Imej mayat pengganas Sulu yang berjaya ditembak mati oleh pasukan keselamatan Malaysia |
Kelibat roh pengganas di Kampung Tanduo
LAHAD DATU - Ketahanan mental anggota keselamatan yang bertugas di Kampung Tanduo di sini terus diuji apabila mereka dipercayai sering terlihat kelibat tiga lelaki sedang berkeliaran di kawasan tersebut.
Sumber memaklumkan, kelibat tiga lelaki itu dipercayai roh pengganas Sulu yang ditembak mati dalam pertempuran 1 Mac lalu.
Katanya, kelibat lelaki itu hanya dapat dilihat pada waktu Maghrib.
"Perkara ini tidak logik tetapi inilah yang didakwa dialami anggota keselamatan.
"Mereka lihat tiga lelaki berkeliaran dengan seorang daripadanya memakai serban putih," dakwa sumber itu di sini.
Selepas beberapa saat, kelibat tiga lelaki itu akan hilang.
"Di kampung tersebut ada tiga lubang kubur yang menempatkan ramai mayat pengganas.
"Kebanyakannya mempunyai tangkal di pinggang yang kononnya bertujuan menjadikan mereka kebal," tambahnya.
Sementara itu, pasukan keselamatan menemui rangka mayat seorang pengganas Sulu yang mati ditembak dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu di sini hasil operasi pembersihan.
Difahamkan, pengganas itu sudah mati 24 hari.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, mayat itu ditemui pada pukul 11 pagi.
Kosmo!
31 Mac 2013
Pengganas bersikap pelik
Oleh Safeek Affendy Razali
Kuala Lumpur - Sistem brek bas tidak berfungsi ketika membawa keluar pengganas Sulu yang ditahan di kawasan pertempuran di Kampung Tanduo serta menyaksikan pengganas yang tidak mati walaupun ditembak bertalu-talu adalah antara pengalaman yang sukar dilupakan pasukan keselamatan dalam Ops Daulat.
Berkongsi pengalaman dan kisah pelik dengan media, pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang lebih sebulan terbabit dalam Ops Daulat di Pantai Timur Sabah berkata, bas berkenaan disahkan sempurna bahagian teknikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum membawa naik pengganas berkenaan.
Masalah mula dikesan selepas pengganas dibawa keluar menuju ke Balai Polis Cenderawasih, FELDA Sahabat kira-kira 30 kilometer dari Kampung Tanduo.
Seorang anggota JSJ yang enggan dikenali memberitahu dia mengesan perlakuan pelik beberapa pengganas terutama yang berumur lewat 60-an ketika membawa mereka ke balai polis sehingga pemandu bas sukar mengawal stereng selain bas menghadapi beberapa masalah teknikal.
Berasa pelik
"Saya berasa pelik melihat mulut mereka terkumat-kamit seolah-olah membaca sesuatu sambil meludah ke lantai manakala sebahagian lagi menghantukkan kepala ke dinding berulang-kali dengan perlahan sambil menyanyikan sesuatu yang tidak kami fahami.
"Tidak lama selepas itu bas kami gagal dikawal seolah-olah ada satu kuasa ghaib yang mengendalikannya sehingga sistem brek bas gagal berfungsi dan memaksa pemandu merapatkan bas ke kiri jalan kawasan berbukit bagi mengelak kami terjunam ke kawasan gaung di kanan jalan," katanya ditemui pada Majlis Menyambut Kepulangan Wira Negara, di sini, kelmarin.
Tukar kenderaan
Masalah brek berterusan walaupun kami menukar bas dan keadaan hanya kembali pulih apabila semua tahanan kemudian dibawa menaiki lori ke Balai Polis Cenderawasih.
Bagi Superintenden Fadil Marsus, yang juga antara ketua operasi JSJ dalam Ops Daulat berkata, pengalaman memastikan kelancaran perjalanan siasatan kes dalam Ops Daulat sangat berbeza dengan tugasan membanteras penjenayah seperti sebelum ini.
Beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya berkata, tugas setiap pegawai dan anggota JSJ adalah sebagai pasukan sokongan untuk memastikan keadaan selamat ketika mengiringi tahanan pengganas Sulu ke mana-mana lokasi selain memastikan kelancaran operasi pemeriksaan pasukan forensik.
Bagi Sarjan Zumet Ibok, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, tugas mengiringi beberapa pemimpin tertinggi PDRM juga dianggap sebagai satu tugas mencabar sepanjang Ops Daulat.
"Ini kerana semua orang penting pasukan PDRM sentiasa menjadi sasaran musuh (pengganas Sulu) untuk dijadikan tebusan," katanya.
Berita Minggu
7 April 2013
0 comments:
Post a Comment