecil. Setakat ini, saya sendiri tidak pernah menjumpai individu yang mempunyai batu geliga terbabit," terang Rahim.
Lelaki ini sendiri mengakui pernah belajar ilmu terapung atas air. Namun, dia tidak pernah mempraktikkannya kerana terpaksa membuat amalan yang tidak masuk akal.
"Saya perlu bertapa di hutan tebal selama tujuh hari serta perlu berendam melawan arus dalam jumlah hari yang sama dengan bacaan tertentu.
"Tetapi saya tidak pernah melakukannya kerana perlu berada di hutan untuk satu tempoh masa yang lama," ujarnya.
Tambahnya, dia juga tidak menolak ada individu bekerjasama dengan hantu air untuk berjalan atas air.
"Semua ini perkara yang tidak berlandaskan Islam. Sekarang zaman moden terdapat banyak jambatan serta kenderaan untuk menyeberangi air.
"Mungkin, dahulu, ada manusia mempelajarinya untuk mudah menuju tempat dikehendaki tetapi kini ilmu ini tidak lagi relevan," tegas Rahim.
Teori sains
Seorang pelajar Sekolah Tinggi Arthur, Trenton, Michigan, AS berjalan di atas air yang ditabur tepung jagung |
Sebenarnya, terdapat teori saintifik menyebabkan manusia boleh berjalan atas air.
Cecair non-Newtonian atau tepung jagung yang ditabur dalam skala yang besar di sebuah kolam bersaiz sederhana boleh menyebabkan benda atau makhluk yang berada di atasnya tidak tenggelam.
Eksperimen ini telah dilakukan para pelajar Sekolah Tinggi Arthurs, Trenton, Michigan, Amerika Syarikat pada tahun lalu.
Caranya, mereka mencampurkan 500 kilogram tepung di sebuah kolam bersaiz kecil sebelum 10 orang pelajar berlari, menari dan melompat di kolam tersebut tanpa terjatuh kerana tepung itu cukup mampat berbanding air.
Hakikatnya, terdapat lebih 1,200 haiwan atau serangga seperti labah-labah air, burung dan ikan lumba-lumba boleh berjalan di atas air.
Kosmo!
7 April 2013
0 comments:
Post a Comment